Ahad, 6 November 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Patah kaki hampir 50 kali

Posted: 05 Nov 2011 11:49 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Dia gadis pandai tetapi diuji Tuhan dengan sepasang kaki istimewa yang terlalu rapuh hingga patah hampir 50 kali, menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan.

Akibat kekurangan itu, Nurul Fatihah Hashim, 16, kini menjadi pemalu dan kurang keyakinan diri, sedangkan dulu dia murid cerdik dengan pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengekalkan keputusan baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.


Untuk bergerak, Fatihah terpaksa menggunakan kerusi roda sambil kebiasaannya menyembunyikan kedua-dua kakinya kerana malu dan tidak sanggup diejek rakan sebaya.

Selain Fatihah, dugaan ini sebenarnya turut dikongsi bapanya, Hashim Omar, 53, abangnya, Asrul, 23, dan pasangan kembarnya, Mohd Syafiq, 16, cuma masalah Fatihah paling kronik.


Menurut Mohd Syafiq, kehadiran Aidilfitri atau Aidiladha dalam sejarah hidupnya tidak pernah seceria orang lain kerana mereka tidak boleh bergerak jauh seperti remaja lain, selain hidup serba kekurangan dengan keadaan kakinya yang rapuh.


"Sebenarnya saya sudah biasa begini, dulu ada pelajar sekolah mengejek memanggil kami penyu kerana keadaan kaki dan pergerakan saya seperti reptilia itu.

"Mulanya malu juga namun lama-kelamaan saya tidak peduli, cuma kakak yang masih malu mungkin kerana keadaan kakinya semakin teruk sejak kami membesar.


"Pernah satu ketika, kerusi roda kakak ditarik atau dihentak pelajar nakal menyebabkan kakinya patah, namun selepas insiden itu, kami tidak lagi diganggu kerana mereka takut melihat kesan yang kami tanggung akibat perbuatan mereka," katanya ketika ditemui Metro Ahad di Perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang, dekat sini.

Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh daripada Ha- shim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya kerana tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya turut sensitif dan luka jika terkena seluar dipakai.


Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk apabila kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semakin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengengsot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.


"Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pembelajaran kami terjejas, biasanya kakak yang sering mengulang kaji pelajaran di rumah, jadi tidak hairan dia mampu menjadi pelajar cemerlang," katanya.


Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersama, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu, namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri akibat kekurangan dialaminya.


Sebaliknya, Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas kerana masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.


Hashim pula berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan anaknya.


"Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas dan akibatnya doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuatan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.


"Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM50 seminggu tetapi bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga," katanya.


Katanya, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan iaitu ketika mula belajar berjalan, sekali gus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.


"Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menanggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana melalui kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kakinya semakin pipih seolah-olah akar kayu.


"Akibatnya, dia yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami perasaan kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawar," katanya.


Akibatnya, empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi akibat terlanggar objek, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengengsot untuk bergerak dalam rumah.


Ketika di luar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah mula kurang bergaul dengan rakan, mungkin disebabkan kekurangan diri.


Hashim berkata, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.


"Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah di sebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurzaimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini.


"Pengorbanan isteri dan anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung, setiap kali Aidiladha, saya memanjat kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain.


"Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka.


"Namun apakan daya, dengan kudrat yang tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Risiko Nadia

Posted: 05 Nov 2011 11:49 AM PDT

MENGHIDUPKAN watak Zaiton Sameon menerusi filem biografi, Zaiton Ceritaku, satu tanggungjawab besar buat Nadia Aqilah, apatah lagi nama itu bukan calang-calang dalam arena seni suara tanah air. Pelantun lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar itu pernah menjadi bualan hangat masyarakat baik perihal keberanian, kehebatan vokal, kontroversi yang mengiringi kembara seninya mahupun tragedi yang meragut segala kemasyhuran yang dikecapi.

Tawaran yang hadir bagaikan bulan jatuh ke riba. Biarpun pada awalnya tertekan memandangkan masa untuk melakukan persediaan terlalu pendek, kepercayaan yang diberikan produksi dan pengarah menyuntik keyakinan dalam dirinya untuk menzahirkan harapan yang ingin disampaikan Zaiton kepada masyarakat ke layar perak. "Zaman kemuncak Zaiton, saya baru berusia tiga tahun. Tak sangka apabila berumur 26 tahun, saya terpilih untuk melakonkan wataknya.


"Saya sangat berbesar hati dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan pengarah filem ini, Isma Daniel. Biarpun masih hijau dalam bidang ini, dia yakin dengan kemampuan saya. "Terus-terang, apabila diterima menerajui filem ini, saya rasa gugup dan tertekan. Ketika itu saya masih terikat dengan pementasan teater muzikal, The Secret Life of Nora di Istana Budaya. Bagaimanapun, kata-kata semangat yang diberikan oleh Isma dan pereka produksi filem ini, Azma Aizal Yusoof sedikit sebanyak meredakan perasaan itu, malah selepas bertemu Zaiton untuk mengetahui kisah hidupnya, perlahan-lahan timbul keyakinan di hati. "Memandangkan cuma ada empat atau lima hari untuk melakukan persediaan sebelum masuk ke lokasi penggambaran, saya terus melakukan penyelidikan dengan menonton video persembahan Zaiton dan mengkaji karakternya. Setiap hari saya jumpa Isma untuk mendalami karakter dan tahu apa yang dia mahu. "Seronok bekerja dengan Isma kerana dia beri kebebasan kepada saya. Kalau suka persembahan saya, dia akan cakap terima kasih dan jika sebaliknya dia akan cuba cara lain hinggalah berpuas hati.

"Sikap terbukanya membuatkan saya rasa sangat selesa untuk berbincang dan bertanya apa saja yang saya kurang faham," katanya.


Mengulas lanjut filem terbitan Bruang Filem Sdn Bhd itu, Nadia berkata, penggambaran bermula sejak 29 November lalu dan dijangka berlangsung 25 hari sekitar Kuala Lumpur dan Kalumpang, Selangor. Meskipun hujan setiap hari, penggambaran berjalan lancar, bahkan semua yang menjayakan produksi bersatu hati serta bekerja keras demi memastikan Zaiton Ceritaku mencapai piawaian ditetapkan. Paling penting kata Nadia, keikhlasan setiap mereka yang terbabit memberikan aura positif di lokasi penggambaran. Katanya lagi, apa yang bakal dipertontonkan di layar perak nanti adalah perjalanan hidup Zaiton yang tidak diketahui orang ramai dan mesej di sebalik cerita berkenaan diharap dapat membuka mata masyarakat untuk menyayangi dan menghargai penyanyi terkenal itu. "Saya tidak boleh menjadi Zaiton, apa yang boleh saya buat adalah menyampaikan hasrat hatinya kepada orang ramai. Saya melakonkan gambaran Zaiton daripada kaca matanya, apa yang dia percaya dan rasa.


"Yang boleh saya simpulkan, dia juga seperti kita, menjalani kehidupan normal dan ada perasaan. "Ketika di kemuncak populariti, diva kesayangan ramai ini hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Tragedi nahas jalan raya yang berlaku pada 21 Februari 1990 di Batang Kali, meragut nyawa anak tunggal kesayangannya, Azirwan Abu Bakar yang berusia 13 tahun, bahkan hidupnya bagaikan hilang arah selepas itu. Dia tidak tahu ke mana mahu melangkah.

"Lebih menyedihkan, masyarakat seakan-akan menghukumnya, malah ramai hilang kepercayaan dengan keupayaannya.


"Macam-macam yang pernah saya dengar tetapi apabila bertemu dengannya, saya rasa sangat kagum dengan ketabahannya.

"Biarpun melalui kehidupan yang sangat menyedihkan, dia masih teguh berdiri dan meletakkan harapan tinggi supaya diterima menyanyi semula di atas pentas. Bagi saya dia 'bionic woman'. "Penderitaan yang dilaluinya tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.


"Bayangkanlah, sedar saja daripada koma, dia hilang segala-galanya, termasuk anak. Adalah normal jika dia berpelakuan seperti mana yang orang cakap sebelum ini," katanya. Ditanya adakah dia bersedia menerima kritikan berikutan penangan kontroversi yang pernah menghimpit Zaiton pada zaman kegemilangannya, sambil ketawa Nadia berkata, menerima tugas ini bermakna dia sanggup berdepan apa saja kemungkinan yang mendatang. "Terus-terang saya tidak tahu betapa hebat kontroversi wanita bernama Zaiton Sameon. Dulu saya cuma tahu lagu Menaruh Harapan yang pernah menjuarai Juara Lagu 1987.


"Apapun, skrip filem ini tidak memfokus perihal kontroversi, sebaliknya menjelaskan akibat dan apa yang berlaku dalam hidup Zaiton.


"Kita tidak memanaskan kembali kontroversi lalu, cuma memandangkan filem ini mengangkat kisah benar yang berlaku dalam hidup Zaiton, adalah sedikit yang kita sentuh seperti bajunya. "Selebihnya, pengarah mahu mengetengahkan sisi berbeza Zaiton yang belum diketahui ramai sebelum ini," kata Nadia.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved