Jumaat, 25 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bergaya ceria

Posted:

KEHADIRAN musim bunga dan panas tahun ini menyerlahkan keceriaan dengan lambaian warna pastel lembut memenuhi koleksi rekaan terbaru label pakaian popular dunia dari Jepun, Uniqlo.

Mengetengahkan rekaan baju yang ringkas dan selesa untuk pakaian harian, ia boleh digayakan secara kasual dan santai oleh semua peringkat usia.

Menurut Pengarah Rekaannya, Naoki Takizawa, pemilihan warna lembut sedemikian bertujuan merehatkan minda dalam suasana harmoni.

Idea untuk menggunakan warna pastel berkenaan diperoleh ketika dia sedang beristirahat sambil menikmati hidangan teh.


Warna teh yang jernih itu akhirnya mencetuskan inspirasi untuk mengetengahkan warna alam semula jadi sebagai sebahagian daripada koleksi fesyen terbaru.


"Ilham yang dicetuskan pereka perlu menambat hati pengguna bukan sebaliknya. Jika membuat rekaan terbaru tetapi hanya berdasarkan cita rasa diri, ia pasti kurang menyengat.

"Paling penting, menggabungkan kehendak dan keinginan fesyen semasa berserta idea tersendiri bagi menyerlahkan lagi rekaan," katanya.

Bagi memberikan kelainan, label berkenaan menawarkan rekaan pakaian yang boleh disuai padan mengikut kreativiti penggemar fesyen.

Tidak hanya memfokuskan kepada satu rekaan baju yang khusus sebaliknya ia boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian serta tanpa had.

Untuk koleksi musim terbaru ini, jenama pakaian terkemuka terbabit turut memperkenalkan rangkaian celana yang diperbaharui.

Tidak lagi sekadar dijadikan pakaian pelengkap kepada kemeja-T atau top, pilihan koleksi seluar panjang, skirt, dan seluar pendek kali ini makin diperkemaskan dari segi rekaan, corak serta konsep penggunaannya.

Kedua-dua koleksi lelaki dan wanita diberikan suntikan pengubahsuaian secara dramatik dengan menawarkan gaya baru, bercetak menggunakan warna terkini yang versatil serta mudah digayakan semua peringkat usia.

Untuk koleksi wanita, pilihan fesyen seluar merangkumi gaya skinny tirus dengan cetakan flora, polka dot, denim, serta legging ultra lembut dengan potongan pendek kelihatan sempurna apabila digayakan.

Selain itu, rekaan terbaru membabitkan denim lembut menggunakan kain linen nyata memberi keselesaan kepada si gadis sepanjang musim panas ini.

Denim lembut ini diperbuat daripada fiber ultra nipis yang dilapisi partikel bagi memastikan permukaan kasar denim terbabit dileraikan serta melembutkan kain digunakan. Fabrik digunakan mengandungi 60 peratus kapas dan 40 peratus linen.

Bagi si jejaka pula, ia memaparkan pilihan seluar pendek yang diperincikan dengan rekaan nautika, paisley, madras dan cetakan polka dot.

Terdapat 20 pilihan warna seluar pendek chino untuk koleksi terbaru ini dan turut disertakan rangkaian denim lembut buat si jejaka.

Untuk pilihan pakaian musim panas wanita pula, jenama terbabit lebih banyak menumpukan rekaan pada koleksi gaun.

Ketelitian jahitan paras lipatan bawah baju, bentuk, gaya dan kain digunakan diberikan penekanan utama bagi memastikan koleksi tersedia lebih feminin tetapi tidak keterlaluan dan boleh digayakan tanpa mengira usia.

Bagi pakaian dalam, koleksi Uniqlo AlRism direka bersama pakar teknologi fiber, Toray Industries yang bukan saja memberikan sensasi dingin tetapi juga selesa apabila digayakan sepanjang musim panas.

Fiber digunakan memberikan sensasi kulit kedua bertujuan menyejukkan dan memberikan keselesaan kepada badan apabila berada dalam persekitaran yang panas.
Ia membuatkan pemakainya sentiasa kering tanpa kesan peluh serta memastikan kulit terjaga walaupun banyak berpeluh.

Selain itu, Uniqlo juga menawarkan himpunan kemeja-T yang direka dengan kerjasama pereka ternama seperti koleksi UT Disney-Pixar, siri UT komik terkemuka Hokuto No Ken, UT Star Wars, UT Sanrio serta UT Celia Birtwell dan pelbagai lagi koleksi menarik untuk dimiliki.

Menurut Timbalan Presiden Kanan Kumpulan (Penyelidikan dan Pembangunan) Uniqlo, Yukihiro Katsuta, kajian terhadap rekaan dan corak fesyen terkini sentiasa menjadi keutamaan.

Ia bertujuan memastikan setiap rekaan baru sentiasa mendapat maklum balas positif daripada pengikut setia jenama terbabit.

"Kami cuba menghasilkan pakaian menggunakan bahan berkualiti tetapi pada harga mampu milik. Disebabkan itu, kaji selidik bahagian penyelidikan dan pembangunan sememangnya penting.

"Kami cuba menghasilkan bentuk kain terbaru menggunakan teknologi terkini bagi memastikan kualiti dipamerkan mencapai piawaian diperlukan bagi memenuhi jangkaan penggemar serta pengkritiknya," katanya.

Pihaknya juga sentiasa mencipta peluang untuk bekerjasama dengan ramai pereka dalam mereka serta mengetengahkan produk terbaru.

Sementara itu, Timbalan Presiden Eksekutif Kumpulan, Naoki Otoma berkata, hingga kini Uniqlo sudah bertapak di China, Korea Selatan, Taiwan, United Kingdom, Hong Kong, Singapura, Russia, Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, Thailand dan juga Filipina.

Hanya dua negara Asia yang belum dimasuki pasaran fesyennya iaitu Vietnam dan India.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Pengalaman beli-belah unik

Posted:

Rambang mata apabila menjejakkan kaki ke gedung pakaian Bicqlo Uniqlo Shinjuku East Exit Store yang terletak di Shinjuku, Tokyo.

Dibuka dalam ruang pameran bangunan Bic Camera, ia memperuntukkan tingkat satu hingga tiga sebagai ruang pameran pakaian dengan keluasan 4,000 meter persegi.

Idea untuk menempatkan dua produk berbeza di bawah satu bumbung ini diwujudkan hasil kerjasama gedung pakaian Uniqlo dan jenama kelengkapan rumah terkemuka Jepun, Bic Camera.

Berkonsepkan gaya pusat sehenti bagi fesyen, gedung ini menawarkan pelbagai produk terkini dan terbaru pada harga berpatutan.


Malah, pengunjung disajikan dengan susun atur pakaian ala 'pagar berselirat' dan membuatkan pengunjung seakan-akan berada dalam satu bentuk permainan yang tidak berpenghujung.


Namun, ia memberikan satu bentuk pengalaman membeli-belah menarik kerana setiap produk yang dipamerkan mudah dilihat dan senang dipilih serta paling penting, setiap belian boleh dilakukan dengan selesa.

Setiap koleksi pakaian sama ada untuk lelaki, wanita serta kanak-kanak dibahagikan mengikut aras bagi memudahkan pengguna mendapatkan rekaan diingini.

Selain itu, turut disediakan ruang pameran bagi barangan kelengkapan rumah yang direka secara fesyen interaktif.

Setiap produk disusun sekata mengikut warna dan jenis rekaan bagi memudahkan proses pemilihan malah untuk lebih menarik, penggunaan teknologi terkini seperti monitor turut digunakan untuk memperkenalkan produk.

Lebih efektif, pembantu jualan berada di tengah lokasi pada setiap tingkat yang menawarkan koleksi terpilih.

Sementara itu, terdapat sudut interaktif untuk kanak-kanak bagi pengunjung yang membawa anak ketika berkunjung ke Bicqlo.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved