Isnin, 15 April 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Binatang manja terbiar

Posted: 15 Apr 2013 11:38 AM PDT

Sifat cintakan haiwan yang ada dalam dirinya membuatkan Sherrina Krishnan, 42, sanggup meredah hujan dan panas sejak tujuh tahun lalu demi membantu ribuan kucing terbiar supaya ia mendapat tempat tinggal yang lebih baik dan penjaga penyayang.

Malah, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri setiap bulan sehingga beberapa tahun untuk diberikan kepada pemilik kucing yang mahu menjaga haiwan itu, namun tidak mampu membelikan makanan kucing.

Semua itu dilakukan bukan untuk mendapat nama ataupun penghargaan, tetapi dilakukan demi membantu haiwan lemah berkenaan tanpa mengharapkan sebarang balasan atau sumbangan sesiapa.

Biarpun bukannya orang berada, sebahagian rezeki yang diperoleh hasil kerja keras dalam bidang produksi video korporat dan penasihat kreatif, digunakan untuk membantu haiwan manja berkenaan.

Foto

ANTARA kucing yang menunggu penjaga.

Foto

SEEKOR daripada kucing yang diselamatkan Sherrina.


Menurut Sherrina, segala-galanya bermula pada 2006 ketika hidupnya seakan-akan berada dalam terowong gelap kerana apa saja yang dilakukannya pada waktu itu seolah-olah tidak menjadi hingga menyebab­kannya tiada wang.


Ketika itu, semua usahanya untuk menjalankan perniagaan tidak menjadi. Malah, tiada yang berminat menawarkannya kerja sehingga wanita cekal itu terpaksa menumpang berteduh di rumah kakaknya kerana tiada wang untuk membayar sewa.

Hampir setiap hari juga dia memandu kereta ke rumah ibunya semata-mata untuk makan kerana keadaannya yang ketika itu tidak berduit.

"Ketika itu terdetik dalam hati, saya tidak boleh terus hidup begini. Saya memberikan dua pilihan pada diri sendiri, sama ada terus duduk bersedih dan menangisi nasib atau melakukan sesuatu dalam hidup.

"Tidak lama selepas itu, saya memandu ke arah rumah ibu saya untuk makan, tetapi ketika itu hujan sa­ngat lebat dan air melimpah memasuki longkang. Pada waktu itulah saya melihat beberapa ekor anak anjing yang masih terlalu kecil sedang bergelut supaya tidak ditolak air deras ke dalam longkang manakala ibu anjing pula menyalak melihat anaknya.

"Ketika itu juga saya terus memberhentikan kereta dan keluar menyelamat­kan anak anjing berkenaan daripada hanyut ke dalam longkang, namun saya gagal membawa ibunya sekali kerana ia enggan ikut," katanya.

Apabila dibawa pulang, ibu Sherrina mempersoal­kan mengenai keadaan anak anjing itu dan siapa yang akan menjaganya memandangkan Sherrina sendiri tidak mampu.

Ketika itu, hanya pesanan ringkas (SMS) yang menjadi penghubung komunikasi antara rakan dan dia menggunakannya sebaik mungkin untuk memaklumkan kepada semua rakan selain meminta mereka menghantar pesanan itu kepada seramai yang mungkin.

Pesanan berkenaan adalah bagi mencari sesiapa yang berminat, mampu menyayangi dan menjaga anak anjing berkenaan dengan baik. Dalam masa seminggu saja, semua anak anjing itu sudah mendapat tuan baru yang menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Bermula dari situ, Sher­rina seolah mendapat semangat baru dan mula membantu haiwan terutama kucing terbiar dan sehingga kini, dia sudah membantu kira-kira 3,000 kucing dan anjing melarat dengan mencarikan penjaga yang berminat.

Mungkin ia satu kebetulan, tetapi menurut Sherrina, kehidupannya berubah sama sekali sejak dia mula aktif membantu menyelamatkan kucing terbiar.

Perniagaannya semakin meningkat naik, ramai orang berminat untuk berurusan dengannya dan rezeki bertambah.

Seiring kemajuan media komunikasi, dia kini meng­gunakan pelbagai laman sosial termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan blog untuk mengiklankan gambar kucing yang diselamatkan bagi mencari sesiapa yang berminat untuk menjaga.

Antara laman sosial yang digunakannya untuk mengiklankan kucing dan anjing terbiar adalah www.petadoption2u.blogspot.com dan rescue2rehome.blogspot.com.

Melakukannya secara sukarela, Sherrina tidak pernah mengenakan caj kepada sesiapa yang ingin mengambil kucing daripadanya kerana niatnya hanya mahu mencarikan tempat tinggal yang lebih baik untuk kucing terbabit, daripada membiarkannya mati di jalanan.

"Saya dapat melihat ramai sebenarnya yang sayangkan kucing, tetapi apabila mereka melihat kucing terbiar, mereka tidak tahu hendak buat apa. Apabila saya iklankan gambar kucing di laman sosial, ramai yang datang ke rumah untuk melihat kucing yang sesuai untuk dibawa pulang.

"Malah ada yang datang menghabiskan masa di rumah saya hingga berjam-jam untuk melihat kucing. Seorang lelaki sanggup duduk selama lapan jam semata-mata untuk memerhatikan dan memilih kucing," kata­nya.

Biarpun Sherrina mencari orang yang berminat untuk menjaga kucing, dia tidak sewenang-wenangnya menyerahkan haiwan itu kepada sesiapa saja, sebaliknya mencari individu yang benar-benar bertanggungjawab dan sayang pada kucing.

Dia turut menekankan kepentingan melakukan pemandulan kucing yang diberikan kepada pemilik baru kerana keadaan itu boleh menghentikan kitaran kucing yang teraniaya dan terbiar apabila tiada orang mahu menjaganya.

"Lainlah sekiranya mereka betul-betul tidak kisah untuk menjaga kucing yang banyak, tetapi selalunya kucing berkenaan dibuang di tepi jalan dan ia akan hidup melarat dan mungkin mati akibat penyakit atau kelaparan.

"Dengan melakukan pemandulan, kucing berkenaan akan mendapat perhatian dan penjagaan sewajarnya kerana ia cukup makan berzat dan hidup selesa. Jika kita berjalan di kawasan tertentu di tengah ibu kota hari ini, di bawah kereta mesti ada seekor kucing melarat dan keadaan ini sangat menyedihkan.

"Ada orang yang berkata, kasihan kucing jika dimandulkan kerana tidak merasa mendapat anak, tetapi jika anak-anak kucing itu ditinggalkan begitu saja di tepi jalan, lebih kasihan pada mereka kerana tidak ada orang sudi menjaga mereka dan hidup melarat," katanya.

Sherrina turut mendapatkan khidmat doktor haiwan yang kini sudah seperti rakan baiknya, untuk memandulkan kucing yang diselamatkan bagi menghentikan kitaran kucing melarat.

Katanya, dia juga sering menerima panggilan telefon daripada orang yang memintanya pergi ke kawasan yang dimaklumkan untuk menyelamatkan kucing yang ada. Namun, dia berpendapat, semua orang harus menjalankan tanggungjawab menyelamatkan haiwan tanpa mengharapkan orang lain atau bersikap lepas ta­ngan.

"Tetapi jika ada orang Islam yang menelefon saya untuk maklumkan ada anjing untuk diselamatkan, saya akan pergi dengan segera me­ngambil anjing itu kerana saya sedar ia menyentuh soal hukum agama," katanya.

Menurutnya lagi, kucing seharusnya diberikan makanan terbaik dan kurang garam bagi membolehkan ia hidup lebih lama dan sihat, bukan sekadar tangkap muat atau menjaga bajet. Makanan sebegitu selalunya lebih mahal dan boleh dibeli dari kedai binatang peliharaan.

Disebabkan rasa tanggungjawab yang menebal dalam dirinya untuk membantu kucing terbiar, dia juga sanggup mengeluarkan belanja antara RM300 hing­ga RM400 sebulan untuk diberikan kepada individu yang mengambil kucing daripadanya, tetapi tidak cukup wang membelikan makanan kucing yang berkualiti.

Menariknya, Sherrina sukar mengingati individu yang mengambil kucing daripadanya untuk dijaga, sebaliknya tidak pernah lupa nama kucing yang diberikan kepada mereka.

Sherrina memberikan nama kepada setiap kucing yang diselamatkan dan apabila ditegur individu yang mengenalinya kerana pernah mengambil kucing daripadanya, soalan pertama yang terpacul dari mulut wanita itu adalah bertanya­kan nama kucing terbabit.

"Malah, saya dengan individu yang mengambil kucing daripada saya sudah menjadi seperti kawan baik. Mereka selesa dengan saya dan boleh menghubu­ngi saya bila-bila masa jika mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah me­ngenai kucing.

"Mereka menjadi rapat dengan saya selepas me­ngetahui saya hanya mahu mencari penjaga yang baik untuk kucing yang diselamatkan dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Pada mulanya, kebanyakan mereka tidak berapa faham dengan apa yang saya lakukan.

"Sementara hidup di atas bumi ini, saya rasa penting untuk setiap daripada kita membantu orang lain, haiwan dan melakukan kerja kebajikan kerana kita pun tidak hidup lama dalam dunia ini," katanya.

20 fakta kucing:

1. Haiwan peliharaan boleh dimandulkan atas sebab kebajikannya dan masyarakat berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu "bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah."

2. Kedua-dua kucing dan manusia mempunyai kawasan sama pada otak yang mengawal emosi.

3. Kucing mempunyai 230 tulang dan 500 otot rangka, berbanding manusia dengan 206 tulang dan 650 otot rangka.

4. Tulang selangka kucing tertanam pada otot di bahagian bahu, membolehkannya melepasi mana-mana bukaan sebesar saiz kepalanya.

5. Pendengaran kucing jauh lebih sensitif iaitu ia boleh mendengar sehing­ga 65 khz (kilohertz), berbanding manusia dan anjing. Pendengaran manusia terhenti pada 20 khz.

6. Kucing boleh melihat enam kali lebih tajam pada waktu malam berbanding manusia dan hanya memerlukan satu per enam daripada cahaya yang diperlukan manusia. Luas pandangannya adalah 200 darjah.

7. Kucing berbulu putih suci dan bermata biru selalunya pekak.

8. Sepuluh peratus daripada tulang kucing berada pada ekornya dan ia digunakan untuk mengimbangi tubuhnya.

9. Kucing tidak sukakan bauan limau.

10. Kucing menggunakan misainya untuk menjangka jarak dan mengesan perubahan kecil dalam tekanan udara.

11. Kucing terdiri daripada pelbagai jenis baka antaranya Polydactyl, American Curl, American Wirehair, Asian Semi-Longhair, Bambino, Munchkin, Bombay, Sphynx, Ragdoll, Turkish Van, Abyssinian, Birma, Siam, Parsi, Norwegian, Maine Coon, Aegean, American Bobtail, Brazilian Shorthair, British Shorthair, British Longhair dan Burmilia.

12. Kucing minum air menggunakan bahagian bawah lidahnya.

13. Kucing berjalan di atas jarinya. Ia juga boleh melompat lima kali ganda daripada ketinggiannya.

14. Kajian sains mendapati, perbuatan membelai kucing boleh menurunkan tekanan darah tinggi seseorang.

15. Kucing juga didapati memberi tindak balas lebih baik kepada wanita berbanding lelaki, kemungkinan disebabkan wanita mempunyai suara lebih nyaring.

16. Kucing berjari enam biasa terdapat di Boston dan Massachusetts, Amerika Syarikat.

17. Pada Perang Dunia Pertama, kucing tinggal bersama askar di dalam khemah dengan tugasnya membunuh tikus.

18. Masyarakat Mesir Purba menganggap kucing haiwan suci dan dan patung kucing yang mereka bina adalah berdasarkan kucing daripada baka Abyssinian.

19. Kucing tidak terdapat dalam zodiak Cina tetapi wujud dalam zodiak orang Vietnam.

20. Kucing betina sa­ngat subur dan ia bermakna setiap anak kucing yang ada boleh mempunyai bapa yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Bantu gelandangan

Posted: 15 Apr 2013 10:06 AM PDT

Di kawasan kaki lima kedai sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan Puduraya, sekumpulan remaja asyik mengagih makanan dan minuman kepada gelandangan yang menjadikan ruang hadapan kedai sebagai tempat tidur mereka.

Tanpa mengira usia dan jantina, ada yang membawa anak bersama menikmati makanan yang diberikan sekumpulan sukarelawan dengan penuh rasa kesyukuran.

Mereka yang membantu ini terdiri daripada pelajar Universiti Malaya, Kolej Consist, Subang Helps Everyone dan Kindness manakala makanan sukarelawan ditaja oleh Bom Kitchen.

Selain itu, terdapat sukarelawan baru dari Subang Helps Everyone, yang terdiri daripada sekumpulan anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang turut menyumbangkan bakti mereka kepada gelandangan.


Menariknya pada usia semuda ini, mereka sudah berminat melakukan aktiviti amal yang tidak hanya memberi tumpuan kepada misi gelandangan, tetapi juga aktiviti membabitkan rumah kebajikan anak yatim dan orang tua.


Misi membantu gelandangan dengan nama Feed The Homeless bermula tepat jam 12.30 pagi pada 3 Mac lalu berjaya mengumpulkan lebih 20 sukarelawan diketuai Muhammad Kamarulazizi sebagai ketua projek. Mereka berkumpul di Bangkok Bank bersebelahan Pasar Seni sebelum bergerak ke lokasi terpilih.

Bagi memudahkan kerja pengagihan, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan dan bergerak di sekitar Pasar Seni, Masjid Jamek dan Pudu dengan memberikan lebih 200 pek makanan dan air kepada setiap gelandangan yang berakhir di Masjid Negara.

Turut mengikuti rombongan ialah salah seorang aktivis dari Gaza, Malaka Mohammed yang terkenal dengan usahanya membantu salah seorang tahanan penjara Samer Issawi yang kini menjalankan mogok lapar di penjara Israel.

Pembabitan Malaka memberi inspirasi kepada sukarelawan tempatan supaya ikhlas membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Dia juga berkongsi pengalaman ketika di Gaza mengenai kehidupan seharian di sana.

Acara berakhir sekitar jam 4 pagi selepas menghabiskan 200 pek makanan kepada gelandangan sebelum sukarelawan pulang ke rumah.

Bagi Muhamad, dia mengharapkan lebih ramai sukarelawan muda tampil menghulurkan bantuan yang secara tidak langsung dapat membentuk generasi muda yang penyayang serta mempunyai sikap saling membantu antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved