Jumaat, 15 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pilih kursus bahasa Inggeris

Posted:

Tahun ini tahun ketiga dia bergelar anak seni. Dia terus memacu kariernya dengan cemerlang dan setakat ini semuanya berjalan lancar, membuktikan dirinya bukan penyanyi 'bintang semusim' atau 'one hit wonder' malah terus bertahan.

Dalam kesibukan menyanyi, Najwa Latif, 17, tidak pernah melupakan bidang pengajian dan sanggup menolak segala tawaran hiburan demi memberi fokus kepada agenda terbesarnya iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada penghujung tahun lalu. Dia 'hilang' selama lebih enam bulan dan kini kembali menyanyi.

Walaupun menghilang buat seketika, populariti Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif belum pudar meskipun pembabitan awalnya mendapat pelbagai reaksi dan tidak kurang meramalkan popularitinya hanya sementara.

Tidak mengambil pusing sebaliknya terus-menerus memerah otak mencari idea apa lagu seterusnya untuk disajikan buat peminat, Najwa kini kembali menyerikan dunia hiburan selepas tamat SPM.


Apapun, semestinya sekarang ini perancangan pada masa depan menjadi persoalan buat penyanyi yang masih terlalu muda ini. Kekal dengan pendirian mahu pelajaran diutamakan, Najwa sudah memutuskan akan menyambung pengajian nanti.


Ditanya sekiranya penyanyi Kosong itu akan memilih jurusan muzik juga nanti, dia lantas menggeleng malah mendakwa dia kadangkala mulai bosan dengan muzik. Apakah benar apa yang dirasainya itu?

"Muzik memang sudah sebati dalam diri saya namun tidak dinafikan kalau setiap hari asyik menyanyi dan bermain muzik, tentu kadangkala saya menjadi bosan.

"Kebanyakan masa saya dihabiskan dengan aktiviti hiburan dan pada usia semuda ini, saya juga tidak mahu lepaskan peluang meneroka benda baru pula," katanya.

Bukan bermaksud mahu meninggalkan bidang nyanyian, cuma Najwa berkata, dia mahu 'lari' sejenak daripada radar dunia seni dengan mendalami ilmu bahasa Inggeris yang diminatinya sejak kecil lagi.

"Saya bercadang untuk mengambil jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) kerana daripada sekolah rendah sukakan subjek ini.

"Bagaimanapun, saya belum memutuskan untuk menyambung pengajian di kolej mana dan sudah mempunyai beberapa pilihan yang pastinya dalam negara. Hanya selepas mendapat keputusan SPM nanti, barulah saya tentukan," katanya.

Apa yang jelas, fokus utamanya kini adalah karier nyanyian selepas berbulan-bulan lamanya merehatkan diri sebelum sambung belajar semula nanti.
Selepas mempertaruhkan lagu Kosong dan Adamu yang turut mendapat pencalonan dalam Muzik Muzik 28, menyusul kini single terbaru, Sahabat.

Kalau diikutkan, lagu Sahabat bukanlah baru sangat dan sudahpun mula berkumandang di corong radio tidak lama dulu. Sekali lagi dia berkolaborasi dengan SleeQ serta menonjolkan seorang lagi bintang YouTube, Syam Kamarul.

Ini bermakna lagu berkenaan adalah hasil kolaborasi kedua Najwa dengan SleeQ selepas Untuk Dia yang berjaya meraih populariti mendadak. Ditanya kenapa asyik bekerjasama dengan kumpulan rap kelahiran Singapura berkenaan, Najwa berkata, semuanya hanya kebetulan.

"Sebenarnya lagu Sahabat yang memperkenalkan saya dengan SleeQ dan awalnya mahu berkolaborasi lagu ini saja. Namun kebetulan SleeQ juga ada hasilkan lagu baru iaitu Untuk Dia dan secara spontan mengajak saya untuk berkolaborasi.

"Sebelum Sahabat muncul sekarang, lagu Untuk Dia nampak terlebih dulu masuk ke dalam carta muzik dan menarik peminat," katanya.

Tidak menolak akan bekerjasama pula dengan beberapa artis lain selepas ini, Najwa dan kakaknya, Syafika dalam proses mengumpul bahan untuk dimuatkan dalam album kedua nanti.

Ia lebih matang dan ada elemen percintaan namun paling penting masih 'catchy' seperti karya sebelumnya. Najwa juga bakal melancarkan single seterusnya berjudul I Love You.

Meriahkan Dataran Merdeka malam esok

Baru hendak bermula semula selepas lega menamatkan SPM awal tahun ini, Najwa tidak ketinggalan dihambat kontroversi yang membabitkan hal peribadi keluarga.

Pada usia semuda itu, pasti bukan mudah buat remaja sepertinya, apatah lagi kisah itu ditatap umum. Namun mengenali Najwa, remaja ini sememangnya seorang yang tenang dan ternyata itulah juga senjata digunakan menghadapi kontroversi itu.

"Saya bersyukur dikelilingi ahli keluarga yang sentiasa menyokong, memahami dan memberikan kekuatan kepada diri saya. Tidak mahu pening kepala, saya anggap kejadian itu dugaan yang cuba menguji saya.

"Saya percaya pada rezeki untuk terus bertahan dalam bidang ini dan menerima dugaan itu dengan positif," katanya yang sebolehnya mahu menutup kisah lama itu.

Sementara itu, Najwa terharu kerana diundang menjayakan Konsert Ekspresi Harian Metro 2013 yang bakal berlangsung malam esok, Sabtu, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam. Dia tidak ketinggalan untuk memeriahkan pentas dan bakal mendendangkan lagu Untuk Dia bersama SleeQ serta Kosong.

Turut menggegarkan konsert itu, artis popular seperti Black & RJ, Azlan & The Typewriter, Zivilia Band, Ella, Caroline Mentor, Alyah, Soo Wincci dan Ramli Sarip. Dihoskan dua pelawak handalan, Nabil dan Along Raja Lawak, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Dataran Merdeka, seawal jam 10 pagi esok.

Konsert itu dianjurkan bagi meraikan wajah baru Harian Metro/Metro Ahad dan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

'Kami cuma berkawan baik'

Posted:

Ketika kontroversi menimpa pelakon dan pengarah berbakat besar, Farid Kamil Zahari kian reda, timbul pula gosip percintaan membabitkan adiknya, Fadzil Zahari yang baru menceburi industri seni tanah air dengan pelakon Yana Samsudin.

Namun, Yana baru-baru ini menafikan gosip berkenaan. Malah, Fadzil ketika ditemui pada majlis sempena Tahun Baru Cina anjuran Metrowealth Pictures Sdn Bhd (MIG) di Petaling Jaya, baru-baru ini turut menafikannya dan mengakui dia dan Yana hanya bersahabat.

Menurut Fadzil, sebagai orang baru dalam industri hiburan, dia lebih selesa berbicara soal karier berbanding menjawab gosip yang tidak benar seperti kisah cinta itu.

Namun, jejaka berusia 29 tahun ini sedar gosip adalah lumrah hidup seorang artis membuatkan dia akur memberi penjelasan.

Foto

Dua beradik yang sama-sama bebakat, Fadzil (kiri) dan Farid Kamil


"Sekalipun perkara ini hanya gosip dan bukan fakta, saya tetap kena memberikan jawapan. Jadi, jawapan saya mengenai gosip cinta dengan Yana itu adalah tidak betul dan kami cuma berkawan baik. Bahkan, Yana juga sudah menafikannya dan saya berharap tidak perlu lagi berhadapan gosip seperti ini.


"Apapun, saya akui cukup kagum de–ngan Yana sejak mengenalinya pada 2008. Ini kerana, saya pernah melihat dia bekerja selama 33 jam tanpa henti hanya demi memastikan hasil kerja seninya berkualiti. Dari situ, sebenarnya saya berasa cukup tercabar sebagai lelaki apabila melihat cara kerja seorang wanita," katanya.

Fadzil berkata, sikap komited Yana pada karier dan minatnya terhadap seni membuatkan dia begitu menghormati–nya. Baginya, bukan mudah untuk meraih kejayaan dan apa yang dilakukan Yana itu harus dicontohi.

Fadzil yang turut berlakon drama Rawan dan Bini-Biniku Perkasa turut berpeluang beraksi di layar perak menerusi filem Bro, Nampak Motor Gua selain meneruskan karier dalam penulisan skrip.

Setakat ini, antara skrip filem yang sudah dihasilkan Fadzil terbitan MIG ialah Kongsi, Bini-Biniku Gangster, Taikun, Pe3 dan Bodyguard Dari Kedah.

Kata jejaka yang memiliki diploma dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya ini lagi, buat masa sekarang dia juga selesa memberi tumpuan pada karier dalam bidang seni. Apatah lagi, dia enggan kehadirannya dalam industri seni terus dibayangi populariti abangnya, Farid.

Sementara itu, Farid ketika ditemui berkata, dia tiada masalah dengan gosip cinta membabitkan adiknya itu kerana sudah lali dengan perkara itu.

Katanya, dia juga pernah menerang–kan kepada Fadzil bahawa gosip adalah lumrah hidup seorang artis dan dia (Fadzil) perlu harus sentiasa bersedia. Mahu atau tidak, Fadzil kena terima.

"Apapun, sebagai abang sebenarnya saya cukup menyokong karier seni Fadzil. Apatah lagi, pembabitan Fadzil dalam industri pun disebabkan keyakinan saya pada kemampuannya menulis skrip yang bagus gara-gara pernah terbaca satu nota ditulis Fadzil yang berjaya membuatkan saya menitiskan air mata.

"Namun, Fadzil memang sudah membuktikan bakat penulisannya kepada saya apabila skrip filem Kongsi dihasilkannya berjaya mencatat kutipan pecah panggung melebihi RM7 juta dan ditambah dengan tayangan di Astro First pula menjadikan jumlah kutipan keseluruhan dicatat filem ini sebanyak RM15 juta," katanya.

Bersikap terbuka berbicara mengenai gosip percintaan adiknya, Farid berkata, dia juga tiada masalah untuk merestui percintaan yang berputik antara Fadzil dan Yana.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved