Harian Metro: Hati |
Mula suka-suka, kini aktif berkayuh Posted: Kira-kira dua tahun lalu, lapan wanita ini hanya menjadi pemerhati dan penyokong kepada suami masing-masing setiap kali pasangan mereka menyertai aktiviti berbasikal di sekitar taman perumahan. Sesekali mereka cuba mengayuh, itu pun selepas termakan ajakan suami yang mahu mereka turut serta atas alasan sekadar suka-suka. Namun, bermula daripada suka-suka itu, ia menjadi titik tolak pembabitan mereka dalam aktiviti berbasikal ini yang dilakukan pada setiap malam Khamis dan hujung minggu di kawasan berhampiran kediaman mereka di Prima Saujana, Kajang. Apabila minat sudah bercambah di hati, mulalah pasangan masing-masing sanggup membelikan basikal supaya boleh bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan. BERMULA daripada suka-suka, aktiviti berbasikal kini menjadi hobi tetap.
Lina Mohd Noor, 39, berkata, penyertaan aktiviti sedemikian membentuk disiplin dan keyakinan diri yang kuat selain mengeratkan silaturahim bersama rakan. "Jujurnya, saya tidak sangka berupaya melakukan aktiviti ini kerana ia seakan-akan nampak mudah, namun hakikatnya memerlukan kudrat tulang empat kerat yang cukup kuat. "Aktiviti ini mencabar, tetapi pada masa sama menyeronokkan. Kami juga dapat membentuk sikap bekerjasama serta semangat berpasukan yang tinggi. "Sepanjang lebih dua tahun menyertai aktiviti berbasikal ini, ia memberi pengetahuan dan kemahiran untuk mendaki bukit, menuruni curam dan pelbagai lagi teknik yang mencabar kepada saya," katanya. Walaupun mereka bergelar isteri, ibu dan pekerja yang sibuk menguruskan pelbagai urusan rumah tangga serta pejabat, ia tidak menjadi alasan mereka tidak boleh melakukan aktiviti berkenaan yang banyak dimonopoli kaum Adam. Biarpun ada golongan yang masih beranggapan aktiviti itu tidak sesuai untuk wanita, kebanyakan orang menganggapnya sebagai aktiviti berfaedah apatah lagi apabila ia dilakukan bersama suami. Malah, ia boleh memberi rangsangan kepada ahli keluarga lain dan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif. Seorang lagi ahli kelab, Normarina Abdul Jabbar berkata, walaupun mereka sibuk dengan urusan rumah tangga, sempat juga meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk berbasikal bersama suami dan rakan setiap Rabu dan hujung minggu. "Semua ini dilakukan selepas menguruskan hal di rumah dan pada waktu petang atau malam kami berkumpul sebelum berkonvoi ke tempat yang ingin dituju. "Kami juga berasa lebih yakin selepas menyertai aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai lasak ini," katanya yang pernah cedera di muka, tangan dan kaki ketika menyertai kayuhan amal mahupun jambori. Bagaimanapun, ia bukan faktor penghalang untuknya terus melakukan aktiviti berbasikal. Dia yang pernah menyertai beberapa acara berbasikal seperti jambori berkata, aktiviti sedemikian bukan saja memerlukan kekuatan fizikal dan mental, tetapi juga kemahiran dan kesabaran terutama ketika melalui kawasan mencabar. "Sukan berbasikal sememangnya memenatkan dan memerlukan stamina yang tinggi, tetapi di sebaliknya ia mengajar kita supaya tabah dalam menghadapi cabaran. "Walaupun kami semua wanita, kami tiada masalah menyertai aktiviti ini kerana ia turut membabitkan suami masing-masing yang banyak mengajar serta membantu," katanya. Rakannya, Sheriza Mohd Nazir, 41, pula berkata, penyertaan wanita dalam aktiviti lasak sudah menjadi kebiasaan dan ia diterima oleh masyarakat. Selain mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah, menyertai aktiviti itu memberi peluang kepada kami menimba pengalaman baru selain menghabiskan masa dengan suami serta rakan. "Kami menyertai pelbagai acara berbasikal atau jambori di merata tempat antaranya di Beserah, Kluang, Alor Gajah dan Kuala Kangsar. "Panas terik, hujan, ribut petir semuanya kami tempuh sedaya mungkin. Pernah di pertengahan jalan ada antara kami yang sudah tidak terdaya lagi dan rasa mahu mengalah, tetapi semangat berpasukan serta menyokong antara satu sama lain membuatkan kami meneruskan perjalanan," katanya yang memberitahu pada permulaan, kelab DRCT ini hanya dianggotai kaum Adam sebelum segelintir isteri ahli kelab menyertainya. Ahli kelab paling muda, Norfadzilah Uzir Abd Wahab, 34, berkata dengan mengayuh basikal, mereka juga dapat menurunkan berat badan secara perlahan-lahan untuk menjaga kecantikan tubuh. Pemakanan yang diambil sebelum dan selepas berbasikal amat penting bagi memastikan kecergasan mereka berada di tahap memuaskan supaya tidak mengah mahupun 'pancit' ketika menunggang basikal lebih-lebih lagi apabila perlu mendaki bukit. Selalunya, sebelum menyertai sesuatu acara atau jambori, mereka mempergiatkan latihan dengan mengayuh lebih kerap seperti tiga kali seminggu. Makanan diambil pula lebih kepada makanan kurang berminyak seperti sup atau makanan berasaskan rebusan. Majalah kecergasan turut dijadikan panduan dalam pemilihan diet seharian mereka. Contohnya, untuk bekalan tenaga sewaktu acara, mereka akan bawa buah kurma dan coklat yang boleh dimakan di setiap perhentian. Bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk menjadi ahli di kelab kecergasan atau gimnasium, aktiviti berbasikal seperti ini boleh dijadikan pilihan kerana selain murah, ia juga berkesan, menyeronokkan dan mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan sekiranya dilakukan secara beramai-ramai bersama keluarga dan sahabat-handai. Antara kelebihan berbasikal adalah mampu menstabilkan keseluruhan otot tubuh terutama di bahagian pinggul dan bahu, mengurangkan risiko penyakit, menurunkan kadar kolesterol dalam badan, menguatkan tulang dan merehatkan minda. Berbasikal senaman yang sesuai bagi semua peringkat umur dan latar belakang. Tidak seperti tanggapan umum, berbasikal bukan hanya tertumpu pada bahagian kaki kerana ia turut membabitkan aktiviti kardio dan pernafasan yang menguatkan badan. Tidak cukup dengan itu, aktiviti ini juga membantu daya ketahanan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan sambil membakar lemak badan serta mengurangkan selulit. Secara tidak langsung, ia menggalakkan jantung menjadi lebih cekap, memperbaiki sistem pernafasan dan aliran darah dengan menguatkan otot jantung. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04 |
Posted: Tanyalah pada sesiapa saja, pengesahan doktor mengatakan mereka menghidap kanser adalah satu hakikat yang amat sukar diterima. Sehingga kini kanser masih menjadi penyakit yang sangat digeruni walaupun ia tidaklah jauh berbeza dengan penyakit kronik lain. Mungkin stigma yang mengatakan kanser sebagai pembawa maut membuatkan ia dikategorikan sebagai pe–nyakit yang mengerikan. Pakar perubatan mengatakan, kedudukan kanser sebenarnya sama dengan penyakit kronik lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, pe–nyakit jantung, sakit buah pinggang dan strok.
Semuanya boleh me–nyebabkan kematian jika tidak dirawat dan dikawal, tetapi mungkin sifat kanser yang boleh merebak menjadikan semangat kita melayang tatkala mendengar pengesahan kewujudannya dalam badan. Memang bukan mudah untuk menerima hakikat kita menghidap kanser. Kebanyakan orang boleh menerima berita disahkan menghidap kencing manis atau tekanan darah tinggi dengan tenang. Tetapi untuk kanser lain ceritanya. Walaupun sudah berulang kali diberitahu bahawa kanser boleh dirawat, masih ramai menganggap kedatangan penyakit ini menandakan hidup mereka bakal berakhir.
Sebaik disahkan menghidap kanser, biasanya perbincangan lebih tertumpu pada soal rawatan (perubatan) sedangkan kesan psikologi yang dialami pesakit menuntut perhatian yang sama. Antara kesan psikologi yang biasa dialami pesakit kanser ialah rasa bimbang, sedih, murung, marah, terkejut, sering menangis, keliru dan mula mengasingkan diri. Kesan psikologi ini lebih hebat dirasai pada pesakit: Oleh kerana ia biasa berlaku, kadangkala pakar perubatan terlepas pandang isu psikologi ini. Isu ini perlu diberikan perhatian serius supaya pesakit dan keluarga sama-sama dapat mengharungi saat getir sepanjang menjalani rawatan. Selain itu, stigma masyarakat juga menjadikan kanser sebagai penyakit yang sangat membimbang–kan. Masyarakat di negara maju pun ada yang mempunyai tanggapan negatif terhadap pesakit kanser. Prof Suzanne Chambers daripada Institut Kesihatan Griffith, Universiti Griffith, Australia berkata, ada sesetengah masyarakat di negara itu melabelkan pesakit kanser sebagai orang yang hilang kemampuan dan berikutan itu, berlakulah masalah diskriminasi. Secara global, 25 peratus masyarakat dunia percaya pesakit bertanggungjawab terhadap penyakit (kanser) yang dihidapi. Mereka menganggap perlakuan seseorang individu itu menyebabkan mereka mendapat kanser. Contohnya kanser paru-paru disebabkan tabiat merokok. "Ada bekas pesakit kanser memberitahu penduduk di tempat tinggalnya berhenti datang ke rumahnya. Ramai bimbang jika di rumahnya terutama di tandas, ada saki baki bahan kimia (ubat kanser) yang menyebabkan mereka boleh dijangkiti kanser. "Akibatnya, mereka bukan saja berhenti berkunjung ke rumahnya malah tidak lagi bertanya khabar. Keadaan ini menyebabkan bekas pesakit kanser tertekan kerana diasingkan dan wujudnya unsur diskrimi–nasi," katanya. Seorang doktor di India memberitahu, kanser bukan sekadar penyakit tetapi ia pemusnah keluarga. Pada ketika pesakit sudah sembuh, keluarganya sudahpun kucar-kacir (kerana pelbagai isu berkaitan kanser termasuklah stigma dan kos rawatan) menyebabkan pesakit berasa lebih baik mereka mati. Isu psikologi ini tidak hanya berlaku pada pesakit dewasa saja kerana kesan yang dihadapi pesakit kanser kanak-kanak lebih ketara. Pesakit kanak-kanak bergelut dengan persoalan seperti: Selain itu, pesakit kanak-kanak turut menghadapi masalah keyakinan diri terutama jika mereka mengalami kesan sampingan akibat kanser yang terpaksa ditanggung seumur hidup. Contohnya, pesakit kanser tulang yang terpaksa dipotong kakinya bagi menyelamatkan nyawa atau kehilangan sebelah mata akibat kanser mata. Kurang keyakinan diri inilah yang akan memberi kesan lebih besar kepada kualiti hidup mereka kelak. Bahkan ia menjadi penghalang untuk mencapai impian masa depan pesakit. Itu belum masuk soal pendidikan kerana pesakit kanak-kanak kerap tidak hadir ke sekolah, tidak dapat mengikuti pelajaran, sering berasa letih (kesan rawatan), ada masalah untuk belajar (termasuk tidak dapat menulis dan me–ngeja dengan baik, sukar memahami konsep dan fakta matematik, susunan, mempunyai masalah pendengaran, kurang tumpuan, sukar mengingat dan kurang kemahiran merancang serta mengurus). Perbaiki kualiti hidup Apa yang ditulis di atas adalah serpihan kecil daripada isu yang dihadapi pesakit kanser. Kanser tidak kira apa jenisnya ialah penyakit yang disebabkan kewujudan sel tidak normal. Ia membesar (bilangan sel bertambah banyak) dan boleh melumpuhkan fungsi sel yang sihat. Apa yang membezakan kanser ialah kedudukannya sama ada di kulit, mata, hati, paru-paru, prostat, usus atau mana-mana organ. Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada setiap 4 Februari, marilah kita bersama-sama mengetepikan pendapat yang mengatakan kanser membunuh kehidupan. Memang diakui kanser memberi kesan besar kepada kehidupan pesakit dan keluarga tetapi mereka masih boleh menikmati hidup yang berkualiti. Selain mendapat rawatan awal dan betul, isu psikologi pesakit dan keluarganya perlu diberikan perhatian. Jika anda ialah pesakit, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menerima hakikat ini dengan hati dan fikiran terbuka. Memang bukan mudah, tetapi berusahalah dan percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Penerimaan ini akan menjadikan anda seorang individu yang lebih kuat semangat dan ia secara tidak langsung memberi kesan positif pada badan. Ramai pakar mengatakan pesakit yang bersikap dan berfikiran positif menunjukkan tindak balas lebih baik terhadap rawatan. Antara perkara lain yang boleh diamalkan untuk meningkatkan kualiti hidup: Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal Memasukkan aktiviti fizikal ke dalam rutin hidup bukanlah satu perkara yang sukar. Hidup anda boleh menjadi lebih aktif dengan melakukan perkara kecil seperti kerap menggunakan tangga ketika berada di tempat kerja. Letakkan kenderaan jauh sedikit dari destinasi kita supaya kita boleh berjalan. Walaupun ada sesetengah orang tidak menganggapnya sebagai satu senaman, kebanyakan pakar kesihatan berkata, ia akan memberi kesan positif. Bagi pesakit kanser, sebaiknya berbincanglah dengan doktor jika anda mahu menyertai sebarang program senaman. Namun aktiviti fizikal yang ringan dan lazim seperti berjalan, berjoging, menari, berenang dan pelbagai senaman kardio lain pada tahap sederhana boleh dilakukan. Seperti individu sihat yang lain, pesakit kanser juga disaran bersenam walaupun hanya beberapa minit setiap hari. Kalau dapat bersenam 30 minit sehari, lima hari seminggu, tentulah lebih baik.
Senaman sangat bermanfaat kepada pesakit kanser kerana ia membantu: Ia cara yang baik untuk menenangkan fikiran. Menurut salah seorang pesakit kanser yang pernah penulis temui, Dr Abdul Razak Muhammad, pakar ortopedik yang menghidap leukemia mieloid kronik (CML), sepanjang tempoh berada di wad, dia mengisi masanya membaca al-Quran dan kaedah itu bukan saja menenangkan hatinya, malah menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Menikmati hidup Lakukan aktiviti yang anda gemari atau memulakan hobi baru. Tidak kira apa aktiviti yang anda pilih, sebaiknya ia turut membabitkan ahli keluarga. Jadikan penyakit anda sebagai titik mula untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga dan dengan cara ini anda boleh mencipta kenangan manis bersama. Kenal pasti keperluan pesakit Jika pesakit ialah kanak-kanak, keperluannya mungkin lebih menjurus kepada soal pendidikan. Jadi ibu bapa, ahli keluarga atau guru boleh merekodkan pengajaran guru di dalam kelas supaya boleh didengar atau ditonton kemudian. Beri dorongan supaya pesakit tidak cepat berputus asa. Anda mungkin boleh menjemput kawannya datang ke rumah supaya anak anda dapat berkongsi pengalaman dan bercerita mengenai penyakitnya. Ia secara tidak langsung dapat merungkai persoalan yang disenarai di atas. Kurang–kan kekurangan fizikalnya contohnya dengan membelikan kaki atau mata palsu untuk membantu meningkatkan keyakinan dirinya. Minta kerjasama pihak sekolah (guru) Kanak-kanak yang bentuk fizikalnya 'kurang normal' ada kebarangkalian yang tinggi diejek dan dibuli rakan sekolah. Jadi minta kerjasama guru untuk memberi kesedaran mengenai penyakit dan mengelakkan pesakit dibuli. Pengetahuan mengenai sesuatu penyakit akan membuatkan kanak-kanak lebih menghormati perasaan kawan yang sakit. Minta nasihat doktor untuk mengekalkan kesuburan pesakit Menurut pakar kesuburan, Datuk Dr Prashant Nadkarni, ramai doktor dan ibu bapa terlepas pandang isu kesuburan pesakit muda sedangkan ia satu aspek penting. Di negara kita, ada 28 makmal yang boleh menyimpan sperma, embrio dan telur pesakit. Ini kerana rawatan kanser sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kesuburan seseorang. Bagi pesakit lelaki contohnya, mereka boleh menyimpan sperma sebelum menjalani rawatan. Walaupun kualiti sperma mereka kurang baik, ada teknik moden yang boleh membantu mereka mempunyai anak apabila sampai masanya kelak. Kualiti sperma yang disimpan akan kekal. Bagaimanapun, keadaan berbeza dengan telur daripada pesakit perempuan kerana kualitinya akan merosot sedikit. Dapatkan bantuan kumpulan sokongan Kumpulan soko–ngan amat penting untuk membantu anda dan keluarga mengharungi tempoh getir ini. Berkongsi pengalaman, pengetahuan dan idea, anda boleh meningkat–kan kualiti hidup pesakit dan ahli keluarga lain. Di sinilah anda akan mendengar banyak idea yang boleh dijadikan panduan. Jangan malu kerana semua orang dalam kumpulan sokongan ini mahu setiap anggotanya hidup bahagia. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan