Jumaat, 1 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Jika ada bukti, sabit Artikel 88

Posted:

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Artikel 88 peraturan 2010-2014 jika Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mendapatkan bukti dalam bentuk rakaman video dan juga suara.

Pengerusinya, Datuk Taufek Abd Razak berkata, siasatan kes membabitkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu sudah dilakukan dan keputusan sudah dicapai jawatankuasa terbabit, namun pihaknya belum menjatuhkan hukuman selagi tidak memperoleh bukti kukuh.


"Saya tidak mahu komen mengenai kes ini walaupun keputusan sudah dibuat kerana bimbang akan disalah tafsir. Ada satu, dua perkara kami perlu dapatkan maklum balas daripada pihak tertentu, selepas itu kami akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat," kata Taufek selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, semalam.

"Kami menyiasat setiap kenyataan yang dibuat dan belum membuat pertuduhan ke atas Presiden Bola Sepak Negeri Johor itu. Kami perlukan bukti kukuh kerana bahan yang ada setakat ini hanyalah menerusi laporan akhbar." Begitupun, ketika ditanya adakah Tunku Ismail akan disabitkan dengan kesalahan melanggar kod etika Artikel 88, jika ada bukti rakaman video atau suara yang mengesahkan TMJ membuat komen terhadap isu pengadil seperti dilapor media, Taufek berkata: "Ya, kalau terbukti dalam 'tape', mungkin boleh disabit Artikel 88, mungkin juga Perkara 4.5.8." Bagaimanapun, FAM bagaikan sengaja melengah-lengahkan pertuduhan terhadap TMJ, tidak seperti pegawai FAM lain dan riak wajah Taufek dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam sidang media petang semalam, seolah-olah memohon perkenan beliau (TMJ) terlebih dulu, sebelum menjatuhkan hukuman.


Tunku Ismail membuat komen terhadap mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang ditakrif berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional, selepas perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan LionsXII di Johor Bahru, 19 Februari lalu.

Foto

Datuk Taufek Abd Razak

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Badminton silaturahim

Posted:

Bahau: Buat pertama kali selepas enam tahun penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kampung (JKKK) Bukit Laka, Bahau, satu kejohanan badminton untuk penduduk kampung diadakan di Dewan Yayasan Bakti, Batu Kikir, baru-baru ini.

Sebanyak 88 penyertaan diterima bagi empat kategori iaitu perseorangan lelaki terbuka, beregu terbuka lelaki, beregu lelaki veteran dan beregu wanita.


Pengerusi JKKK Bukit Laka, Abu Zarin Bahali berkata, pertandingan diadakan bagi mengeratkan silaturahim penduduk.

Katanya sejak JKKK ditubukan, beliau berhasrat melihat hubungan penduduk kampung dieratkan dengan aktiviti seumpama itu.


"Walaupun tidak menyediakan hadiah wang tunai, penyertaan diterima membuktikan wang bukanlah segala-galanya.


"Lebih menarik penyertaan dari kalangan penduduk tiga taman perumahan yang bernaung di bawah JKKK Bukit Laka iaitu Taman Saga, Delima dan Kepayang," katanya.

Sementara itu Pengerusi Belia kampung itu, Mohd Shafiq Izrai berkata, pihaknya merancang kejohanan berskala besar pada masa depan berikutan sambutan hebat penduduk.


"Untuk kejohanan kali pertama ini, kami terima penyertaan dari usia sembilan hingga 54 tahun sekali gus membuktikan sukan badminton disukai ramai.

"Walaupun tiada hadiah menarik disediakan, peserta kelihatan cukup seronok dapat bertemu dengan rakan sekampung berikutan kesibukan tugas masing-masing," katanya.


Sementara itu, juara perseorangan lelaki terbuka dimenangi Bushri Md Udin, 42 manakala kategori beregu lelaki disandang Muhammad Hafiz Muhammad, 31, dan Muhammad Hakimi Jasni, 28.


Bagi kategori beregu veteran, juara milik pasangan Muhammad Rashid Muhammad Shariff, 49, dan Azman Khamis, 56, manakala beregu wanita dimenangi, Alyaa Najwa Jafri,10, dan Noranida Muhammad Arith, 43.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved