Rabu, 19 Disember 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tubuh lebih bertenaga

Posted: 19 Dec 2012 06:30 AM PST

IRAMA muzik rancak pop Korea mengiringi pakar terapi yang sedang melakukan urutan gaya Korea kepada beberapa pelanggan. Jika dilihat, ia seakan sama dengan urutan tradisional Indonesia atau Melayu namun diberi sedikit kelainan dengan menumpukan kepada pemecahan lemak di kawasan bermasalah seperti pinggul, pinggang, perut dan paha.

Sekali-sekala tangan juru terapi bergerak pantas mengulit kemas pada bahagian pinggang mengikut alunan irama. Semakin lama semakin perlahan namun masih keras bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan. Kesannya selepas melakukan buat kali pertama tubuh menjadi lebih mantap, darah mengalir lancar sekali gus menjadikan kulit lebih halus dan mulus sekiranya dilakukan secara berterusan.

Menurut pemilik Mentari Hair Beauty & Spa, Aida Nordin, urutan gaya Korea disediakan kerana menyedari kebanyakan pelanggan semakin bersikap terbuka dalam menjalani rawatan kecantikan.

Selain urutan tradisional Melayu dan Bali, gaya Korea semakin mendapat tempat kerana masyarakat di negara berkenaan amat mementingkan kecantikan luaran dan dalaman. Lihat saja kepelbagaian jenis rawatan kecantikan ditawarkan daripada hujung rambut hingga kaki serta kaedah tradisi yang memberi kepuasan kepada mereka.


Jelas Aida, urutan gaya K-Pop ini dibawa khas dari Korea selepas menjalani latihan dengan pakar terapi terlatih dari negara terbabit. Selepas merasai sendiri dan melihat keberkesanannya, dia menghantar empat terapi di bawah pengawasannya menjalani latihan yang sama.


"Saya teruja selepas menyedari di Malaysia tidak banyak pusat kecantikan menyediakan urut gaya Korea kerana lebih cenderung dengan urut Bali dan Thailand. Selepas mencuba ia bukan saja mampu menurunkan berat badan malah tubuh menjadi lebih ringan dan bertenaga," jelasnya.

Sebelum diurut, sejenis minyak disapu ke seluruh badan pelanggan bagi memudahkan proses urutan dan melembutkan kulit. Urutan dilakukan menggunakan sejenis garam bagi memberikan kesan lebih menyerlah ke setiap bahagian bermasalah.

Diakui urut gaya Korea ini sedikit menyakitkan terutama apabila diberikan tekanan bagi pemecahan lemak pada pinggul, perut, paha dan lengan manakala pada otot lain hanya sapuan lembut dan ringan. Tumpuan utama diberikan pada bahagian mengandungi lemak kerana proses pemecahan perlu dilakukan berulang kali.

"Pada peringkat permulaan, ia agak menyakitkan namun selepas 30 minit pelanggan akan merasai keselesaan selepas pemecahan lemak berlaku. Hampir 60 minit mereka yang melakukannya akan merasai kehilangan berat badan dan pada bahagian tertentu lemak berkurangan sehingga dua inci. Malah ramai mengakui kesakitan dialami akan berkurangan selepas beberapa minit diurut dan meninggalkan rasa 'sedap' dan segar," jelasnya yang menggalakkan wanita melakukannya dua kali seminggu dalam masa tiga bulan untuk mendapatkan hasil maksimum. Selepas itu, kebanyakan mereka berpuas hati kerana urutan ini bukan saja baik untuk kesihatan malah mencantikkan badan.

Untuk kesan yang lebih memuaskan selepas diurut, pelanggan digalakkan melakukan spa atau mandi herba bagi memulih dan melancarkan peredaran darah.

Pusat kecantikan yang terletak di Semenyih ini menyediakan semua keperluan untuk wanita seperti rawatan badan, mandi susu, mandi herba, rawatan sental, rawatan kuku tangan dan kaki, wajah serta rambut. Menyedari kebanyakan wanita mengimpikan kulit yang halus dan gebu serta tubuh menawan, Aida akhirnya membuka pusat kecantikan ini pada Mei 2003 selepas menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat swasta sejurus menerima maklum balas positif pelanggan.

Dengan susun atur letak serta rekaan mendamaikan, Aida berpegang kepada prinsip bukan saja ingin memberikan perkhidmatan kecantikan malah jaminan keselesaan ketika mendapatkan rawatan.

"Kebanyakan mereka yang datang ke sini biasanya akan melepak dari pagi hingga ke petang. Biasanya mereka meluangkan masa melakukan rawatan badan, wajah dan rambut sekali gus kerana kekangan waktu," katanya yang turut mengeluarkan rangkaian produk penjagaan kulit Eada termasuk sabun, penyegar, krim pelembap, losen, krim pelindung matahari dan set untuk jerawat.

Menggunakan rona cerah jingga di segenap ruang serta merah jambu pada perabot dan tirai, Aida yakin warna terang menjanjikan keceriaan kepada pelanggan.

Selain itu, dia membahagikan ruang kepada tiga bahagian iaitu bilik rawatan wajah, badan dan rambut.

"Biasanya wanita yang melakukan rawatan wajah inginkan suasana sunyi sebab itu saya mengasingkan kepada beberapa bahagian bagi keselesaan mereka," katanya.

Pusat yang dikhususkan untuk wanita ini juga menyediakan ruang santai bagi pasangan atau ahli keluarga menunggu. Namun mereka tidak perlu bimbang kerana lokasi di tengah bandar Semenyih dengan deretan kedai makan serta pusat beli-belah, pelanggan tidak akan bosan menunggu.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, pusat terbabit turut menyediakan khidmat rawatan kecantikan untuk pelanggan yang ingin melangsungkan perkahwinan serta urut bersalin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19



Teknik semburan udara popular

Posted: 19 Dec 2012 06:04 AM PST

MAMPU memberikan kesan solekan yang lebih kemas dan semula jadi, teknik semburan udara (air brush) menjadi kegemaran ramai jurusolek profesional di dalam mahupun luar negara.

Malah, teknik solekan ini sebenarnya sudah lama popular di negara membangun seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Berbanding negara kita, teknik ini mungkin masih kurang mendapat pendedahan.

Menurut pemilik dan jurusolek Face Art Academy serta Nica Professional Make Up, Monica Lee, berbeza dengan solekan biasa, teknik ini hanya menggunakan peralatan khusus yang dipanggil 'the gun' serta disokong oleh mesin khas, kompresor.

Peralatan itu membolehkan bedak asas disembur pada kulit wajah ketika proses solekan.


"Uniknya, teknik ini menjadikan ton bedak asas lebih sekata, semula jadi dan paling penting tahan lama. Namun, bagi mereka yang baru hendak mencuba, anda harus mempelajari prosesnya dengan terperinci kerana ia tidak semudah yang disangka.


"Kita mesti pandai mengawal picu pada alat ini supaya kesan semburan menjadi sekata," katanya.

Kesan cela seperti jerawat dan bintik hitam boleh ditutup dengan hanya menggunakan kesan solekan nipis. Selain menggunakan berus atau jari untuk mengenakan solekan, kecanggihan teknologi seperti ini turut berupaya memberi kesan berbeza.

Selain bedak asas, kosmetik lain seperti pemerah pipi, pembayang mata dan gincu juga boleh disapu menggunakan teknik semburan lalu menjadikan solekan lebih ringan dan kita juga berasa selesa dengan aktiviti seharian.

Teknik solekan ini cukup popular dan banyak digunakan untuk perfileman, iklan komersial televisyen, teater atau pertunjukan fesyen. Ia banyak dipraktikkan di luar negara dan kini semakin digemari kebanyakan jurusolek profesional Malaysia.

Tambah Monica, teknik solekan semburan udara mempunyai banyak kebaikan iaitu memberikan liputan meluas selain menutup kulit wajah tidak sempurna seperti kemerahan, kesan penuaan atau parut jerawat.

Solekan berdefinisi tinggi atau HD ini memberikan sapuan sekata pada seluruh wajah. Solekan definisi tinggi hampir popular seperti menggunakan alat solek mineral atau yang mempunyai kolagen yang mengandungi reflektor ringan dan bahan untuk memberikan kulit sempurna selepas disolek terutama ketika penggambaran.

"Solekan menggunakan teknik ini turut membuatkan kulit kelihatan lebih muda.
Bahan digunakan begitu halus membuatkan solekan sekata tanpa meninggalkan sebarang garisan yang mungkin ada jika menggunakan berus atau span.

"Bedak asas wajah dalam bentuk cecair yang digunakan untuk teknik semburan udara ini juga mengandungi oksigen yang baik untuk kulit. Ia boleh mengelakkan liang pori daripada tersumbat atau kulit menjadi kering serta tidak berminyak seperti solekan biasa," katanya menambah, teknik ini juga sesuai digunakan oleh setiap peringkat umur.

Wanita kini rata-rata gemarkan solekan ringkas dan tampak moden tetapi memberikan impak kepada keyakinan diri mereka terutama untuk solekan harian.

Selain jenis solekan normal, teknik semburan udara ini juga sesuai untuk menghasilkan solekan berbentuk karakter seperti cerita seram dan kesan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved