Isnin, 18 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tunggu lelaki sesuai

Posted:

DAYANG Nurfaizah antara penyanyi wanita yang cukup berpengaruh di persada hiburan tempatan. Bersandarkan vokal hebat dengan bingkisan tujuh album penuh serta pelbagai anugerah diraih, nama penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak yang mula menyanyi pada usia 18 tahun itu terus bertahan dalam bidang seni lebih sedekad lalu.

Ternyata, tiada siapa dapat menafikan kehebatan dan pencapaian ratu R&B yang juga pemilik nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini dalam bidang nyanyian.

Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, nama Dayang seolah-olah menyepi dan suram daripada persada hiburan. Ke mana agaknya Dayang menghilang? Malah, imej dan penampilannya juga dikatakan kurang menyerlah berbanding dulu.

Bertalu-talu soalan diajukan kepadanya ketika sidang akhbar sempena sambutan Minggu Setiausaha bersama Dayang yang berlangsung di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, baru-baru ini. Dayang pula dengan tegas menafikan dirinya menyepi daripada persada hiburan seperti tanggapan ramai pihak.

Foto

DAYANG dendangkan rangkaian lagu hits dalam persembahannya nanti.

Foto

DAYANG dan Mohamat Yusof (kiri) ketika sidang media sempena sambutan Minggu Setiausaha di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Foto

DAYANG bergabung dengan Dee sebagai hos sempena Minggu Setiausaha.


"Saya tidak menyepi kerana agenda seni padat dengan pelbagai undangan persembahan dari dulu sampai sekarang. Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan penganjur dan pihak korporat sampai hari ini. Begitu juga undangan persembahan untuk stesen TV.


"Selain itu, saya juga sibuk mempromosikan album duet membabitkan rakaman persembahan dengan penyanyi Anuar Zain sempena konsert amal One Night Only yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), tahun lalu.

"Dari segi imej dan penampilan pula, saya gayakan baju mengikut kesesuaian majlis dan tempat. Kalau untuk acara Minggu Setiausaha, gaya korporat seperti inilah yang sesuai untuk ditampilkan," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang kurang mendapat publisiti daripada pihak akhbar pula, kata Dayang, dia memang ingin mengelak daripada dikaitkan dengan sebarang gosip mahupun kontroversi yang boleh menjejaskan nama baiknya.

"Bagi saya zaman untuk mengejar glamor dan populariti seperti artis muda sekarang sudah berlalu. Selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya melihat tidak perlu lagi dikaitkan dengan gosip dan kontroversi sedemikian untuk dapat publisiti.

"Biarlah orang kata, cerita saya membosankan kerana tiada gosip kerana misi saya untuk terus memperbaiki kelemahan dan berusaha mengukuhkan lagi karier seni sedia ada," katanya.

Justeru, kata Dayang, dia berusaha mencari material terbaik dalam pembikinan single terbarunya nanti.

"Saya juga ingin ikut perkembangan muzik semasa iaitu muncul dengan single demi single sebelum menghasilkan bingkisan album penuh yang juga album kesembilan nanti. Saya juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan komposer baru atau lama untuk single baru ini seperti Omar K," katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan Minggu Setiausaha yang bermula jam 12.30 tengah hari di Laman Putri Ballroom, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 18 April nanti, kata Dayang, ia berkonsep akustik dan secara 'minus one' khusus untuk menghiburkan ketua dan setiausaha mereka.

"Setiap kali mengadakan persembahan, saya berasa gementar tetapi pada masa sama berusaha berikan yang terbaik pada acara yang dijayakan. Mengikut perancangan, saya akan menyampaikan 20 rangkaian lagu hits termasuk secara medley seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu dan banyak lagi dalam persembahan selama 45 minit itu," katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar HSPJ, Mohamat Yusof Abu Bakar. Tidak ketinggalan, penampilan pelawak popular Dee (Jangan Ketawa) sebagai pengacara pada acara itu. Tempahan meja sila hubungi 03 79562100 (Nani) dan layari, www.hspj.com.my.

Dayang sudah terfikir soal jodoh

Seperti wanita lain, Dayang juga mengimpikan untuk berkahwin dan membina keluarga. Apatah lagi, usianya yang sudah mencecah 32 tahun.

"Jika dulu memang saya terlalu fokus pada karier seni tapi sekarang, saya sudah mula berasa tekanan apabila kerap ditanya pihak media soal kahwin.

"Saya juga ingin berkahwin seperti rakan seperjuangan lain tapi sayangnya, masih belum ada teman istimewa atau lebih tepat calon suami. Sebagai wanita, memang saya perlu memilih calon yang tepat untuk dijadikan pasangan hidup.

"Tapi macam mana nak ada teman istimewa kerana saya sangat pemalu dengan lelaki. Selepas selesai jayakan persembahan, saya terus pulang ke rumah dan kalau keluar ke mana pun pasti ditemani ahli keluarga. Pada masa sama, keluarga juga cukup memahami dan tidak pernah bertanya atau mendesak saya untuk berkahwin," katanya.

Dayang juga menyasarkan usia sebelum mencecah 38 tahun untuk menamatkan zaman bujangnya itu.

"Kalau saya cakap sebelum usia 40 tahun, nanti orang anggap sudah tua baru nak kahwin. Kriteria calon suami pula, susah nak cakap, pastinya usianya yang lebih kurang sebaya dengan saya dan lebih tua daripada saya.

"Ia cuma sasaran saja kerana kita hanya mampu merancang tapi soal jodoh ini ketentuan Tuhan. Kalau sudah bertemu calon sesuai, pasti saya tidak akan menyorokkan perkara yang baik itu daripada pihak media nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Anak Malaysia semakin 'boleh!'

Posted:

Tentunya kita berbangga apabila melihat anak-anak Malaysia mendapat perhatian di peringkat antarabangsa baik dalam bidang muzik mahupun perfileman.

Ketika ini kita sudah mendengar berita Yuna menjadi artis naungan pemenang 16 trofi Grammy - David Foster dan sudah merakamkan beberapa lagu sentuhan beliau di bawah label Verve Music Group. Susulan daripada itu, Yuna dipilih menyanyikan lagu tema filem animasi terbitan DreamWorks Studios, The Croods arahan Kirk De Micco dan Chris Sanders yang kini ditayangkan di seluruh dunia. Ia meminjam suara Nicolas Cage, Ryan Reynolds dan Emma Stone.

Untuk lagu Shine You Way itu, Yuna berduet dengan vokalis Owl City dan mereka sudah pun menjayakan beberapa promosi untuk filem itu di Amerika Syarikat.

Antaranya, Yuna muncul dalam program bual bicara bersama Jay Leno dan lagu itu juga menjadi pilihan penerbit American Idol musim ini. Hebat sungguh Yuna.


Kalau anda peminat Yuna, anda tentu tahu juga yang dia juga sebelum ini pernah merakamkan lagu lama The Beatles, Here Comes The Sun dalam versinya sendiri untuk 'soundtrack' filem Savages, arahan pengarah legenda Oliver Stone.


Saya kira Yuna sangat-sangat bertuah. Sinar bintangnya mula menyerlah sebagai sebutir berlian di angkasa. Hakikat ini kerana orang-orang yang gagah di Hollywood kini berada hampir dengannya. Kalau dalam bidang muzik, siapa tidak kenal dengan Foster yang sebelum ini bekerja dengan bertan-tan super–star seperti Whitney Houston, Michael Jackson, Celine Dion, Barbra Streisand, Toni Braxton, Mariah Carey, Beyonce dan Josh Groban.

Kalau sebut DreamWorks Studios pula, orang kuat atau pengasasnya adalah pengarah Jaws dan Jurassic Park, Steven Spielberg bersama rakan kongsinya, Jeffrey Katzenberg dan David Geffen. Ini bermakna, peluang untuk Yuna, 'gadis semasa yang terukir di bintang' ini semakin terbuka luas untuk menimba ilmu dan mengasah bakatnya di peringkat antarabangsa.

Jadi saya sangat berbesar hati apabila Yuna dalam kesibukan yang begitu ketara sekarang, masih bersetuju untuk menjadi penulis undangan di dalam sisipan RAP ini, dua minggu sekali pada setiap Rabu melalui kolumnya, Dan Sebenarnya...Yuna. Kalau tiada aral, kita juga terfikir untuk memberikan peluang kepada anda sendiri untuk bertanyakan soalan terus kepada Yuna dan kita akan siarkan kemudian dalam kolum istimewa Yuna itu, in–sya-Allah.

Dalam pada gembira dengan berita Yuna, kita juga terkejut apabila minggu lalu, mendengar khabar aktor muda kacak, Aeril Zafrel yang dalam diam-diam sudah dilamar produksi Barat untuk beraksi dalam sebuah filem cinta antara dua darjat bersama aktres handalan, Christina Ricci dan Sharon Stone.

Buat masa ini tidak banyak yang boleh didedahkan kerana Aeril terikat dengan kontrak namun khabar itu sudah cukup untuk peminat melihat pelakon kita pada skrin yang sama de–ngan bintang Hollywood. Kalau sebelum ini kita melihat Syed Alwi Syed Hassan dan Deanna Yusof dalam Anna and the King bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fat serta Datuk Michelle Yeoh bersama Pierce Brosnan (Tomorrow Never Dies), kali ini peminat akan dapat melihat lakonan ala kisah Romeo & Juliet antara Aeril dan Ricci pula.

Saya kagum dengan Aeril yang bersikap diam-diam ubi kerana dalam senyap-senyap dia bijak merebut peluang dan menyusun rencana untuk karier seninya. Saya tahu kalau ikutkan, kita mempunyai ramai pelakon yang hebat-hebat setaraf bintang Hollywood atau Bollywood namun masalahnya kita tidak mempunyai 'contact' atau kabel yang tepat untuk mengeksport bakat-bakat kita ke luar negara.

Saya kira artis seperti Yuna mahupun Aeril sangat bertuah kerana pengurusan mereka bijak mengatur strategi sehingga dapat membolosi tembok sebelah sana yang kebal namun berfikiran lebih terbuka dalam menerima apa saja yang dianggap X-Factor.

Dalam hal ini, agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), syarikat rakaman antarabangsa, stesen penyiaran tempatan serta syarikat korporat yang menyokong dunia seni, boleh mengambil langkah proaktif untuk membantu memasarkan produk mahupun bakat-bakat kita ke luar negara.

Binalah kabel dan 'contact' yang lebih besar de–ngan studio-studio ternama di peringkat antarabangsa melalui pertemuan tertutup mahupun pelbagai festival filem terkemuka di serata benua. Hasilkan juga lebih banyak filem secara usahasama (joint venture - JV) dengan produksi asing yang berminat. Itu salah satu jalan untuk memperkenalkan siapa kita. Ingatlah, tiada apa pun yang percuma dalam dunia ini dan tentunya secara asas, kita perlu korbankan tenaga, masa dan wang ringgit kerana semua itu resipi pelaburan.

Anak-anak Malaysia hari ini memang semakin 'boleh'. Lihat saja hasil kerja mereka untuk karya besar seperti Life of Pi melalui cawa–ngan studio kesan efek, Rhythm & Hues Studios di Putrajaya. Kita seharusnya bijak menyusun strategi dan dalam bab-bab strategi saya sentiasa kagum dengan budaya kerja KRU. Anda setuju bukan? - slen28@gmail.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved