Sabtu, 23 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Misi hebat anak jati Jelebu

Posted:

Jika dibongkar susur-galur kisah karier rapper muda ini di laman maya, kebanyakannya berkisar sisi 'buruk' meskipun dia tidak berapa dikenali terutamanya dalam kalangan peminat Melayu.

Pasti ada yang melabel dirinya 'poyo' kerana mencerminkan dirinya lebih ke arah kebaratan dan selalu bertutur bahasa Inggeris pelat setiap kali membuat penampilan baik di kaca TV mahupun majlis tertentu.

Terjun sudah agak lama dalam industri, enam tahun berjuang sebagai anak seni, karyanya juga banyak dihasilkan dalam bahasa Inggeris menjadikannya lebih tertumpu kepada peminat 'urban'.

Bersua pertama kali dengannya, Ariz Ramli atau Caprice, 25, bukan sembarangan menjalani hidupnya kerana pelbagai agenda diatur demi jaminan pada masa hadapan.


Mungkin menilai daripada tubuh kecilnya serta bagaimana pembawaan diri anak jati Jelebu, Negeri Sembilan ini menampakkan dia seorang yang jenis semberono namun dia nyata pemuda serius.


Mengakui sudah lali dengan persepsi sedemikian, Caprice lebih memilih untuk mencatur kejayaan buat dirinya dan mengabaikan perkara yang cuma hanya membuang masa.

"Jujur, saya tidak pernah kisah jika begitulah orang memandang diri saya. Tapi, saya ingin tegaskan kedudukan yang dicapai sekarang juga dimulakan dengan kesusahan dan pengalaman lalu membuat saya lebih matang.

"Inilah cara saya membawa diri, berkarya dan memuaskan hati namun jelas hanya golongan tertentu boleh menerimanya. Apapun, ia bukan halangan buat saya terus mara ke hadapan menggapai impian saya," katanya.

Mengakui popularitinya tidak megah dalam kebanyakan peminat, Caprice juga akur namun tidak terkesan kerana perjuangannya masih mendapat sokongan kuat terutamanya gadis muda.

Sudah menghasilkan enam lagu inggeris dan terbaru mempertaruhkan single Watlek Watpeace, dia kini dalam proses merangka strategi memperluaskan namanya.

Apatah lagi kini lagu duet bersama penyanyi tersohor, Ramlah Ram berjudul 5.00 Minit semakin kerap dimainkan di corong radio. Dia mengharapkan lagu itu membuka mata ramai mengenai kehadirannya.

"Tidak dinafikan, peminat saya ramai daripada kalangan 'urban' dan gadis remaja tapi bersyukur kerana sokongan itu sudah cukup untuk saya mengurut dada. Apapun, semestinya saya tidak mahu terlalu selesa kerana masih ramai belum sedar akan siapa Caprice.

"Untuk itu, lagu terbaru Watlek Watpeace saya hasilkan 50 peratus bahasa Melayu dan 50 peratus bahasa Inggeris sebagai strategi memancing lebih peminat," jelasnya.

Kesibukan penyanyi yang mendapat jolokan 'Prince of Damansara' ini tidak terbatas pada bidang nyanyian saja, malah dia juga sudah memiliki jenama pakaiannya sendiri iaitu Hustle & Faith.

Caprice turut menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Whats Up Entertainment Records dan aktif berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) di Putrajaya.

Sangat mementingkan jaminan hidup pada masa depan, dia rela mengabdikan dirinya dengan kesibukan itu sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan nanti.

"Di samping mengatur karier seni, saya juga menaungi kumpulan yang pernah menjuarai Showdown, Dem Lepak Boyz dan menjadikan mereka penari tetap bagi mengiringi setiap persembahan pentas saya.

"Tidak dilupakan, syarikat IT saya semakin berkembang dan meskipun terkejar ke sana sini, saya amat gembira dengan pencapaian diri sendiri setakat ini," katanya.

Beraksi di Twin Towers Alive 2013

Terpilih antara artis tempatan yang akan beraksi di Twin Towers Alive 2013 (TTA2013), Caprice turut menjanjikan satu persembahan paling 'gempak' pada acara berprestij itu.

Menghangatkan pentas pada hari kedua iaitu malam ini dan berkongsi pula dengan bintang antarabangsa terkenal iaitu Backstreet Boys dan 2NE1, Caprice mengakui sangat berbangga diberi penghormatan sedemikian.

"Ini kali kedua saya berkongsi pentas dengan artis antarabangsa dan sebelum ini sudah pernah menjadi artis pembuka tirai buat Akon. Semestinya, perasaan teruja itu sangat kuat dan sebaik mendapat tawaran berkenaan, saya terus mulakan latihan.

"Malam ini, saya mendendangkan empat lagu termasuklah memperdengarkan buat kali pertama Watlek Watpeace khas buat penonton yang hadir. Saya juga mahu mengajak penonton nanti untuk melakukan tarian yang jadi fenomena sekarang, Harlem Shake bersama penari nanti," katanya.

Banyak berjalan ke luar negara, ditanya sekiranya dia sudah ada perancangan untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa pula, Caprice tidak beria-ria ke arah itu.

Baginya, dia selesa menyerahkan saja peluang itu biar datang sendiri kepadanya.
"Setakat ini, saya selesa berkarya di sini saja, namun persembahan pada acara besar seperti TTA2013 diharap menjadi batu loncatan untuk lebih dikenali.

Mengenai rancangan menembusi pasaran luar, biarlah masa yang menentukan. Saya 'go with the flow' saja," katanya.

Caprice mula bertapak dalam industri sejak 2006 dan popular menerusi laman YouTube. Antara lagu popularnya termasuklah Chikaro dan Fantasy Girl serta kerap melakukan 'cover version' lagu popular seperti Baby (Justin Bieber) dan Just the Way You Are (Bruno Mars) dalam bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Yuna penyeri The Croods

Posted:

Lembaran 2013 nyata membawa sinar besar buat penyanyi lagu Terukir Di Bintang, Yunalis Zarai, 27. Apa tidaknya, selepas memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-27 pada awal Januari lalu, pencapaiannya semakin menyerlah.

Mesra dengan panggilan Yuna, usaha anak jati dari Subang Jaya, Selangor itu untuk menapak serta membina namanya di persada muzik antarabangsa terutama di Amerika Syarikat nampaknya membuahkan hasil cukup positif dan memberangsangkan.

Segala kepayahan Yuna sebelum ini mula terbalas apabila satu demi satu peluang diraihnya dan paling bermakna sudah tentu jalinan kerjasama yang diperoleh daripada karyawan muzik ternama di Hollywood seperti David Foster.

Menjadi artis naungan label Verve Music Group dimiliki Foster yang pernah memenangi trofi Grammy sebanyak 16 kali pastinya ibarat 'bulan jatuh ke riba' buat Yuna. Berkat kesabaran dalam perjuangan seninya kian terbalas.


Bersama Verve, kini Yuna juga sudah merakamkan beberapa lagu sentuhan Foster. Pun begitu, peluang besar yang membuka mata masyarakat Malaysia terhadap pencapaian Yuna di Amerika ketika ini apabila dia dipilih menyanyikan lagu tema, Shine You Way untuk filem animasi, The Croods.


Diarahkan Kirk De Mincco dan Chris Sanders, The Croods juga adalah produk seni terbitan produksi ternama Hollywood, DreamWorks Studios milik sutradara tersohor, Steven Spielberg bersama rakan kongsinya, Jeffrey Katzenberg dan David Geffen.

Yuna yang berbicara mengenai peluang kerjasamanya dalam filem The Croods itu melalui jawapan yang dihantar menerusi e-mel memaklumkan, dia memperoleh tawaran itu daripada pihak DreamWorks yang menghubungi ejennya.

"Mereka (DreamWorks) menghubungi ejen saya dan bertanya sama ada saya mahu bekerjasama dalam projek filem itu. Apapun, saya bangga dapat bekerjasama dengan komposer dan penerbit hebat seperti Alan Silvestri.

"Pengalaman bekerja de-ngan Silvestri cukup menyeronokkan dan tidaklah sukar. Bagi saya, dia seorang yang begitu profesional dan mudah bekerja dengannya. Bahkan, syukur semuanya berjalan lancar," kata Yuna.

Yuna yang juga pertama kali berduet dengan vokalis Owl City, Adam Young untuk menyanyikan lagu Shine You Way itu memaklumkan mereka berdua sebenarnya tidak bertemu ketika sesi rakaman lagu itu dilakukan.

Serasi dengan Adam Young

Ujar Yuna, rakaman dilakukan secara berasingan kerana ketika itu Young berada di Minessota dan dia pula di Los Angeles (LA). Bagaimanapun, Yuna berkata, mereka berpeluang bersua muka ketika menjalani penggambaran muzik video lagu itu.

Dia seorang penyanyi yang berbakat, baik, sangat bagus dan manis orangnya. Selain itu, kami juga boleh serasi kerana mempunyai banyak persamaan.

"Kami berdua bukan saja masih mentah, tetapi kami juga pemalu dan perjalanan muzik kami pun bermula di laman sosial, myspace," katanya memberitahu rakaman lagu Shine You Way dilakukan sekitar Januari lalu dan Yuna mengambil masa selama dua hari untuk merekodkannya.

Mengulas mengenai peluang kerjasamanya dengan produksi gergasi Hollywood seperti DreamWorks, Yuna berkata, dia tidak pernah terfikir sama sekali akan memperoleh peluang yang hebat itu.

"Apatah lagi, selama ini pun sejak remaja saya sudah menonton filem animasi terbitan DreamWorks. Jadi, apabila mendapat peluang bekerjasama dengan mereka, ia adalah satu perasaan yang hebat dan saya teruja.

"Bagaimanapun, buat masa ini saya belum dapat menonton sepenuhnya filem The Croods. Saya hanya menonton sedikit saja sebelum memulakan rakaman lagu Shine You Way.

"Apapun, bagi saya filem ini mempunyai plot cerita yang sangat baik kerana ia mengajar penonton untuk menjadi yakin, tidak pernah takut serta memupuk hubungan kekeluargaan yang erat. Ia juga bagaikan satu pengembaraan dan banyak perkara baru boleh dipelajari," katanya.

Menyentuh pula pembabitannya dalam mana-mana promosi untuk The Croods, Yuna berkata, dia tidak turut serta.

Bahkan, berbicara mengenai projek terbarunya, Yuna berkata, dia kini bersiap sedia untuk terbabit dalam rakaman EP dan kemudian fokus pula pada proses rakaman album keduanya.

Menurut Yuna, rakaman EP dibuat sebagai pengenalan kepada projek terkininya dengan label baru, The Verve. The Croods yang kini sudah ditayangkan di seluruh dunia turut meminjam suara bintang terkenal Hollywood seperti Nicolas Cage, Ryan Reynolds dan Emma Stone.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved