Isnin, 18 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Janji mereka tertunai

Posted:

Malam kelmarin Dataran Merdeka menjadi saksi kepada satu lagi acara bersejarah apabila 50,000 orang warga kota hadir menyaksikan Konsert Ekspresi Harian Metro 2013.

Acara gemilang itu dianjurkan akhbar nombor satu Malaysia, Harian Metro (HM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hot FM dan TV3.

Persembahan selama lebih dua jam itu sesak dengan penonton pelbagai latar dan generasi untuk menyaksikan persembahan menarik penyanyi hebat seperti Ramli Sarip, Ella, Black & RJ, Azlan & Typewriter, Najwa Latif, SleeQ, Alyah, Caroline, Soo Wincci, Khir Rahman dan Zivilia Band dari Indonesia. Konsert yang dihoskan Nabil dan Along Raja Lawak itu turut menampilkan pelakon jelita Anzalna.

Dengan iringan Orkestra DBKL di bawah pimpinan Mirza Eleno Abdullah, konsert itu sememangnya memberi impak tersendiri yang membuka dimensi baru penanda aras konsert moden di negara ini.


Malah ia boleh dianggap antara persembahan pentas paling berjaya anjuran akhbar dengan lebih empat juta pembaca itu selepas penganjuran Konsert Terima Kasih sempena 20 tahun operasi HM pada 2011.


Konsert itu turut diadakan bagi menghargai pembaca sempena pelancaran wajah baru Harian Metro/Metro Ahad pada 6 Januari lalu.

Hadir sama menyaksikan konsert berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan HM/MA, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Abdul Ghafar Ismail.

Konsert berkenaan dimulakan dengan gimik Black menunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati Diavel diiringi RJ yang turut dibawa dengan motosikal berkuasa tinggi Ducati Monster.

Deruman enjin dua motosikal dibawa khas Ducati Malaysia itu nyata membuatkan penonton teruja sebaik Black menanggalkan jaket dan topi keledarnya serta membuka persembahan dengan lagu Teman Pengganti bersama RJ.

Lagu terbabit turut menyaksikan kemunculan pelakon meningkat naik, Anzalna diikuti aksi solo Black dengan lagu Sofia Jane.

Suasana dihangatkan lagi dengan medley lagu Idola dan Lagu Untukmu serta Tanda Tanya daripada Azlan & The Typewriter. Kemeriahan konsert diteruskan dengan tarian lilin sewaktu Soo Wincci membawa lagu Kau Lilin Cintaku.

Tidak ketinggalan kemunculan pengarah filem, Mamat Khalid dengan gimik filem terbarunya, Rock Oo! bersama barisan pelakon filem itu seperti Que Haidar, Soffi Jikan sementara Khir Rahman menyampaikan lagu bertajuk Tika.

Bagi generasi muda, kehadiran artis duo dengan muzik kombinasi rap dan R & B, SleeQ dengan lagu Salam Untuk Semua serta duet bersama Najwa Latiff menyanyikan lagu Untuk Dia sebelum Najwa membawakan lagu Kosong.

Dengan dua lagu penyanyi sensasi Alyah membawakan lagu Kau Yang Terindah dan Where Have You Been yang mendapat sorakan gemuruh penonton serta seorang peminat fanatiknya yang memiliki iras seperti Ziana Zain.

Sekalipun hanya tiba beberapa jam sebelum konsert Ekspresi Harian Metro, kumpulan dari Indonesia, Zivilia Band tetap memberi impak dengan tiga lagu iaitu Kokoro No Tomo, Aishiteru dan Aishiteru 2. Malah, mereka antara yang mendapat sambutan paling meriah daripada penonton.

Kemunculan Ella berduet bersama Caroline untuk lagu Melawan Arus Cintamu dengan Ella sendiri menyanyikan lagu Rama-Rama dan Kesal.

Apapun, sorakan konsert itu benar-benar bergema sewaktu Ramli Sarip pada persembahan lagu Istilah Bercinta sebelum lagu keramat Kamelia dengan sebahagiannya duet bersama Black.

Upacara penutup juga berlangsung meriah dengan penutup dengan tarian Oppa Gangnam Style versi Hari Wilayah oleh penari-penari DBKL bersama percikan bunga api di angkasa Dataran Merdeka.

Ucapan terima kasih daripada Harian Metro buat semua yang terbabit dengan acara ini dan terima kasih juga kepada semua penonton yang datang memeriahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Rekaan 'Pop Art'

Posted:

Seramai 26 pelajar cemerlang dari Jabatan Seni Reka Fesyen Fakulti Seni Lukis & Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mempamerkan kreativiti mereka 'UiTM Graduate Fashion Show / January 2013 - Gala Awards, baru-baru ini.

Acara dilangsungkan di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur itu dihadiri ramai pereka fesyen terkenal yang juga bekas graduan UiTM antaranya, Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zery Zamry dan Nik Erwan.

Seperti yang diketahui umum, UiTM sememangnya lubuk melahirkan pereka fesyen yang berwibawa. Maka, tidak hairanlah hasil rekaan yang dipamerkan pelajar tahun akhir fakulti berkenaan laksana pereka profesional.

Seperti jangkaan tetamu yang terdiri daripada pereka fesyen, pengkritik fesyen dan penulis fesyen, Nurul Diyana Zainul Ihsan, muncul sebagai pemenang Anugerah Emas.


Rekaannya yang menerapkan elemen 'pop art' iaitu komik dan 'flat clour' nyata cukup ringkas namun 'trendy' dan apa mengagumkan mengenai empat persalinan bertemakan 'Popped Out Kuala Lumpur' itu ia mengabadikan ilustrasi bangunan pencakar langit yang begitu ikonik seperti KLCC dan Menara Kuala Lumpur.


Penulis berpendapat, rekaan Nurul boleh diketengahkan sebagai produk 'signature' Kuala Lumpur untuk dijadikan cenderahati buat pelancong yang menggemari fesyen.

Mungkin dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Nurul boleh memulakan langkahnya menghasilkan sesuatu rekaan yang mampu membanggakan negara.

Manakala pemenang Anugerah Perak pula disandang Mohd Azmyl Mohd Amin, manakala Farah Izyan Suhaidi yang berinspirasikan elemen 'rangka' diumumkan pemenang Anugerah Gangsa. Antara rekaan yang turut menyerlah pada acara itu adalah, Azliana Meor Hamzah walaupun tidak menang.

Kesemua pemenang diadili individu yang cukup terkenal dalam industri fesyen iaitu Marini Ramlan, Sheena Falconer, Mahani Awang, Prof Majib Nor dan Jimmy Wong.

Setiap pereka yang terbabit diwajibkan menghasilkan empat rekaan dan secara keseluruhannya 104 dipamerkan kepada tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved