Ahad, 14 April 2013

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kejayaan bukan sekelip mata

Posted: 13 Apr 2013 01:04 PM PDT

Oleh NORIAH IDRIS, FIRDAUS SAHAT, SHAMRAN SARAHAN, MOHD AZAM SHAH YAACOB dan ANIZA ZAINUDIN

Kuala Lumpur: "Kejayaan tidak dicapai dalam sekelip mata. Di peringkat awal, saya tiada masa untuk makan dan kerap bertukar pakaian di tandas awam semata-mata untuk bertemu dan 'ambil hati' pelanggan," kata jutawan saham amanah dan insurans, Aida Nurlin Hanif, 32, menceritakan kerja kerasnya sebelum berjaya.

Ketika itu, dia perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerja kerana masih menuntut dalam jurusan Diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Menjadikan kakaknya, Nor Akmar, 36, sebagai idola, usaha gadis bertudung ini nyata berbaloi apabila mampu bergelar orang kaya baru ketika masih di universiti.

Masakan tidak, pada usia 21 tahun ketika rakan sebaya masih mengharapkan wang biasiswa dan pinjaman untuk menyara kehidupan di kampus, dia mampu memiliki kereta mewah Porsche Boxster.


Aida Nurlin yang lebih mesra disapa Elynn berkata, prinsip utamanya dalam setiap pekerjaan mesti dibuat sehingga sempurna dan berjaya.


Katanya, dia teruja melihat kekayaan kakaknya lantas yakin mampu memperoleh kejayaan sama jika berusaha bersungguh-sungguh walaupun dibebani komitmen sebagai pelajar.

Foto

ELYNN (kiri) berbincang dengan Akmar.

Menurutnya, kuliahnya bermula jam 10 pagi, namun seawal jam 8 pagi setiap hari dia mengatur janji temu dengan pelanggan tetap atau mencari pelanggan baru.


Selepas janji temu, dia bergegas ke kuliah sebelum mengatur pertemuan lain ketika waktu makan tengah hari bagi membolehkannya mencapai sasaran peribadi.

"Rutin itulah yang dilalui sehingga tamat pengajian. Kadangkala sampai malam pun masih bertemu pelanggan hingga makan tak menentu," katanya.


Kejayaan menakjubkan Elynn dan Akmar makin dikagumi pelbagai pihak hingga ramai menggelar mereka sebagai 'millionaire sisters' (jutawan adik-beradik).


Kini dua beradik kelahiran Ipoh, Perak ini mampu menjalani kehidupan bagaikan selebriti terkenal dunia, memiliki kereta dan banglo mewah serta membeli-belah di kota sehebat Paris, Perancis hasil keringat sendiri.


Mengimbau permulaannya sebagai perunding saham amanah, Akmar berkata, dia dipelawa seorang kenalan rapatnya untuk berkecimpung dalam bidang itu ketika berusia 23 tahun.


"Sebenarnya saya pemilik Ijazah Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST).


"Selepas menamatkan pengajian, saya sempat bekerja tiga bulan di sebuah syarikat besar di bidang teknologi maklumat (IT) sebagai pengurus besar.


"Namun, saya tidak puas dan beranggapan bidang amanah saham lebih sesuai dengan jiwa saya. Walaupun usia masih muda dan tidak ramai kenalan, saya yakin boleh melangkah jauh dengan usaha keras," katanya.


Berkat kegigihannya, dia berjaya membuka agensi sendiri pada usia 25 tahun dan mengurus serta mengendalikan pelaburan hingga meletakkannya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di institusi kewangan terbesar di negara ini.


Malah, dia mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan ketika berumur 26 tahun dan dua tahun kemudian, dia mampu melahirkan 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).


"Rahsia kejayaan ialah mendapat restu orang tua. Ibu banyak memberi semangat manakala ayah, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan di Perak serta adik-beradik banyak memberi kekuatan kepada kami berdua," katanya.


Dua beradik jutawan itu pernah merangkul lebih 250 anugerah, termasuk Ikon Belia Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini, berikutan prestasi cemerlang sebagai perunding saham amanah.


Pencapaian lain termasuk Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever, Million Dollar Round Table dan Anugerah Usahawan Muda Universiti Malaya.


Sementara itu, mengenai projek terbaru, Elynn berkata, mereka melancarkan MyMep iaitu singkatan daripada Malaysian Young Millionaire Entrepreneur Project dengan kerjasama KBS dalam usaha membantu melahirkan usahawan muda berjaya dan dinamik dalam tempoh tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14

'Saya takut...'

Posted: 13 Apr 2013 01:03 PM PDT

Seberang Jaya: "Saya takut. Ada yang ajak bertumbuk...caci maki macam-macam dan paling sedih apabila ada yang tuduh ibu bapa saya tak pandai jaga anak," kata Luqman Al Hakim Ahmad, 15, yang kini tertekan berikutan butiran peribadi dan gambarnya didedahkan sebagai suspek utama 'geng samseng YouTube' yang mendapat perhatian ramai di laman video sosial terbabit, sejak Selasa lalu.

Dia kini bimbangkan keselamatannya berikutan menerima pelbagai ancaman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan ke telefon bimbitnya sejak Rabu lalu.


Katanya, dia menerima ratusan panggilan dan puluhan SMS sejak rakaman video itu didedahkan hingga ada pihak mendedahkan identiti dan menyiarkan gambarnya dalam blog.

"Semuanya berpunca daripada salah identiti apabila ada pihak menerima maklumat salah dan mengambil gambar saya di facebook (fb) sebelum mendakwa saya suspek utama kes buli terbabit.


"Saya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan apabila ada yang mendakwa mengetahui alamat rumah dan akan datang mencari saya." katanya.


Sejak beberapa hari lalu, penonton YouTube di negara ini gempar dengan paparan video kejadian tiga pelajar membelasah seorang pelajar lain, di sini.

Foto

LUQMAN menunjukkan laporan polis dibuatnya.

Foto

ANTARA SMS berbentuk ancaman yang dikirim kepada Luqman.

Video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain, dipercayai rakan sekolahnya di sebuah kelas dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 4 Mac lalu.


Kejadian itu mendapat kecaman orang ramai di laman sosial termasuk di Facebook hingga satu blog memaparkan maklumat tiga individu yang didakwa tiga pelajar pembuli terbabit dikenali sebagai 'Pembuli SMK Tun Hussein Onn'.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin sebelum ini mengesahkan ketiga-tiga pelajar terbabit dibuang sekolah sejak 8 Mac lalu.


Ketiga-tiga pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Menurut Luqman, dia hanya mengetahui dinamakan sebagai suspek dalam kejadian itu apabila diberitahu sepupunya selepas pulang dari sekolah, Rabu lalu.


Katanya, dia terkejut apabila ada blog bukan hanya menyiarkan gambarnya sebagai suspek, tetapi turut menyertakan butiran tweeter, Instagram, FB dan juga blognya.


"Saya tak tahu bagaimana mereka mengetahui semua butiran terbabit.


"Saya terkejut kerana saya tidak terbabit langsung dalam kejadian itu," kata anak bongsu kepada lima beradik itu.


Menurutnya, dia tidak dapat mengesyaki sesiapa yang menyiarkan gambar dan butiran alamat laman sosialnya.


Katanya, atas nasihat guru dan keluarga, dia membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya bagi mengelak terus menjadi mangsa tohmahan.


Dia berharap penahanan ketiga-tiga pelajar itu dapat membersihkan namanya dan tidak mahu ada lagi pihak mengaitkannya dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved