Khamis, 18 Julai 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Perangi tiket palsu

Posted: 17 Jul 2013 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia memerangi sindiket tiket palsu apabila mengarahkan Jawatankuasa Integriti supaya membentuk kerjasama dengan pihak polis bagi memastikan masalah itu dibanteras segera.

Timbalan Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, FAM tidak boleh bertindak sendirian dalam menangani isu itu memandangkan masalah tiket palsu ini adalah salah satu kes jenayah.


"Tiket palsu ini satu kes jenayah dan kita tak boleh membanteras dengan sewenang-wenangnya. Saya harap tiada pihak yang ambil untung daripada jualan tiket ini.

"Kita telah mengarahkan Jawatankuasa Integriti untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk mengatasi masalah ini jadi kita akan pantau dari masa ke semasa," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-8 semalam.


Isu tiket palsu ditimbulkan oleh Arena Metro semalam apabila seorang penonton mendedahkan memiliki tiket palsu final Piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (DT) pada 29 Jun lalu.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Faris Al-Ghazi memperoleh tiket itu daripada salah seorang penonton yang mendakwa membeli dengan harga RM45 daripada seorang individu di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Foto

TENGKU Abdullah (tengah) menjawab soalan wartawan di Hotel Royale Chulan, semalam.

Penjualan tiket palsu itu dipercayai menjadi punca insiden limpahan penonton final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Faris juga mendakwa sistem kawalan yang longgar tanpa alat pengimbas mengesan tiket di pintu masuk juga memudahkan penonton yang memiliki tiket palsu terlepas.

Tengku Abdullah tampil memberi jaminan bahawa kawalan di pintu masuk akan diperketatkan bukan saja untuk memastikan tiada bahan larangan dibawa masuk penonton , juga mengesan tiket palsu.


"Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat tiket palsu ini supaya tampil memberikan maklumat kepada pihak polis atau FAM.


"Selepas ini bagi aksi final, kita akan memperkenalkan sistem baru iaitu menggunakan dua tempat pemeriksaan di laluan masuk ke stadium," katanya.


Turut dibincangkan pada mesyuarat itu yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah adalah cadangan pembahagian tiket final kepada dua finalis berikutan timbul masalah kegagalan penyokong mendapat tiket final Piala FA.


"Masalah tiket ini timbul apabila sampai ke peringkat negeri (persatuan), jualan tiket tidak seperti yang diharapkan. "Selepas ini kita akan buat pembahagian iaitu menyerahkan tiket kepada persatuan negeri dan menjual secara terus kepada penyokong negeri atau kelab masing-masing.


"Kita nak pembahagian tiket yang adil kerana kita dapati persatuan negeri menjual secara pukal dan ini menyukarkan peminat mendapat tiket," tegas Abdullah.


Dalam perkembangan lain, FAM turut bersetuju menangguhkan sepak mula kempen Piala Malaysia pada 17 Ogos ini kepada 20 Ogos memandangkan Kelantan dan ATM beraksi dalam perlawanan Kejuaraan FAM dan FAS pada 12 hingga 13 Ogos depan menentang Tampines Rovers dan Warriors FC.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Muirfield cabar kewibawaan

Posted: 17 Jul 2013 09:52 AM PDT

Gullane, Scotland: Terbuka British kembali ke Muirfield buat kali ke-16 bermula hari ini dengan dua minggu yang panas mengubah lapangan berangkai Scotland itu menjadi lapangan yang sukar, pantas dan ujian getir buat pemain terbaik.

Kayu driver mungkin jarang digunakan dan iron menjadi senjata utama di kotak tee ketika barisan pemain elit berusaha mengelakkan rough sukar dan mencipta sudut terbaik untuk menyerang ke pin di lapangan East Lothian dengan par-71 itu.


Graeme McDowell, juara Terbuka AS 2010 yang membesar bermain di lapangan berangkai di Ireland Utara dan turut bermula dalam kelompok pemain pilihan, membandingkan bermain golf di Muirfield dengan permainan catur.

"Pastinya kami berdepan permainan catur minggu ini, Anda perlu meletakkan tentera anda di posisinya dan terus bermain," katanya.


"Lapangan golf ini berada di depan anda, tiada tipu helah yang terselindung. Permainan yang berkualiti akan berjaya.


"Anda perlu melakukan pukulan ke tempat yang anda jangkakan. Ia memberikan anda peluang baik di sekitar green.

"Sembilan per sepuluh lapangan golf ini akan memihak kepada pemain yang bermain dengan bagus dan menyukarkan anda dari kotak tee namun memberikan anda peluang terbaik di green.


"Ia satu lapangan seimbang yang memberikan kelebihan kepada pemain hebat dan permainan hebat, mungkin itu sebabnya kita saksikan terlalu ramai juara hebat di gelanggang ini." Melihat kepada senarai pemenang di Muirfield mengesahkan apa yang diperkatakan McDowell kerana ia termasuk Ernie Els, kali terakhir ia diadakan di situ pada 2002, Nick Faldo pada 1992 dan 1987, Tom Watson (1980), Lee Trevino (1972), Jack Nicklaus (1966) dan Gary Player (1959).

Pilihan utama kejohanan Tiger Woods berhasrat untuk menyertai senarai itu dan akhirnya memenangi kejuaraan utamanya kali ke-15, lebih lima tahun selepas kali terakhir menang pada Terbuka AS 2008 di Torrey Pines. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved