Harian Metro: Hati |
Posted: 22 Jan 2013 11:00 AM PST ANDA tentu biasa melihat kanak-kanak terutama pelajar tahun satu yang rata-rata memiliki berat badan normal 18 kilogram hingga 25 kilogram terbongkok-bongkok memikul beg galas yang beratnya tidak sepadan dengan saiz badan mereka. Ada pula yang terpaksa menaiki tangga sehingga ke tingkat dua sambil mengheret beg penuh buku setiap hari apabila kelas mereka berada di tingkat atas. Hanya perkataan kasihan mampu dilafazkan tatkala melihat senario yang berlaku hampir setiap tahun tatkala persekolahan baru bermula. Adakah kanak-kanak ini menggunakan beg galas yang salah (yang sememangnya sudah berat dan besar) atau sememangnya beg mereka dipenuhi muatan buku yang tidak sepatutnya dibawa ke sekolah? Kini, selepas beberapa tahun isu beg berat seakan sudah berjaya diatasi, namun ada juga rungutan di kalangan ibu bapa baru terutama mereka yang memiliki anak pertama di tahun satu yang melahirkan kebimbangan mengenai kesihatan anak mereka. IBU BAPA harus memantau barang yang dibawa dalam beg sekolah anak. BEG sekolah beroda yang dipakai Adam (kiri) mampu mengurangkan bebanan.
Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, Mohd Ikhsan Ahmad, isu beg berat yang menjadi perdebatan sejak beberapa tahun lalu sebenarnya kini tidak lagi menjadi isu utama sekiranya kerajaan, sekolah, guru dan penjaga memainkan peranan masing-masing. Kerajaan menerusi KPM berusaha mengatasi masalah ini apabila buku teks tahun satu kini disediakan dalam jilid satu dan dua bagi mengurangkan bebanan pelajar ke sekolah. "Jika dulu buku teks tebal diberikan kepada pelajar tetapi kini usaha menyediakan dua jilid dapat mengurangkan jumlah buku yang perlu dibawa ke sekolah sekali gus mengurangkan berat beg mereka," katanya. Selain itu, jadual pembelajaran dengan menyediakan masa berganda dua dan tiga waktu mampu mengurangkan bukan saja jumlah buku teks tetapi juga buku latihan. Ini bermakna dalam sehari, pelajar hanya mengikuti maksimum empat mata pelajaran dan adakalanya lima sekiranya tiada waktu berganda tiga pada hari itu. Jika diikutkan, pelajar hanya perlu membawa empat buku sama ada buku teks, buku latihan, buku aktiviti atau kesemuanya bergantung kepada guru mengajar. Dalam hal ini, peranan guru sangat penting bagi menyediakan perancangan pengajaran berkesan mengenai apa yang akan diajar pada hari itu bagi mengelak kekeliruan. "Contohnya bagi guru Bahasa Melayu, tidak mungkin mereka akan mengajar pemahaman, tatabahasa atau penulisan dalam peruntukan waktu yang sama kerana kebiasaannya guru ini akan menetapkan hari tertentu untuk pelajaran tertentu. Jadi, pelajar akan membawa buku berkaitan dengan kemahiran yang akan diajar pada hari itu sekali gus mengurangkan jumlah buku yang mereka bawa. Apa yang penting, guru harus memberitahu pelajar kemahiran yang akan diajar walaupun sudah disediakan jadual waktu," jelasnya. Ada pula sesetengah sekolah meminta pelajar membeli buku kerja dan tidak perlu dibawa ke sekolah. Latihan dalam buku kerja ini disiapkan ketika cuti atau hujung minggu dan guru akan menyemak pada waktu tertentu saja. Namun begitu langkah di pihak kerajaan dan sekolah bagi mengurangkan bebanan beg sekolah tidak akan berjaya tanpa kerjasama ibu bapa. Tugas penting penjaga meneliti jadual waktu dan memastikan anak-anak membawa buku dijadualkan saja. Kaedah penjilidan buku teks agar tidak terlalu tebal mampu mengurangkan bebanan pelajar ke sekolah namun ibu bapa harus memastikan jenis buku teks yang perlu dibawa dan bukan kesemuanya. "Namun apa yang berlaku ada sesetengah pelajar tidak mengikut jadual waktu disediakan sebaliknya membawa semua buku kerana bimbang atau takut dimarahi guru. Ada pula murid tahun satu masih membawa anak patung ke sekolah yang tentunya menambah bebanan pelajar. Ini belum termasuk botol air dan bekas makanan yang tentunya menyumbang kepada jumlah berat beg mereka," katanya yang menasihati ibu bapa supaya memeriksa beg sekolah anak bagi mengelak mereka membawa barang yang tidak perlu. Mohd Ikhsan berkata, walaupun dulu pihak sekolah menyediakan meja berlaci bagi memudahkan pelajar menyimpan buku yang tidak digunakan, ia tidak lagi dilaksanakan kerana tidak praktikal kerana kebanyakan sekolah mengamalkan sistem dua sesi iaitu pagi dan petang. "Pelajar pagi dan petang berkongsi kelas jadi penggunaan laci tentunya menyukarkan pelajar menyimpan barang bersama kerana dikhuatiri akan hilang. Begitu juga sekiranya disediakan tempat simpanan barang seperti di kebanyakan sekolah di negara maju yang lain namun tidak sesuai dipraktikkan di negara ini kerana kanak-kanak terutama berusia tujuh tahun masih belum matang. Kemungkinan berlaku masalah kehilangan kunci atau terlupa mengambil barang," katanya. Bagi mengurangkan masalah kesihatan di kalangan kanak-kanak teknik menggalas beg juga perlu diikuti. Antaranya: 1. Memastikan beg sandang tegap buatannya dan saiz sesuai dengan saiz badan kanak-kanak. Kini, sudah ada beg sandang kecil khas untuk kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 10 tahun. Beg ini beratnya kurang daripada 500 gram manakala tali sandang lebih pendek dan lebar supaya tidak mudah jatuh. 2. Rupa bentuk beg semata-mata bukan ukuran mutlak dalam membuat pilihan kerana beg yang tidak sesuai akan menyebabkan sakit belakang, ketegangan otot dan mempengaruhi saraf. Untuk memastikan muatan beg tidak berat sebelah, pilih beg yang tali sandang dan tali ikat pinggangnya berpelapik. 3. Pastikan berat beg tidak melebihi 15 peratus berat badan si anak. Elakkan membawa barang yang tidak perlu. 4. Latih anak menyusun barang supaya berat beg seimbang atau tidak berat sebelah. 5. Pastikan anak tidak membawa beg sandang di sebelah bahu saja. Tali sandang dan tali ikat pinggang hendaklah sentiasa digunakan. Pakai tali di pinggang (tali sandang ketiga) jika ada. Jangan biarkan tali ini terlepas begitu saja bagi mengurangkan tekanan beban di bahu dan belakang. 6. Teknik mengangkat beg sangat penting. Mengangkat beg dengan cara yang tidak betul berulang kali, walaupun beg itu ringan, boleh menjejaskan kesihatan. Caranya dengan: Pastikan ikut jadual waktu "Setiap pagi saya menghantar Adam ke kelas dan mengambilnya di hadapan pintu sekolah kerana kasihan dengan bebanan beg sekolah yang perlu dibawa setiap hari. Adam bersekolah di sekolah jenis kebangsaan cina yang mana jumlah buku teks lebih banyak berbanding sekolah kebangsaan biasa," ujar Leny Herlina Agusyarif, ibu kepada tiga cahaya mata. Selain anak kedua, Adam Aswad, anak sulungnya Addiena, 10, turut belajar di sekolah sama. Kali pertama mengisi buku di dalam beg sekolah anaknya, Leny tidak sanggup membenarkan Adam menggalas beg sendiri kerana bebanannya cukup berat sehingga mencecah lima hingga tujuh kilogram berbanding berat Adam hanya 20 kilogram. Justeru, dia tidak membeli beg galas biasa sebaliknya mencari beg beroda bagi membolehkan Adam menarik dan bukan menggalas di belakang. Mujur kelas Adam di tingkat bawah jadi tidak menyukarkannya menarik beg sekolahnya. "Saya begitu teliti ketika membeli beg sekolah kerana berdasarkan pengalaman kakaknya, beg sekolah mudah rosak. Tali putus, roda tanggal dan terkoyak memang perkara biasa. Kadang-kadang dalam masa tiga bulan sudah perlu mengganti beg sekolah baru kerana muatan berlebihan," katanya. Tidak seperti pelajar aliran biasa, Adam perlu mengikuti pelajaran di sekolah bermula jam 7.30 pagi sehingga 3 petang. Ini kerana selepas waktu persekolahan dia perlu mengikuti kelas tambahan untuk mata pelajaran tertentu kemudian menyambung kelas tambahan bahasa di luar. "Jika diikutkan, memang jadual harian mereka sangat padat dan sudah tentu banyak buku yang perlu dibawa. Antaranya buku teks, buku latihan dan buku kerja yang adakalanya mencecah 20 buku. Ini tidak termasuk bekalan makanan dan air yang tentunya menambah bebanan di dalam beg sekolah. "Saya menyediakan bekalan untuk Adam setiap hari termasuk minuman. Walaupun disediakan di kantin, Adam lebih selesa membawa bekalan," katanya. Setiap malam, Leny memastikan Adam mengikut jadual waktu ditetapkan namun masih tidak dapat mengurangkan jumlah buku yang perlu dibawa. Adam pula bimbang sekiranya buku diperlukan tidak dibawa jadi cara terbaik dengan membawa semua buku untuk satu mata pelajaran. Sebagai ibu, dia memeriksa beg sekolah Adam setiap hari bagi memastikan dia tidak membawa barang yang tidak diperlukan. Adam pula tidak pernah merungut penat malah walaupun membawa beg berat ke sekolah setiap hari, dia tetap aktif melakukan aktiviti harian kerana sudah menjadi perkara biasa bagi sekolah jenis kebangsaan. "Membawa beg sekolah berat menjadi senario biasa bagi pelajar sekolah jenis kebangsaan kerana berbanding sekolah aliran biasa, mata pelajaran tambahan seperti bahasa wajib dipelajari," katanya yang mengikut saja apa yang sudah ditetapkan demi kemajuan Adam dalam pelajaran. Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23 |
Posted: 22 Jan 2013 10:17 AM PST Hidangan kambing bakar memang ada peminatnya sendiri. Ramai yang menggemarinya, tetapi tidak tahu cara penyediaan yang betul terutama kaedah menghilangkan bau hamis daging yang masih kekal walaupun sudah dibakar. Menurut Chef Sous Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur, Yohanis Jalaludin, untuk menghilangkan bau hamis daging kambing, ia harus dipotong dengan cara yang betul.
"Cara memotong daging yang betul ialah melawan garisan urat bagi mengelakkan daging berbau ketika dimakan walaupun sudah dimasak lama. "Selain itu, untuk memastikan hidangan kambing bakar rasa enak, goreng daging seketika menggunakan api sederhana selama tiga minit.
Apabila darah dibersihkan, ia akan menyebabkan daging menjadi tawar dan membuatkan hidangan yang dimasak kurang enak kerana jusnya sudah tiada. Tidak hanya menitikberatkan teknik memotong, membersih dan memasak yang betul, hidangan berkenaan harus dinikmati dengan sos yang sesuai. "Bagi membangkitkan selera, biasanya sos bawang putih dan rosemary sesuai dimakan dengan hidangan kambing bakar untuk mengimbangkan bau daging. "Pilihan sos lada hitam kurang sesuai untuk dinikmati bersama kambing bakar kerana ia menyebabkan rasanya tidak selari dengan sajian yang dihidang. "Sudah menjadi kebiasaan, apabila menikmati masakan Barat, ia dilengkapi dengan kehadiran kentang dan sayur-sayuran," katanya. Pilihan sayuran yang sesuai seperti zucchini yang termasuk di dalam keluarga timun juga boleh digantikan dengan brokoli, tomato atau terung bagi melengkapkan hidangan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |