Harian Metro: Hati |
Posted: 14 Apr 2013 09:41 AM PDT Bagi sesetengah individu, senaman tanpa muzik dengan hanya menggunakan pergerakan mungkin sesuatu yang membosankan. Aktiviti bersenam lazimnya lebih menyeronokkan serta memberikan semangat seandainya diiringi muzik rancak. Jika dulu, senaman zumba mungkin kedengaran agak asing, tetapi kini semakin ramai ingin mempelajarinya berikutan kepelbagaian muzik serta pergerakan ketika bersenam memberikan keseronokan berganda, apatah lagi dilakukan dalam kumpulan kecil. Menurut jurulatih Zumba Fitness Malaysia yang juga jurulatih di Pusat Kecergasan Easy Fitness, Shah Bariah Hussain, sejarah senaman zumba bermula hampir 20 tahun lalu di Colombia apabila jurulatih kecergasan, Beto Perez, memperkenalkannya di seluruh dunia. Ia menggabungkan kepelbagaian rentak dalam senaman dan paling sesuai dipelajari bagi mereka yang ingin menguruskan badan, kekal cergas dan mendapatkan bentuk badan menawan kerana menggabungkan teknik tarian perlahan serta pantas. TANGAN memegang dumb bell, kemudian buka 90 darjah. Kaki kiri di hadapan dan kaki kanan di belakang. DALAM posisi sama, tangan kanan dan kiri dibawa ke depan. Lakukan dalam kiraan lapan. Senaman ini bagus untuk membentuk otot lengan. BENGKOKKAN kaki seperti separuh mencangkung. Tangan dibuka dalam posisi 90 darjah. MASIH dalam kedudukan sama, bawa tangan kanan dan kiri ke hadapan dan luruskan. Lakukan dalam kiraan lapan. Senaman ini untuk memperkuatkan otot kaki dan tangan. KAKI kanan di hadapan dan kiri di belakang. Angkat tangan kanan ke atas manakala tangan kiri di hadapan. DALAM posisi sama, angkat tangan kanan dan kiri ke atas manakala kaki kanan dilonjakkan sedikit. Lakukan dalam kiraan lapan. BERDIRI tegak, buka kedua-dua tangan 90 darjah kemudian angkat kaki kanan dan tangan kiri. MASIH dalam posisi sama, tukar kaki kanan kepada kaki kiri diikuti tangan kanan sehingga siku bersentuhan lutut. Lakukan berulang kali dalam kiraan lapan.
"Apa yang penting, langkah tarian ini sangat mudah dipelajari dan ia sememangnya menyeronokkan untuk pelbagai lapisan masyarakat," katanya. Bagi mereka yang ingin bersenam menggunakan dumb bell, senaman zumba toning membantu untuk membina otot menjadi lebih menarik sekiranya dilakukan secara konsisten. Ia memberi tumpuan kepada otot lengan, kaki, paha dan pinggul. "Bagi mereka yang ingin melakukannya boleh menggunakan dumb bell atau botol air berisi air 600 mililiter. Kemudian pergerakan dimulakan menggunakan tangan, diikuti kaki, paha dan pinggul. Jika dilakukan secara konsisten, ia mampu membina otot menjadi lebih terbentuk dan menarik," katanya yang menunjukkan teknik senaman zumba toning kepada pembaca Harian Metro. Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai senaman zumba, layari zumba.com/training. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14 |
Sihat Cergas: Senaman ubah gaya hidup Posted: 14 Apr 2013 08:54 AM PDT Setiap hari kita diingatkan mengenai kesihatan yang meliputi pemakanan sihat dan seimbang. Pelbagai persoalan juga dibangkitkan perihal perkara ini apabila ramai yang tertanya-tanya sama ada wujud pemakanan sihat atau sebaliknya. Sebenarnya, tidak wujud istilah makanan tidak menyihatkan kerana setiap sumber makanan mempunyai nilai nutrisi masing-masing yang memberikan kelebihan kepada tubuh badan.
Ia sering dinamakan makanan tidak sihat apabila anda mengambil sesuatu jenis makanan dalam kuantiti terlalu banyak lalu menyebabkan masalah lain seperti kegemukan atau obesiti. Ini bermakna, anda tidak seimbangkan pengambilan setiap jenis makanan yang terkandung di dalam piramid makanan dengan betul, tetapi terus makan mengikut hawa nafsu.
Faktor penentu adalah diri anda sendiri. Usah lagi memberi alasan tiada masa untuk bersenam kerana semua orang diberi Tuhan masa yang mencukupi iaitu 24 jam sehari. Memang bersenam akan membuatkan kita berasa letih, tetapi jika difikirkan faedah kemudian hari yang akan diperoleh, pasti perasaan itu bertukar menjadi gembira. Sekiranya tidak mampu untuk melakukan senaman dengan kerap atau jenis senaman yang berat, pilih senaman yang ringkas dan memudahkan diri anda sama ada boleh dilakukan di rumah, tempat kerja atau gimnasium. Tidak kira berapa pun berat atau sebesar mana saiz badan kita, senaman yang dilakukan secara teratur memberi banyak manfaat kepada kita. Dalam usaha menjaga kesihatan, tiada istilah terlewat. Contohnya sebagai permulaan, buat aktiviti ringan dengan berjalan pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Berjalan di kawasan perumahan selama 10 hingga 15 minit setiap pagi sudah memadai dan apabila stamina bertambah, lanjutkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari. Namun perlu diingat, buat aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam untuk mengelak mendapat kecederaan atau ketegangan otot. Selain itu, dengan mengamalkan pemakanan serta senaman kita boleh mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik yang boleh mengancam nyawa seperti penyakit jantung. Misalnya, senaman kardiovaskular yang kerap dilakukan boleh meningkatkan kesihatan jantung manakala pemilihan makanan yang rendah kandungan garam pula boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Anda juga harus peka terhadap keadaan kesihatan diri sendiri. Jangan amalkan diet mendadak jika anda tahu bagaimana mahu mengira jumlah kalori bagi setiap pengambilan makanan seharian. Jangan juga mengamalkan diet itu sesuka hati kerana ditakuti akan mendatangkan kemudaratan. Lakukan kalori defisit agar dapat mengurangkan berat badan berlebihan. Bagi kebanyakan orang yang dapat menurunkan berat badan atau mengamalkan pemakanan seimbang dan senaman, rata-rata mereka mengakui ia ternyata dapat meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan. Siapa yang tidak mahu tampil menarik dengan menggayakan pakaian kegemaran yang cantik-cantik belaka bukan? Tidak kiralah wanita mahupun lelaki, masing-masing tentu saja berperasaan begitu. Hidup yang sihat dan aktif dapat mengurangkan tekanan serta membantu menangani sebarang masalah dengan lebih baik. Tekanan boleh disebabkan oleh banyak faktor antaranya pekerjaan, makanan, keluarga, rakan, masalah kewangan, tidak cukup tidur, anak serta konflik dalam keluarga. Justeru, mulakan gaya hidup sihat dari sekarang dan jangan berlengah. Cuba rujuk bahan bacaan bercetak atau maklumat terdapat di Internet. Tidak lupa, bertanya pada pakar kesihatan atau jurulatih bertauliah untuk permulaan serta tunjuk ajar. Jangan malu untuk bertanya kerana ditakuti anda akan sesat jalan di kemudian hari. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan