Ahad, 4 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lilit dengan dawai

Posted: 03 Sep 2011 10:25 AM PDT

PORT DICKSON: "Saya tidak menyangka bungkusan hitam yang dililit pada ekzos kereta itu adalah bahan letupan," kata wanita dikenali sebagai Siti, 40-an, yang terkejut selepas cubaan meletupkan keretanya di Batu 1/2, berdekatan PD Walk, di sini, kelmarin.

Siti berkata, dia meninggalkan kereta bersama anak lelakinya berusia 14 tahun di tanah lapang dan pergi melakukan urusan bank tidak jauh dari situ.


"Selepas selesai, saya terus ke kereta yang diletakkan di sebuah tanah lapang sebelum terpandang objek itu.

"Mulanya saya menyangka ia bungkusan biasa, namun apabila membeleknya, saya hairan melihat dawai dililit kemas pada batang ekzos.


"Saya yang mula tidak sedap hati segera menghubungi bapa saudara untuk memeriksanya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, bapa saudaranya datang untuk memeriksa dan mahu memotong lilitan dawai itu, namun dinasihatkan orang ramai supaya menunggu polis tiba.

"Kereta ini baru saya beli sebulan lalu dan saya tidak tahu motif orang yang meletakkan bahan itu.


"Saya tiada musuh dan tidak pernah mencari masalah dengan sesiapapun. Mujur saya dan anak tidak cedera dalam kejadian ini," katanya yang juga kakitangan kerajaan.

Sementara itu, anak lelaki mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sepanjang 30 minit dalam kereta, dia tidak melihat kelibat manusia melalui atau meletakkan sesuatu pada kereta.


"Saya tidak perasan atau mengesyaki sesuatu, malah selepas ibu sampai ke kereta dan memberitahu melihat sesuatu yang pelik pada ekzos, saya turun untuk memeriksanya tetapi masih tidak mengesyaki ia bahan letupan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan.


"Kami turut memanggil Unit Pengesan Bom dan didapati bungkusan itu sejenis bahan letupan disyaki mercun yang mampu memusnahkan tangki minyak kereta terbabit," katanya di sini, semalam.


Katanya, bahan letupan itu mampu memusnahkan benda di sekelilingnya hampir 50 meter dan suspek yang melakukan perkara ini mempunyai niat mencederakan pemilik kereta itu.


"Hasil pemeriksaan awal, kami mendapati bahan itu dililit dengan sempurna dan kemas supaya tidak mudah jatuh jika kenderaan itu bergerak," katanya.


Menurutnya, pihaknya berjaya memusnahkan bahan letupan terbabit pada jam 8.45 malam.


"Kita akan menyiasat kes ini daripada semua aspek dan mengesan motif suspek melakukan perkara ini," katanya yang turut mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat mendatangkan kecederaan," katanya.

Budak 5 tahun lemas jatuh terusan

Posted: 03 Sep 2011 10:14 AM PDT

SANGLANG: "Arwah suruh saya belikan bunga api tetapi saya tidak bagi, tak sangka pula arwah pergi ke kedai secara senyap-senyap," kata Jasmi Ludin, 39, bapa kepada Syabil Syakirin, 5, yang lemas dipercayai terjatuh ke dalam terusan selepas gagal mengawal basikal ditungganginya di Kampung Masjid, Kuala Sanglang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa dikatakan keluar dari rumah di Taman Sri Sanglang, di sini, 500 meter dari tempat kejadian untuk membeli bunga api di sebuah kedai berhampiran terusan itu.


Jasmi berkata, anaknya yang bersekolah di Tabika Kemas Kuala Sanglang memintanya membeli bunga api tetapi dia tidak mengendahkannya, menyebabkan arwah pergi ke kedai seorang diri.

"Saya tidak sangka dia keluar senyap-senyap dengan menunggang basikal. Kebetulan sebelum kejadian itu, kakaknya, Nursyifaa, 8, perasan adiknya tiada di rumah, menyebabkan kami semua pergi mencarinya di sekitar rumah tetapi tidak menemuinya.


"Beberapa minit kemudian saya menerima panggilan daripada penduduk kampung memberitahu anak saya lemas dalam terusan.


"Ketika sampai di situ, penduduk memaklumkan mereka sudah membawa anak saya ke klinik berhampiran. Bagaimanapun, dia meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik," katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Sri Sanglang, di sini, semalam.

Beliau berkata, dia bergegas ke klinik itu sebelum doktor mengarahkannya menghantar arwah ke Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar untuk tindakan susulan.


"Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Arwah anak yang lincah dan aktif... kami sedih dengan kehilangannya," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Kamarudin Othman, 48, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan rumah dan menemui sebuah basikal di atas jambatan.


"Selepas melihat ke arah sungai, saya dapati sepasang kasut kanak-kanak dibawa arus dan saya percaya sesuatu yang buruk berlaku, menyebabkan saya menghubungi abang saya, Zakaria, 54 untuk membantu.


"Lima minit selepas abang datang, dia menyelam ke dasar sungai dan menemui seorang budak lelaki lemas. Ketika dipapah, mangsa didapati dalam keadaan lembik.


"Biarpun tiga kali melakukan pertolongan cemas, usaha kami tetap gagal sebelum kami meminta pertolongan orang ramai membantu membawanya ke klinik," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved