Selasa, 26 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Argo, Life of Pi menyerlah

Posted:

Watak Fantine yang dilakonkan menerusi Les Miserables nyata membawa tuah kepada aktres jelita, Anne Hathaway, 30, apabila sekali lagi diumumkan sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Academy Awards (Oscar) ke-85, yang berlangsung di Hollywood Dolby Theatre, Los Angeles, semalam.

Dua anugerah kategori sama pernah dimenanginya tatkala berlangsungnya Anugerah Screen Actors Guild (SAG) 2013 dan Golden Globe, baru-baru ini.

"Saya cuma berharap suatu hari nanti atau pada masa akan datang, paparan kehidupan Fantine hanya akan ditemui dalam cerita dan tidak berlaku dalam mana-mana kehidupan sebenar," katanya.

Kemenangan itu membuktikan persembahan lakonan Anne sebagai ibu tunggal yang terpaksa melacur demi kelangsungan hidup anak kecilnya menerusi naskhah novel epik tulisan Victor Hugo itu terlalu handal. Babak dia menyanyikan lagu I Dreamed a Dream turut dianggap sebagai babak paling menyentuh perasaan dalam filem Les Miserables.

Foto

MICHELLE OBAMA diberi penghormatan mengumumkan pemenang Filem Terbaik secara lintas langsung dari Rumah Putih.

Foto

EMPAT terbaik: Daniel Day-Lewis, Jennifer Lawrence, Anne Hathaway dan Christoph Waltz bersama trofi masing-masing.

Foto

KARYAWAN filem Argo, Grant Heslov, Ben Affleck dan George Clooney meraikan detik kejayaan mereka.

Foto

Lawrence hampir tersembam di tangga pentas ketika hendak mengambil trofinya.


Anne dilihat sukar digugat mana-mana aktres hebat yang turut bersaing dengannya dalam pelbagai anugerah mengiktiraf penggiat seni yang dianjurkan sepanjang tahun ini.


Di malam Oscar penuh berprestij itu, Anne me­ngetepikan calon lain seperti Sally Field yang melakonkan watak Mary Todd Lincoln dalam Lincoln, Helen Hunt (The Sessions), Amy Adams (The Master) dan Jacki Weaver (Silver Linings Playbook).

Mencipta kejayaan sama seperti Anne, semestinya aktor Daniel Day-Lewis, 56, yang diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik di mana anugerah sama pernah memenanginya di SAG 2013 dan Golden Globe.

Kali ketiga memenangi anugerah di Oscar, kali ini penilaian Day-Lewis selaku Aktor Terbaik diadili berdasarkan penampilannya dalam filem Lincoln yang memotretkan kehidupan Presiden Amerika Syarikat ke-16 Amerika, Abraham Lincoln.

Day-Lewis mengenepikan pencabarnya, Bradley Cooper yang beraksi cemerlang menerusi filem Silver Linings Playbook, Hugh Jackman (Les Miserables), Joaquin Phoenix (The Master) dan Denzel Washington (Flight).

Kategori Pelakon Wanita Terbaik pula di dominasi pelakon baru, Jennifer Lawrence menerusi filem Silver Linings Playbook yang mengenepikan pencabarnya Jessica Chastain (Zero Dark Thirty), Emmanuelle Riva (Amour), Quvenzhane Wallis (Beasts of the Southern Wild) dan Naomi Watts (The Impossible).

Memegang watak seorang janda muda, Tiffany Maxwell yang penuh bersemangat, melalui watak yang sama Lawrence sekali lagi mengulangi kejayaannya di Anugerah SAG 2013 dan Golden Globe, sebagai Aktres Terbaik.

Apa yang melucukan, saat menuju ke pentas untuk mengambil anugerah itu, Jennifer tersandung ketika menaiki anak tangga sekali gus mengingatkan pada insiden yang berlaku Golden Globe, di mana bahagian bawah kainnya hampir terlucut sewaktu berjalan untuk mengambil anugerah.

Pelakon berusia 22 tahun yang menggayakan gaun daripada Dior Haute Couture terjatuh di hadapan penonton ketika siaran langsung anugerah itu. Apa yang menarik, aktor Hugh Juckman dilihat orang pertama yang bergegas untuk memberi bantuan kepadanya sebelum semua penonton memberikan tepukan gemuruh.

Manakala Christoph Waltz, memenangi Oscar keduanya untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam tempoh empat tahun di bawah arahan Quentin Tarantino, bagaimanapun kali ini sebagai pemburu orang buruan Jerman dalam kisah dendam seorang hamba, Django Unchained.

Kejayaan Waltz itu turut mencipta satu lagi pencapaian hebat apabila berjaya mengenepikan pelakon veteran Hollywood seperti Robert De Niro dan Tommy Lee Jones yang turut dicalonkan menerusi kategori sama, sedangkan bintang Django Unchained yang lain seperti Jamie Foxx dan Leonardo DiCaprio langsung tidak tercalon.

Dikendalikan Seth MacFarlane, anugerah yang saban tahun diadakan bagi mengiktiraf penggiat-penggiat industri perfileman Hollywood itu menyaksikan kejayaan filem Argo diiktiraf sebagai Filem Terbaik untuk tahun ini.

Ben Affleck selaku pengarah filem itu, membuat ucapan yang sungguh memberangsangkan kepada pencabar-pencabar yang lain dengan menyifatkan semua filem yang dipertandingkan adalah hebat dan layak untuk menang.

"Terdapat lapan filem hebat yang dipertandingkan hari ini dan setiap satunya mempunyai hak untuk berada di pentas seperti yang dilakukan kami," katanya.

Pengumuman kemenangan filem itu cukup bermakna apabila isteri kepada Presiden Amerika, Barrack Obama iaitu Michelle Obama membuat lintas langsung dari Rumah Putih menyertai Jack Nicholson untuk menyempurnakan acara penyerahan trofi kepada Ben Affleck.

Anugerah ini juga menyaksikan dominasi filem Life of Pi menerusi kategori Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Visual Terbaik.

Ang Lee selaku pengarah filem berkenaan sebelum ini pernah mengungguli kategori sama menerusi karya arahannya, Brokeback Mountain pada Oscar 2006. Kategori lain yang turut dimenanginya ketika itu Skor Muzik Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik.

Antara pemenang lain termasuklah filem animasi Brave yang dinobat Filem Animasi Terbaik dan Django Unchained yang diangkat sebagai Lakon Layar Asal Terbaik. Filem terbitan produksi Austria iaitu Amour memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Menyerikan lagi anugerah berprestij itu, tentunya persembahan dari barisan artis terkenal seperti Adele yang menyampaikan lagu Skyfall, Barbra Streisand (The Way We Were) dan Jennifer Hudson (An I Am Telling You dari filem Dreamgirls).

Bintang-bintang Les Miserables, turut mendendangkan lagu yang dipetik dari filem muzikal itu seperti Suddenly, One Day More dan I Dreamed A Dream.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Kilauan Emas kembali lagi

Posted:

Berikutan sambutan hangat peserta dan penonton, rancangan realiti popular yang mengiktiraf bakat penyanyi berusia 40 tahun ke atas, Kilauan Emas kembali lagi buat musim ketiga.

Mengangkat pertandingan ini ke tahap lebih hebat, pencarian kali ini bukan saja menawarkan hadiah lebih lumayan, malah kelainan daripada peserta turut menjadi antara kriteria utama.

Paling menarik, tahun ini penganjur mewujudkan satu anugerah istimewa iaitu Anugerah Khas Polident bagi mengiktiraf pemakai gigi palsu yang berjaya ke peringkat akhir selain mengekalkan peraturan sama iaitu hanya peserta berumur 40 tahun ke atas layak bertanding.

Anugerah Khas Polident menawarkan hadiah bernilai RM10,000 manakala juara menerima wang tunai RM50,000, naib juara RM30,000 dan tempat ketiga bakal menerima RM15,000.


Mendapat tajaan Polident buat kali ketiga berturut-turut, stesen Sinar FM bakal menjadi radio rasmi dan disokong THR Gegar.


Tidak dinafikan, dua musim terdahulu sambutan peserta daripada setiap lokasi uji bakat sangat luar biasa dan ramai penyanyi bagus dicungkil ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, kali ini pastinya laluan buat peserta untuk 'lolos' uji bakat bukan semudah disangka apatah lagi dua nama handal iaitu komposer, Adnan Abu Hassan dan guru vokal, Siti Hajar akan bertindak memilih yang terbaik.

Pertama kali menyertai program musim terbaru ini, Siti Hajar mengharapkan peserta membuat persiapan rapi.

"Berdasarkan pengalaman saya, walaupun ramai peserta mempunyai bakat yang bagus, namun ramai terikut-ikut dengan penyanyi sedia ada. Kami mencari penyanyi yang memiliki identiti sendiri dan bukannya klon.

"Dengan nilai hadiah yang ditawarkan, semestinya kami harapkan mutu peserta kali ini akan lebih bagus," katanya pada sidang media program berkenaan baru-baru ini.

Sudah bersama program itu sejak musim pertama, mengambil pengalaman sebelum ini, Adnan pula menasihatkan peserta supaya mempersiapkan diri dengan beberapa lagu kerana kesilapan teknikal pasti akan berlaku.

"Sewaktu uji bakat, peserta harus menyanyikan lagu wajib yang ditetapkan dan beberapa kali terjadi di mana 'key' suara mereka tidak bertepatan dengan 'minus one' disediakan.

"Sebagai persediaan peserta perlu membawa bersama 'minus one' mereka sendiri, selain berlatih lagu lain untuk penilaian kami nanti," katanya yang turut bertindak sebagai guru vokal kelak.

Mengimbau dua musim terdahulu, peserta lelaki dilihat mendominasi program ini iaitu Ali Norpiah Mohd Johar, 48, dinobat sebagai juara musim pertama manakala Ahmad Fuad Zaharullai, 46, sebagai juara musim kedua.

Pengacara, pelakon dan penyampai radio, Raja Azura masih dikekalkan sebagai hos untuk konsert mingguan manakala penyampai radio Sinar FM, Feeya Iskandar pula menggalas tanggungjawab mengacarakan Zon Kilauan Emas, Belakang Pentas Konsert Kilauan Emas serta Karpet Prima Kilauan Emas.

Disiarkan menerusi saluran Astro Prima (Astro 105), uji bakat bermula pada Sabtu dan Ahad lalu di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu bagi zon Sabah. Menyusul adalah bagi zon Sarawak pada Sabtu dan Ahad ini di Hills Shopping Mall, Kuching dan 9 hingga 10 Mac di Megamall Pinang, Seberang Perai, Pulau Pinang (zon Utara).

Bagi zon Selatan pula akan diadakan pada 16 hingga 17 Mac di The ZON, Johor Bahru, Johor, 23 hingga 24 Mac di Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang (zon Timur) dan 30 Mac hingga 1 April di Shah Alam City Centre (SACC), Shah Alam, Selangor (zon Sentral).

Mereka yang berminat mestilah warga negara Malaysia dan Singapura yang berumur 40 tahun pada hari uji bakat dan perlu membawa dua keping salinan kad pengenalan atau pasport antarabangsa (untuk calon dari Singapura) serta gambar berukuran 3R (gambar profil dan paras pinggang).

Sebarang butiran lanjut sila layari laman web www.kilauanemas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved