Isnin, 1 April 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sekali mencuba terus jatuh cinta

Posted:

Kebanyakan warga kota tidak sabar menantikan waktu hujung minggu kerana pada masa inilah mereka boleh beristirahat di rumah selepas sibuk sepanjang minggu dengan tugasan di pejabat serta tuntutan lain.

Selain itu, ada juga yang memilih keluar berjalan-jalan bersama keluarga sama ada di taman burung atau kompleks beli-belah. Tidak kurang yang melepaskan 'dendam' di atas katil empuk, tidur seharian bertemankan bantal dan selimut.

Bagaimanapun, bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak dengan pelbagai jenis sukan rekreasi luar seperti mendaki bukit dan gunung atau menaiki motosikal, hujung minggu paling dinantikan untuk melepaskan gian mengikuti pelbagai aktiviti berkenaan.

Lelaki mahupun wanita, ramai yang beranggapan aktiviti seperti ini memenatkan badan, membuang masa dan tidak berfaedah kerana perlu bersusah payah masuk ke hutan sambil memikul beg yang berat serta berkemungkinan kaki dan tangan dihinggapi pacat.

Foto

PUNCAK Gunung Besar Hantu berjaya ditawan oleh Fatin dan rakan-rakan.

Foto

BEREHAT di bawah khemah ketika hujan.

Foto

KERIANGAN tiba di puncak gunung sukar digambarkan dengan kata-kata.

Foto

KERIANGAN tiba di puncak gunung sukar digambarkan dengan kata-kata.

Foto

FATIN (kiri) dan rakan-rakan menikmati buah-buahan di puncak gunung.

Foto

PASUKAN Maziah (depan, dua dari kanan) berjaya menakluki Gunung Kinabalu.


Fikir mereka lagi, lebih baik berehat di rumah dengan menonton televisyen siri drama kegemaran ramai daripada mendaki bukit dan gunung yang tinggi.


Namun jika sudah minat, peluang dapat melakukan aktiviti ini sukar dilepaskan sekalipun sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata.

Pelajar di Management & Science University (MSU), Fatin Mohamed, 23, berkata, minatnya terhadap aktiviti lasak terutama yang membabitkan alam semula jadi terbit sejak sekolah lagi. Cuma dia hanya berkesempatan melakukannya dengan serius ketika menuntut di universiti berkenaan pada 2008.

Muncul kumpulan terbaik dalam sesi orientasi pelajar baru, dia dan rakan-rakan mendapat peluang mendaki Gunung Nuang di Hulu Langat kelolaan pihak universiti.

Pertama kali mendaki gunung tertinggi di Selangor itu tanpa sebarang pengalaman mahupun stamina mencukupi, Fatin terus jatuh cinta selepas melihat panorama indah alam semula jadi di sepanjang proses pendakian.

Pelbagai jenis flora dan fauna yang unik dapat disaksikan. Semakin tinggi dirinya mendaki, semakin tinggi juga perasaan cintanya terhadap aktiviti itu.

"Sebenarnya, ketika pertama kali saya mendaki tanpa pengalaman dan latihan sepatutnya itu, saya sudah tetapkan azam dan tekad di dalam hati bahawa ini bukanlah kali pertama dan terakhir saya melakukan aktiviti ini.

"Kebetulan dikelilingi rakan-rakan yang suka mendaki, saya teruskan hobi saya ini bersama mereka selain meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada alam semula jadi yang cantik.

"Terlalu banyak perkara yang saya peroleh menerusi aktiviti ini. Antaranya adalah keseronokan, kepuasan, kawan baru, erti ikhtiar hidup dan paling penting, tentu saja pengalaman.

"Pengalaman itu mengajar saya mengenai hakikat hidup dan pada masa sama, membuatkan kita berfikir perihal keindahan dunia ciptaan Tuhan yang tiada bandingan," katanya.

Peristiwa 'disesatkan', tidur dalam hujan, jumpa serangga unik dan tapak haiwan liar, menjaga kawan yang sakit serta cedera ketika mendaki, secara perlahan-lahan mendewasakan pemikirannya.

Tatkala berjaya menjejakkan kaki di puncak gunung pula, Fatin bagai mendapat trofi kemenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi meraihnya selepas menempuh pelbagai cabaran dan kesulitan.

Selalunya, dia mendaki bersama rakan seperjuangan di MSU. Jika berkesempatan mereka akan menganjurkan aktiviti mendaki untuk pelajar MSU yang lain juga.

Aktiviti mendaki yang dilakukannya bukan setakat pendakian semata-mata, sebaliknya turut diselitkan dengan kegiatan kemasyarakatan lain seperti khidmat bakti bersama masyarakat Orang Asli dan anak yatim.

Sekiranya mengalami masalah kekangan waktu, Fatin hanya mendaki bukit berdekatan yang tidak memerlukannya bermalam di puncak contohnya Bukit Broga di Semenyih.

Cabaran mendaki Gunung Liang Timur dan Barat di Tanjung Malim, Perak, paling diingati kerana selain perlu menempuh laluan tanah yang agak teruk, dia juga harus menjaga rakannya yang cedera.

Jarak perjalanan yang memakan masa hampir tujuh jam untuk sampai ke tapak perkhemahan amat menyulitkan pergerakan mereka. Sewaktu mahu turun dari puncak pula, mereka sesat hampir enam jam dan menyebabkan orang kampung memulakan operasi mencari mereka.

Sepanjang tempoh sukar itu, mereka diuji dengan pelbagai perkara antaranya terdengar bunyi harimau, nampak ular berbisa, pokok tumbang serta hujan lebat.

Selain Gunung Nuang dan Gunung Liang Timur dan Barat, sehingga kini, dia sudah menawan puncak Gunung Datuk, Gunung Besar Hantu, Gunung Berembun, Gunung Santubong dan Bukit Broga.

Hajatnya pada masa depan, dia ingin sekali ke puncak Gunung Rinjani di Indonesia kerana mendapat tahu laluan dan kawasan di situ mencabar serta cantik.

Ditanya sama ada dia bimbang jika keadaan kulitnya menjadi gelap, jawab Fatin ringkas tidak.

"Mungkin kerana saya memang sudah tahu inilah risiko yang saya perlu ambil jika ingin melakukan sesuatu yang saya suka. Justeru, saya mengambil sikap tidak kisah asalkan saya dapat melakukan sesuatu menyeronokkan serta memberi kepuasan kepada diri sendiri.

"Lelaki tipikal memang sering mengutuk atau memandang rendah terhadap apa yang dilakukan wanita. Zaman sudah semakin maju dan rasanya wanita kini boleh diibaratkan berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki.

"Justeru, tidak ada masalah kalau seorang perempuan itu sukakan aktiviti lasak kerana ia hak individu. Jika mereka (lelaki) ada hak untuk memberi pandangan terhadap wanita yang sukakan aktiviti lasak, jangan dilupa wanita juga berhak melakukan sesuatu yang disukai asalkan ia tidak melanggar undang-undang negara serta hukum agama," katanya yang turut suka sukan berbasikal dan memanjat tembok batu.

Nasihat Fatin kepada wanita yang menggemari aktiviti ini, mulakan dengan langkah mudah terlebih dulu supaya lama kelamaan kita akan terbiasa. Jika tidak tahu bagaimana mahu bermula, jangan malu untuk bertanya dan ikuti kumpulan pendaki atau aktiviti lasak di luar.

Kalau sudah minat

Bagaikan sudah mengalir di dalam darah keluarga mereka, ibu saudara Fatin, Maziah Mazuki, 38, turut berkongsi minat yang sama. Seorang yang sukakan aktiviti mencabar yang menguji kekuatan fizikal serta mental, peluang meneroka sisi lain alam membuatkan dia jatuh cinta dengan aktiviti ini.

Kerap mendaki bersama ahli keluarga dan rakan, dia yang mesra dengan panggilan Maz akan melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental. Antaranya, bersenam secara konsisten untuk mengekalkan stamina, mengamalkan diet pemakanan sihat yang seimbang, menyediakan peralatan mendaki secukupnya dan melakukan kajian mengenai kawasan gunung yang hendak didaki.

"Setakat ini, tiada peristiwa mencemaskan yang berlaku terhadap saya ketika mendaki sebab segalanya berjalan lancar. Apa yang boleh dikatakan, minat mengatasi segalanya.

"Mengetahui saya boleh menghadapi cabaran sepanjang perjalanan ke puncak gunung cukup menggembirakan. Saya tidak kisah apa orang lain hendak kata mengenai hobi dan aktiviti seperti ini kerana setiap individu berhak melakukan apa yang mereka gemari.

"Seperti saya, aktiviti lasak yang dilakukan adalah untuk kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk mencabar kaum lelaki atau minta disanjung serta dikagumi orang lain," katanya yang sudah mendaki lebih 10 gunung seperti Gunung Kinabalu, Sabah; Gunung Brinchang, Cameron Highlands dan Gunung Senyum di Bukit Fraser.

Pilih motosikal

Anak kelahiran Perak, Normazni Ayub, 26, pula meminati motosikal dan lebih rela menunggangnya ke mana saja daripada memandu kereta.

Mula menunggangnya secara haram tanpa lesen seawal usia 15 tahun, dia tekad untuk memiliki lesen sah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Memilih motosikal berbanding kenderaan lain, Normazni menyatakan kosnya lebih rendah dan jika jalan sesak pada waktu puncak, dia boleh mencelah dengan mudah dan tiba di rumah pada waktu ditetapkan.

Mudah dikendalikan dan suka dengan kelajuan juga menjadi salah satu faktor Fatin memilih motosikal. Walaupun pernah mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia patah tangan, peristiwa itu tidak membuatkannya serik untuk terus menunggang motosikal.

"Saya rasa bebas apabila dapat memecut laju dan paling suka ketika memandu dalam keadaan hujan lebat. Peluang mencelah di antara kereta yang banyak di tengah jalan juga membuatkan saya berasa seronok kerana ia menguji tahap kemahiran saya mengendalikan kenderaan ini.

"Seorang wanita yang mahu menunggang motosikal perlu berani dan berjiwa kental kerana dia perlu bersaing dengan ramai penunggang lain di jalan raya," katanya yang memasang impian untuk memiliki motosikal jenis Ducati Monster satu hari nanti.

Selain gemar menunggang motosikal, Noormazni juga suka membaca buku dan menulis puisi selain berhajat melakukan terjun tali anjal (bungee) serta berlumba motosikal di litar Sepang jika mempunyai kesempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Tak lokek kongsi ilmu

Posted:

Tersentak selepas mendengar nasihat seorang pakar motivasi yang menyatakan jangan sesekali kita lokek berkongsi ilmu dengan sesiapa saja, Noor Hidawati Mohd Juki, 36, mengambil keputusan mengajar seni kraftangan kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Wanita bergelar ibu tunggal, suri rumah dan guru antara mereka yang setia menjadi anak muridnya untuk satu tujuan iaitu menambah ilmu di samping boleh menjana pendapatan lebih sekalipun hanya melakukannya di rumah.

Ibu kepada empat cahaya mata ini percaya sekiranya kita jujur dan ikhlas berkongsi kebolehan bersama orang lain, Tuhan akan memudahkan serta memberi lebih rezeki dalam kehidupan mereka.

"Saya kerap mendengar keluhan ramai wanita yang mahu belajar seni kraftangan atau apa saja kemahiran tetapi tidak tahu cara memulakannya. Selain itu, ada juga wanita yang mahu dijadikan guru itu tidak sudi mengajar mereka.


"Alasannya, mereka khuatir hasil tangan dan perniagaan sedia ada terjejas sebab akan ditiru bulat-bulat lalu me-nutup pintu rezekinya.


"Saya memang tidak bersetuju de-ngan cara ini kerana bagi saya, jika kita berusaha dan tidak lupa berdoa kepada Tuhan, pasti bahagian yang selayaknya kita terima akan dirasai juga.

"Soal tiru atau tidak hasil seni kraftangan seseorang, berkaitan dengan kreativiti dalam menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Jika kerja seni kita ditiru, cuba hasilkan rekaan baru yang lebih menarik hati dan disukai orang ramai. Ia semudah itu saja," katanya.

Mengajar kira-kira 30 wanita, sambutan yang diterimanya itu membuat-kan dia teruja kerana dapat membantu mereka melakukan perkara positif dan berpotensi untuk dikembangkan menjadi perniagaan pada masa depan.

Malah, dia juga gembira apabila bukan setakat golongan wanita, kanak-kanak juga antara pelajarnya yang bijak dan banyak melontarkan idea baru dalam penghasilan kraftangan mengikut perkembangan semasa.

Antara barangan atau kraftangan yang dihasilkannya adalah sarung kotak tisu, potpuri pelbagai bentuk, bekas jarum dan lapik cawan menggunakan kain felt berkualiti.

Menyoroti kisahnya dalam bidang ini, Noor Hidawati mengakui ia berlaku secara tidak sengaja. Segalanya bermula di hospital ketika menjaga dan menemani anak ketiganya yang tidak sihat sekitar 2009.

Sambil menunggu di tepi katil, dia memulakan jahitan menggunakan pek permulaan bersaiz kecil yang dibeli lalu mula membentuknya. Siapa sangka perlakuannya itu diperhatikan ramai jururawat bertugas lalu seorang daripada mereka memuji hasil kerjanya.

Terkejut dengan pujian itu, dia dihujani pula de-ngan idea daripada mereka yang menyatakan seni kraftangan moden seperti ini boleh menjana pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Mengambil cadangan itu dari sudut positif, dia mengatakan pada diri sendiri ada betulnya apa yang disarankan jururawat berkenaan.

Justeru, secara perlahan-lahan dan atas restu suami tercinta, dia mula membuka perniagaan dalam talian menerusi kedaiadik.blogspot.com walaupun pada ketika itu turut sibuk menguruskan karier sebagai setiausaha dan rumah tangga.

"Saya mula membuat potpuri dan beberapa barangan lain kemudian memberikannya kepada rakan di tempat kerja. Bermula dari situ, saya mendapat maklum balas meyakinkan sehingga menerima tempahan dalam kuantiti banyak untuk satu majlis perayaan.

"Lama-kelamaan, tempahan yang saya terima semakin banyak dan disebabkan masalah kekangan waktu antara kerja serta keluarga, saya membuat keputusan berhenti kerja secara rasmi pada Februari 2011 selepas berbincang bersama suami.

"Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Apabila mula mendapat pertanyaan daripada pelanggan yang mahu belajar membuat krafta-ngan, saya tidak mahu menghampakan mereka dan berkongsi segala ilmu yang ada ini bersama-sama," ujarnya yang sudah belajar menjahit sejak berusia sembilan tahun lagi.

Tambahnya, tanpa minat dan kesungguhan juga mungkin dia, malah sesiapa yang mencuba bidang ini tidak akan berjaya kerana minat dan mempunyai idea kreatif menjadikan penghasilannya lebih mudah.

Jika tiada kesinambungan antara kedua-dua elemen itu, sudah pasti hasilnya tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Justeru, jika sudah berminat tetapi tidak mempunyai pengetahuan mendalam untuk mencorakkannya, Noor Hidawati menasihati berguru terlebih dulu dengan sesiapa yang mempunyai kemahiran berkenaan.

Baginya, menerusi kelas seni kraftangan yang dihadiri pula pasti memberi manfaat kerana dapat bertukar fikiran dan mencari idea baru untuk menambah baik penghasilan apa saja jenis seni kraftangan yang mahu dilakukan.

Menyentuh perancangannya pada masa depan, dia berhajat membuat bufet manisan bersama rakan kongsinya dari Seremban, Negeri Sembilan dan mengetengahkan seni kraftangan moden kontemporari ke peringkat lebih tinggi.

"Saya akan berusaha membawa kraftangan moden kontemporari tempatan ini untuk lebih dikenali dalam kalangan masyarakat amnya dan dunia khasnya menerusi pameran di ekspo besar yang disertai ramai penggiat seni kraftangan sama ada secara serius mahupun tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved