Jumaat, 19 Julai 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gabungan tudung, selendang

Posted: 19 Jul 2013 07:42 AM PDT

Kombinasi warna dalam penghasilan tudung satu perkara yang sangat penting serta memerlukan ketelitian. Ini kerana ia memerlukan teknik serta daya imaginasi yang tinggi bagi menghasilkan gabungan warna sepadan, menyerlah, anggun serta tampak eksklusif.

Menyedari wanita masa kini semakin berani serta bijak bergaya, jenama tudung Fareeda masih mengekalkan kombinasi rona terang pada tudung Khadeeja dengan merujuk kepada warna kegemaran wanita kemudian dipadankan dengan corak dan olahan pemilik Fareeda sendiri, Faridah Zakaria.

"Sejak dulu hingga kini kombinasi warna sentiasa menjadi keutamaan jenama ini dan ia diteruskan dalam penghasilan tudung terbaru Khadeeja yang mengetengahkan gabungan warna terang seperti merah jambu, kuning, hijau, biru laut, ungu, merah, coklat, hitam dan jingga yang kemudiannya diolah Unit Kajian dan Pembangunan (R&D) Fareeda," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tudung terbarunya ini, Khadeeja adalah hasil kombinasi tudung sarung bersengkuap bersama selendang yang dijahit sekali. Menariknya, tambahan perhiasan seperti bunga baldu dan kerongsang berpalang sebagai aksesori tambahan bagi menyerlahkan keanggunan si pemakai.

Foto

UNTUK lebih kemas sematkan bahagian hujung selendang di kepala.

Foto

TAMPIL berani tudung Khadeeja rona merah jambu dan kelabu.

Foto

GABUNGAN biru laut dan firus memberikan penampilan berbeza.

Foto

GABUNGAN tudung dan selendang menampilkan empat penggayaan berbeza. Ia boleh dililit dan dipin di kepala.

Foto

TUDUNG hitam mampu digayakan dengan semua jenis warna pakaian.

Foto

TUDUNG boleh digayakan dengan membiarkan juraian dilepaskan untuk tampil kemas dan selesa.


Menurut Faridah, idea menghasilkan tudung ini tercetus selepas menyedari masih ramai peminat tudung jenis bawal di Malaysia. Jadi dia mereka satu tudung menyerupai jenis bawal tetapi menggunakan material sifon berkualiti dua lapis dengan tambahan kerongsang yang boleh disematkan pin pada bahu atau kepala.


"Tudung Khadeeja menjanjikan keistimewaan kepada wanita kerana ia tudung jenis sarung tetapi pada masa sama digabungkan dengan selendang yang menampakkan seolah-olah wanita memakai tudung bawal," katanya.

Bagi memperlihatkan konsep serba guna, tudung ini didatangkan dalam empat gaya berbeza sama ada dipinkan kerongsang di bahu atau di kepala. Ini bagi memberikan lebih pilihan terutama kepada wanita berkerjaya sama ada menyesuaikan untuk ke pejabat atau menghadiri acara kasual.

Wanita juga tidak perlu bimbang mencari kerongsang sepadan kerana setiap pembelian disertakan kerongsang mengikut warna tudung.

Fareeda meletakkan kerongsang pada tudung rekaannya supaya tampak eksklusif dan bergaya. Malah daripada kajian dilakukan Faridah, kerongsang adalah perhiasan kesukaan wanita dan pasti akan kekal keindahannya apabila dipakai bersama tudung.

Selain warna dan corak, Fareeda masih mengekalkan penggunaan material sifon dalam setiap rekaan terbaru termasuk tudung Khadeeja. Ini kerana Faridah sendiri sudah mencuba pelbagai jenis kain dan akhirnya memilih sifon kerana material ini terbaik dan berkualiti tinggi. Malah dia juga mendapati material jenis ini lebih lembut, tidak panas dan terletak cantik apabila dipakai.

Untuk tudung Khadeeja, penggunaan sifon dua lapis berbeza warna dipilih bagi mengekalkan identiti Fareeda. Dengan ukuran standard 13 inci labuh, selendang boleh dipanjang atau dipendekkan mengikut cita rasa wanita.

Menjelang Aidilfitri ini, Fareeda bukan saja menyediakan tudung Khadeeja dan Zaynab versi bawal malah rekaan sedia ada seperti Sofiya, Suzanna dan Sara bagi memenuhi keperluan wanita. Dalam pada itu koleksi jubah dewasa dan kanak-kanak turut disediakan bersama tudung untuk si kecil yang pastinya memberikan kelainan untuk seisi keluarga.

Sempena Syawal, disediakan harga promosi istimewa untuk tudung Khadeeja. Semua produk keluaran jenama terbabit boleh didapati di semua butik yang terletak di Bangi, Shah Alam dan Pulau Pinang. Untuk jangka masa panjang, jenama terbabit merancang untuk menambah cawangan serta mengintai peluang di negara Timur Tengah seperti Arab, Mesir, Turki dan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Kuasai jahitan manik

Posted: 19 Jul 2013 06:54 AM PDT

Dia bukanlah pereka kasut atau fesyen terkenal yang khidmatnya digunakan ramai selebriti untuk menghasilkan rekaan sepatu serta pakaian mereka.

Namun, hasil kerja tangannya menjahit manik pada pakaian terutama baju kurung dengan jahitan halus dan kemas mendapat perhatian ramai wanita.

Bekerja sepenuh masa sebagai pereka grafik, Nornazarina Ghadin, 38, yang mesra disapa Nona membabitkan diri dalam seni jahitan manik pada pakaian dan kasut selepas ramai rakan memuji hasil kerjanya.

"Minat saya terhadap bidang ini timbul sejak usia belasan tahun selepas banyak membantu emak yang ketika itu mengambil upah menjahit manik ­busana pengantin ­daripada butik.


"Mula-mula saya cuma tengok emak jahit manik satu persatu kerana ia kelihatan rumit dan melecehkan. Pada masa sama, emak juga mengajar dan menerangkan pada saya cara menjahit atau mencantum manik supaya menjadi satu bentuk dan corak yang menarik.


"Secara perlahan-lahan saya pun mula menjahit manik yang mudah terlebih dulu sebab takut kalau jahitan saya tidak cantik, nanti dimarah pemilik butik pula.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada emak, saya semakin mahir menguasai seni jahitan manik tanpa mengambil kelas jahitan secara formal," katanya.

Nona juga menggunakan kemahirannya itu pada pakaiannya sendiri dan apabila ramai rakan memuji dan bertanyakan tempat dia membuat jahitan manik itu, Nona mengakui dia menjahitnya sendiri.

Tidak semudah itu Nona mengambiltempahan ­kerana pada waktu itu dia tidak yakin untuk menjahit manik pada pakaian orang lain kerana khuatir rekaannya ­tidak cantik atau tidak boleh ­diterima.

Bagaimanapun, atas sokongan kawan dan keluarga, dia memberanikan diri dan berdasarkan maklum balas positif mereka, dia maju selangkah lagi membuka tempahan kepada orang ramai menerusi blognya (nonadsign4u.blogspot.com dan www.facebook.com/NonaDsign).

"Saya menggunakan pelbagai jenis manik, kristal dan ada juga batu swarovski serta tidak dilupa renda yang selalunya dijahit serta ditampal pada bahagian hujung lengan baju, hujung kain, dada dan leher.

"Bahan sama juga saya gunakan ketika mereka gaya jahitan manik pada kasut untuk majlis seperti perkahwinan dan pertunangan.

"Semua rekaan saya asli yang lahir daripada kreativiti sendiri dan jarang setiap baju mempunyai jahitan corak dan bentuk sama. Ini kerana, saya mahu memberikan sesuatu yang eksklusif kepada pelanggan.

"Namun, saya juga mendengar pendapat dan kemahuan pelanggan mengenai gaya yang mereka sukakan. Semua itu akan dinyatakan ketika mereka menghantar tempahan," jelasnya.

Menurut Nona, terdapat beberapa jenis gaya yang dihasilkannya seperti crumble, tampalan renda tepi dan bunga 3D.

Mengikut corak baju pelanggan, Nona mereka gaya mengikut kesesuaian kerana sesetengah pelanggan tidak suka ada manik yang terlalu sarat dan hanya menggemari gaya ringkas.

Sekiranya baju berkenaan polos iaitu tidak bercorak, selalunya jahitan manik atau tampalan renda dan bunga 3D mampu menyerlahkan lagi pakaian berkenaan.

Dia juga bermain dengan warna dalam pemilihan manik supaya dapat dipadankan dengan warna atau corak baju dan bukan dilakukan sebarangan. Kebiasaannya, Nona memilih warna paling minimum pada baju untuk warna utama manik.

Katanya, jahitan manik adalah kreativiti luahan perasaan atau inspirasi menerusi corak lakaran yang menarik namun ia lebih memuaskan hati jika penghasilannya menggunakan teknik yang betul.

Menerusi manik, kita juga boleh menghasilkan rekaan lebih kreatif dengan menggabungkan kristal dan labuci untuk menonjolkan konsep mewah.

"Namun, pemilihan bermula daripada corak, teknik jahitan dan gabungan warna penting sebelum menghasilkan rekaan agar ia tampak lebih cantik selepas disiapkan," ujarnya yang mengenakan upah berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved