Sabtu, 6 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Raja kena gantung 6 bulan?

Posted:

Kuala Lumpur: Hukuman berat digantung sehingga enam bulan bakal menanti ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal andai didapati bersalah meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mendakwa beliau atas kesalahan melanggar peraturan Artikel 88 Statut FAM.

FAM semalam membuat keputusan mengeluarkan surat pertuduhan kepada pengendali pasukan negara itu berdasarkan Artikel 18 dan bukannya Artikel 88 yang diputuskan sebelum ini.


Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dipengerusikan Datuk Taufek Abd Razak bulan lalu, Rajagobal didakwa melakukan kesalahan melanggar Artikel 88 kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Berdasarkan Artikel 88 hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM berhak mengeluarkan kenyataan dan individu lain perlu meminta kebenaran terlebih dulu.


Bagaimanapun selaku ketua jurulatih, Rajagobal berhak membuat kenyataan mengenai pasukannya, namun beliau tetap didakwa menerusi Artikel 18 atas kesalahan mempersoal keputusan FAM menerusi kod 4.8.5 selepas kenyataannya disiarkan menerusi akhbar.


Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, selepas surat pertuduhan dihantar kepada Rajagobal semalam, ketua jurulatih itu mempunyai masa untuk menjawab pertuduhan hingga 12 April ini bagi membela diri.

Foto

Datuk K Rajagobal

Sekiranya gagal dalam perbicaraannya, Rajagobal yang mempunyai kontrak dengan FAM hingga Disember ini boleh digantung enam bulan serta denda RM8,000.


"Surat pertuduhan kepada Rajagobal sudah dihantar hari ini (semalam). Beliau diberi hingga 12 April ini untuk menjawab surat pertuduhan itu. Beliau dituduh di bawah Artikel 18/3 FAM, Kod 4.8.5.

"Rajagobal tidak akan disiasat di bawah Artikel 88, namun sekiranya didapati bersalah, beliau bakal berdepan denda RM8,000 serta penggantungan enam bulan," katanya.


Kes Rajagobal yang mula membimbing skuad negara pada 2009 tercetus apabila beliau mendakwa kehadiran pemain import Liga-M yang lebih mendapat tempat dalam pasukan utama menyebabkan negara ketandusan penyerang semula jadi.


Kenyataan beliau itu dibuat selepas menyaksikan anak buahnya tewas 1-4 di tangan Arab Saudi dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 17 Mac lalu.


Sementara itu mengenai kes membabitkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Ahmad Fuad berkata, FAM mungkin membuat keputusan mengenai hukuman yang bakal diumum Isnin ini.


"Kita sudah mengadakan mesyuarat khas. Mungkin Isnin ini kita akan tentukan." Tunku Ismail yang digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh FAM selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88 sebelum ini, dilapor berada di bangku simpanan skuad Johor Darul Takzim pada aksi menentang Terengganu pada 30 Mac lalu.


Bagaimanapun beliau sudah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden PBNJ kelmarin dan tugas itu kini disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Dominasi Honda bakal tercabar?

Posted:

Kuala Lumpur: Perlumbaan belum bermula tetapi pengenalan pasukan berstatus 'factory racing' oleh Yamaha perlu diberi perhatian dalam menyaingi dominasi pasukan Honda musim ini.

Menjelang perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, bermula hari ini, pasukan dikenali PETRONAS CKJ Team itu mendapat sokongan penuh Hong Leong Yamaha Malaysia Sdn Bhd. Pasukan yang bekerjasama dengan CKJ Racing berpangkalan di Terengganu akan memberi cabaran dengan mempertaruhkan dua pelumba berpengalaman, Md Zamri Baba dan Md Adli Salihin. Dua pelumba asal pasukan CKJ Racing, Ahmad Afif Amran dan Mohd Shariffudin Shamsuddin pula diletakkan untuk bersaing dalam kategori CP115.


Yang pasti pengenalan pasukan itu pasti memberi amaran awal kepada juara bertahan CP130, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dan Givi Honda Yuzy Pachie Racing, juara bertahan CP115.

Penyertaan pasukan ini pasti memberi amaran awal juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman, juara keseluruhan CP130 dan Amirul Ariff Musa, juara CP115 beraksi bersama Givi Honda Yuzy Pachie Racing dalam merencana strategi terbaik setiap pusingan bagi mengekalkan takhta dimenangi tahun lalu.


Malah, pengenalan 'shoot-out' julung kali dalam kategori CP115 memberi peluang terbaik pelumba mendapatkan grid permulaan final untuk mendapatkan pendahulu terbaik bersaing di litar teknikal.


Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran HLYM Voon Yin Kong berkata, idea menubuhkan pasukan ini timbul kerana tahap persaingan sukan permotoran di Malaysia semakin meningkat.

"Yamaha memiliki banyak rekod kemenangan sepanjang pembabitan Cub Prix sejak 20 tahun lalu tapi kami tidak mahu terus selesa atau bercerita kegemilangan pencapaian pada masa lalu.


"Kami mahu mengubah strategi dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam Cub Prix yang semakin moden dan itu menjadi antara sebab kami memperkenalkan pasukan berstatus 'factory racing'," katanya.

Ketika ini, kebanyakan pengeluar di Malaysia menyertai sukan ini melalui penajaan pasukan satelit. Ini adalah kali pertama dalam tempoh 20 tahun Yamaha menubuhkan kem sendiri dalam sukan peringkat nasional ini. Ketika PETRONAS Yamaha CKJ Racing tidak meletakkan sasaran kemenangan, berbeza pula dengan kem Honda.


Pengurus pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Soong Chee Kieong berkata: "Saya tidak kisah dengan persiapan pasukan lain kerana fokus utama pasukan saya. Apapun, saya tidak tahu di mana pasukan saya akan berada, tapi yang pasti, kemenangan pencapaian terbaik kerana daripada situ keyakinan hadir. Rasa selesa dan tahu kemampuan sendiri penting bagi menentukan perlumbaan seterusnya selepas itu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved