Sabtu, 23 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kerjasama dengan produksi kakak

Posted:

Lama tidak muncul di kaca TV, pelakon handalan, Shaheizy Sam akan kembali dengan kisah 'cinta terbarunya' yang hebat. Bukan lagi dengan Yana Samsudin seperti mana yang kita saksikan dalam filem, cinta Sam kali ini dicurahkan kepada pelakon cantik Nur Fazura.

Kisah asmara menarik itu akan tergambar dalam drama bersiri Kisah Cinta terbitan BZ2121 yang bakal mengisi slot Lestary di TV3 tidak lama lagi.

Apa yang menarik, buat pertama kali itu juga Sam bertindak selaku produser dan bekerjasama dengan syarikat produksi kakaknya, Zizie Ezette.

Kali terakhir Sam beraksi dalam drama di kaca TV adalah menerusi drama bersiri Asmaradana bersama Tiz Zaqyah.


"Ia memang satu kerja yang mencabar namun dari sudut lain, kerjasama saya dengan syarikat kakak memudahkan tanggungjawab saya sebagai produser dan pelakon.


"Lama tidak berlakon drama TV membuatkan saya terlintas untuk berlakon drama terbitan sendiri kerana mahu mencari pengalaman baru dalam bidang seni. Lebih penting, skrip drama ini begitu menarik untuk dipersembahkan kepada penonton.

"Saya sendiri belum pernah bergandingan dengan Fazura dan berasa teruja dengan produksi ini. Saya harap lakonan kami akan disukai penonton," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Kisah Cinta di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sam berkata sudah sampai masanya dia muncul semula dalam drama selepas beberapa tahun lalu sibuk berlakon filem cereka.

"Tidak dinafikan sebelum ini saya lebih banyak berlakon filem sehingga tidak ada masa menerima tawaran berlakon drama TV.

Saya lebih suka fokus dan memberikan komitmen kepada satu-satu perkara dalam satu masa. Kebetulan saya mendapat cerita yang sesuai dan sekarang saya mahu kembali semula ke drama.

"Berlakon drama apatah lagi menerbitkannya ada banyak cabarannya. Selain mengambil masa yang lama kita juga akan berdepan dengan banyak perkara baru setiap hari," katanya.

Sembilan bulan bercuti tanpa sebarang tawaran berlakon filem yang disukainya turut memberi peluang kepada Sam merencanakan karier beliau seterusnya.

"Selama ini saya hanya kerja dan kerja dengan bertungkus lumus, siang dan malam. Saya terharu kerana ia juga memberikan rezeki untuk saya mendapat trofi Bintang Paling Popular pada 2010.

"Bukan populariti yang saya kejar selama ini, sebaliknya kepuasan berlakon. Justeru apabila sampai pada satu tahap seperti sekarang, saya terasa ingin berehat dan tempoh sembilan bulan lalu saya gunakan dengan sebaiknya untuk bercuti di merata tempat di seluruh Malaysia bersama ibu dan kawan-kawan.

"Saya sebenarnya ada perancangan seterusnya.

Apabila sudah sudah terbabit dalam penerbitan mungkin satu hari nanti kalau sudah bersedia, saya mahu jadi pengarah pula," katanya.

Kembali bersama MOB

Mungkin ada yang terlupa bahawa suatu ketika dulu, Sam pernah muncul bersama sebuah kumpulan penyanyi bergelar MOB yang membawa genre hip hop.

Namun rezeki Sam nampaknya lebih cerah dalam bidang lakonan walhal hakikatnya, minat nyanyian begitu mendalam dalam dirinya dan tidak pernah pudar.

Justeru, bagi melepaskan rindu kepada nyanyian dan untuk beraksi bersama teman-teman lama dalam MOB, Sam bakal mengadakan satu 'reunion' dengan melancarkan EP tiga lagu tidak lama lagi. Menariknya kesemua lagu dihasilkan Sam sendiri.

"Sudah tiba masanya untuk saya memenuhi satu lagi impian saya iaitu menjadi penyanyi.

Walaupun sebelum ini pernah menyanyi dan berduet dengan Yana Samsudin, ramai lagi yang terlupa kehadiran saya bersama MOB suatu masa dulu.

Kami semakin jauh daripada bidang nyanyian kerana masing-masing sibuk dengan komitmen lain.

"Pastinya saya rindu sekali untuk menyanyi dan diharap kemunculan kami bersama EP ini akan dapat mengubat rindu kami dan juga peminat yang pernah mengenali MOB.

"Lagipun lagu-lagu yang bakal diperdengarkan nanti sudah lama saya cipta dan simpan. Saya akan tetap mengekalkan genre muzik hip hop seperti mana pada awal kemunculan kami dulu. Walaupun saya sedar muzik sekarang sudah jauh berubah, hip hop masih ada ramai penggemarnya," katanya.

Ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan dia bakal berkahwin dan sudah pun membeli barang persiapan Sam terus ketawa besar.

"Saya tunggu juga mereka yang mengada-adakan cerita itu untuk datang bertanyakan kepada saya sendiri.

Bagi saya, perkara seperti ini tidak boleh kita buat main-main. Jujur saya katakan memang terdetik dalam hati untuk berkahwin sehinggakan pernah satu hari saya menyatakan hasrat itu kepada Mummy (ibunya).

"Namun Mummy hanya tersenyum dan berkata dia tidak pernah memaksa bagi saya untuk berkahwin dengan segera.

Katanya biarlah saya mencari rezeki dulu dan membina nama yang kukuh dan kalau sudah sampai masa yang sesuai, saya tentu boleh berkahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Pencarian pelawak bermula

Posted:

Kejayaan melahirkan pelawak bertaraf bintang seperti Johan, Zizan dan Nabil membuktikan pelawak bukan lagi di kelas bawahan.

Selepas kejayaan demi kejayaan dicapai bermula dari Raja Lawak musim pertama hingga enam, ia berjaya mengangkat pelawak muda seperti Yus Jambu, Tauke Jambu, Sepah dan Shiro yang berjaya menambat hati peminat.

Kini, Raja Lawak musim ketujuh kembali dalam mencari pelapis baru dunia lawak tempatan.

Bermula dengan lokasi uji bakat pertama di Butterworth, baru-baru ini, sambutan yang diterima cukup menggalakkan apabila lebih 200 peserta dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak hadir mencuba nasib.


Uji bakat selama dua hari itu memerlukan peserta mengikut tema seperti Tiru Watak Filem, Kisah Cinta, Tabiat Rakyat Malaysia, Kalau Aku dan Kisah Seram yang menampilkan pelawak, Farouk Hussein dan Ropie Raja Lawak sebagai juri.


Peserta, Rashidah Abdullah, 26, dari Bukit Mertajam berkata, dia ingin membuktikan bahawa dia mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang lawak dan penampilan bersahaja mampu menarik perhatian juri sekiranya terpilih.

"Saya meletakkan sedikit harapan untuk berjaya dan apa yang lebih penting bakat ini boleh diketengahkan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Saluran Astro Warna Nizam Sani berkata, setiap peserta perlu berlawak secara spontan selama tiga minit dan mereka dinilai dalam beberapa kriteria termasuk kelucuan dalam jenaka, keaslian persembahan dan kreativiti.

Beliau berkata, pada tahun ini agak berbeza berbanding musim apabila peserta dikenakan syarat perlu mengikut tema dalam setiap persembahan yang dipilih.
Nizam berkata, setiap peserta dilarang menyentuh mana-mana sensitiviti termasuk lawak berunsur lucah, perkauman dan agama.

"Pemilihan peserta Raja Lawak yang dibuat tidak semestinya banyak dan mana-mana yang dilihat mempunyai potensi pasti terpilih sekali gus diserap masuk untuk pemilihan di Boot Camp," katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai berkata, pihaknya ingin mencari pelapis baru dan tidak mustahil apa yang dicari ada di Pulau Pinang dan mampu diangkat menjadi juara dalam program yang akan disiarkan mulai 12 April depan di saluran Astro Warna 132 dan juga siaran serentak di saluran Mustika HD 134.

Uji bakat Raja Lawak musim ketujuh diadakan di Berjaya Megamall, Kuantan esok dan lusa, 1Borneo, Kota Kinabalu(2 & 3 Mac), Plaza Angsana, Johor Bahru (9 & 10 Mac) dan SACC Mall, Shah Alam pada 16 dan 17 Mac.

Maklumat lanjut boleh melayari laman web www.rajalawak.com.my atau Facebook di www.facebook.com/RajaLawakMusim7 atau di Twitter www.twitter.com/RajaLawakAstro

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved