Khamis, 14 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kamal puas bintangi Gangster Celop

Posted:

"Bukan mudah melakonkan watak kelakar, lebih-lebih lagi saya bukanlah seorang yang kelakar," kata pelakon, Kamal Adli mengenai wataknya dalam filem terbaru lakonannya bersama Syamsul Yusof, Gangster Celop arahan Ahmad Idham.

Namun katanya, dia bersyukur kerana sepanjang penggambaran itu dikelilingi insan yang sentiasa membuat lawak seperti Lan Pet Pet, Yus Jambu dan Hamdan.

Kata jejaka yang mula dikenali menerusi drama bersiri Bio-Nik ini, merekalah yang memberi banyak tunjuk ajar untuk menghayati watak sebagai Aman yang selamba.

"Hakikatnya bukan mudah melakonkan babak lawak yang boleh membuat penonton ketawa sedangkan ramai tahu karakter saya bukan seorang yang kelakar," katanya.


Kamal yang sebelum ini membawakan watak Aman dalam drama Apa Celop arahan Idham mengakui serasi dengan pengarah dan penerbit terkenal itu.


Meskipun sedar watak yang dibawakan tidak mencabar, ia bukan masalah, sebaliknya kepuasan penonton supaya terhibur dengan kisah dalam filem menjadi keutamaan.

Katanya, walaupun dia seperti membawakan watak yang sama dalam semua cerita, hakikatnya dia berpeluang mencuba pelbagai jenis watak yang mungkin masih ada yang tidak sedar.

Tampil sebagai gengster dalam Gangster Celop, Kamal mengakui sejak mula berlakon drama Apa Celop arahan Idham, dia semakin serasi dengan pengarah berkenaan.

"Kerjasama yang lama terjalin sejak dulu merapatkan hubu­ngan kami sehingga saya merasakan Idham seperti keluarga sendiri. Justeru, ketika hendak melakonkan sesuatu babak tidak susah untuk saya menghayatinya, apatah lagi abang Idham seorang yang mudah menerima pandangan pelakon filem arahannya," kata­nya.

Menurutnya, gandingan bersama Syamsul memberikan keserasian kepada mereka dan pelakon lain, sekali gus memudahkan dirinya untuk menghayati watak gengster.

"Saya tidak mengalami masalah bekerjasama dengan Syamsul. Walaupun dia seorang pengarah, dia tetap profesional dan di lokasi penggambaran, Syamsul fokus dengan wataknya begitu juga dengan pelakon lain masing-masing memberi kerjasama yang baik," katanya.

Jika sebelum ini Kamal membawakan watak Aman, seorang mat rempit menerusi drama Apa Celop, dalam Gangster Celop, dia membawakan watak gengster yang kelihatan hampir sama dengan kedua-dua karakter ini.

Menyedari orang seperti beranggapan dia kerap membawakan watak yang sama, Kamal berkata, mungkin ada sedikit karakter yang hampir sama antara watak Aman Apa Celop dan Aman Gangster Celop seperti kelakar dan selamba.

Bezanya Gangster Celop lebih mencabar kerana selain kerap membawakan aksi bergaduh, dia turut mendapat pengalaman baru menjadi 'baby sitter' untuk seorang perempuan yang meningkat dewasa.

"Nampak mudah tetapi orang tidak merasai pengalaman itu. Bayangkan seorang gengster tiba-tiba kena jadi 'baby sitter' dan sentiasa mengikut apa saja kemahuan 'bayinya'.

"Pada saya ia satu karakter baru yang saya cuba selepas memegang watak serius dalam drama bersiri Putera Rayyan, pastinya ia satu pengalaman menarik bagi seorang pelakon.

"Saya berharap selepas ini akan ditawarkan lebih banyak lagi watak mencabar yang mungkin harus saya lakonkan walaupun di luar kemampuan," katanya.

Gangster Celop filem terbitan Excellent dengan usaha sama Skop bakal menemui penonton pada 21 Februari ini di seluruh pawagam tanah air.

Selain Kamal dan Syamsul, turut membintangi filem ini ialah Hanis Zalikha, Azad Jazmin, Reen Rahim, Usop Wilcha dan Kuswadinata.

Sementara itu, selain sibuk dengan promosi filem Gangster Celop, Kamal bakal sibuk di lokasi penggambaran filem Abang Long Dil bergandi­ngan dengan Zizan Razak arahan Syafiq Yusop tidak lama lagi.

Teringin berlakon filem Afdlin Shauki & Mamat Khalid

Jika dilihat ramai penggiat seni mengakui kehebatan dua pengarah iaitu Afdlin Shauki dan Mamat Khalid dalam menghasilkan sesebuah filem sehingga berjaya mencapai kutipan box-office.

Justeru, tidak hairanlah mana-mana pelakon apabila ditanya siapakah pengarah kegemaran masing-masing akan memilih dua pengarah hebat ini untuk beraksi dalam filem arahan mereka, begitu juga dengan Kamal.

Mengakui filem yang mereka hasilkan telus dan menepati selera penonton, Kamal juga mempunyai keinginan andai suatu hari dapat berlakon di bawah arahan Afdlin ataupun Mamat.

"Walaupun sudah kerap berlakon di bawah arahan abang Idham bukan bererti saya bosan dengan dia, sebaliknya saya berharap mendapat peluang beraksi dalam filem atau drama pengarah lain.

"Bagi saya sebagai seorang pelakon, perlu mencuba untuk bekerja dengan semua pengarah dan dengan ini dapatlah kita menimba serba sedikit ilmu lakonan daripada mereka kerana pastinya setiap pengarah mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

"Saya juga berharap dapat melakonkan satu watak berlainan daripada saya lakonkan sebelum ini, apatah lagi selepas tamat kontrak bersama MIG tahun lalu, kini saya bebas untuk berlakon dengan mana-mana pengarah dan inilah peluang untuk saya lebih banyak menonjolkan bakat dalam pelbagai watak yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Omar pelakon berkarakter

Posted:

Namanya mungkin tidak sehebat Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Nordin Ahmad, Datuk Aziz Sattar atau S Shamsuddin, namun Allahyarham Omar Suwita tetap berada dalam kelas tersendiri.

Watak pembantu terutama watak jahat memang sinonim dengan Omar. Malah, kerap digandingkan dengan seorang lagi aktor 'jahat', Allahyarham Mahmud June.

Allahyarham juga kerap muncul dalam filem P Ram­lee antaranya Pendekar Bujang Lapuk, Sarjan Hassan, Hang Tuah, Penarik Beca, Anakku Sazali dan Semerah Padi.

Dalam filem Pendekar Bujang Lapuk, tentu ramai yang masih ingat Omar yang melakonkan watak salah seorang samseng dan juga orang suruhan kepada tauke sampan (lakonan Ahmad Nesfu) membaling batu mengenai dahi Aziz Sattar dalam babak di rumah Pendekar Mustar (lakonan Mustarjo).


Selain lakonan, Omar juga berbakat sebagai pe­nyanyi dan pernah berduet dengan Allahyarham Datin Rafeah Buang menerusi lagu Suka Sama Suka pada 1950-an.


Begitulah dapat diperkatakan pemergian Omar yang kembali ke rahmatullah di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura pada jam 4.15 petang, Isnin lalu akibat kencing manis. Terdahulu beliau dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 11 pagi hari yang sama selepas muntah.

Allahyarham mening­galkan tujuh anak, dua lelaki dan lima perempuan berusia antara 40 hingga 56 tahun. Selain menderita penyakit kencing manis, Omar juga pernah diserang angin ahmar menyebabkan sebahagian tubuhnya lumpuh.

Pelakon berasal dari Melaka itu disifatkan rakan-rakannya se­orang yang mempunyai karakter tersendiri ia­itu suka berjenaka dan dalam masa yang sama juga pendiam. Mereka juga mengagumi bakat lakonannya dan sering beraksi sebagai pelakon tambahan serta selalu membawa watak jahat dalam filem lakonannya.

Antara dua filem terawalnya ialah Hati Iblis pada 1953 dan diikuti filem Ribut pada 1955. Seterusnya beliau terbabit dengan filem Penarik Beca (1955), Hang Tuah (1956), Anakku Sazali (1956), Semerah Padi (1956), Panca Delima (1956), Mogok (1958), Sarjan Hassan (1958), Pendekar Bujang Lapuk (1959), Raja Bersiong (1963), Gerak Kilat (1966) dan Ibulah syurga (1968).

Pada penghujung usia tuanya, dia dijaga secara bergilir-gilir oleh anak-anaknya yang sentiasa memastikan tahap kebersihan, pemakanan dan rawatannya berada pada tahap yang baik dan terkawal.

Tiga tahun lalu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang ketika itu dipimpin Datuk Mustapha Maarof pernah melawat Omar di kediamannya di Woodlands, Singapura.

Pada kunjungan itu, kegembiraan jelas terserlah pada wajahnya dan dari raut wajahnya dia sangat mengalu-alukan kedata­ngan Seniman. Pada pertemuan itu, Omar tidak pernah melupakan kawan-kawan seperjuangannya dalam dunia perfileman yang dianggap sebagai saudaranya sendiri.

Ketika itu ingatannya bukan saja masih kuat, malah pelakon berketurunan Bawean ini masih menyimpan gambar lamanya bersama rakan-rakan yang pernah berlakon bersamanya.

Selain terharu menonton lakonan kawan-kawannya dalam filem yang ditayang­kan semula di televi­syen, Omar tidak terkecuali berasa terharu dikunjungi rakan-rakannya.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi, Jurong, jam 11 pagi kelmarin. Antara yang hadir majlis pengebumiannya ialah komposer terkenal, Kassim Masdor.

INFO:

Filem yang dibintangi Omar Suwita:

  • Hati Iblis (1953)
  • Ribut pada (1955)
  • Penarik Beca (1955)
  • Hang Tuah (1956)
  • Anakku Sazali (1956)
  • Semerah Padi (1956)
  • Panca Delima (1956)
  • Mogok (1958)
  • Sarjan Hassan (1958)
  • Pendekar Bujang Lapuk (1959)
  • Raja Bersiong (1963)
  • Gerak Kilat (1966)
    l Ibulah syurga (1968) Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved