Isnin, 25 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Romantik saya kasar'

Posted:

Sebelum ini namanya sekadar berlegar di mulut pencinta drama dan jika ditanya drama lakonannya, pasti ada yang menggaru kepala. Dibandingkan dengan pelakon baru lain, dia tidaklah dikenali sangat pun.

Namun Amar Asyraf, 27, sedikit pun tidak terkesan dan terus mencurahkan bakat dalam lapangan impiannya iaitu berlakon. Dalam tempoh tiga tahun, usahanya tidak pernah berkurang malah semakin berkobar di set penggambaran.

Akhirnya, nasib Amar berubah sekelip mata apabila lakonannya sebagai Zain Hakimi dalam drama Setia Hujung Nyawa mencetus fenomena. Namanya terus jadi sebutan dan terkesan daripada lakonan cemerlangnya itu, lantas membuka mata peminat terhadapnya.

Jika sebelum ini dia boleh menjamu selera di kedai makan dengan 'aman' namun kini tidak lagi gara-gara dilimpahi populariti tempias daripada drama berkenaan.


Pernah membintangi drama Nilapura dan Dalam Hati Ada Taman, Setia Hujung Nyawa benar-benar menjadi drama keramat apalagi impaknya masih boleh dirasakan sehingga kini meskipun sudah tamat siaran.


Mendengar sendiri pengalaman 'baru' itu, Amar jelas terkejut dengan penerimaan hebat demikian dan masih menyesuaikan diri berhadapan populariti yang menerpanya.

"Saya masih rasa seperti bermimpi kerana selama kira-kira tiga tahun menjadi pelakon, tidak pernah meraih perhatian sebegini. Kalau sebelum ini, apabila saya keluar ke mana-mana tidak ramai pun kenal.

"Namun sekarang ini, ada saja peminat yang akan menegur dan mengambil gambar apabila terserempak dengan saya. Pelbagai reaksi juga saya dapat di laman sosial termasuklah Twitter kesan daripada siri berkenaan," katanya terharu.

Kemanjaan serta sifat romantiknya dalam siri berkenaan pastinya paling dirindui peminat apatah lagi dia sangat bersatu de­ngan heroin, Nelydia Senrose menghidupkan kisah percintaan itu.

Mengenali sifat Amar yang cukup sopan, kelakar dan senang didekati, dia bagaimanapun mengakui cabaran terbesar sebenar­nya adalah menonjolkan karakter romantik itu sendiri.

"Mungkin ramai yang ingat saya seperti melakonkan karakter sebenar saya di luar namun bukan senang untuk menjadi romantik. Kadang-kadang, agak lama juga saya hendak dapat 'feel' menjadi romantik sebegitu dan memang kelakar.

"Saya akui dalam kehidupan sebenar pun saya memang ada sifat itu juga. Cuma, cara saya lebih kepada romantik yang kasar," kata anak jati Melaka itu.

Bukan pada penerimaan peminat saja, Amar ternyata kini menjadi buruan ramai produser impak daripada drama yang mendapat 'rating' sebanyak empat juta penonton pada episod penamatnya.

Kejayaan itu sekali gus menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus berjuang dan bersyukur tawaran demi tawaran hadir ketika ini.

"Tidak mahu riak namun saya gembira kerana jadual padat penggambaran padat sehingga Jun nanti. Ter­nyata drama ini benar-benar buka mata ramai pihak dan tidak ketinggalan, lebih peluang.

"Permulaan tahun 2013 sangat manis buat saya dan dengan peluang terkang­kang luas itu, saya juga mahu 'all-out' tahun ini," katanya yang bakal tampil dalam slot Azalea TV3 menerusi siri Sujud Di Bawah Langit pula selepas ini.

Teater masih di hati

Berada di kemuncak kerjayanya sekarang, graduan Diploma Seni Pengarahan dan Lakonan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu juga memutuskan untuk mula memilih skrip mulai sekarang.

Baginya, kualiti produk dan mutu lakonan itulah yang perlu dijaganya sekarang memandangkan peminat semestinya mengharapkan lebih selepas ini.

"Kini saya sedang meniti kemuncak kerjaya saya di mana orang sudah mengenali dan tahu produk saya. Semestinya mereka akan ternanti-nanti apa lagi yang mampu saya lakukan selepas ini.

"Disebabkan itulah saya rasa tiba masanya untuk lebih berhati-hati menerima tawaran dan perlu mempertimbangkan banyak perkara. Saya mahu pastikan persembahan saya semakin bagus dan bagus selepas ini," katanya.

Cekal memperjuangkan industri teater, Amar juga tidak akan menjadikan alasan sibuk di lokasi penggambaran untuk menyisihkan aktiviti berkenaan. Juga bukan nama asing di pentas itu, kecintaannya terhadap teater juga tidak pernah berubah.

"Sejak di Aswara lagi saya sudah bermula dengan teater dan cukup melekat di hati saya. Meskipun nanti saya lebih sibuk di lapangan komersial namun tidak sekali saya akan ting­galkan teater," katanya.

Pernah menghasilkan teater Rugabadi, dia juga bakal tampil dalam naskhah berjudul Lelaki Dari Gua yang akan diadakan bermula 28 Februari sehingga 3 Mac nanti bertempat di Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Insan bermotivasi, kreatif

Posted:

Biarpun jasad penghibur tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sudah 21 tahun bersemadi, namun jasa ditinggalkan dalam karier sebagai anak seni serta kenangan indah ketika hayatnya, masih dikenang hingga kini.

Sama ada dalam kala­ngan keluarga, kenalan rapat peminat setia dan wakil media yang berkesempatan bekerjasama dengannya, Sudirman disifatkan sebagai seorang artis merendah diri. Keperibadiannya cukup disenangi dan begitu menghormati orang lain.

Anak saudara kesaya­ngannya, Razman Azrai Zainudin atau Atai, 39, berkata, apa yang dilakukan Sudirman dalam bidang seni kerana minat mendalam dan tidak pernah terfikir hanya mahu mengejar nama dan popular.

"Saya melihat apa yang dilakukan Cok Man (panggilan mesra Sudirman dalam keluarga) dalam karier seninya atas dasar minat dan ikhlas pada kerja. Justeru, di setiap persembahannya, arwah cukup teliti pada persiapan dibuatnya sendiri dalam pelbagai sudut.


"Arwah tidak hanya memilih lagu yang sesuai untuk dinyanyikan tetapi turut memastikan perjalanan rancangan berjalan lancar seperti dimahukannya. Pada saya, arwah seorang yang bermotivasi, kreatif dan setiap apa dilakukannya demi kepuasan peminat. Arwah sentiasa mahu peminatnya terhibur," katanya.


Atai yang memulakan langkahnya dalam bidang seni pada usia 12 tahun kerana sering mengikuti persembahan Sudirman berkata, bapa saudaranya itu mendidiknya menjadi lebih berani demi merealisasikan segala impian menjadi realiti.

"Terlalu banyak kena­ngan saya bersama arwah dan apa yang boleh dikatakan ia pengalaman positif dan amat bermakna. Arwah berjaya mendidik saya menjadi berani dan ikhlas pada apa yang dilakukan untuk memperoleh kejayaan. Pokok pangkalnya gigih berusaha.

"Walaupun kadang-kadang arahannya itu memberi tekanan, namun saya anggap ia cabaran dan enggan melihat arwah kecewa. Jadi, saya berusaha sebaik mungkin dan walau sesukar mana sekali pun, saya tetap lakukannya hingga berjaya," katanya ketika ditemui di majlis tahlil Sudirman di Restoran Puteri, Sungai Pencala, Jumaat lalu.

Atai yang tidak menafikan Sudirman lebih disanjung ramai selepas meninggal dunia berkata, dia lebih selesa jika segala usaha pernah dilakukan Sudirman itu dipandang positif.

Katanya, bukanlah untuk disanjung tinggi, tetapi cukup sekadar menjadikan usaha Sudirman sepanjang kariernya itu sebagai pencetus inspirasi. Pelajari kegigihannya itu untuk dijadikan pemangkin semangat bagaimana ingin berjaya.

Bagi penulis lirik terkenal yang juga rakan karib Sudirman, Habsah Hassan berkata, majlis tahlil itu selain bertujuan untuk memanjatkan doa ke hadrat Ilahi sempena mengenang tarikh Sudirman meninggal dunia pada 22 Februari 1992, ia juga secara tidak langsung dapat memberi ruang kepada anggota keluarga, kenalan rapat, peminat setia dan wakil media yang pernah bekerjasama dengan Sudirman berkumpul bersama.

"Apa yang boleh saya katakan, selain mengenang pemergian arwah, ia juga memberi peluang buat kami semua yang mengenalinya terus mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Atas sebab itu, saya tidak mengundang ramai orang dan cukuplah sekadar ia dihadiri individu yang pernah kenal dan bekerja bersama arwah.

"Saya mengundang wakil media untuk turut sama menyertai majlis ini pun bukanlah untuk mendapatkan publisiti, tetapi bagi me­ngeratkan silaturahim semata-mata.

Turut hadir di majlis itu ialah kakak Sudirman, Datin Rodziah Arshad, rakan artis seperti Aida Khalida, Zakiah Anas dan lebih 50 orang tetamu terdiri daripada keluarga Allahyarham, kenalan rapat, peminat setia Sudirman dan wakil media.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved