Jumaat, 8 Februari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Seri lebih baik

Posted:

Doha: Kekalahan 0-2 di tangan Qatar semalam pastinya bukan penamat kempen kelayakan Piala Asia 2015 buat skuad kebangsaan, namun ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mengaku nasib mereka untuk melepasi halangan peringkat Kumpulan D pasti lebih baik jika dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata ke atas pasukan pilihan itu.

Bagi Rajagobal, dengan kesungguhan dipamer anak buahnya pada aksi pertama di Stadium Jassim Bin Hamad Doha itu, mereka sepatutnya tidak pulang tangan kosong.


"Melihat kepada aksi perlawanan tadi (semalam), kami sepatutnya membuat kejutan mungkin sekurang-kurangnya meraih satu mata.

"Qatar dan Bahrain pasukan pilihan untuk layak daripada kumpulan ini tapi kita akan lihat selepas ini. Kedudukan pasti berubah jika kami meraih keputusan seri hari ini (semalam)," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan itu semalam.


Tanpa tujuh pemain tonggak termasuk, kapten Safiq Rahim, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, barisan pemain seperti Mohd Amri Yahyah, Mohd Shakir Saari, Mohamad Ashaari Samsudin, Azamuddin Mohd Akil dan K Reuben yang dianggap pemain 'skuad kedua' sebelum ini membuktikan mereka wajar diberi lebih peluang atas kesungguhan dalam aksi menentang Qatar.


Malah aksi pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli yang bermain di posisi tengah bersama Shakir juga harus dipuji kecuali kesilapannya yang memberikan sepakan percuma yang menghasilkan gol pertama Qatar.

Walaupun Qatar tampak lebih baik berbanding Harimau Malaya namun mereka terpaksa mengharapkan gol sepakan percuma Khalfan Ibrahim yang terbias pemain pertahanan negara pada minit ke-54 serta jaringan lewat permainan Yusef Ahmed untuk merekod kemenangan 2-0.


Kekalahan itu menyebabkan Malaysia kini menduduki tangga ketiga manakala Yaman yang tumpas 0-2 kepada Bahrain di tangga tercorot juga tanpa sebarang mata.

Tiga mata yang dikutip pada perlawanan pertama membolehkan Qatar dan Bahrain menduduki dua tempat teratas kumpulan.


Selepas ini Harimau Malaya bakal berdepan Yemen di Stadium Shah Alam pada 22 Mac dan hanya kemenangan akan mencerahkan peluang untuk meneruskan kempen merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.


"Kami perlu fokus kepada satu-satu perlawanan, sekarang untuk mendapat peluang (layak), kita perlu mendapat keputusan baik menentang Yemen di tempat sendiri. Qatar akan menentang Bahrain, salah satu daripada pasukan itu akan kalah atau seri dan perlu positif," kata Rajagobal yang menetapkan misi utama membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Nadal pamer aksi bertenaga

Posted:

Vina del Mar, Chile: Rafael Nadal melakukan kemunculan semula dalam acara perseorangan selepas rehat tujuh bulan dengan mengalahkan pemain pusingan kelayakan, Federico Delbonis 6-3, 6-2 pada pusingan kedua kejohanan gelanggang tanah liat ATP, semalam.

"Saya gembira bermain perlawanan perseorangan selepas sekian lama," kata Nadal. "Saya perlukan masa mengembalikan semula permainan tapi setakat ini perasaan berada di gelanggang amat hebat.


"Paling penting menghabiskan banyak masa di gelanggang. Kemenangan ini memberikan saya peluang bermain sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan, perseorangan dan beregu." Juara 11 Grand Slam dari Sepanyol itu tidak beraksi sejak mengalami kekalahan mengejut pada pusingan kedua Wimbledon Jun lalu sekalipun dia memanaskan badan di sini kelmarin dengan kemenangan acara beregu.

Tendon terkoyak dan radang lutut kiri menyebabkannya terlepas aksi Sukan Olimpik London dan Terbuka AS 2012 manakala jangkitan virus menangguhkan kemunculan semulanya tahun ini.


Permainan berkarat ditunjukkan Nadal, kini di ranking kelima dunia, selepas servisnya dirampas pada permainan pertama perlawanan itu dan ketinggalan 0-2 di tangan pemain kidal Argentina itu.


Namun dia bangkit bergaya mengatasi Delbonis, pemain ranking ke-128, merampas semula servis pada permainan keempat dan melakukannya sekali lagi pada permainan kelapan sekali gus memberikannya peluang melakukan servis untuk menamatkan set pembukaan itu.

Dia mendahului selesa 4-0 pada set kedua, bergerak dengan licik di gelanggang tanah liat itu walaupun apabila meluru ke jaring selepas pukulan drop. Dia menamatkan perlawanan selepas 87 minit dengan empat servis ace dan berdepan hanya satu mata 'break'.


Pada suku akhir, dia berdepan pemenang pertemuan rakan senegara, Albert Montanes dan Daniel Gimeno-Traver. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved