Jika dibongkar susur-galur kisah karier rapper muda ini di laman maya, kebanyakannya berkisar sisi 'buruk' meskipun dia tidak berapa dikenali terutamanya dalam kalangan peminat Melayu.
Pasti ada yang melabel dirinya 'poyo' kerana mencerminkan dirinya lebih ke arah kebaratan dan selalu bertutur bahasa Inggeris pelat setiap kali membuat penampilan baik di kaca TV mahupun majlis tertentu.
Terjun sudah agak lama dalam industri, enam tahun berjuang sebagai anak seni, karyanya juga banyak dihasilkan dalam bahasa Inggeris menjadikannya lebih tertumpu kepada peminat 'urban'.
Bersua pertama kali dengannya, Ariz Ramli atau Caprice, 25, bukan sembarangan menjalani hidupnya kerana pelbagai agenda diatur demi jaminan pada masa hadapan.
Mungkin menilai daripada tubuh kecilnya serta bagaimana pembawaan diri anak jati Jelebu, Negeri Sembilan ini menampakkan dia seorang yang jenis semberono namun dia nyata pemuda serius.
Mengakui sudah lali dengan persepsi sedemikian, Caprice lebih memilih untuk mencatur kejayaan buat dirinya dan mengabaikan perkara yang cuma hanya membuang masa.
"Jujur, saya tidak pernah kisah jika begitulah orang memandang diri saya. Tapi, saya ingin tegaskan kedudukan yang dicapai sekarang juga dimulakan dengan kesusahan dan pengalaman lalu membuat saya lebih matang.
"Inilah cara saya membawa diri, berkarya dan memuaskan hati namun jelas hanya golongan tertentu boleh menerimanya. Apapun, ia bukan halangan buat saya terus mara ke hadapan menggapai impian saya," katanya.
Mengakui popularitinya tidak megah dalam kebanyakan peminat, Caprice juga akur namun tidak terkesan kerana perjuangannya masih mendapat sokongan kuat terutamanya gadis muda.
Sudah menghasilkan enam lagu inggeris dan terbaru mempertaruhkan single Watlek Watpeace, dia kini dalam proses merangka strategi memperluaskan namanya.
Apatah lagi kini lagu duet bersama penyanyi tersohor, Ramlah Ram berjudul 5.00 Minit semakin kerap dimainkan di corong radio. Dia mengharapkan lagu itu membuka mata ramai mengenai kehadirannya.
"Tidak dinafikan, peminat saya ramai daripada kalangan 'urban' dan gadis remaja tapi bersyukur kerana sokongan itu sudah cukup untuk saya mengurut dada. Apapun, semestinya saya tidak mahu terlalu selesa kerana masih ramai belum sedar akan siapa Caprice.
"Untuk itu, lagu terbaru Watlek Watpeace saya hasilkan 50 peratus bahasa Melayu dan 50 peratus bahasa Inggeris sebagai strategi memancing lebih peminat," jelasnya.
Kesibukan penyanyi yang mendapat jolokan 'Prince of Damansara' ini tidak terbatas pada bidang nyanyian saja, malah dia juga sudah memiliki jenama pakaiannya sendiri iaitu Hustle & Faith.
Caprice turut menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Whats Up Entertainment Records dan aktif berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) di Putrajaya.
Sangat mementingkan jaminan hidup pada masa depan, dia rela mengabdikan dirinya dengan kesibukan itu sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan nanti.
"Di samping mengatur karier seni, saya juga menaungi kumpulan yang pernah menjuarai Showdown, Dem Lepak Boyz dan menjadikan mereka penari tetap bagi mengiringi setiap persembahan pentas saya.
"Tidak dilupakan, syarikat IT saya semakin berkembang dan meskipun terkejar ke sana sini, saya amat gembira dengan pencapaian diri sendiri setakat ini," katanya.
Beraksi di Twin Towers Alive 2013
Terpilih antara artis tempatan yang akan beraksi di Twin Towers Alive 2013 (TTA2013), Caprice turut menjanjikan satu persembahan paling 'gempak' pada acara berprestij itu.
Menghangatkan pentas pada hari kedua iaitu malam ini dan berkongsi pula dengan bintang antarabangsa terkenal iaitu Backstreet Boys dan 2NE1, Caprice mengakui sangat berbangga diberi penghormatan sedemikian.
"Ini kali kedua saya berkongsi pentas dengan artis antarabangsa dan sebelum ini sudah pernah menjadi artis pembuka tirai buat Akon. Semestinya, perasaan teruja itu sangat kuat dan sebaik mendapat tawaran berkenaan, saya terus mulakan latihan.
"Malam ini, saya mendendangkan empat lagu termasuklah memperdengarkan buat kali pertama Watlek Watpeace khas buat penonton yang hadir. Saya juga mahu mengajak penonton nanti untuk melakukan tarian yang jadi fenomena sekarang, Harlem Shake bersama penari nanti," katanya.
Banyak berjalan ke luar negara, ditanya sekiranya dia sudah ada perancangan untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa pula, Caprice tidak beria-ria ke arah itu.
Baginya, dia selesa menyerahkan saja peluang itu biar datang sendiri kepadanya.
"Setakat ini, saya selesa berkarya di sini saja, namun persembahan pada acara besar seperti TTA2013 diharap menjadi batu loncatan untuk lebih dikenali.
Mengenai rancangan menembusi pasaran luar, biarlah masa yang menentukan. Saya 'go with the flow' saja," katanya.
Caprice mula bertapak dalam industri sejak 2006 dan popular menerusi laman YouTube. Antara lagu popularnya termasuklah Chikaro dan Fantasy Girl serta kerap melakukan 'cover version' lagu popular seperti Baby (Justin Bieber) dan Just the Way You Are (Bruno Mars) dalam bahasa Melayu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23