Selasa, 13 September 2011

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rexy gembira

Posted: 12 Sep 2011 11:52 AM PDT

REXY Mainaky lebih gembira dengan posisi baru melatih beregu wanita kerana bersifat lebih terbuka berbanding beregu lelaki sebelum ini.

Rexy yang bertukar portfolio selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Khamis lalu yakin mampu membentuk persefahaman yang baik dengan beregu wanita dan campuran.


"Saya selesa dengan beregu wanita dan gembira selepas diberitahu menggalas tanggungjawab ini. Pemain wanita Malaysia amat mudah ditangani kerana bersikap lebih terbuka," kata Rexy yang menganggap situasi berbeza di negara lain apabila pemain lelaki lebih terbuka.

Sikap terbuka yang dimaksudkan Rexy itu adalah keinginan pemain untuk berkongsi pendapat dengan jurulatih jika ada rasa tidak kena dengan permainan.


"Saya ada jumpa dengan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui Sabtu lalu dan kami berbincang. Mereka memberitahu apa yang mereka lakukan selama ini dan sedia menerima cadangan latihan saya yang mana saya tidak akan mengubah sepenuhnya corak permainan.


"Namun saya menyeragamkan waktu latihan beregu wanita dan campuran iaitu bermula pukul 8.30 pagi," kata Rexy.

Sebelum ini, beregu wanita menjalani latihan pada pukul 7.30 pagi manakala beregu campuran lapan pagi.


Begitupun dalam sesi latihan pertama bersama beregu wanita dan campuran semalam, Rexy hanya bersama empat pemain Ng Paou Leng, Lim Yin Loo, Lai Pei Jing dan Tan Aik Quan yang baru kembali dari Terbuka Taiwan manakala pemain lain sudah bertolak ke ke China Masters, Ahad lalu.

"Saya juga perlu memastikan beregu wanita dan campuran kedua mendapat pendedahan kejohanan yang mencukupi kerana jika apa-apa kecederaan dialami pasangan utama Pei Tty-Eei Hui (beregu wanita) atau Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), kita ada beregu lain untuk memungut mata melayakkan diri ke Olimpik." Rexy yang akan dibantu Jeremy Gan diberi sasaran memastikan satu pasangan beregu wanita dan campuran layak ke Olimpik London tahun depan.


"Saya perlu pastikan Pei Tty tidak mengalami kecederaan selepas ini. Jika semuanya berjalan lancar, saya yakin Pei Tty-Eei Hui ada harapan untuk mencapai kedudukan terbaik di Sukan Olimpik," kata Rexy yang pernah menaikkan gandingan itu ke ranking nombor satu dunia pada 2009.

KL membara

Posted: 12 Sep 2011 11:49 AM PDT

JUARA 32 kali Piala Malaysia, Selangor perlu meneruskan rentak kemenangan ke atas skuad warga kota, Kuala Lumpur, malam ini bagi mencerahkan peluangnya ke suku akhir.

Namun ia bukan tugas mudah buat skuad K Devan itu terutamanya selepas kejayaan Kuala Lumpur meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas PDRM, 3-0 dan T-Team, 2-1.


Malah skuad kendalian Mohd Razip Ismail itu pastinya berkobar-kobar meneruskan rentak kemenangan tiga perlawanan berturut-turut dalam usaha mereka mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Kumpulan D dan meraih salah satu tempat ke suku akhir.

"Harapan tinggi diletakkan kepada kami untuk mengejutkan Selangor dan saya harap ia mampu direalisasikan kerana ini peluang terbaik selepas mencatatkan dua kemenangan terutamanya mengejutkan T-Team, Sabtu lalu," kata Mohd Razip.


Beliau bagaimanapun tetap menganggap Selangor sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan D kerana mempunyai barisan pemain berpengalaman berbanding Kuala Lumpur.


"Seperti dua perlawanan sebelum ini, kami akan mempamerkan semangat juang tinggi dan kerja keras untuk memastikan kemenangan dicapai," katanya.

Selangor kini menghuni tangga ketiga selepas hanya mencatatkan satu kemenangan berbanding Kuala Lumpur yang meraih mata maksimum.


Pada saingan Liga Super sebelum ini, Selangor diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam namun mencatatkan kemenangan 3-1 apabila bertandang ke tempat lawan.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved