Harian Metro: Hati |
Posted: Selepas pembedahan pembuangan benjolan di payudara (lumpektomi), teman baik penulis dihujani pelbagai pantang larang makan. Khuatir luka pembedahan akan terasa gatal, ada yang melarang teman ini mengambil ikan dan ayam. Telur dan makanan laut secara automatik masuk dalam kategori 'diharamkan'. Masyarakat kita memang murah hati untuk berkongsi pengetahuan dalam soal pantang larang begini, walaupun ada kalanya mereka sendiri tidak pasti apatah pengetahuan yang dimiliki itu benar-benar bermanfaat kerana kebanyakannya diperoleh daripada sumber kurang sahih atau berdasarkan 'cakap orang'. Penulis teringat kata-kata doktor yang merawat ibu saudara (ketika dia menjalani kemoterapi akibat kanser usus), supaya memenuhi keinginan selera pesakit kerana mereka amat memerlukan makanan untuk memberi tenaga dan membantu badan memberi tindak balas positif terhadap rawatan. Saranan dan larangan dalam bab makan seperti inilah yang membuatkan ramai pesakit kanser keliru. Sudahlah pesakit berasa sedih dan susah hati dengan penyakit yang dihidapi, kita yang kurang pengetahuan ini pula membebankan lagi fikiran mereka dengan pelbagai 'nasihat' yang belum terbukti keberkesanannya.
Memang diakui keba-nyakan pesakit hilang selera makan sepanjang rawatan kanser. Sesetengah rawatan membuatkan mulut pesakit terasa pahit untuk menelan makanan. Walaupun anda tidak berselera, tetapi berusahalah untuk makan supaya badan mendapat khasiat yang diperlukan. Jangan tunggu hingga berasa lapar untuk makan. Jika sebelum ini anda makan tiga kali sehari, namun pada tempoh penting ini anda dinasihatkan untuk meningkatkan kekerapan makan kepada lima atau enam kali. Makanlah walaupun sedikit dan pilihlah makanan yang berkalori tinggi kerana badan amat memerlukan tenaga untuk melawan penyakit. Badan kita memerlukan pemakanan sihat untuk berfungsi dengan baik. Ia menjadi lebih penting jika anda menghidap kanser. Pengambilan makanan yang baik ketika menjalani rawatan boleh membantu anda: Apa yang perlu dimakan? Pengambilan makanan yang baik bermakna makanan anda perlulah pelbagai berdasarkan Piramid Makanan Malaysia. Ia akan memberikan anda semua khasiat yang badan perlukan untuk melindungi kesihatan ketika anda berjuang melawan kanser. Pemilihan makanan yang sihat akan membantu mempercepatkan proses penyembuhan. Berikut adalah sembilan panduan untuk pemakanan sihat dan berkhasiat: Tangani masalah makan Berdasarkan maklumat daripada buku kecil 'I Have Breast Cancer. What Next?' dihasilkan Jabatan Kejururawatan Hospital Assunta untuk pesakit kanser payudara, rawatan kanser memang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah untuk makan. Untuk mengatasinya, berbincanglah dengan pakar pemakanan di hospital anda mendapatkan rawatan terutama jika tidak pasti apa yang boleh diambil sepanjang rawatan. Berikut adalah beberapa panduan untuk menangani masalah yang biasa dihadapi oleh pesakit kanser: a. Berlaku perubahan pada sensitiviti terhadap bau dan rasa b. Hilang selera makan c. Sakit mulut atau tekak d. Mual dan muntah e. Mulut kering f. Terlalu kerap buang air besar Keselamatan Pada masa sama, anda juga perlu menitikberatkan soal keselamatan kerana sepanjang tempoh mendapat rawatan, badan pesakit kanser amat lemah dan sangat mudah mendapat jangkitan. Inilah sebabnya anda (dan ahli keluarga) perlu memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan dalam penyediaan makanan. Mengambil makanan yang tercemar boleh menyebabkan anda bertambah sakit. Berikut beberapa panduan untuk membantu anda menjaga keselamatan makanan. Perlukah mengambil makanan tambahan? Memang ramai pesakit keliru dalam soal ini. Tidak kira berapa banyak pun saranan yang anda terima, berbincanglah dengan doktor terlebih dulu sebelum mengambil sebarang makanan tambahan. Ini kerana sesetengah produk herba didapati boleh mengganggu kesan rawatan kanser. Malah pakar perubatan juga berbelah bahagi untuk membenarkan pesakit mengambil antioksidan seperti vitamin E kerana ia ada risiko buruk jika berlebihan. Jadi jika anda bimbang mengalami masalah tidak cukup zat, jumpalah pakar pemakanan di hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat. Akhir sekali, jangan lupa untuk melakukan senaman. Apapun bentuk senaman yang anda pilih, semuanya amat berguna untuk membantu anda mengekalkan jisim otot, stamina, kekuatan fizikal dan tulang. Senaman juga dapat membantu mengurangkan kemurungan, tekanan, keletihan, mual dan masalah sembelit di samping merangsang selera makan. Mulakan dengan senaman yang ringan seperti berjalan selama 10 hingga 15 minit sehari. Apabila anda rasa lebih sihat dan kuat, bolehlah panjangkan tempoh senaman kepada 20 minit sehari. Dengarlah rintihan badan anda dan berhenti apabila dirasakan perlu. Buatlah senaman mengikut kemampuan supaya anda boleh rasa lebih tenang dan bertenaga. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04 |
Posted: Geram dengan iklan yang mengajak dan menggoda wanita untuk 'melunturkan' warna kulit, satu pergerakan spontan muncul di Senegal dengan menegaskan bahawa hitam itu cantik dan tindakan mencerahkan kulit boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Kempen mengekalkan warna asal kulit itu timbul tidak lama selepas kehadiran iklan krim kosmetik dipanggil 'Khess Petch' atau 'semua putih' (semua cerah) dalam bahasa tempatan, Wolof, di Dakar, ibu kota Senegal tahun lalu.
Kata-kata dalam poster iklan itu menjanjikan 'tindakan segera' dan 'hasilnya boleh dilihat dalam tempoh 15 hari'. Mereka menunjukkan gambar sebelum dan selepas seorang wanita muda yang asalnya berkulit gelap, tetapi menjadi lebih cerah melalui proses penyahpigmenan, dalam bahasa tempatan dipanggil 'kheessal' atau pelunturan warna kulit. "Kita ditipu oleh poster yang mengatakan bahawa hitam itu tidak cantik kerana ia menyarankan supaya wanita muda melakukan transformasi diri dalam tempoh dua minggu," kata Aisha Deme, yang mengendalikan laman web budaya Agendakar.com "Sebagai tindak balas spontan, kami mahu meningkatkan kesedaran wanita berkulit hitam dengan melancarkan 'Nuul Kukk', yang bermakna 'hitam seluruhnya', kata wanita muda itu.
Penggiat kempen menampal poster yang mereka sendiri di ibu kota Senegal. Poster ini memaparkan wanita berkulit gelap yang bangga dengan warna kulitnya. Gambar poster itu adalah sentuhan kreatif seorang jurugambar fesyen, Stephane Tourne dan reka letaknya hasil kerja tenaga mahir pengiklanan yang dibuat secara percuma. Kempen Nuul Kukk, yang dijalankan dengan aktif secara dalam talian dan mempunyai laman web, Facebook dan Twitter sendiri, turut memaparkan artis tempatan termasuk penyanyi rap Keyti, perunding gaya Dior Lo dan aktivis hak asasi wanita, Kine Fatim Diop. Kempen berkenaan turut mendapat sokongan pakar kulit, Fatimata Ly, yang sudah 10 tahun berjuang menentang amalan 'kheessal' sebagai sebahagian daripada usaha penerangan Persatuan Maklumat Penyahpigmenan Buatan Antarabangsa. Bagi Ly, pelunturan warna kulit adalah satu perkara yang perlu dipandang serius kerana 67 daripada 100 wanita mengamalkan penyahpigmentasi buatan dengan menggunakan pelbagai produk mencerahkan kulit. Produk mencerahkan warna kulit ini mengurangkan kebolehan badan untuk 'mempertahankan dirinya daripada pelbagai jangkitan' dan ia juga mempunyai 'kesan lebih besar ke atas kesihatan contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi," katanya. Berdasarkan kajian yang dilakukan pakar kulit Perancis dan Senegal pada 2003, penggunaan krim pencerah kulit ini amat berleluasa dalam kalangan wanita di negara sub Afrika Sahara. Dianggarkan 25 hingga 67 peratus wanita di negara ini adalah pengguna tegar krim pencerah kulit. Di Senegal, fenomena pencerahan kulit ini melanda wanita, namun ada juga lelaki yang turut terjebak khususnya mereka yang menjadi penghibur. Krim, susu dan gel pencerah mengandungi bahan yang asalnya bertujuan untuk tujuan terapeutik, seperti kortikosteroid dan hidrokuinon yang sepatutnya hanya boleh diperoleh melalui priskripsi doktor saja, kata Ly lagi. "Malangnya, anda boleh membeli semua produk pencerah ini di mana-mana pasar di Senegal. Ia memang mudah didapati," sambungnya lagi. Harganya juga murah - antara satu hingga 1.5 euro (RM4.20 hingga RM6.20) lima hingga enam kali lebih murah berbanding di kedai farmasi, kata Ly, sambil menunjukkan gambar di skrin komputernya. Gambar akibat kesan pelunturan warna kulit termasuklah kaki bengkak; kulit lebam, luka dan melecur. Jadi amalan Selama 20 tahun, Diop, 50, seorang suri rumah, tidak lupa menyapukan krim pencerah setiap malam sebelum tidur untuk menjadikan dirinya 'cantik' - sehinggalah tompok hitam mula kelihatan tiga tahun lalu. Diop, yang malu untuk memberitahu nama penuhnya berkata, sebenarnya dia sudah diingatkan mengenai risiko penggunaan krim pencerah seumpama itu, tetapi seperti kebanyakan wanita Senegal lain - dia memilih untuk tidak menghiraukan pesanan berkenaan. "Saya suka gunakan krim pencerah kerana orang cakap saya nampak lebih cantik," katanya. Selepas dua dekad, amat sukar bagi Diop untuk menghentikan amalan yang sudah diamalkan sejak muda; walaupun selepas kemunculan tompok hitam itu. "Untuk berhenti, saya mendapatkan sokongan kawan. Tanpa dia, susah juga hendak berhenti menggunakan krim pencerah. Kawan saya menunjukkan majalah di mana seorang wanita menderita kerana kesan krim pencerah. Melihat gambarnya, saya beritahu diri sendiri supaya betul-betul nekad untuk berhenti," katanya. Penjualan krim pencerah di Senegal memang meluas; kebanyakannya diimport dari Mali dan Ivory Coast. Ia dijual pada harga semurah 500 CFA francs (RM3.20) dan krim yang lebih mahal berharga 25,000 CFA francs (RM166) sebotol. Mounass, 22, menyapukan krim pencerah dua kali sehari dan setiap bulan dia membelanjakan 40,000 CFA francs (RM256) - lebih tinggi daripada gaji minimum di Senegal untuk membeli produk kecantikan kerana 'lelaki lebih sukakan wanita berkulit cerah'. "Saya tidak tahu ia ada kesan buruk pada kesihatan," katanya apabila ditanya mengenai risikonya selepas meninggalkan kedai dengan membawa beberapa botol krim pencerah. Walaupun label pada kebanyakan produk mengatakan kandungan hidrokuinon tidak melebihi dua peratus dalam produk mereka, tetapi jurujual di Sandaga berkata sebenarnya ia mungkin mengandungi lebih lima peratus. Penggunaan hidrokuinon sudah diharamkan di Kesatuan Eropah sejak 2001 kerana ia bersifat karsinogenik (bahan yang boleh menyebabkan kanser). Walaupun Senegal mengharamkan penggunaan krim pencerah pada pelajar sekolah rendah dan menengah, yang berisiko dibuang sekolah jika ditangkap menggunakan krim berkenaan, namun doktor berkata penjualan produk kecantikan seperti itu tidak dipantau. Antara risiko terbesar penggunaan krim pencerah ialah jangkitan kulit akibat steroid yang boleh menyebabkan keracunan darah. Selain itu, pengguna juga kerap berjumpa doktor kulit akibat akne, tompok hitam dan nanah akibat menggunakan krim pencerah. Kajian unit kehamilan di Institut Kebersihan Sosial di Dakar pada 2006 menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menggunakan krim mengandungi steroid mempunyai berat badan lebih rendah, kata Ly. Seperti Diop, ramai wanita mengalami masalah yang dipanggil kebergantungan psikologi pada produk yang dikatakan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka. Kajian pada 2004 yang dijalankan pakar kesihatan Senegal termasuk psikologi mendapati ramai wanita berpendapat berkulit cerah itu membuatkan mereka lebih moden, menarik dan dipandang tinggi. Bagaimanapun Diop berkata, dia tidak sangka mendapat pujian selepas berhenti menggunakan krim pencerah. "Semua orang kata saya nampak lebih muda berbanding suami. Kulit saya pun sudah kembali ke warna asalnya," katanya. Wanita tertarik dengan produk pencerah kerana percaya ia membuatkan mereka lebih cantik. Penyelidik dan doktor mengakui sukar untuk meyakinkan wanita bahawa warna kulit asal yang dianugerahkan tuhan itu sudah cukup cantik. "Masyarakat hari ini sangat menekankan kriteria kecantikan...semua orang mempromosikan wanita yang berkulit cerah sama ada dalam akhbar, majalah atau klip video," kata Deme. "Kami mahu menyarankan masyarakat supaya menghentikan amalan penyahpigmenan.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |