Khamis, 14 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tak kesah dibenci penonton

Posted:

Watak hitam Tania yang gedik ala 'Perempuan Melayu Terakhir' yang bercita-cita tinggi merebut anugerah Krew Kabin Terbaik dalam filem Awan Dania The Movie arahan Rashid Sibir benar-benar mencabar dirinya sebagai pelakon.

Sebagai pelakon, Elly Mazlein, 33, yang lebih 10 tahun bergelar anak seni sudah berusaha memberikan yang terbaik untuk menjiwai watak Tania mengikut tuntutan skrip seperti dikehendaki pengarahnya.

"Saya akui berasa gementar pada hari pertama di lokasi penggambaran kerana tidak terbabit dalam cerita asal Awan Dania dulu. Namun, berkat kerjasama dan 'homework' yang dilakukan serta bantuan pengarah, saya berjaya melakonkan watak Tania yang juga karakter baru dalam cerita ini.

"Saya juga cuba melakonkan watak Tania sebaik mungkin kerana baru kali pertama melakonkan karakter sedemikian. Bukan mudah untuk menjadi 'gedik' 24 jam dan saya juga tidak nampak cantik saja dalam filem ini kerana watak Tania juga 'huru hara' orangnya," katanya.


Menjadi ahli keluarga baru dalam Awan Dania bukan halangan buat Elly bekerjasama dengan teraju utamanya, Scha Al-Yahya dalam filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd.


"Watak Dania Abd Rahman yang dilakonkan Scha mengalami transformasi kerana dia cuba menjadi lebih matang berbanding dalam drama bersiri sebelum ini.

"Ia memaparkan sisi lain Dania di luar waktu bertugas yang kelam kabut, lucu dan lincah termasuk membabitkan soal pasangan hidup. Saya juga pastikan karakter antagonis Tania tidak terikut-ikut dengan watak Dania yang lucu dan kelam kabut itu," katanya.

Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi yang cukup sinonim dengan watak baik mengakui dia tidak kisah jika dirinya dibenci penonton kerana gara-gara watak Tania itu.

"Saya akui ramai peminat suka saya melakonkan watak baik tapi sebagai pelakon, saya perlu pelbagaikan karakter kerana berlakon adalah periuk nasi saya. Saya juga perlu menyahut apa saja watak diserahkan.

"Namun, selepas mendapat maklum balas positif daripada pengarah dan pihak media sendiri ketika sesi pratonton, saya berasa gembira dan yakin untuk memberitahu filem ini adalah produk dari saya selepas tiga tahun menunggu.

"Saya harap peminat asal cerita Awan Dania akan datang menonton kelainan filem ini di pawagam seluruh tanah air bermula hari ini," katanya.

Kali terakhir, Elly berlakon ialah menerusi filem Tangkai Jering pada 2005. Filem lain lakonannya sebelum ini ialah Gerak Khas The Movie dan Janji Diana. Filem Awan Dania The Movie turut dibintangi Rusdi Ramli, Jehan Miskin, Dee, Ruminah Sidek, Roy Azman, Zaibo, Hans Isaac dan Allahyarham Osman Kering.

Elly enggan komen status

Pada sesi pratonton filem Awan Dania The Movie yang berlangsung di GSC Pavillion baru-baru ini, seperti biasa kelibat Elly Mazlein tetap mencuri perhatian media yang membuat liputan dan ingin tahu perkembangan cerita peribadinya, saat ini.

Tidak rimas diasak persoalan sama, Elly nampaknya tetap tenang menjawab setiap pertanyaan dari pihak media yang bertanyakan status terkini ikatan pertunangannya dengan pengarah drama dan filem, Azmi Mohd Hatta yang sudah mencecah lebih setahun itu.

Namun, Elly tetap belum bersedia untuk mengulas sama ada dirinya masih tunangan orang mahupun sebaliknya. Menurutnya, dia belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan lanjut mengenainya ketika ini.

"Apa yang saya harapkan, semua orang mendoakan yang terbaik buat kami. Berilah sedikit ruang dan masa untuk saya fokus pada karier seni terlebih dulu. Saya percaya semua orang mahukan yang terbaik dalam hubungan mereka. Itu saja yang boleh saya katakan buat masa ini," katanya.

Elly dan Azmi, 37, mengikat tali pertunangan lebih setahun lalu. Majlis pertunangan mereka berlangsung ringkas tapi meriah di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort pada 29 Mei 2011. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu dikatakan bakal bernikah pada Februari lalu, namun ia masih tertangguh.

Beralih perkembangan karier nyanyiannya pula, Elly nampak mula bersemangat untuk bercerita lanjut mengenai single terbarunya berjudul Sabarlah Hati selepas tujuh tahun tiada album baru.

"Alhamdulillah, single terbaru berjudul Sabarlah Hati yang membabitkan kerjasama saya dengan KRU Music ini bakal dijadikan sebagai lagu tema untuk slot Samarinda TV3 nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Elly juga terbabit dengan penggambaran telemovie skizofrenia arahan Hazali Ramli untuk stesen RTM Selain itu, dia juga berlakon dalam telemovie Jihad Umairah dan Firdausi Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Keunikan 5 band kekuatan Versus 2

Posted:

Kejayaan membanggakan diraih program pertarungan band popular, Versus tahun lalu membuktikan rancangan ini mempunyai matlamat cukup kuat dalam memartabatkan band-band tempatan.

Membuka dimensi baru dalam penerbitan program realiti, Versus meraih pengikut tersendiri tidak terkecuali mencetus fenomena baru dalam industri muzik tempatan khasnya.

Bukan bertanding semata-mata, namun intepretasi kreativiti yang disalurkan lima band iaitu Hujan, Black & Parallax, Sofarz, Sixth Sense dan Go Gerila! turut mengubah skeptikal penonton terhadap kemampuan mereka.

Meneruskan kehangatan program yang turut menggondol trofi Fresh TV Series Award pada Shout Awards 2012, Versus kini kembali dengan barisan band lebih mantap serta menjanjikan kekuatan tersendiri.


Lima band berkenaan termasuklah pemenang anugerah, Estranged, Kristal, Manifesto serta dua band 'underground', Oh Chenta Ku dan Kyoto Protocol.


Yang pasti, kreativiti masih lagi menjadi sandaran utama pada musim ini dan pemilihan lima band ini dilihat cukup bertepatan serta mampu memenuhi kriteria berkenaan.

Bercakap mengenai pemilihan musim ini, Pengurus Besar TV9, Zurina Othman berkata, biarpun ada beberapa band mungkin masih asing dalam kalangan penonton, itu bukan isu utama.

"Selepas kejayaan serta bagaimana berkesannya program ini pada musim lalu, kami menerima banyak penyertaan daripada band-band popular tidak terkecuali band kecil untuk mencuba platform ini.

"Bagaimanapun, komitmen juga menjadi syarat utama bertanding dalam Versus kerana mereka akan 'diikat' selama sembilan minggu menyebabkan ada yang terpaksa melupakan hasrat untuk masuk," katanya.

Melihat kepada potensi untuk diubah, kriteria berkenaan juga meletakkan lima band ini dalam senarai peserta tahun ini agar matlamat memaksimumkan tahap kreativiti itu tercapai.

"Selama ini, pastinya mereka sudah selesa berkarya mengikut konsep sendiri namun Versus bakal mengubah semua itu kerana tugasan diberi sangat mencabar.

"Bukan bermaksud kami mahu mengubah mereka seratus-peratus namun paling penting mereka tunjukkan sesuatu pembaharuan dan kelainan yang penonton tidak pernah terfikir mereka mampu lakukan," katanya.

Masih mengekalkan format pertandingan iaitu 50 peratus markah diberikan juri tetap dan 50 peratus lagi berdasarkan undian penonton, musim ini juga menyaksikan Jennifer Thompson dan Loque dipertanggungjawabkan menduduki kerusi juri tetap.

Lebih teruja dan tidak sabar menantikan kemampuan kreativiti yang bakal ditunjukkan setiap band, menurut Jennifer, pengalaman tahun lalu benar-benar membuka matanya agar tidak skeptikal dengan kebolehan mereka.

"Pada tahap ini, populariti bukan jadi persoalan utama kerana mengikut apa yang terjadi tahun lalu, pola undian berubah mendadak selepas bersiaran tiga minggu kerana penonton mula faham dengan konsep Versus.

"Saya pada mulanya juga agak skeptikal mengenai kemampuan lima band berkenaan tetapi melihat kejutan-kejutan yang mereka tampilkan setiap minggu, cukup mengubah persepsi saya," katanya ditemui pada sidang media pelancaran Versus 2, Isnin lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar; Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin; Pengurus Besar Rangkai Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim dan Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Tahun lalu, kumpulan Hujan berjaya menggondol gelaran juara, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000.

Selain mengekalkan format serta juri tetapnya, Versus 2 juga masih dihoskan Aidid Marcello serta Hunny Madu dan akan memulakan siaran episod pengenalan pada jam 9.30 malam, 5 April nanti di saluran TV9.

Episod rakaman itu akan menunjukkan setiap band mempersembahkan tugasan pertama mereka bertemakan 'Band Malaya' manakala siaran langsung mingguan pula diadakan setiap Jumaat, jam 9.30 malam bermula 12 April ini. Masih lagi bertempat di Space U8, Shah Alam, Selangor, siaran secara langsung juga boleh diikuti menerusi radio Hot FM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved