Selasa, 12 Februari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Usah 'sorokkan' anak istimewa

Posted:

Kanak-kanak kelainan upaya (OKU) dari segi intelektual sering dianggap lemah atau tidak boleh menyiapkan sesuatu tugasan. Hakikatnya jika diberi peluang, mereka mampu mengubah kekurangan yang ad,a seterusnya mengagumkan orang lain dengan semangat juang masing-masing.

Keupayaan mereka sering disalah anggap dan ibu bapa selalunya lebih cenderung untuk menghalang anak aktif bermain di luar kawasan rumah, sebaliknya gemar 'mengurung' anak kerana berasa keadaan itu lebih selamat buat kanak-kanak itu.

Kebanyakan masyarakat tidak memahami kehendak atau keperluan kanak-kanak ketidakupayaan intelektual dan bersikap terlalu melindungi sehingga anak menjadi lemah dari segi fizikal.

Jika dipandang dari segi fizikal, tidak ada bezanya antara golongan kanak-kanak terbabit dengan orang lain. Malah, mereka kelihatan sama seperti kanak-kanak seusia mereka, bezanya mereka lemah dari segi intelektual.

Foto

ANTARA latihan fizikal bagi meningkatkan kecergasan tubuh kanak-kanak ID.

Foto

CERIA ketika bengkel berlangsung.

Foto

MOHD Shukry (dua dari kiri) bersama kanak-kanak ID yang juga pernah bertanding di SOM.


Ketidakupayaan intelektual (ID) dicirikan oleh fungsi intelektual dan kemampuan menyesuaikan diri yang terbatas secara ketara dalam kemahiran sosial, konsep dan praktikal.


Kategori ID adalah pelajar lembam, sindrom Down, terencat akal dan hiperaktif. Seorang individu boleh dikelaskan sebagai ID apabila ia mempunyai fungsi intelektual (IQ) kurang daripada 70 hingga 75, mengalami batasan ketara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling seperti kemahiran konsep, sosial dan praktikal dan masalah itu berlaku sebelum usianya menjangkau 18 tahun.

Golongan itu juga sukar melakukan banyak perkara dalam kehidupan harian mereka termasuk berkomunikasi, menjaga kebersihan diri sendiri, kemahiran sosial, melakukan kerja rumah, aktiviti riadah, menjaga keselamatan dan kesihatan, tidak mampu memimpin diri sendiri dan sukar membaca, menulis atau memahami matematik asas.

Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai, Cheras, Mohd Shukry Hussain berkata, kanak-kanak yang mengalami ID mempunyai fungsi intelektual jauh lebih rendah berbanding rakan sebaya.

Menurut guru yang mempunyai pengalaman 22 tahun mendidik dan membantu golongan kanak-kanak berkenaan, usia mental mereka jauh lebih rendah berbanding usia fizikal, menyebabkan guru, penjaga atau ibu bapa perlu banyak bersabar dalam menguruskan mereka.

"Mereka juga dibenarkan berada di sekolah rendah sehingga usia mencecah 14 tahun kerana sukar untuk mereka memahami sesuatu pengajaran. Malah, ada yang masih bawa botol susu ke kelas dan minum apabila terasa lapar.

"Tidak mudah mengajar mereka di dalam kelas kerana mereka susah untuk mengingati sebarang subjek, satu-satu pelajaran seperti mengenal huruf dan angka diajar selama setahun dan apabila cuti panjang, mereka lupa semuanya dan terpaksa diajar semula," katanya pada bengkel bertemakan Kuasa Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, anjuran Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Sukan Olimpik Istimewa Malaysia (SOM), baru-baru ini.

Berikutan itu, Mohd Shukry berkata, kanak-kanak itu cepat berasa bosan dan hilang minat belajar, membuatkan pengajaran alternatif seperti belajar sambil bersukan pilihan lebih sesuai untuk mendidik mereka.

Katanya, bersukan lebih mudah dan menggembirakan kanak-kanak terbabit selain pada masa sama, bacaan huruf dan kiraan tetap diungkapkan sepanjang sesi bersukan supaya secara tidak langsung, mereka tetap belajar.

"Lagipun menerusi sukan, fizikal mereka bukan saja menjadi cergas, malah mereka akan menjadi lebih ceria dan dapat kawan baru serta pengalaman baru terutama apabila dibawa menyertai mana-mana pertandingan.

"Biarpun mereka mungkin lemah dari segi intelektual, tidak bermakna mereka lemah dari segi fizikal atau tidak mampu berjaya dalam sukan. Sekiranya diberi peluang bertanding mengikut keupayaan mereka, kanak-kanak ini mampu menunjukkan kemampuan membanggakan," katanya.

Mohd Hussain yang juga ketua bagi program SOM berkata, sukan membuka peluang kepada kanak-kanak berkenaan menunjukkan potensi diri masing-masing selain menjadikan masa lapang mereka diisi dengan perkara bermakna.

Misalnya, pelajar SMK Alam Damai, Zaim Abu Hirzan Zaidan, 16, yang mengalami masalah terencat akal ringan, mencapai keputusan membanggakan ketika menyertai Sukan Istimewa Olimpik Dunia 2011 sempena musim panas di Athens, Greece.

Zaim yang diletakkan di bawah program SOM, berjaya membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara boling individu lelaki dan berpasukan pada acara berkenaan yang turut disertai peserta 188 negara benua Eropah, Afrika, Amerika Syarikat dan Asia.

Menurut Mohd Shukry, keluarga disarankan tidak 'menyorokkan' anak istimewa mereka, tetapi perlu didedahkan kepada pelbagai aktiviti termasuk sukan kerana ia memberi faedah kepada mereka, membuatkan tubuh lebih cergas dan meningkatkan tahap keyakinan diri dan keluarga.

Berbeza dengan atlet normal, kanak-kanak yang mengalami ID perlu dilatih dengan penuh sabar kerana setiap langkah dalam latihan perlu diulang-ulang serta ditunjukkan secara teliti, supaya mereka dapat memahaminya dan mudah untuk diikuti.

"Pengalaman bertanding sehingga ke luar negara membuatkan kanak-kanak ini gembira dan mereka tidak percaya dapat bertanding dalam SOM. Acara dalam sukan ini diubah suai sedikit supaya golongan ID dapat mengambil bahagian.

"Cara melatih mereka juga agak berbeza kerana tidak boleh terus berlatih seperti biasa, tetapi perlu dimulakan dengan teknik yang lebih mudah supaya mereka dapat kemahiran kawalan pergerakan dengan seimbang. Misalnya untuk belajar bermain badminton, kami menggunakan bola pingpong terlebih dulu.

"Jika kanak-kanak ini sudah boleh mengawal bola itu dengan menimangnya tanpa jatuh, barulah kami menggunakan bulu tangkis.

Penyertaan kanak-kanak ini dalam kategori sukan juga dipilih berdasarkan kemahiran dalam ujian yang dijalankan," katanya.

Pensyarah dan Koordinator Program Pengajian Sukan di UiTM, Nagoor Meera Abdullah berkata, aktiviti fizikal dan sukan memberi banyak faedah kepada kanak-kanak ID antaranya cara hidup lebih sihat, tahap kecergasan tubuh meningkat, menyumbang elemen menggembirakan, bertemu rakan baru, kemahiran pergerakan tubuh semakin baik, mencungkil bakat sukan, membina kemahiran komunikasi, membina keyakinan diri dan membuka peluang menyertai aktiviti sukan.

Setiap kanak-kanak ID mempunyai kemahiran berlainan antara satu sama lain. Oleh itu, jurulatih tidak seharusnya mempunyai tang–gapan perkara yang boleh atau tidak mampu dilakukan golongan itu, sebaliknya melihat setiap kelemahan dan kekuatan mereka.

"Kanak-kanak ini juga perlu diberi arahan yang jelas dalam bahasa yang mudah, ringkas dan terang. Setiap sesi sukan perlu dijalankan dengan menyeronokkan tetapi jurulatih perlu banyak bersabar, konsisten dan bertolak-ansur.

"Jurulatih juga perlu sentiasa memberi tindak balas positif kepada kanak-kanak ini memandangkan mereka mengalami masalah kurang keyakinan diri selain memberi mereka banyak peluang untuk berlatih dan mencuba berulang kali," katanya.

Berpengalaman selama 15 tahun mengajar dan melatih atlet istimewa, Nagoor berkata, aktiviti fizikal memberi kesan fisiologi yang baik untuk kesihatan
jantung, paru-paru, salur darah dan peredaran darah, selain menguatkan otot.

Kanak-kanak berkenaan dilatih dengan konsep kecergasan asas seperti meregang, ketahanan kardiovaskular, ketahanan dan kekuatan otot, koordinasi dan daya seimbang serta kelajuan dan kemahiran bersukan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi P&G, Zulhaimi Abdul Hamid berkata, melalui program khidmat sosial dinamakan Open Minds itu, ia berjaya mengubah dan meningkatkan mutu kehidupan lebih 10,000 kanak-kanak yang mengalami ID di seluruh negara termasuk autisme, disleksia, serebrum palsi dan sindrom Down.

"Sepanjang usaha membantu kanak-kanak istimewa, P&G menyedari pembabitan golongan ini dalam aktiviti sukan membuka peluang kepada mereka untuk membuktikan kepada ibu bapa mereka juga mampu memiliki keyakinan diri dan merealisasikan impian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Serlah keunikan bunga tisu

Posted:

Menghasilkan bu-nga daripada tisu memang tampak unik. Namun, pemilihan jenis tisu yang sesuai harus diambil kira bagi mendapatkan bunga yang kelihatan semula jadi.

Menurut penggubah hantaran yang menerima tempahan secara dalam talian, Hafiza Mohd Razally, tisu mempunyai pelbagai jenis.

"Sebaiknya, pilih tisu yang sederhana keras bagi mendapatkan bentuk bunga yang tampak hidup. Elak menggunakan kertas crepe kerana ia terlalu keras dan menyebabkan bentuk bunga tidak cantik.

"Walaupun bahan digunakan murah, jika kreatif kita boleh menggubahnya menjadi hasil yang bernilai dan mewah dengan penambahan elemen perincian seperti manik serta reben.


"Penampilan bunga polos juga boleh dijadikan hasil menarik jika ditambah manik dan reben bercorak untuk tampak senada," katanya yang banyak menerima tempahan mengikut trend rekaan terkini.


Baginya, kebanyakan bunga dihasilkan mestilah memberi perhatian kepada konsep semula jadi dan rona yang menjadi ikutan ramai masa kini.

Memilih konsep bunga tisu, ia bukan saja boleh dijadikan hiasan pada dulang hantaran, malah tampak unik sebagai bunga tangan, pahar atau cenderahati kepada tetamu pada majlis perkahwinan.

Selain cara menghasilkannya yang mudah, penjagaan bunga tisu sama seperti jenis bunga yang lain untuk memastikannya sentiasa kelihatan masih baru dan segar.

"Elakkan daripada terkena cahaya matahari agar rona bunga tisu tadi tidak pudar dan masih nampak seperti baru ketika mahu digunakan.

"Selain itu, jauhi daripada terkena air kerana ia akan menyebabkan teksturnya menjadi rosak dan tidak boleh digunakan lagi," jelasnya mengenai penjagaan mudah bunga tisu.

Terima kasih. fieyza hantaran/facebook, www.fieyzacreativetouch.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved