Isnin, 7 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penat lelah hampir 11 tahun berbaloi

Posted: 07 Jan 2013 09:39 AM PST

Melihat aksi ramai anak orang asing yang bukan saja ligat berenang malah mampu menyelam hingga ke dasar laut ketika bercuti di luar negara lebih 10 tahun lalu, menimbulkan kesedaran yang cukup kuat dalam diri Syed Abdul Rahman Syed Hassan, 47, untuk mencurahkan ilmu yang ada pada dirinya bagi mendidik anak bangsa.

Syed Abdul Rahman yang juga pengasas dan Pengarah Kids Scuba, membuat penyelidikan selama dua tahun pada 2002 dengan menjadikan anaknya sendiri, Sharifah Nadhirah, yang ketika itu hanya berusia lapan tahun sebagai pelajar pertamanya.

Hasil tunjuk ajarnya, Sharifah Nadhirah berjaya diiktiraf sebagai Penyelam Skuba Termuda PADI Seal Team yang pertama di Malaysia oleh Pejabat PADI Asia Pasifik berpusat di Sydney, Australia.

Kejayaan membanggakan itu seterusnya mendorong Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan Kids Scuba iaitu pusat latihan skuba kanak-kanak Malaysia pada 2004. Ia bukan saja membuka peluang kepada kanak-kanak untuk belajar menyelam, malah turut memupuk aspek kesedaran untuk menjaga dan memulihara khazanah laut.

Foto

KANAK-KANAK teruja belajar menyelam.

Foto

ANTARA kanak-kanak yang belajar menyelam.

Foto

ANTARA kanak-kanak yang belajar menyelam.


Syed Abdul Rahman mengakui ketika melancong, dia sering melihat hanya kanak-kanak bangsa asing saja yang pandai menyelam lantas hatinya terdetik untuk melatih kanak-kanak tempatan. Ini kerana dia yakin mereka juga boleh menyelam sehebat orang luar, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman berada di bawah air.


"Apabila saya melihat anak saya mampu menyelam biarpun masih muda, saya berpendapat anak orang lain juga boleh melakukan perkara yang sama dan itu membuatkan saya yakin untuk menubuhkan pusat latihan skuba kanak-kanak.

"Saya mahu kanak-kanak di Malaysia turut berpeluang membabitkan diri dalam aktiviti popular di peringkat antarabangsa seperti skuba," katanya.

Mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam skuba, Syed Abdul Rahman sehingga kini sudah melatih lebih 1,000 pelajar termasuk daripada golongan kenamaan dengan dibantu 15 tenaga jurulatih dan pembantu jurulatih.

Atas usaha gigih Syed Abdul Rahman untuk membantu kanak-kanak serta orang dewasa mahir dalam aktiviti skuba, kejayaan demi kejayaan dirangkul Kids Scuba selain mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Lebih membanggakan, Kids Scuba pernah menerima pengiktirafan Anugerah Program Skuba Kanak-Kanak Terbesar Dunia di Bangkok, Thailand pada 2008 dan Anugerah Program Skuba Kanak-Kanak dan Skuba Kanak-Kanak Paling Cemerlang di Dunia yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2010.

Pada Julai 2012, Kids Skuba menerima Anugerah Pendidikan Penyelam Muda PADI di Ekspo Selam Antarabangsa Malaysia (Mide) bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Menurut Syed Abdul Rahman yang juga Jurulatih PADI Seal Team, tidak sukar untuk melatih kanak-kanak kerana mereka tidak mempunyai ketakutan seperti orang dewasa, sebaliknya tidak sabar-sabar dan bersemangat untuk belajar menyelam.

"Seperti kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya, kanak-kanak senang dibentuk dan selepas hanya lima kelas mereka sudah pandai menyelam," katanya.

Dengan pusat latihan di Putra Heights, Subang Jaya, pelajar dilatih menyelam di kolam terlebih dulu dalam kelas yang diadakan setiap Sabtu di pusat renang Akademi Latihan Maybank, Bangi.

Dia melatih kanak-kanak dan remaja dari usia lapan hingga 16 tahun selain golongan dewasa yang berminat untuk belajar skuba. Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak, mereka akan didedahkan dengan aktiviti berkenaan melalui kursus selama sehari dikenali sebagai Scuba Discovery.

Bagi kanak-kanak pula, mereka didedahkan menerusi kursus PADI Seal Team manakala remaja mengikuti kursus Laut Terbuka (Open Water) Junior PADI yang direka khas bagi membantu mereka mahir dalam aktiviti skuba.

Katanya, ibu bapa yang berminat juga boleh belajar menyelam kerana pihaknya menyediakan kursus Laut Terbuka untuk golongan dewasa kerana memahami mengenai keinginan mereka yang turut berminat selepas melihat anak mahir menyelam.

Selain latihan praktikal, Kids Scuba turut menyediakan pusat latihan bertemakan suasana dasar laut di dalam kelas bagi memberi maklumat mengenai aktiviti menyelam kepada mereka yang baru pertama kali ingin merasai pengalaman berkenaan.

"Kids Scuba juga menyediakan latihan lanjutan, menyelamat dan kecemasan untuk penyelam berlesen. Kami juga ada menyediakan kursus khas untuk melatih kanak-kanak menggunakan analogi khas menggunakan pendekatan teori dan praktikal," katanya.

Selepas kanak-kanak mahir menyelam di kolam, mereka kemudian dibawa ke pulau di sekitar Malaysia untuk dilatih menyelam pada kedalaman lima meter bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun dan kedalaman 12 meter untuk remaja sehingga usia 16 tahun.

Setiap kali musim cuti sekolah, Kids Scuba turut menganjurkan kem di kepulauan menarik dan taman marin di sekitar Malaysia antaranya Tioman, Lang Tengah, Perhentian, Langkawi, Mataking, Mabul dan Sipadan.

Lebih membanggakan, pada Expo Penyelam Asia yang dianjurkan di Singapura pada April 2006, Kids Scuba mendapat Anugerah Rising Star untuk pencapaiannya melahirkan ramai penyelam atau Scuba Rangers di Asia dan penganjuran Kem Kids Scuba pada Mac 2005.

Pada 2006, Kids Scuba secara rasmi mendapat sijil sebagai Kelab Scuba Rangers paling banyak melahirkan penyelam di Asia Tenggara, sebelum menerima pula pengiktirafan sebagai kelab Scuba Rangers terbesar di dunia.

Pusat latihan menyelam yang sudah merealisasikan impian ramai kanak-kanak di negara ini juga menerima pengiktirafan antarabangsa melalui kerjasama program selam di Denmark.

Menerusi kerjasama berkenaan, satu-satunya sekolah menyelam untuk kanak-kanak di negara itu, Kids Scuba Denmark, kemudiannya diasaskan Nick J Visser, selepas menjalani latihan selama tiga tahun di Malaysia di bawah penyeliaan Syed Abdul Rahman.

Menurut Syed Abdul Rahman, latihan skuba yang diterapkan bukan kosong, sebaliknya ia memberi banyak manfaat kepada pelajar. Mereka mendapat kelebihan yang tidak ada pada semua orang selain dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

"Pelajar juga akan mendapat sijil yang membolehkan mereka mengambil kursus sesuai dengan laut seperti marin sains, marin biologi, kejuruteraan marin dan sains laut.

"Bagi mereka yang sudah sampai ke peringkat profesional iaitu Dive Master, mereka boleh bekerja dalam bidang skuba di mana-mana tempat di dunia kerana kursus disediakan Kids Scuba mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.

Aktiviti skuba disiplinkan anak

Perubahan sikap anak yang lebih berdisiplin dan mendengar kata selepas didedahkan dengan aktiviti skuba antara sisi positif yang mengejutkan perunding teknikal, Zulkifli Abd Aziz, 36, dan isterinya, Hasnita Halim, 36.

Zulkifli mendedahkan dua anaknya, Danial Harris, 8, dan Danial Hafiz, 10, kepada aktiviti itu sejak Ogos tahun lalu untuk mengisi masa lapang mereka sekeluarga.

"Pada awalnya, saya dan isteri mencari aktiviti yang boleh dilakukan sekeluarga kerana selain mengisi waktu cuti dengan perkara bermanfaat, ia boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Kami kemudian teringatkan aktiviti skuba yang pernah disaran oleh jiran lama kami dan dari situ, bermulalah latihan skuba setiap minggu.

"Bermula dengan anak-anak, saya dan isteri juga sudah pandai menyelam dan sudah pergi ke beberapa pulau untuk skuba," katanya ketika ditemui baru-baru ini ketika melihat anaknya berlatih skuba.

Disebabkan kesibukan masing-masing setiap hari, mereka jarang menghabiskan masa bersama melakukan aktiviti keluarga dan setiap kali cuti, tidak tahu hendak membuat apa.

Jika sekadar duduk di rumah, ia sudah tentu membuang masa tanpa aktiviti bermanfaat kepada anak-anak atau ibu bapa. Selepas berfikir, tergerak hatinya untuk mencuba skuba dan tidak sangka ia serasi untuk mereka sekeluarga.

Hasnita yang juga seorang pensyarah berkata, paling menggembirakan dia dan suaminya apabila anaknya yang sebelum ini sering bergaduh kini menjadi rapat dan sering berbual mengenai minat mereka dalam aktiviti skuba.

Selain itu, agak mengejutkan kerana mereka juga secara tidak langsung menjadi lebih berdisiplin dan mengemas permainan dan bilik mereka tanpa perlu disuruh.

"Aktiviti skuba yang menekankan disiplin dan melakukan perkara dengan teratur membuatkan anak-anak saya secara tidak sedar mula mengamalkan tabiat positif itu.

"Lebih menggembirakan kami, anak-anak juga nampaknya semakin suka membaca terutama berkaitan laut dan tidak lagi banyak membuang masa dengan permainan video.

"Dulu anak-anak saya takut dengan air tetapi selepas mereka pandai menyelam, keyakinan diri mereka juga meningkat dengan mendadak," katanya.

Melihat perubahan positif anak-anak, pasangan suami isteri itu tekad untuk terus menjadikan skuba sebagai aktiviti riadah mereka sekeluarga.

Pensyarah, Samir Muhazzab Amin, 36, turut menghantar anaknya, Puteri Nur Dahlia, 9, dan Ahmad Zarif, 7, belajar skuba bagi mendedahkan mereka dengan aktiviti sihat serta membantu membina masa depan yang lebih baik.

Dia yang baru tiga minggu pulang ke Malaysia selepas melanjutkan pelajaran di Universiti Queensland, Australia selama tiga tahun, mahu anak-anaknya membiasakan diri dengan aktiviti renang.

"Ketika di Australia, anak-anak saya didedahkan dengan aktiviti renang yang menjadi silibus pelajaran di sekolah mereka.

"Apabila pulang ke sini, saya tidak mahu mereka meninggalkan aktiviti renang, jadi saya masukkan mereka dalam kelas skuba ini.

"Lagipun saya mahu anak saya mengalami sendiri perasaan berada di dalam air dan melihat keindahan ciptaan Tuhan yang begitu banyak di dalam laut," katanya.

Samir sendiri amat gemarkan aktiviti skuba dan rasa agak rugi kerana hanya mula terbabit dengan aktiviti itu ketika usianya sudah menjangkau 30 tahun. Justeru, dia mahu anak-anaknya merasai pengalaman itu sejak usia kanak-kanak lagi supaya mereka boleh memilih sendiri jalan karier masing-masing kelak.

Ng Ni Cxiang, 10, sangat gembira dapat belajar skuba kerana mampu melihat banyak ikan dan hidupan laut yang semuanya cantik memukau.

Dia yang sudah ke beberapa pulau untuk menjalani latihan skuba berkata, ibu bapanya memberi galakan kepadanya untuk terus aktif dalam aktiviti sihat itu.

"Apabila mengikuti kem skuba di mana-mana pulau, saya rasa seronok kerana dapat berkenalan dengan ramai orang dan dapat melihat keindahan laut di banyak tempat," katanya.

Seorang lagi pelajar cilik, Danial Hafiz, 10, mengakui walaupun baru aktif belajar skuba, dia semakin meminati aktiviti itu dan mahu terus menyelam kerana tertarik dengan kecantikan hidupan laut.

"Saya rasa gembira dapat belajar skil menyelam. Malah saya bercita-cita untuk menjadi juruterbang kerana saya mahu pergi ke banyak negara dan melakukan skuba di negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Rizzini hampir putus asa

Posted: 07 Jan 2013 09:15 AM PST

Rizzini Alexis Gomez nyaris berputus asa dalam dunia pertandingan dan peragaan. Namun, inspirasi yang dicetuskan bapanya membolehkan wanita dari Filipina itu akhirnya berjaya menewaskan 55 peserta lain bagi merangkul mahkota Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2012/2013, hujung tahun lalu.

"Bapa saya sering me­ngatakan bahawa jika ingin memperoleh sesuatu, saya perlu menyimpan harapan dan mengharapkan yang terbaik.

"Dengan berpegang pada katanya itu, saya berusaha kuatkan diri dan semangat ketika menyertai pertandi­ngan Ratu Cantik Pelancongan Filipina hingga akhirnya berjaya ke tahap ini," katanya.

Rizzini, jururawat terlatih, tercicir daripada senarai peserta pertandingan Binibining Pilipinas 2012 dan tidak lama selepas itu gagal dicalonkan ke pusingan akhir pertandingan Ratu Dunia Filipina 2012.


"Saya rasakan mahkota itu sesuatu yang sukar dicapai dan mustahil untuk mendapatkannya. Ada empat anugerah sampingan yang diberikan sebelum final dan saya langsung tidak memenangi sebarang kategori.


"Saya cuba kekal positif tapi dalam masa sama secara perlahan-lahan saya cuba menerima apa jua keputusan juri tanpa ada rasa sedih dan kecewa," ujarnya yang disifatkan peserta veteran kerana menyertai pertandingan pada usia 22 tahun.

Lalu ketika dinamakan sebagai penerima anugerah Miss Sunway Charm sebelum pengumuman lima peserta terbaik, Rizzini menganggap ia sudah memadai untuk dibawa pulang ke Filipina.

"Semuanya berlaku begitu pantas. Selepas Anugerah Miss Sunway Charm, nama saya disebut untuk lima kedudukan terbaik. Kemudian disebut sekali lagi sebagai Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa untuk 2012.

"Apabila saya bangun tidur keesokannya, berulang kali saya tanyakan pada diri sama ada ia benar-benar berlaku. Saya lihat mahkota itu masih ada di meja solek dan nyata saya tidak bermimpi," katanya.

Selain mahkota, wanita berketinggian 172sm itu menerima biasiswa bernilai RM100,000 bagi memboleh­kannya melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Rizzini kini menghabiskan masa berehat di negaranya sebelum dijangka kembali ke Kuala Lumpur bagi menyertai aktiviti sosial yang menjadi salah satu tanggungjawabnya selaku duta pelancongan global.

Rizzini adalah peserta Filipina kedua yang merangkul mahkota itu selepas kejayaan Peachy Manzano pada tahun 2000. Sebelum Rizzini, Barbie Salvador muncul di kedudukan kelima terbaik pada saingan 2010 dan dinamakan Ratu Kosmopolitan Antarabangsa.

Hotel Sunway Resort & Spa menjadi lokasi utama final yang disertai tetamu kehormat seperti Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Shah; Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz; Pengasas dan Pengerusi Sunway Berhad, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Datuk Danny Ooi dan Datuk DJ Dave.

Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa adalah pertandingan kecantikan tahunan yang dikendalikan Yayasan Antarabangsa D Touch's Sdn Bhd.

Ia diperkenalkan pada 1994 di Kuching, Sarawak dan Malaysia menjadi tuan rumah setiap tahun kecuali pada 2006, di mana pertama kali ia dianjurkan di Guangzhou, China.

Lazimnya pertandingan diadakan sehari sebelum sambutan tahun baru dan menyaksikan penyertaan daripada lebih 50 negara dari benua Asia, Afrika, Amerika dan Eropah.

Filipina mencatat kemenangan terbanyak dengan dua ratu pada 2000 dan 2012, selain India (2001, 2008) dan Poland (1998, 1999).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved