Ahad, 4 September 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Minat ‘Black Hawk Down’

Posted: 03 Sep 2011 10:44 AM PDT

MOGADISHU: "Sebelum membuat liputan di kem penempatan berkenaan, kami berdua sempat bergambar di lokasi 'Black Hawk (helikopter) down' ditembak jatuh, selepas arwah beriya-iya mengajak bergambar di situ kerana katanya, entah bila kami akan dapat datang ke Somalia lagi," kata Aji Siregar Mazlan, 26, jurukamera TV3 yang cedera dalam insiden yang turut meragut nyawa jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, di sini, jam 10.30 malam, kelmarin.

Beliau dan arwah terkena tembakan dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan selepas selesai membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di sebuah kem penempatan rakyat Somalia, jam 5.30 petang (waktu Somalia).


Menurutnya, ketika kejadian, dia dan arwah serta lapan lagi rakan media yang tinggal di hotel berasingan dengan 47 lagi anggota misi menaiki dua kenderaan untuk pulang ke tempat penginapan dan bersiap sebelum dijadualkan bertemu Presiden Somalia (Sharif Ahmed) pada jam 9 malam.

Menceritakan tragedi itu, Aji berkata dia dan arwah duduk di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama empat lagi rakan media daripada TV3, Bernama TV dan ntv7, manakala empat kakitangan RTM menaiki kenderaan lain di depan, bersama kumpulan keselamatan.


Katanya, tembakan berlaku sebaik kenderaan membelok ke laluan masuk hotel dan mereka semua panik serta pemandu cuba memecut masuk tetapi ada halangan berikutan hotel itu mempunyai dua pagar kawalan keselamatan.


"Selepas berjaya masuk, beberapa orang di situ cuba memberi rawatan, namun gagal menyelamatkan nyawa Abang Faizul. Syukur saya hanya terkena serpihan tembakan yang mengorbankan arwah, jika tidak Tuhan saja yang tahu nasib saya.

"Arwah masih bernyawa selepas terkena tembakan, dia hanya mengerang kesakitan dan tidak mampu berkata apa-apa walaupun berkali-kali saya memanggil namanya," katanya.


Aji berkata, ketika kejadian, dia mendengar satu tembakan sebelum berasa panas di lengan kanannya dan sebaik memeriksa mendapati lengannya luka seperti kesan terbakar.

"Saya kemudian menepuk paha arwah yang duduk di kanan saya untuk memberitahu perkara itu, namun arwah hanya diam dan sejurus itu juga kepalanya terlentok ke bahu saya.


"Ketika itu saya baru sedar arwah turut terkena tembakan dan saya nampak bahunya berlubang serta darah mula keluar dengan banyak," katanya yang masih terkejut dengan tragedi itu.


Jenazah arwah bersama 54 lagi anggota misi bantuan, termasuk tiga wakil media daripada The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijadualkan tiba di Subang, hari ini.


Seramai 55 rakyat Malaysia, termasuk wakil media, berada di Mogadishu bagi menghulurkan bantuan makanan dan perubatan bagi rakyat Somalia yang menderita kebuluran.


Arwah antara 17 wakil media yang turut serta dalam misi berkenaan.

Salah faham

Posted: 03 Sep 2011 10:40 AM PDT

KOTA BHARU: "Saya anggap perkara ini sebagai salah faham saja... lagipun urusan mengenai pemulangan cincin tunang itu dibincang menerusi keluarga angkat, bapa Aimie dan ibu tirinya.

"Memang cincin itu masih ada di tangan keluarga angkat dan saya akan pulang untuk menyelesaikan perkara ini mengikut adat nanti," kata penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.


Menurut Khairul Fahmi, dia tidak menyalahkan sesiapa, termasuk ibu Aimie Harmelia atau Elia yang kesal terhadap perkara itu, sebaliknya mahu kekusutan yang berlaku berhubung masalah peribadinya dapat diselesaikan dengan baik.

"Ketika itu saya ada di Slovakia dan keluarga angkat menjadi orang tengah untuk melakukan perbincangan dengan bapa serta ibu tirinya.


"Hanya mereka tahu apa yang dibincangkan, malah bapanya juga faham keadaan saya yang mahu menumpukan sepenuh perhatian di Slovakia.


"Saya cuma mahu masalah ini selesai segera dengan cara baik kerana tidak mahu campur adukkan kerja dengan isu peribadi," katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan rasa kesal ibu Elia yang berusia 46 tahun sambil menafikan dakwaan Khairul Fahmi sudah memulangkan cincin pertunangan anaknya dengan bantuan keluarga angkatnya.


Wanita terbabit turut kesal apabila kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek hanya mengeruhkan lagi suasana, malah mengaibkan keluarganya.

Sebelum ini Metro Ahad melaporkan, Khairul Fahmi memutuskan pertunangannya dengan Elia selepas bertunang pada 17 Mei lalu.


Di sebalik perkara itu juga, dia menafikan kemelut itu berlaku disebabkan angkara orang ketiga iaitu seorang gadis dikenali dengan nama Dahlia.


Sementara itu, kunjungan Metro Ahad ke rumahnya di sini, semalam, gagal mendapatkan sebarang reaksi daripada keluarga Khairul Fahmi untuk mengulas perkara itu.


Ketika ditanya mengenai Dahlia, Khairul Fahmi berkata, dia tidak mahu mengulas apa-apa dan mengakui gadis terbabit berasal dari Kota Bharu.


Katanya, dengan kekangan masa dihadapi, dia hanya mahu menumpukan sepenuhnya kepada kerjaya, terutama komitmen terhadap negara dalam menggalas cabaran pada pusingan kelayakan Olimpik 2012.


"Selepas ini saya akan berlepas ke Jepun dan harap semua faham komitmen dan tanggungjawab saya kepada negara.


"Saya juga berharap supaya isu ini reda kerana ia boleh mengganggu konsentrasi, termasuk keluarga di kampung," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved