Ahad, 6 November 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bukan menyembuh tapi ringan beban

Posted: 06 Nov 2011 09:28 AM PST

APABILA keluarga mengupah jururawat atau pembantu khas menjaga ahli keluarga yang sakit tenat dan tiada harapan sembuh, ada yang memandang sinis serta menganggap mereka tidak sanggup berkorban menguruskan keperluan pesakit. Malah, ada juga pihak yang menyifatkan keluarga berkenaan 'kurang bertanggungjawab' kerana melepaskan tugas berkenaan kepada orang luar.

Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dalam keadaan tertentu bantuan jururawat yang memberikan penjagaan hospis atau paliatif sememangnya sangat diperlukan terutama apabila doktor memberitahu kemungkinan jangka hayat pesakit tidak panjang. Tidak ramai yang tahu bagaimana cara terbaik menghadapi pesakit yang berada di ambang maut.

Walaupun secara umumnya penjagaan hospis merujuk kepada penjagaan kepada pesakit yang menunggu waktu kembali ke pangkuan Ilahi, tetapi perkhidmatan yang ditawarkan sebenarnya lebih meluas kerana ia merangkumi pelbagai aspek atau isu membabitkan keluarga berkenaan.

Di negara kita, penjagaan hospis mungkin masih kurang popular walaupun ia sudah lama wujud iaitu sejak awal 1992 yang bermula di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Walaupun sudah lama perkhidmatan ini wujud di negara kita, tetapi kawasan liputannya masih terhad. Kebanyakannya tertumpu di kawasan Lembah Klang atau bandar besar.


Biasanya penjagaan hospis diberikan kepada pesakit yang dijangkakan hanya mempunyai kurang daripada enam bulan untuk hidup dan ia boleh diberikan di rumah, pusat rawatan, hospital atau institusi tertentu yang dikendalikan jururawat terlatih. Walaupun perkhidmatan ini diberikan secara percuma, tetapi pesakit perlu ada penjaga sendiri di rumah.


"Memang masih ramai orang tidak tahu mengenai penjagaan hospis. Di kalangan yang tahu, ada berpandangan negatif kerana menganggap pihak yang menawarkan perkhidmatan ini hanya mahu mengaut keuntungan. Pandangan ini salah kerana tujuan penjagaan hospis adalah untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit sehingga mereka menutup mata.

"Mungkin ramai tidak sedar, dalam kesedihan dan kesibukan dengan keluarga masing-masing, sedikit sebanyak kebajikan pesakit akan terabai. Saya sedih apabila melihat pesakit tidak mendapat penjagaan sewajarnya selepas dibenarkan balik ke rumah sedangkan pada saat-saat akhir inilah mereka seharusnya hidup selesa," kata Pengurus Jururawat Paliatif Hospital Assunta, Tai Yun.

Di negara kita, penjagaan hospis lebih popular di kalangan pesakit kanser peringkat akhir. Namun, tidak kira apa jenis penyakit yang dihidapi, keperluan asas mereka tetap sama iaitu:

* Makanan.

* Penjaga yang berkebolehan dan berpengetahuan. Ciri yang perlu ada pada penjaga ialah sabar, teliti, prihatin, tahu mengenai penyakit dan cara untuk memberikan keselesaan kepada pesakit.

* Tahu bagaimana menguruskan gejala dan siapa yang boleh dihubungi untuk membantu.

"Antara salah faham paling lazim ialah anggapan pesakit tidak perlukan rawatan selepas disahkan jangka hayat mereka tidak panjang. Tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana selagi pesakit hidup, selagi itulah dia perlu diberikan perhatian sewajarnya dan kes begini mereka perlukan penjagaan hospis.

"Dalam penjagaan hospis, jururawat akan memastikan pesakit mengambil ubat mengikut jadual ditetapkan, merawat jika ada ulter tekanan (terutama bagi pesakit yang terlantar) dan pelbagai perkara lagi termasuk aspek psikologi.

"Memang ada pihak yang mempertikaikan keperluan perkhidmatan penjagaan hospis ini kerana ia tidak dapat menyembuhkan penyakit. Benar, penjagaan hospis memang tidak dapat menyembuhkan penyakit atau memanjangkan hayat pesakit, tetapi ia boleh membantu meringankan penderitaan pesakit dengan mengurangkan kesakitan mereka. Penjagaan hospis membantu mengawal 85 hingga 90 peratus kesakitan pesakit.

"Sasaran kita adalah untuk memastikan pesakit dapat menghabiskan sisa hidup mereka dalam keadaan selesa. Saya sedih apabila ada pesakit lebih rela mati terutama yang berasa tidak puas hati dengan diri sendiri, tidak dapat menerima hakikat menghidap penyakit kronik atau menganggap penyakit itu adalah hukuman tuhan atas kesalahan mereka.

"Kita tidak boleh paksa pesakit menerima penjagaan hospis atau tidak. Itu hak mereka, tetapi ahli keluarga perlu sedar bahawa walaupun jangka hayat pesakit mungkin tidak panjang, tetapi dia tetap perlu teruskan hidup. Tidak kira berapa pendekpun tempoh yang tinggal, setiap pesakit berhak menikmati hidup dengan selesa dan gembira," katanya.

Sebagai contoh, bagi pesakit kanser peringkat akhir, mereka masih ada beberapa bulan untuk dihabiskan bersama keluarga. Dalam tempoh beberapa bulan inilah banyak perubahan yang boleh dilakukan dan paling penting ahli keluarga boleh memenuhi hajat terakhir mereka.

Perkhidmatan penjagaan hospis merangkumi:

* Perkhidmatan rawatan (yang mudah)
* Pengurusan kesakitan
* Kaunseling psikologikal
* Kaunseling spiritual
* Sokongan sosial dan perkhidmatan
* Membantu keperluan harian seperti mandi, mengenakan pakaian dan memberus gigi
* Mententeramkan ahli keluarga yang berkabung
* Kaunseling kepada ahli keluarga yang bersedih
* Memberi sokongan dan bantuan kepada penjaga
* Memberi sokongan untuk ahli keluarga menghadapi kematian
* Menjadi orang tengah dalam keadaan tertentu sekali gus dapat merapatkan hubungan keluarga pesakit

Bila hendak mulakan penjagaan hospis?

Bila-bila masa yang difikirkan perlu. Ada pesakit yang perlukan penjagaan hospis sebaik dibenarkan pulang ke rumah. Isu 'kurang bertanggungjawab atau cuba melepaskan tugas sebagai anak' dengan mendapatkan perkhidmatan penjagaan hospis tidak wujud kerana apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan pesakit sendiri.

"Ramai orang tidak tahu apa harus lakukan apabila ada ahli keluarga yang sakit teruk dan dijangka tidak lama hidup. Mereka juga tidak tahu bagaimana hendak menenangkan pesakit terutama jika dia tidak dapat menerima kenyataan. Dalam keadaan inilah anda sebenarnya memerlukan bantuan penjagaan hospis. Namun, janganlah ada yang beranggapan saat kematian pesakit semakin dekat apabila dicadangkan mendapatkan bantuan penjagaan hospis," katanya.

Menurut Tai, tiada siapa yang dapat menentukan jangka hayat seseorang. Anggaran jangka hayat yang diberikan doktor hanyalah kiraan berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang perubatan, namun tempoh sebenarnya tiada siapa tahu. Inilah sebabnya pesakit dan ahli keluarga perlu bersikap positif dengan memikirkan cara terbaik untuk meningkatkan kualiti hidup mereka bersama.

Oleh kerana tiada siapa tahu jangka hayat sebenar seseorang, maka ada kemungkinan pesakit hidup lebih lama daripada jangkaan. Jika ini berlaku, ahli keluarga masih boleh meneruskan penjagaan hospis dan seandainya keadaan pesakit bertambah baik, maka perkhidmatan ini bolehlah dihentikan.

"Usah risau wujudnya diskriminasi. Semua pesakit akan dilayan sama rata tanpa mengira kedudukan, umur, tahap pendidikan, agama, keturunan atau latar belakang. Di Malaysia ada banyak pihak yang menawarkan penjagaan hospis, jadi anda boleh selidik dulu sebelum mendapatkan mendapatkan khidmat ini," sambungnya lagi.

Penerimaan masyarakat terhadap penjagaan hospis berbeza antara kaum. Dulu ramai orang Melayu bersikap terbuka dan menerima keadaan ini sebagai ketentuan Tuhan. Namun kini, keadaan sudah jauh berbeza kerana semakin ramai yang masih mahu berusaha merawat pesakit hingga ke saat akhir.

"Ini usaha yang baik kerana sebagai manusia kita memang disuruh supaya tidak berputus asa, tetapi pada masa sama, janganlah menolak hakikat bahawa pesakit perlukan penjagaan hospis. Jika benar hayatnya tidak panjang, biarlah sisa hidupnya dihabiskan dalam keadaan yang gembira, selesa dan bebas daripada kesakitan," katanya.

Berbual soal kematian

Sememangnya bukan mudah untuk kita menerima hakikat insan yang tersayang menunggu masa untuk mengadap Ilahi. Rasanya tidak terbuka mulut untuk berbicara soal kematian dengan orang tersayang yang bakal pergi meninggalkan kita.

Di sinilah jururawat hospis boleh membantu. Mereka bukan sekadar memberi bantuan dalam masalah berkaitan perubatan, malah mereka juga memberi sokongan psikologi dan kerohanian. Pada masa sama, mereka boleh dijadikan pusat rujukan bagi keluarga yang bersedih bakal kehilangan insan tersayang kerana adakalanya mereka tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan pesakit.

"Ahli keluarga perlu berlagak normal di depan pesakit. Jalani kehidupan seperti biasa, tetapi memberi lebih perhatian kepada pesakit. Malah, sangat penting untuk meluangkan masa berbual dengan pesakit kerana biasanya ketika inilah mereka bercakap soal kematian.

"Saya faham, ramai orang tidak bersedia untuk bercakap mengenai perkara ini walaupun ia sangat penting. Jangan mengelak jika ibu bapa atau pesakit memulakan topik mengenai kematian kerana hanya melalui cara inilah untuk kita mengetahui hajatnya.

"Saya kerap berhadapan dengan pesakit yang tidak dapat menyampaikan hajat terakhirnya kepada ahli keluarga kerana pelbagai faktor - sama ada hubungan keluarga yang tidak rapat atau ahli keluarga tidak bersedia mendengar mengenainya.

"Dalam kes begini, jururawat hospis boleh menjadi orang tengah untuk menyampaikan hajat pesakit kepada ahli keluarganya. Biasanya ketika inilah banyak perkara yang bersangkutan hubungan keluarga boleh diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Pada masa sama penjagaan hospis juga boleh membantu ahli keluarga yang berasa terlalu sedih dengan pemergian pesakit. Perasaan sedih ini mengambil masa untuk hilang dan jika ada yang sedih keterlaluan (melebihi setahun), ahli keluarga boleh mendapatkan bantuan jururawat hospis supaya kes ini boleh dirujukkan kepada doktor pakar.

Full content generated by Get Full RSS.

Semangat, dorongan bawa sinar baru

Posted: 06 Nov 2011 09:15 AM PST

KITA mahu sentiasa sihat sepanjang hayat dan berdoa tidak mendapat sebarang penyakit. Apatah lagi penyakit berbahaya yang diketahui sukar diubati. Namun, siapalah kita untuk menolak takdir dan ujian Allah.

Untuk reda dan menerima setiap takdir yang menimpa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu kekuatan dan ketabahan.

Noor Hashikin Mohd Shariff, 44, ibu seorang anak perempuan berusia 14 tahun ini melalui kehidupannya seperti wanita lain juga. Hidup anak jati Kuala Lumpur ini sibuk dengan rumah tangga, kerja dan tanggungjawab sebagai ibu.

Kerana sudah bekerja di tempat yang sama selama 22 tahun, Hashikin rapat dengan rakan sekerjanya, malah turut menyaksikan perjalanan hidup masing-masing sepanjang tempoh itu.


Anak kelapan daripada sembilan adik beradik, Hashikin juga rapat dengan adik-beradiknya. Hidup wanita ini seakan mengalami perubahan sepenuhnya apabila pada Oktober 2010, ketika melakukan pemeriksaan badan menyeluruh di hospital, dia diberitahu berkemungkinan besar menghidap penyakit kanser rahim. Mendengar itu jantungnya bagaikan terhenti.


Pada hari yang sama juga dia segera dirujuk ke hospital lain untuk mendapatkan pengesahan dan rawatan.

Menceritakan perasaannya yang bercampur-baur ketika mendapat perkhabaran mengenai penyakitnya, Hashikin sukar membayangkan.

"Memanglah amat terperanjat, sedih dan bermacam perasaan. Tapi saya tetap menyuruh diri supaya reda dan tabah hati. Terus teringat pada ibu saya yang juga mengalami penyakit sama sehingga membawa kepada kematiannya.

"Memang sebelum ini pun dalam hati saya sering mengingatkan, ada kemungkinan saya terkena penyakit sama," katanya.

Kematian juga mula menghantui fikiran Hashikin. Siapa yang tidak ingat mati apabila doktor kemudian mengesahkan tahap kanser yang sedang dihidapinya.

"Waktu itu saya terus teringat keluarga dan semua orang yang saya sayangi," beritahu Hashikin agak sebak mengingati apa yang menimpanya waktu itu.

Sebaik mendapat pengesahan doktor, orang pertama yang dihubungi Hashikin ialah kakak keduanya. Dia mahu mengadu rasa dan mendapat kekuatan.

"Mendengar perkhabaran saya, kakak yang menangis tetapi saya tidak. Sebabnya saya cuba kuatkan diri dan hati sendiri. Saya tak mahu lemah," katanya.

Seterusnya, Hashikin dirujuk ke hospital untuk proses rawatan seterusnya. Dengan tahap kanser yang dihidapinya, doktor nasihatkan dia supaya segera mendapatkan rawatan, tetapi di situ perlu menunggu giliran.

"Kata doktor sekiranya saya mempunyai wang dan insurans, eloklah saya segera mendapatkan rawatan di hospital swasta," katanya.

Itulah yang dilakukan Hashikin. Tanpa berlengah lagi, dia melalui rawatan kemoterapi sebanyak lima kali dan 25 kali radioterapi. Dia perlu melakukannya terus menerus, lima hari seminggu kecuali hujung minggu selama sebulan.

Kesan daripada rawatan kemoterapi dan radioterapi dapat dilihat selepas seminggu saja. Seperti pesakit kanser yang lain, Hashikin tidak berselera untuk makan dan keguguran rambut. Badannya sangat lemah daripada segi mental dan fizikal.

Waktu proses penyembuhan inilah, cerita Hashikin, semangat, dorongan dan kasih sayang orang terdekat sangat diperlukan. Dia sangat bersyukur kerana Allah mengurniakan orang sekelilingnya yang sangat membantu dan mengambil berat.

"Keluarga sentiasa bersama-sama saya. Suami saya (Ramli Saat) sentiasa memberi semangat, sokongan dan kekuatan kepada saya supaya kuat melalui semua ini. Tiga kakak saya (Siti Esah, Hashnah dan Kamisah) masing-masing sudah berkeluarga, tetapi tetap tidak mengabaikan saya sebagai adik mereka yang sedang melalui dugaan hebat waktu itu," katanya.

Hashikin tidak menafikan, ketika kesakitan begitu, dia sentiasa mengingati mati dan kadangkala semangatnya jatuh merudum.

"Kakak-kakak saya datang, mengurut, memberi kasih sayang dan sentiasa bersama saya sepanjang waktu sukar itu. Jangan putus asa, kata mereka. Waktu itu kita memang tak lalu makan, tetapi kerana semangat untuk sembuh yang meninggi, saya paksa juga makan bubur dan minum susu. Untuk menghadapi kemoterapi dan radioterapi, saya perlukan tenaga jadi saya paksa diri seboleh mungkin untuk makan demi tenaga," katanya.

Semangat yang jatuh merudum memang memerlukan sokongan orang tersayang dan daripada situ, Hashikin makin tabah mahu segera sembuh seperti sedia kala.

Bilakah kita dapat menilai kawan itu sama ada setia atau pun tidak? Tentu saja ketika sakit dan kesusahan melanda diri. Sekali lagi Hashikin bertuah kerana dia dapat melihat betapa dia mempunyai sahabat yang ramai ketika sakit.

"Saya sangat terharu kerana ramai kawan sekerja saya yang datang menziarahi saya ketika sakit. Proses pemulihan, kesedihan hati dan rasa putus asa dapat diatasi apabila kawan-kawan datang ke rumah menyatakan doa dan memberi semangat kepada saya.

"Bukan hanya kawan-kawan yang masih bekerja di tempat sama, mereka yang sudah berhenti dan bekerja di tempat lain pun menjenguk serta bertanya khabar. Terus terang, apabila kawan-kawan datang, saya rasa seronok dan dapatlah melupakan kesakitan seketika.

"Mereka datang berkumpulan. Pendek kata setiap minggu ada saja yang melawat saya tidak kira bangsa. Ada Melayu, Cina dan India. Jika tidak dapat datang, mereka bertanya khabar. Begitu juga jiran tetangga. Apabila tahu saya sakit, mereka segera ziarah saya," katanya.

Begitulah Islam sangat mementingkan ziarah terutama kepada orang yang sakit kerana selain pahala yang dijanjikan Allah, ia juga memberi impak yang positif kepada orang yang diziarahi.

"Selain itu, pengisian rohani iaitu dekatkan diri dengan Allah juga zikir sangat membantu. Bila badan kita lemah, memang mudah diganggu syaitan jadi mendekatkan diri dengan Allah membantu untuk mengatasinya," katanya.

Selepas empat bulan bercuti, Hashikin kembali bekerja pada Februari lalu dengan semangat yang baru dan ceria. Dia yang bekerja di unit kejuruteraan pembuatan gembira dapat bertemu kawan-kawannya semula.

Sekarang, tiga bulan sekali Hashikin akan membuat pemeriksaan susulan dan menurut doktor, penyembuhan berjalan dengan baik.

Nasihat Hashikin kepada mereka yang mempunyai keluarga atau kawan-kawan yang sakit, berilah semangat kepada mereka demi meneruskan hidup.

"Jangan menyuntik sifat negatif pula. Ziarah kawan atau saudara kita kerana ia amat bermakna bagi mereka.

"Ingatkan dia pada orang yang disayanginya supaya dia tidak putus asa dan meneruskan berubat sehingga sembuh," katanya.

Usah cerita unsur negatif yang melemahkan pesakit

BERIKAN sokongan kepada saudara atau teman kita yang dilanda kesakitan. Apakah cara yang boleh dilakukan? Adakah ia berupa ziarah, doa, hadiah atau bantuan?

Kadangkala orang yang sakit tidak memerlukan bantuan kewangan kerana mereka berkemampuan. Adakah atas sebab itu, kita tidak menziarah dan menyokong mereka? Sebenarnya ada yang beranggapan, menziarah atau membantu orang sakit hanya sekiranya mereka daripada kalangan orang susah atau miskin.

Anggapan itu tidak benar sama sekali kerana walaupun jutawan sekalipun, wang ringgit tidak membantunya mendapat semangat dan ketabahan sebaliknya orang terdekat yang boleh melakukannya.

Sewaktu menziarah pesakit, jangan pula membawa unsur negatif yang membuatkan pesakit itu bertambah sakit pula. Ikuti panduan berikut yang boleh diikuti ketika menziarah pesakit:

  • Bawalah kegembiraan kepada pesakit. Cerita kepadanya kisah yang bersemangat dan dapat meningkatkan ketabahannya dalam meneruskan hidup dan berubat.

    Usah menceritakan mengenai kegagalan seseorang yang berubat dan pada akhirnya
    dia mati. Sebaliknya, kongsi cerita yang dapat membina motivasi.

  • Lazimnya, orang yang datang melawat pesakit mahu berkongsi mengenai ubatan lain yang kononnya boleh menyembuhkan penyakitnya. Tanpa disedari, ia menyesakkan fikiran pesakit dan keluarganya.

    Berhati-hati dalam membuat cadangan dan jangan seperti memaksa dan memberi idea kononnya ubat yang dimakan sekarang tidak baik. Tengok keadaan sebelum anda memberi cadangan walaupun niat anda itu sangat baik.

  • Jangan berkongsi petua dan pantang larang khurafat dengan pesakit. Contohnya mencadangkan pemakaian tangkal, jampi serapah dan bomoh terkini kepadanya.
  • Walaupun elok menziarah pesakit tetapi jangan terlalu lama. Hadkan masa lawatan anda, biar ia ringkas tetapi padat. Mungkin pesakit penat dan mahu berehat jadi pastikan kedatangan anda tidak mengganggu masa rehatnya.
  • Semua orang sibuk dengan kerja dan keluarga masing-masing. Sekiranya keluarga atau teman kita sentiasa memerlukan sokongan moral kita, rancang jadual lawatan anda secara berhemah.

    Anda dan teman-teman yang lain mungkin boleh bergilir-gilir menghabiskan masa dengan si pesakit dan tidak perlu sekali gus. Dengan ini setiap hari pesakit akan ada penemannya dan tidak terasa kesunyian.

  • Jangan menyusahkan pesakit dan keluarganya untuk menjamu kita setiap kali datang menziarah. Bawalah makanan dan minuman yang ringkas sekiranya anda menziarah beramai-ramai.

    Makanan pula biarlah ringkas dan tidak berkuah. Sandwic, nuget dan kuih-muih lebih sesuai. Elok juga bertanya kepada pesakit makanan yang ingin dimakannya dan bawakan untuknya. Ini dapat menggembirakan hati pesakit.

  • Bagi pesakit yang tidak lalu makan, jangan hilang punca jenis makanan yang hendak dibawa. Makanan bukan segala-galanya.

    Anda boleh lakukan perkara lain dalam melegakan kawan anda yang sedang sakit. Selain mengurut kaki dan tangannya, sekiranya dia terbaring dan tidak bermaya, anda boleh membantu menyegarkan badannya. Lap dan bersihkan badannya menggunakan kain.

  • Hadiah. Tidak salah membawa hadiah untuk pesakit yang bersesuaian dengan keadaannya. Sekiranya teman anda itu baru saja melakukan pembedahan, makanan tambahan yang berkhasiat boleh dibawa (tapi perlu tahu sekiranya dia mempunyai alahan).

    Buku bersesuaian seperti novel kegemarannya, buku motivasi dan buku agama juga boleh dibawa. Paling penting, buku itu harus nipis dan ringan supaya mudah dipegang oleh teman anda yang masih lemah.

  • Boleh saja sekiranya anda menganjurkan majlis solat hajat bersama-sama kawan dan saudara-mara bagi mendoakan pesakit supaya cepat sembuh. Ini besar ertinya kepada pesakit dan memberi semangat tinggi kepadanya.
  • Jangan lupakan teman anda yang sakit itu selepas kunjungan pertama. Dia mungkin mengharapkan anda datang lagi menziarahinya. Buatlah rancangan untuk datang sekali lagi dan seterusnya.
  • Sekiranya kawan anda sudah semakin sembuh dan sangat memerlukan angin luar dalam proses penyembuhan itu, apa kata anda membawanya berjalan-jalan di taman atau boleh membeli-belah di tempat yang tidak terlalu ramai orang. Bagi memastikan dia tidak terlalu penat, tempat yang dikunjungi itu perlu mempunyai kerusi roda. Kebanyakan pasar raya kini mempunyai perkhidmatan sokongan ini.
  • Salun muka, rawatan kuku tangan dan kaki, lulur serta rawatan rambut. Sekiranya dia semakin sembuh dan mahu mula bekerja, anda dan kawan-kawan yang lain boleh 'menaja' semuanya itu untuknya.

    Ia sebagai tanda sokongan anda kepadanya yang begitu tabah berubat dan sampai ke tahap itu.

    "Minggu depan awak mula bekerja bukan? Apa kata Sabtu ini kita ke spa bersama-sama. Saya belanja!" Tentu saja ayat ini membuatkan kawan kita berasa dirinya disayangi dan mempunyai teman yang mengambil berat.

    Mengambil berat dengan meluangkan masa pada orang terdekat atau tersayang kita yang sedang mengalami kesakitan semakin sukar sekarang kerana alasan kesibukan dengan kerjaya dan keluarga masing-masing.

    Buatlah sedikit perubahan diri apabila mendengar khabar mengenai orang terdekat kita yang sedang sakit. Anggaplah ia sebagai sedikit pengorbanan yang perlu anda lakukan ketika orang lain menghadapi musibah.

  • Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved