Rabu, 17 Julai 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Berani mati

Posted: 16 Jul 2013 12:23 PM PDT

Melaka: Tiga lelaki warga Nigeria sanggup menggadai nyawa apabila turun melalui balkoni dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Batu Berendam di sini, bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen negeri, malam kelmarin.

Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya melarikan diri, manakala seorang daripadanya berusia 42 tahun tersangkut di tingkat satu balkoni pangsapuri berkenaan sebelum ditahan.


Penolong Pengarah merangkap Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Asani Ladjani berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa lebih setengah jam bagi memujuk lelaki itu supaya menyerah diri.

"Malah, kami terpaksa memanggil Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi membolehkan lelaki berkenaan dibawa turun dengan selamat sebelum menyerah diri.


"Dalam serbuan di unit berasingan di tingkat dua, dua lelaki warga sama dan seorang perempuan warga Thailand ditahan selepas pegawai kami terpaksa memecah pintu premis itu," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.


Menurutnya, tiga lelaki Nigeria dan seorang wanita Thailand itu antara 22 warga asing berusia 18 hingga 42 tahun yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Batu Berendam, tapak pembinaan di Taman Paya Emas, Tanjung Minyak dan rumah di Jalan Jasa Merdeka.

Foto

SEORANG lelaki Nigeria tersangkut di balkoni sebelum ditahan dengan bantuan JPAM.

Menurutnya, semua yang ditahan membabitkan enam lelaki Nigeria, Myanmar (9), Indonesia (5), Nepal (1) dan seorang wanita Thailand.


Katanya, serbuan lima jam bermula jam 10 malam itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah S Santhee bersama 17 pegawai.

"Dalam serbuan di satu lagi unit di tingkat satu pangsapuri sama, kami turut menahan tiga lelaki warga Nigeria.


"Hasil pemeriksaan, empat lelaki berkenaan disyaki tinggal di negara ini tanpa permit sah, manakala dua yang lain memiliki dokumen palsu," katanya.


Menurutnya, serbuan di tapak pembinaan di Taman Paya Emas menemui penemuan mengejutkan apabila dua lelaki warga Indonesia dijumpai menyorok di atas siling rumah kedai yang sedang dalam pembinaan.


"Mereka berjaya ditahan selepas pegawai kami mengesan pergerakan di atas siling berkenaan dan hasil pemeriksaan ada lubang kecil dan tangga disediakan untuk naik ke atas siling.


"Ketika serbuan hanya dua orang berjaya ditahan di atas siling berkenaan, manakala yang lain melarikan diri, laluan di siling yang dipercayai dijadikan tempat tidur mereka itu hanya boleh diakses secara meniarap," katanya.


Menurutnya semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 56(1a)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved