Khamis, 20 Disember 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Misi baru

Posted: 19 Dec 2012 09:53 AM PST

SELEPAS kedudukannya dijamin selamat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekurang-kurangnya hingga hujung tahun depan, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal kini mahu memberikan tumpuan penuh terhadap misi Harimau Malaya melepasi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, beliau tidak berasa tergugat biarpun dikritik hebat selepas kegagalan pasukannya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.


"Dari mula lagi saya sudah katakan, saya masih ketua jurulatih kebangsaan dan mempunyai kontrak hingga Disember 2013. Bagi saya, fokus tetap sama, mempersiapkan pasukan menghadapi kelayakan Piala Asia 2015," katanya, semalam.

FAM menerusi persetujuan Presiden, Sultan Ahmad Shah kelmarin memutuskan Rajagobal yang membimbing skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010 kekal sebagai ketua jurulatih meskipun ada desakan supaya jawatannya diberikan kepada individu lain termasuk calon pilihan, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.


Desakan itu bukan hanya didorong rasa tidak puas hati peminat bola sepak dengan kegagalan Harimau Malaya gagal ke final Piala AFF sebaliknya keputusan hambar dalam siri perlawanan persahabatan termasuk seri 1-1 dengan Bangladesh serta kedudukan ranking yang jatuh merundum.


Biarpun ranking terbaru dikeluarkan Fifa menunjukkan Malaysia meningkat ke kedudukan 158 berbanding 163 sebelum kejohanan AFF bermula, kedudukan itu masih rendah berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara, Vietnam (131), Thailand (136), Singapura (154) dan Indonesia (156).

Harimau Malaya tersingkir di separuh akhir Piala AFF selepas seri 1-1 di Kuala Lumpur sebelum tumbang 0-2 di Bangkok kepada Thailand, Khamis lalu.


Rajagobal yang menetapkan misi utamanya selepas bergelar juara Asia Tenggara pada 2010 untuk membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia sedia merombak semula pasukannya dengan memilih pemain yang layak berdasarkan prestasi dalam Liga Malaysia yang bermula pada Januari.

"Saya akan menilai pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia, siapa yang menyerlah akan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan." Bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015, Malaysia diundi bersama Qatar, Bahrain dan Yaman dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20



Arsenal tunda perlawanan

Posted: 19 Dec 2012 09:48 AM PST

LONDON: Arsenal mengesahkan pertembungan Liga Perdana Inggeris dengan pencabar dari kota London, West Ham pada Hari Boxing ditangguhkan kerana mogok perindustrian yang dijangka dilakukan pekerja kereta api bawah tanah.

Pemandu kereta api London Underground dijangka melancarkan mogok sebanyak tiga kali dengan yang pertama pada 26 Disember ini.


Tindakan anggota kesatuan pekerja Aslef itu mampu mencetus kekecohan perjalanan di ibu negara itu dan Gunners memutuskan untuk menangguhkan perlawanan di Stadium Emirates, mengambil kira kepentingan kedua-dua penyokong kelab itu.

"Berikutan cadangan mogok dan tindakan industri di London Underground pada Hari Boxing, perlawanan Liga Perdana Arsenal menentang West Ham United di Stadium Emirates, yang asalnya dijadualkan pada Rabu, 26 Disember ditangguhkan," menurut satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu.


"Keputusan ini diambil sekarang, kerana tempoh persiapan diperlukan bagi menjaga keselamatan Stadium Emirates oleh semua agensi terbabit.


"Kami amat mengambil berat keselamatan penyokong Arsenal, begitu juga penyokong West Ham United, pekerja pada hari perlawanan dan malah setiap orang yang bercadang untuk menghadiri perlawanan pada Hari Boxing." Tarikh baru perlawanan itu bagaimanapun belum ditetapkan namun Arsenal berkata: "Kelab boleh mengesahkan perlawanan ini akan diadakan semula sama ada pada Rabu, 23 Januari atau Sabtu, 26 Januari.

"Tarikh perlawanan itu akan ditentukan hasil keputusan pusingan ketiga Piala FA, yang akan berlangsung pada hujung minggu Sabtu, 5 Januari dan Ahad, 6 Januari." Anggota Aslef mengundi 9-1 untuk melancarkan mogok berikutan pertikaian jangka panjang mengenai bayaran kerja lebih masa pada Bank Holidays.


Mereka dijangka melancarkan mogok selama 24 jam pada 26 Disember ini diikuti pada 18 dan 25 Januari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved