Ahad, 9 Disember 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tak bedah payudara

Posted: 08 Dec 2012 04:56 AM PST

KUALA LUMPUR: "Saya tak pernah menjalani pembedahan untuk kecantikan tubuh mahupun wajah," kata aktres popular, Rozita Abu Bakar @ Che Wan atau lebih popular dengan panggilan Cik Ta.

Dia menjawab dakwaan segelintir peminat hiburan di utara tanah air kononnya dia pernah menjalani pembedahan rekonstruktif payudara akibat barah sebelum menjadi artis.


Alasan diberi ialah, setiap kali bergambar, pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini hanya akan mengiring ke kiri bagi memastikan kedudukan tubuhnya stabil dan perkara itu tidak disedari umum.

Ada pihak percaya dakwaan itu memandangkan pada 2008, Che Ta dilaporkan menjalani pembedahan kecil dan ditahan di hospital selama 10 hari. Ia dikatakan berpunca daripada kanser usus, namun masih di peringkat awal.


Selain itu, dia turut didakwa 'mengikat perut' dengan memakai dua lapis korset bagi membolehkan tubuhnya kelihatan langsing dengan dada gebu dan tegang.


Ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Che Ta yang kini sibuk menjalani rakaman program Primadona berkata, dakwaan itu tidak benar kerana dia sering menghalakan tubuh ke kiri apabila bergambar disebabkan keadaan dirinya yang kidal.

"Selalunya apabila bergambar, saya akan ikut keselesaan tubuh. Tambahan pula saya kidal. Rambut yang didandan selalunya mengikut belah kiri juga menjadi faktor mengapa saya hanya akan bergambar di sebelah kiri atau mengiring tubuh ke arah itu.


"Pada waktu sama, saya tak pernah memakai korset dua lapis. Apa yang peminat tengok, itulah keadaan tubuh saya," katanya kepada Metro Ahad.

Che Ta turut meluahkan rasa kecewanya apabila ada pihak membuat dakwaan berkenaan, apatah lagi ia ibarat mempermain-mainkan keadaan kesihatannya.


"Saya mahu tanya kembali kepada mereka yang menimbulkan spekulasi sedemikian, kenapa manusia tidak boleh terima anugerah dan kejadian Tuhan yang sempurna. Setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan, tapi mempertikaikan ciptaan Tuhan bermakna mereka tak pernah bersyukur," kata pelakon berusia 41 tahun itu.


Pelakon jelita itu turut menyifatkan dakwaan itu disebabkan sifat dengki kerana ada pihak tidak puas hati melihat orang lain mempunyai kelebihan.


"Pada saya, kita jangan busuk hati kalau nampak orang lain lebih. Sepatutnya kita menjadikan kelebihan dimiliki itu sebagai sumber inspirasi.


"Mengambil contoh, jika ada antara kita bertubuh gempal dan melihat orang lain bertubuh cantik, jangan pula kita menuduh dia melakukan pembedahan itu dan ini.


"Sebaliknya, jadikan dia idola bahawa kita juga mampu cantik dan sihat sepertinya," kata ibu kepada Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 13, ini.


Pelakon yang turut dikaitkan punya hubungan 'istimewa' dengan pelakon muda, Zain Saidin ini menegaskan, kecantikan wajah dan tubuh dimiliki juga bergantung kepada usaha.


"Badan saya kalau berisi sikit, saya tak akan makan banyak selain melakukan senaman sekerap mungkin.


"Bagi menjaga tubuh, kita kena berusaha. Apatah lagi kebaikannya untuk diri kita sendiri kerana apabila kerap bersenam, tubuh menjadi sihat dan secara tak langsung akan menyerlahkan kejelitaan wajah," kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Manjalara ini.


Che Ta turut menegur pihak yang sering mempertikaikan kelebihan dan kemewahan dimilikinya dengan mendakwa kononnya dia dibela orang kenamaan (VIP).


"Tahukah mereka bahawa saya mahupun artis lain bekerja siang malam untuk mendapatkan rezeki. "Fikirlah kalau seseorang itu bekerja siang malam, tidakkah dia boleh hidup senang.


"Allah menyatakan bahawa Dia akan memberikan rezeki kepada hamba-Nya yang berusaha dan sabar," katanya.


Enggan berasa tertekan dengan apa diperkatakan orang keliling mengenainya, Che Ta berkata, dia cuba melihat segala tuduhan itu daripada sudut positif.


Katanya, setiap orang ada hak untuk bersuara dan memberikan pendapat, namun biarlah berpada-pada dan tidak melampaui batas.


Bercerita mengenai kerjaya terbarunya sebagai pengacara bergandingan dengan aktres popular lain iaitu Erra Fazira, Raja Azura dan Ziela Jalil mengendalikan Primadona, Che Ta berkata, dia mula berasa seronok, apatah lagi pihak produksi merancang menyambungnya sehingga 52 episod.


"Setakat ini, kami menjalani rakaman untuk tujuh episod. Maklum balas diberikan peminat sungguh memberangsangkan. "Memang Primadona mengambil konsep program bual bicara The Views, tapi daripada sudut corak persembahan sangat berbeza.


"Yang seronoknya, selain bergandingan dengan pelakon popular dan berpengalaman, saya dapat menjadi diri sendiri sepanjang mengendalikan rancangan bual bicara ini.


"Ia bukan lakonan di mana saya membawa karakter orang lain, sebaliknya saya benar-benar menjadi diri sendiri. Malah, sewaktu berbicara juga saya kekal dengan dialek utara iaitu tanah kelahiran saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Guna lot kedai kosong

Posted: 08 Dec 2012 04:56 AM PST

IPOH: Bagaikan senario di negara jiran, sebuah pusat pelacuran di bandar raya ini licik mempelbagaikan taktik memerangkap lelaki miang supaya melanggan gadis seksi untuk dijadikan teman tidur dengan menawarkan pakej terbaru 'wayang akuarium'.

Menerusi pakej itu, pelanggan berpeluang berehat sambil menonton filem terbaru Hollywood atau memilih video lucah di ruang pawagam mini sebelum dibawa ke depan dua bilik kaca seperti akuarium untuk memilih puluhan pelacur berpakaian seksi yang berkumpul di dalamnya.


Rahsia pusat pelacuran itu terbongkar selepas wartawan Metro Ahad berjaya memasuki premis terbabit untuk melakukan penyiasatan, baru-baru ini.

Siasatan mendapati premis terbabit sebenarnya dikawal rapi oleh beberapa bapa ayam. Bagi mengaburi pihak berkuasa, pusat pelacuran itu tidak memaparkan papan tanda dan tidak berselindung di sebalik nama pusat refleksologi atau spa seperti kebanyakan premis pelacuran lain, sebaliknya bahagian depan seolah-olah lot kedai kosong.


Berdasarkan pemerhatian, pusat pelacuran itu membina sekurang-kurangnya tiga pintu sebelum ke bilik akuarium yang menempatkan gadis seksi, dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga dan menyelamatkan diri jika diserbu pihak berkuasa.


Selain itu, premis terbabit tidak kisah berbelanja besar untuk menawarkan perkhidmatan unik bagi memperoleh keuntungan dalam tempoh singkat, selain mengatasi saingan sengit beberapa premis sama berdekatan.

Sekali pandang, premis terbabit yang dilengkapi dengan jeriji besi di pintu depan hanya kelihatan seperti sebuah pusat permainan video. Begitupun, apabila melangkah ke dalam, wartawan mendapati premis itu dibahagikan kepada beberapa bahagian.


Di ruang depan, hanya ada satu meja pool atau billiard selain kaunter kononnya ia adalah pusat permainan pool. Kemudian, wartawan dibawa masuk melalui satu lagi pintu menuju ke bilik menunggu sebelum menanti giliran untuk dibawa ke bilik 'akuarium' terbabit.

Di bilik menunggu itu, wartawan seakan-akan berada dalam sebuah pawagam mini apabila ia dilengkapi sistem projektor dan skrin layar bersaiz gergasi yang memaparkan filem terbaru Hollywood.


Tidak cukup dengan itu, dua televisyen bersaiz 32 inci yang diletakkan di sisi skrin gergasi berkenaan menayangkan filem lucah secara terang-terangan kepada pelanggan.


Hampir lima minit berada dalam pawagam mini itu, wartawan dibawa masuk ke sebuah bilik gelap melalui satu lagi pintu di belakang bilik menunggu untuk ke bilik kaca.


Mengejutkan sebaik langsir di kiri kanan bilik gelap dibuka bapa ayam itu, hampir 20 pelacur berpakaian seksi berada di dalam dua bilik kaca sambil duduk menanti pelanggan.


Difahamkan, pelacur warga Vietnam, Filipina dan Thailand ini boleh dilanggan pada harga RM90 selama setengah jam, manakala pelacur warga China RM150 tetapi hanya untuk pelanggan berbangsa Cina.


Bayaran itu tampak murah tetapi sebenarnya lebih kurang sama dengan premis pelacuran lain di bandar raya besar seluruh negara yang menawarkan RM200 hingga RM250 untuk perkhidmatan sejam.


Bagi meneruskan penyiasatan, wartawan membuat keputusan memilih seorang gadis warga Vietnam sebelum dibawa ke sebuah bilik yang dilengkapi tandas dan tilam.


Di dalam bilik itu turut diletakkan sebuah televisyen kecil bersaiz 21 inci di sisi tilam yang turut menayangkan filem lucah bertujuan menaikkan nafsu pelanggan.


Ketika berada dalam bilik berkenaan, pelacur Vietnam yang ingin dikenali sebagai Lu Ying menjelaskan, dia menjadi pelacur di negara ini hampir setahun. Walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, Lu Ying boleh berbahasa Inggeris.


Menurut Lu Ying, tempat berkenaan jarang diserbu kerana tidak ramai yang tahu ia pusat pelacuran.


Hampir 15 minit berada dalam bilik berkenaan, wartawan yang mula mual dengan tayangan filem lucah dan godaan Lu Ying akhirnya meninggalkan bilik dengan pelbagai alasan tanpa melakukan apa-apa.


Bagaimanapun, sebelum meninggalkan bilik, Lu Ying memberitahu dia boleh dibawa keluar dengan bayaran RM400 untuk satu malam. Dia juga sanggup melakukan apa saja jika diberi pil khayal.


Jelik dengan sikap tidak tahu malu itu selain khuatir sesi penyiasatan disedari bapa ayam, wartawan segera meninggalkan tempat berkenaan.


Begitupun, ketika melangkah keluar daripada premis terbabit, wartawan sempat meninjau keadaan sekeliling yang tidak ubah seperti Hatyai mini di Thailand.


Secara kasar, wartawan mendapati hampir enam premis berdekatan menawarkan khidmat seks. Begitupun, kebanyakannya menggunakan model operandi biasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved