Rabu, 16 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Shahidan undang padah

Posted: 15 Jan 2013 12:46 PM PST

Kuala Lumpur: Kelantangan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuntut transformasi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mengundang padah.

Dengan 'kuasa' yang ada pada Artikel 88 peraturan badan induk bola sepak tanah air itu, kenyataan Shahidan itu biarpun dilihat sekadar pendapat oleh sesetengah pihak mungkin bakal diteliti sekiranya sekretariat FAM menghantar laporan kepada Jawatankuasa Tatatertib.


Dalam kenyataan disuarakan Shahidan menerusi laporan Arena Metro semalam, bekas Menteri Besar Perlis itu menuntut transformasi jika FAM mahu mendapat sokongan daripada semua pihak. Antara transformasi yang dimaksudkannya adalah supaya FAM mencari jalan membantu pasukan yang mengalami masalah kewangan supaya dapat bersaing dalam Liga Malaysia.

Selain itu beliau juga membidas sikap segelintir individu dalam FAM yang tidak berani menyatakan pendirian biarpun tidak berpuas hati kerana mahu menjaga kepentingan peribadi.


Berdasarkan Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.


Berpandukan peraturan itu, beberapa individu sudah menjadi mangsa termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu kerana didakwa mengkritik prestasi skuad kebangsaan.

Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum gantung pada 1991 disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.


Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan untuk mengkaji Artikel 88 sekiranya pindaan perlu dilakukan terhadap peraturan itu namun hingga kini belum ada sebarang perkembangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Selangor benam Penyu

Posted: 15 Jan 2013 12:41 PM PST

Kuala Terengganu: Terengganu terpaksa berputih mata apabila lemas di depan penyokong sendiri selepas tewas 1-2 kepada Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang semalam.

Lebih buruk, perlawanan terpaksa dihentikan hampir 10 minit ketika berbaki tiga minit apabila penonton yang tidak puas hati dengan mutu pengadilan penjaga garisan, Mohd Fazli Ishak bertindak membaling botol minuman dan serpihan batu simen ke arahnya.


Sebaik perlawanan disambung semula, pengadil Mohd Zohri Tajuddin sekali lagi memberhentikan perlawanan apabila penonton terus mengamuk dengan membaling botol minuman ke arah Mohd Fazli namun dapat dikawal anggota keselamatan.

Sebelum itu, pelawat yang turut diperkuatkan bekas penyerang Terengganu, Francis Forkey Doe membuka jaringan pada minit keenam menerusi S Kunanlan sebelum Mohd Amri Yahyah menambah derita tuan rumah menerusi gol dari luar kotak penalti pada minit ke-16.


Tuan rumah yang belum mencatat sebarang kemenangan memperoleh gol menerusi penyerang import, Effa Owona yang merembat deras dari dalam kotak penalti menewaskan bekas penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli seminit kemudian.


"Kami akui bahagian tengah pasukan agak longgar pada babak pertama yang membolehkan lawan menjaringkan dua gol.

"Selain itu, pertahanan juga melakukan kesilapan mudah membiarkan lawan berlegar dalam kawasan sendiri terutama pada babak awal perlawanan di samping ketumpulan penyudah," kata jurulatih Terengganu, E Elavarasan.


Sementara itu, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim puas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun mencatat kemenangan tipis.

"Berdepan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah memang agak sukar buat pemain tapi akhirnya mereka berjaya berjaya menyerap tekanan untuk menang.


"Momentum kemenangan ini diharap dapat dikekalkan apabila kami berdepan Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved