Ahad, 4 September 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pauline mahu turun berat badan

Posted: 04 Sep 2011 07:23 AM PDT

MEREKA datang daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan budaya. Namun, mereka disatukan oleh kegemaran yang sama - berbasikal.

Faktor usia dan status jelas tidak menghalang dua wanita ini, Eleanor Chia dan Pauline Tan untuk bergiat aktif dalam aktiviti berbasikal biarpun hanya boleh melakukannya pada hujung minggu dek terikat dengan tugasan harian.

Eleanor mula terbabit dalam aktiviti ini selepas mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu yang baru susulan daripada penyertaannya dalam beberapa acara maraton di seluruh negara.

"Saya mula menyertai aktiviti ini pada September tahun lalu selepas terbaca mengenai acara berbasikal yang akan diadakan di Ipoh. Saya tiba-tiba nekad ingin mencubanya lalu membeli basikal jalanan terpakai.


"Menerusi Kelab Berbasikal Pedalholics (PCC), saya bertemu ramai kawan yang menjadikan aktiviti ini sebagai satu gaya hidup sihat dalam kehidupan mereka," katanya.


Buat pertama kalinya wanita berusia 30-an itu berbasikal sejauh 23 kilometer (km) di sekitar Kuala Lumpur yang mengambil masa hampir sejam setengah untuk melengkapkannya.

"Tiada apa yang saya fikirkan kecuali ingin tidur selepas menamatkan perjalanan itu di sebuah perhentian bas kecil kerana terlalu penat.

"Tapi pada masa sama, ia seakan-akan memberikan kepuasan berbeza hingga saya yakin untuk meneruskan aktiviti berbasikal ini.

"Secara perlahan-lahan saya belajar banyak perkara mengenai aktiviti ini dan menerusi laman sosial seperti facebook, saya mula tahu apa yang diperlukan terutama peralatan basikal agar tiada masalah sepanjang perjalanan," ujarnya.

Eleanor bagaimanapun hanya boleh melakukan aktiviti ini pada Sabtu dan Ahad kerana jadualnya padat sebagai guru tuisyen subjek Sains bagi pelajar tingkatan lima dan praSPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada Isnin hingga pagi Sabtu.

Faktor berkeluarga juga tidak mengehadkan aktiviti wanita kental ini memandangkan suaminya memberi sokongan penuh.

"Suami saya tidak turut serta berbasikal tapi biasanya dia memandu dari belakang dan memberi bantuan jika basikal saya bermasalah," tambahnya yang sehingga kini sudah mengayuh melebihi 150 kilometer.

Genting Sempah, Hulu Langat, Ijok, Bukit Fraser, Port Dickson dan Melaka antara lokasi yang menjadi laluan kayuhannya bersama rakan PCC.

"Saya kini merancang untuk berbasikal sehingga ke Bangkok, Thailand yang akan mengambil masa 20 hari. Banyak persiapan perlu dilakukan dan saya harap dapat melakukannya tahun depan," katanya.

Bagi eksekutif muda, Pauline Tan, hasrat untuk menurunkan berat badan mendorongnya menyertai aktiviti berbasikal ini.

"Saya bosan bersenam dengan mesin di gimnasium, jadi saya berhubung dengan beberapa rakan PCC untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti ini.

"Apabila mula berbasikal bersama rakan PCC, saya terus menjadikannya aktiviti kecergasan utama kerana bukan saja ia memberikan kebaikan pada tubuh saya malah membina ketahanan mental.

"Tidak dinafikan ia sukar, apatah lagi kami mengayuh basikal di atas jalan raya sebenar dan berdepan pelbagai risiko serta gangguan trafik.

"Tapi kepuasan yang dirasai selepas tamat perjalanan kami memang tidak dapat digambarkan. Ia amat mencabar ketahanan fizikal dan mental, meningkatkan stamina serta secara tidak langsung membentuk peribadi untuk menjadi seorang yang berdikari.

"Saya merasakan aktiviti ini seperti refleksi hidup umpama kita menghadapi saat sukar ketika mendaki bukit dan berusaha mengharunginya sementara kita gembira apabila menuruni bukit kerana rasa selesa dengan apa yang berlaku," katanya.

Bagaimanapun, Pauline menyifatkan masih ramai wanita negara ini yang takut untuk menyertai aktiviti berbasikal atas pelbagai faktor antaranya bajet, keselamatan dan kurang maklumat mengenainya.

"Di Malaysia kini banyak kelab berbasikal dan aktiviti mereka boleh diperoleh menerusi bermacam-macam laman sesawang di Internet. Jika ingin mencubanya, ramai yang bersedia membantu.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan. Andai faktor keselamatan menjadi isu, sebaiknya berbasikal dalam kumpulan sekurang-kurangnya empat orang.

"Bagi kami, berbasikal ini satu aktiviti sihat serta mampu menurunkan berat badan dalam tempoh singkat secara selamat," ujarnya.

Jeli untuk kebajikan

Posted: 04 Sep 2011 06:45 AM PDT

BELAJAR cara membuat jeli sambil melakukan kebajikan, itulah program yang diketengahkan pengeluar produk piuter terkemuka, Royal Selangor saban tahun dalam membantu mewujudkan kesedaran wanita terhadap kanser payudara.

Malah, bengkel yang diadakan Oktober depan bersesuaian dengan bulan berkenaan yang sinonim sebagai bulan kesedaran kanser payudara sedunia.

Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata penganjuran aktiviti interaktif sebegini bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Selain itu katanya, acara ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara rakan dan ahli keluarga di samping membentuk budaya beramal dengan cara lebih santai dan ceria.


Turut hadir penaung BCWA, Puan Seri Akmal Abdul Salam dan Ketua Pegawai Eksekutif BCWA, Ranjit Kaur.


Di samping itu, tiga selebriti terkemuka tempatan hadir bersama anak iaitu Melissa Saila, Sofia Jane dan Joanne Kam yang turut sama menyertai acara membuat jeli yang dikendalikan bagi menunjukkan kemeriahan melakukan aktiviti bersama keluarga.

Setiap bengkel berkenaan dikendalikan dengan sekurang-kurangnya 10 peserta yang mana peserta dapat mempelajari cara menggunakan acuan berkenaan selain dihidangkan dengan jamuan minum petang.

Malah, peserta juga boleh membawa pulang jeli yang dibuat berserta acuan jeli yang dibeli manakala Royal Selangor akan menyumbangkan RM80 daripada harga acuan jeli RM290 kepada BCWA. Bengkel ini terbuka kepada semua.

Direka pereka British, Nick Munro, acuan jeli berbentuk kon ini mengambil inspirasi dalam menghidupkan semula tradisi lama dengan gaya moden terkini dan fungsi rekaan Royal Selangor sendiri.

Acuan jeli yang dibungkus dalam kotak berwarna merah jambu terang ini turut disertakan resipi lazat ihsan tukang masak terkemuka seluruh dunia antaranya Emmanuel Stroobant, Ken Hoh, Yvan Cadiou, Jean-Pierre Wybauw serta kafe Pusat Pelawat Royal Selangor sendiri.

Ia boleh didapati di semua kedai jualan dan melalui laman web www.royalselangor.com.

Sementara itu, mereka yang berminat menyertai bengkel membuat jeli boleh menghubungi Royal Selangor di talian 03-41456234 (Shamaine) atau 03-41456345 (Letchumy).

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved