Isnin, 25 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Cabaran rakamkan lagu baru

Posted:

Penampilan Norhasmidar Ahmad, 27, atau nama pentas­nya, Asmidar, dulu dan kini jauh berbeza. Dia tampak lebih berkeyakinan dengan perubahan fizikal yang semakin lan­gsing. Cantik untuk ilusi mata khala­yak namun me­nuntut semangat tinggi untuknya mencapai tahap sekarang ini.

"Saya ambil hidangan berat sekali sehari. Saya tidak boleh leka dengan pujian kerana apabila orang memuji sudah kurus, mulalah selera makan mendadak naik.

"Saya pemakan orangnya tetapi saya perlu akur dengan hal yang indah-indah sebagai santapan mata umum. Sememangnya sebelum jadi artis lagi saya sering membaca kisah artis dan penjagaan diri. Saya anggap hal ini sesuatu yang normal," katanya.

Hadir ke Balai Berita pada 12 Mac lalu, Asmidar kini dalam rangka promosi album pertamanya dengan judul album yang cukup 'significant' iaitu Kali Pertama.


Memuatkan tujuh lagu, lima daripadanya adalah lagu baru manakala satu lagi lagu Biar Mimpi Sampai Ke Bintang yang berjaya memperkenalkan namanya di persada nyanyian negara. Lagu itu ciptaan Ajai dan Lirik oleh Ahmad Farid Abdul Jalal.


"Album ini dilancarkan 5 Mac lalu dan sekarang saya sedang giat menjalankan promosinya termasuk single Kali Pertama ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Omar K. Saya dan pihak Warner Music mengambil keputusan memilih Kali Pertama sebagai single kedua kerana ada banyak 'significant'.

"Lihat saja judul album saya dan secara kebetulan juga ini kali pertama saya melancarkan album bersama Warner Music. Apa yang penting lagu ini memang ada tarikan tersendiri dan menunjukkan keupayaan vokal saya dalam nyanyian yang tidak terbatas pada balada saja.

"Muziknya menangkap dan mempunyai unsur 'folk'. Lari daripada genre balada seperti dibawakan dalam Biar Mimpi Sampai Ke Bintang yang saya kira sebuah lagu yang berjaya memperkenalkan nama Asmidar. Kali Pertama juga saya kira sebagai kayu pengukur apakah peminat mahupun pendengar boleh menerima nyanyian saya yang berbeza daripada genre balada.

"Sempena promosi album ini saya terikat dengan jelajah di institusi pengajian tinggi dan fotografi termasuklah persembahan di pusat beli-belah. Ini adalah satu proses yang sangat berguna buat saya kerana dalam memastikan kejayaan album, kita tidak boleh bergantung pada syarikat rakaman melakukan semua, artis juga per­lu turun padang," ­katanya.

Bertuah diberikan peluang menghasilkan album tatkala penyanyi tempatan lain lebih cenderung mengetengahkan single, selain Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Kali Pertama, album ini memuatkan lima lagi lagu, Goldilocks ciptaan Taja, Bila Cinta Ada (Acap), Sepenggal (Boyan Laluna), Sepasang Sudu (Ana Raffali) dan Pesona Cinta (Puteri Cahaya).

Ternyata untuk menyempurnakan album ini bukan satu proses yang mudah buat Asmidar apabila sebahagian daripada lagu menuntutnya ke bilik rakaman lebih daripada sekali.

"Tiga lagu yang paling sukar ketika proses rakaman adalah Goldilocks, Bila Cinta Ada dan Pesona Cinta. Goldilocks lagu yang mengambil metafora daripada kisah teladan animasi Goldilocks & Three Bears. Susunan asal muziknya berbeza tetapi selepas empat kali sesi latihan, Taja nampak susunan yang dibuat tidak begitu masuk dengan vokal saya.

"Kemudian dibuat susunan yang baru kemudian dia nampak pula ada unsur klasik pada vokal saya sehinggakan sekali lagi susunan muzik ditukar. Selepas latihan yang keempat barulah semuanya ok tetapi rakaman terpaksa dibuat dua kali untuk mendapatkan 'feel' yang lebih baik.

"Untuk Bila Cinta Ada, bukan saya tidak pernah bawa lagu balada tetapi setiap komposer ada cara masing-masing. Lagu ini juga terpaksa dirakam dua kali kerana rakaman yang pertama nyanyian saya tidak mencapai kehendak Abang Acap.

"Sementara Pesona Cinta pula bernada tinggi sedangkan saya melihat kemampuan saya lebih kepada 'medium range'. Rakaman pertama tidak begitu sempurna apabila saya mula diserang sakit tekak selepas menjalani proses rakaman yang panjang tiga hari berturut-turut sebelum itu," katanya.

Sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda (Persembahan Muzik Vokal), penulis sempat bertanya kepada Asmidar, untuk menya­nyikan lagu bernada rendah atau tinggi bukanlah masalah buatnya memandangkan dia mempunyai kelebihan mengaplikasikan setiap teknik vokal yang dipelajari.

"Secara teknikalnya mereka yang belajar vokal selalunya boleh menyanyi dalam apa juga nada tinggi ataupun rendah. Bezanya sumbang atau tidak kerana setiap manusia suara mereka memang terhad pada 'range' tertentu," katanya.

Masih berkisar soal album, anak saudara kepada jurusolek terkenal, Tiar Zainal ini turut ditanya perancangannya pada masa akan datang dalam memantapkan karier nya­nyiannya.

"Saya berharap Kali Pertama bukan album terakhir saya. Ada banyak lagi yang ingin saya kongsikan. Salah satunya, saya mempunyai impian besar untuk menghasilkan album tradisional sepenuhnya.

"Sebagai seorang pencinta irama tradisional, saya bimbang dengan kemunduran lagu tradisional. Saya mahu menjadi salah seorang penggeraknya kerana irama tradisional amat penting kerana ia melambangkan budaya kita.

"Lenyapnya irama tradisional akan lenyaplah identiti orang Melayu. Selain album tradisional, saya juga pastinya gembira jika dapat menghasilkan album dengan lagu bercorak eksperimental.

"Selain itu, saya juga teringin merakamkan semula atau mempunyai lagu baru yang boleh menonjolkan nyanyian klasikal kerana ramai yang tidak tahu klasikal antara muzik yang pernah saya praktikkan sebelum ini," katanya.

Bagi peminat yang ingin mengikuti perkembangan gadis ini, boleh layari Twitter dan Instagram @asmidarisme dan facebook (asmidar).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Penonton pilih pelakon

Posted:

Drama bersiri bercorak pendidikan Oh My English! (OME) kembali lagi untuk musim kedua. Drama 20 episod itu akan mula ditayangkan pada setiap Ahad bermula 31 Mac ini di Astro TVIQ (Saluran 610) dan Astro Mustika HD (saluran 134) jam 7.30 malam.

Menjanjikan keseronokan dan pembelajaran berganda kepada penonton dengan menampilkan pelakon baru, jalan cerita yang menarik dan pastinya lebih ilmu pengetahuan, OME menampilkan pelakon hebat Aaron Aziz sebagai Cikgu Malik, Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu) dan Shafie Naswip sebagai pelajar bernama Azlan.

Selain mengekalkan beberapa pelakon sebagai teraju utama, OME kali ini turut mengundang ramai nama besar seperti Datuk Aznil Nawawi, Rozita Che Wan, Yus Jambu dan Nur Fazura sebagai pelakon undangan.

Aaron ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka ditawarkan watak dalam OME yang begitu popular di kalangan pelajar sekolah. Malah dia sangat berbesar hati kerana keinginan anak-anak untuk menyaksikan lakonannya menerusi drama itu.


"Anak-anak begitu meminati drama ini terutamanya watak Jibam lakonan Akhmal Nazrin sehingga pernah mereka mahu ikut saya ke lokasi penggambaran namun ketika itu isteri tidak dapat ikut kerana sibuk menjaga kumpulan Sleeq menyebabkan saya tidak dapat membawa mereka," katanya.


Turut dikekalkan pelakon musim pertama seperti Zain Saidin, Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Mr Os, Izara Aishah, Aedy Ashraf dan ramai lagi.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro, Yasmin Megat berkata, Astro sangat komited dalam menawarkan pengisian pendidikan yang berkualiti tinggi dengan pembelajaran yang menyeronokkan menerusi penerbitan program seperti itu.

"Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama sekali lagi dengan Kementerian Pendidikan bagi membawa pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dalam OME dengan merentasi sekolah di seluruh negara.

"OME dilancarkan buat julung kalinya pada Mei 2012 dan menerima sambutan serta sokongan yang luar biasa bagi program pendidikan. OME juga berjaya memenangi hati peminat dengan ungkapan tajuk program ini dijadikan sebagai ungkapan popular di kalangan golongan belia Malaysia," katanya pada majlis pelancaran program berkenaan.

Hadir sama melancarkan program itu, Timbalan Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan wajah baru untuk menyertai OME, Yasmin memberitahu, semua barisan wajah popular ini dipilih penonton setia program itu.

"Kami mempunyai komuniti online yang aktif. Pada penghujung OME musim pertama, kami ada membuat kaji selidik dengan bertanyakan kepada peminat, siapakah artis yang mereka mahukan dalam OME musim kedua.

"Kami juga membuat undian secara online. Ternyata, semua wajah yang kami tampilkan inilah selebriti pilihan penonton OME," katanya.

Selain meraih jumlah penonton sebanyak 3.6 juta orang untuk musim pertama, OME juga program yang paling banyak ditonton di Astro On The Go. Ungkapan OME juga turut menjadi trend di laman Twitter sepanjang 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved