Khamis, 28 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Peminat sangka Rimba Bara wujud

Posted:

Kutipan filem Rock yang pertama dulu mungkin tidak begitu besar dari segi keuntungannya apabila meraih RM1.5 juta, namun apabila bercerita soal 'impak' yang dialami barisan pelakonnya, ia tetap luar biasa.

Betapa hebatnya penangan Mamat Khalid selaku pengarah filem ini, sehingga penonton mempercayai bahawa Que Haidar, Khir Rahman, Shoffi Jikan (Soffi) dan Hasnul Rahmat adalah anggota kumpulan Rimba Bara sebagaimana ditontoni mereka menerusi filem itu.

"Ada orang yang percaya kewujudan Rimba Bara dan beberapa kali saya di sapa dengan individu yang berbeza dan saya kira pernah menonton filem Rock. Mereka bertanya bila Rimba Bara hendak keluar album?

"Saya menjelaskan kami bukan kumpulan rock. Kami pelakon dan beraksi sebagai sebuah kumpulan adalah tuntutan dalam watak kami.


"Saya kira pertanyaan seperti itu satu kejayaan besar membuktikan bahawa kami sebagai pelakon berjaya menyatukan emosi dan keserasian sebagai sebuah kumpulan sehingga penonton terpedaya dan menganggap Rimba Bara itu 'wujud'.


"Pada masa yang sama, ia turut menjelaskan pemilihan pelakon yang dibuat oleh abang Mat (Mamat Khalid) tidak perlu mempertaruhkan wajah-wajah popular untuk menghidupkan setiap karektor yang mengisi perjalanan filem," kata Khir Rahman.

Khir berkata lagi, Abang Mat juga membuktikan untuk melakonkan watak komedi tidak semestinya mereka itu harus dari kelompok pelawak. Ini kerana, andai asas dan dalaman seseorang itu kuat berilah apa saja watak pasti mereka boleh menjiwai.

"Saya memang terhutang budi dengan Abang Mamat dan filem Rock sendiri memberikan impak cukup besar terhadap kerjaya lakonan saya yang dulunya tidak dipandang," katanya.

Bersetuju dengan pendapat Khir itu, Soffi berkata, Mamat Khalid satu-satunya pengarah yang tidak prejudis dan memilih bintangnya kerana bakat mereka.

"Ditolak atau 'reject' daripada sesuatu watak adalah perkara biasa kerana semuanya memandang pakej, muka kacak dan jambu, tapi tidak sekali-kali dengan Abang Mat. Sebab itulah, setiap kali Abang Mat menawarkan saya berlakon, saya tak pernah kisah langsung soal bayaran.

"Apa yang penting bagi saya, mahu bekerja dengan Abang Mat. Berlakon di bawah arahan Abang Mat, pelakon bukan sekadar berlakon, tetapi banyak perkara yang boleh kita pelajari kerana falsafah filemnya cukup mendalam.

"Sindiran yang memenuhi lawak jenakanya, diwujudkan bersebab untuk kita fikir dengan dalam berhubung banyak perkara yang selalu bangsa Melayu lupa.

"Kembali kepada Rock Oo! saya berani jamin ini adalah filem terbaik Mamat Khalid setakat ini dan penonton perlu menyaksikannya di panggung. Ia hebat dari pelbagai aspek bukan sahaja pengarahnya Mamat Khalid tetapi juga filem ini menggunakan khidmat pengarah fotografi Raja Mukhriz Ahmed Kamaruddin malah pelakon berjiwa besar," katanya.

Khir dan Soffi hadir bersama Que Haidar di Balai Berita, Bangsar baru-baru ini, bagi mempromosikan Rock Oo! - sekuel atau kesinambungan kepada Rock yang dihasilkan pada 2005.

Soffi percaya, sambutan yang bakal diberikan kepada Rock Oo! akan lebih baik berbanding Rock yang pertama, tujuh tahun lalu di mana ia ketika itu ditayangkan serentak dengan filem Hollywood, King Kong dan Narnia.

Melalui ulasan peng–kritik filem, laporan akhbar, blog dan online, rata-rata memberikan komen positif terhadap kemunculan Rock Oo! yang disifatkan lebih baik daripada filem Rock.

Rock Oo memaparkan kisah kehidupan kumpulan Rimba Bara yang berpecah kerana Zul Kapan (Soffi), selaku penyanyi utama kumpulan itu beralih arah kepada kumpulan 'black metal' Malaikat Maut.

Semangat ahli kumpulan Rimba Bara, iaitu Jijo watak yang dimainkan Khir Rahman dan Azmi Black (Norazmi Bahron), semakin lumpuh dengan tindakan Zul.

Bagaimanapun, kehadiran Amy Mat Piah (Que Haidar) yang memegang kepada prinsip 'pantang anak petani moden mengaku kalah', berhajat untuk menyatukan kembali kumpulan yang pernah menjadi kegilaan ramai itu selain menyerapkan anggota baru Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim) yang kacak.

"Amy Mat Piah digambarkan sebagai simbolik semangat di dalam filem ini.

Walaupun dia tidak diterima sebagai vokalis Rimba Bara kerana suaranya tidak bagus tambahan pula, Zul Kapan kembali menyertai Rimba Bara namun bersatunya Rimba Bara yang hampir musnah kerana semangat Amy Mat Piah. Walaupun dia hanya penjual ais kacang di kampung, jiwa seninya sangat hebat yang diwarisi daripada datuknya, pemuzik ghazal.

"Watak saya untuk sekuel Rock ini juga lebih besar berbanding yang pertama. Susah juga untuk saya mengingati semula karektor Amy Mat Piah yang pernah saya bawakan tujuh tahun lalu.

"Tambahan pula, ketika tawaran itu diberikan Abang Mamat, saya mengambil keputusan untuk bersara dalam dunia lakonan. Hampir tidak mahu ambil tawaran ini, tapi Khir yang bersungguh-sungguh meyakinkan saya dan selepas membaca skrip tertanya sukar untuk saya menolak tawaran ini kerana ia adalah satu lagi karya paling baik pernah dihasilkan Abang Mat.

"Terus-terang, saya tidak suka berlakon watak komedi kerana saya tidak suka melihat diri dan lakonan saya dalam situasi itu walaupun ramai penonton menyukai saya begitu.

"Saya lebih cenderung kepada watak-watak yang berat. Namun, ada pengecualian untuk Abang Mamat kerana hanya filem komedi arahannya akan saya bintangi," katanya yang tidak jadi bersara dari dunia lakonan sebaliknya lebih selektif memilih watak.

Sementara itu, sebelum meng–akhiri perbualan Khir menambah, pembabitan semula Que di dalam Rock Oo! adalah berita gembira buat seluruh produksi filem berkenaan.

"Amy Mat Piah itu adalah Que. Tiada siapa yang layak membawakan watak berkenaan melainkan hanya Que saja paling layak dan sajak.

"Sebagai sahabat dan abang, saya berharap Que terus berlakon kerana dia berbakat dan disukai peminat. Dia tidak perlu bersusah-payah seperti saya untuk mencipta nama kerana jalan yang ditakdirkan untuknya dalam lapangan lakonan mudah.

"Mungkin Que selepas ini hanya perlu berkarya untuk watak yang mendatangkan kepuasan bagi seorang pelakon.

"Individu seperti Que perlu ada dalam mengisi kekosongan pelakon hebat di negara ini," kata Khir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Pinjam suara 100 bakat tempatan

Posted:

Awal tahun 2013 menjadi permulaan baik buat Animasia Studio apabila program animasi terbitan mereka, Ask Lara dicalonkan di International Emmy Kids Awards bulan ini sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk terus tampil dengan produk bermutu.

Bulan depan, Animasia Studio bakal tampil dengan Bola Kampung The Movie selepas menerima reaksi positif dari siri Bola Kampung yang kini disiarkan di TV9 dan Cartoon Network Asia.

Kini, Animasia Studio mempertingkatkan lagi portfolio dengan menjadikan siri popular ini dalam bentuk filem 3D.

Bakal ditayangkan pada 21 Mac ini, Animasia Studio berharap filem Bola Kampung The Movie mendapat sokongan umum yang kini dilihat semakin giat menyokong produk tempatan.


Pengarah Urusan Animasia Studio Sdn Bhd dan Penerbit Eksekutif filem berkenaan Edmund Chan berkata, apa yang menarik mengenai pembikinan filem animasi ini ialah ia menampilkan ramai selebriti yang menyumbangkan suara untuk setiap watak.


"Projek ini disertai lebih 100 bakat tempatan dan filem ini akan mempersembahkan format Imej Janaan Komputer (CGI) yang baru dan menakjubkan.

 "Setiap karakter dalam filem ini diberikan 'nyawa' melalui suara yang dipinjamkan oleh pelakon, pe­nyanyi, komposer dan penyanyi tempatan. De­ngan bajet RM6 juta, kita menjanjikan hasil kerja tempatan dengan kreativiti yang hebat," katanya.

Edmund berkata, antara selebriti yang terbabit sebagai pelakon suara ialah Afdlin Shauki, Ezlynn, Deanna Yusoff, Datuk Aznil Nawawi, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan, Marsha Milan, Baki Zainal, Noh dan Douglas Lim.

Turut terbabit dalam proses menyumbangkan suara adalah Harris Alif, Adila Shakir, Meester Bones dan Mamat.

Edmund berkata, Bola Kampung bermula sebagai siri televisyen animasi buatan Malaysia yang disiarkan dalam bahasa Melayu di saluran RTM dan TV9 sebelum dialih bahasa ke bahasa Inggeris dan bahasa lain dengan judul Football Kids untuk taya­ngan Disney Channel di 16 buah negara termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam dan Turki sejak 2007.

Bola Kampung juga adalah siri animasi pertama dari Malaysia yang mendapat saluran melalui Disney Channel Asia dan hingga kini, siri berkenaan disiarkan empat musim di kaca televisten.

"Pada 2011, siri ini diperbaharui dengan judul Bola Kampung X dan ditayangkan secara perdana di saluran Cartoon Network. Sebelum ini, sejak 17 tahun lalu, pihak Animasia Studio sudah menghasilkan pelbagai produk animasi antaranya Bola Kampung, ABC Monster, Chuck Chicken, Balla Bowl, Bola Kampung X, Supa Strikas, Harry Bunny dan Asian Folklores," katanya.

Bola Kampung The Movie mengisahkan Amanda, seorang puteri dari dunia permainan maya Kingdom Hill dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari wira bergelar Suria Warrior untuk menyelamatkan Kingdom Hill yang diserang virus.

Setibanya di Kampung Gong Lechar, Puteri Amanda tiba-tiba hilang ingatan dan berkawan dengan wira Bola Kampung seperti Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan lain lain.

Iwan pula salah anggap Puteri Amanda adalah sepupunya yang sedang bercuti sempena cuti persekolahan dan terus memperkenalkan Puteri Amanda kepada kawannya.

Tanpa disedari, seorang penjahat dari Kingdom Hill juga dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari dan membunuh Puteri Amanda.

Selepas beberapa hari, ingatan Puteri Amanda beransur pulih sedikit demi sedikit dan menyedari bahawa Sabok ialah wira Suria Warrior yang dicari-carinya selama ini. Malang sekali, Puteri Amanda ditangkap dan dilarikan penjahat itu serta dipaksa pulang ke Kingdom Hill.

Filem animasi pengembaraan ini wajib ditonton khalayak untuk mengenal sebuah ikatan antara persahabatan dan kekeluargaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved