Ahad, 9 Disember 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gajah Perang tidak kebal

Posted: 08 Dec 2012 04:28 AM PST

THAILAND mungkin boleh berbangga dengan rekod tanpa kalah di tangan Malaysia sejak 2004 namun itu tidak bermakna mereka akan kekal kebal pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

Kali terakhir skuad kebangsaan menumpaskan Thailand adalah sembilan tahun lalu di SNBJ dengan keputusan 2-1 menerusi dua jaringan Khalid Jamlus pada aksi peringkat kumpulan kejohanan itu.


Selepas itu, Malaysia kalah 0-1 pada 2007, 0-3 (2008) dan seri 0-0 pada edisi 2010 yang menyaksikan Harimau Malaya muncul juara.

Malah pada aksi persahabatan antarabangsa November lalu juga, keputusan tidak memihak kepada skuad kendalian Datuk K Rajagobal apabila tumpas 0-2 di Bangkok.


Namun Rajagobal yang menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 selepas 20 tahun dan kejuaraan pertama Piala AFF dua tahun lalu yakin rekod itu boleh berubah.


"Mereka (Thailand) juga susah untuk mengalahkan kita pada 2010, ketika itu pasukan negara dibarisi ramai pemain muda.

"Thailand secara tradisi memang pasukan yang hebat dalam kejohanan ini tapi situasi sudah berubah sedikit, saya berharap, kita boleh melakukan yang terbaik esok (hari ini)," katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.


Harimau Malaya akan turun menentang skuad kendalian Winfried Schafer hari ini dengan misi untuk mencapai kemenangan sebagai bekalan sebelum aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada 13 Disember.

Sedikit menjejaskan persiapan Rajagobal kali ini apabila dua pemain utama Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd Shakir Shaari terpaksa diketepikan akibat kecederaan.


Namun kedudukan penyerang utama Mohd Safee Sali yang bergelut dengan kecederaan hamstring masih lagi menjadi tanda tanya.


"Wan Zack dan Shakir memang tidak akan beraksi, pemain lain tiada masalah diturunkan. "Mengenai keadaan Safee, ia bergantung kepada nasihat doktor, kami memerlukan pemain yang bersedia 100 peratus.


"Thailand pasukan yang kuat, mereka tidak kalah di peringkat kumpulan. Tapi kita tidak perlu takut, pemain-pemain hanya perlu fokus kepada permainan, meskipun kita kalah 0-2 sebelum ini, separuh akhir adalah perlawanan berbeza.


"Kita memerlukan keputusan positif dalam perlawanan ini, kita akan lihat nanti," jelas Rajagobal dengan nada yakin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Ujian getir Hoy

Posted: 08 Dec 2012 02:53 AM PST

ENAM minggu sebelum Britain menganjurkan temasya sukan terbesar dunia, jaguh lumba basikal, Sir Chris Hoy berdepan ujian paling besar buatnya.

Dalam tempoh 24 jam, Hoy meninggalkan kem latihan Olimpik di Jerman dengan kecederaan belakang sebelum mendapati bapanya dikesan mengalami kanser prostat.


Pada pagi esoknya dia dipanggil menghadiri mesyuarat dengan ketua jurulatih British Cycling, Shane Sutton dan pengarah prestasi Dave Brailsford, yang memberitahu Hoy diketepikan bagi memberi laluan kepada Jason Kenny untuk acara pecut individu di Sukan Olimpik London.

Orang biasa pastinya mengalah apabila berdepan dugaan seperti ini.


Begitupun Hoy enggan membiarkan kesakitan atau regim latihan yang sering membuatnya hampir pitam atau muntah, memusnahkannya.


Jaguh dari Scotland itu terus bersemangat untuk berjuang dan akhirnya menjadi Olimpian terhebat Britain sepanjang zaman.

Dua pingat emas dibawa pulang dari velodrom London, dalam acara pecut mahupun keirin dan berjaya mengatasi rekod yang sebelum ini menjadi milik Sir Steve Redgrave.


Begitupun sebelum mendaki podium sambil mengalirkan air mata selepas kejayaan acara keirin yang menyaksikannya mengumpul pingat emas Olimpik keenam, Hoy hampir berputus asa.

Terganggu dengan kecederaan belakang, terkejut dengan keadaan kesihatan bapanya dan kecewa dengan keputusan pemilihan Sutton, yang menghalangnya daripada mempertahankan gelaran hatriknya di Beijing dan kini semuanya kelihatan luar biasa apabila meninggalkan Olimpik dengan kejayaan.


Bagaimanapun, apa yang berlaku di Cottbus ketika British Cycling memburu kilauan emas adalah sebaliknya.


"Saya menempuhi kem yang teruk, bergelut sepanjang masa kerana belakang saya terlalu sakit dan setiap kayuhan membuat saya menderita," kata Hoy menerusi autobiografinya.


"Saya merancang untuk pulang awal. Saya menempah tiket sendiri tapi apabila tiba di lapangan terbang Berlin, nampaknya saya membuat kesilapan ketika membuat tempahan tiket.


"Tiada penerbangan ke Manchester, jadi saya terbang ke tempat terdekat iaitu Glasgow. Isteri saya, Sarra memandu tiga setengah jam untuk mengambil saya dan kemudian memandu tiga setengah jam lagi ke rumah.


"Sarra, seperti biasa tidak pernah merungut. Saya rasa begitu kecewa ketika itu tetapi keadaan menjadi semakin buruk.


"Pada jam 7 petang keesokan harinya, bapa saya menelefon dan memberitahu dia ada berita untuk saya. Dengan tenang, beliau memberitahu bahawa beliau mengidap kanser prostat. Saya bagaikan dipanah halilintar.


"Keesokan paginya saya bermesyuarat dengan Dave Brailsford dan Shane, dan saya tidak memberitahu kedua-dua mereka mengenai bapa saya. Saya tidak pasti mengapa saya dipanggil. Saya tidak tahu sama ada ia membabitkan pemilihan Olimpik atau perkara lain. Saya keliru.


"Saya duduk dan Shane terus memberitahu mereka mahu meletakkan Jason dalam acara pecut dan juga acara keirin.


"Mungkin mereka terkejut kerana saya tidak melawan, saya pasti mungkin itu yang mereka jangkakan dan itulah sebabnya mengapa Shane menggunakan nada yang lebih tenang.


"Dia memanggil saya kapten persatuan debat sekolah kerana biasanya saya sering bersuara, seratus sebab mengapa saya patut berada dalam pasukan tetapi saya tidak mempunyai naluri untuk bergaduh kerana menganggap semua itu tidak penting.


"Mujurlah selepas beberapa pemeriksaan, saya menerima perkembangan positif daripada bapa saya. Doktor kelihatan optimis ia boleh dirawat tetapi berita yang melegakan datang kemudian. Pada ketika itu ia cukup mencemaskan ahli keluarga saya." Keupayaan Hoy untuk bangkit dan meraih kejayaan terakhir di London 2012 mengekalkan aura positif dalam skuad berbasikal Britain apabila Bradley Wiggins mencatat sejarah dengan menjuarai Tour de France.


Malah Wiggins turut menjadi pilihan untuk menjadi atlet berbasikal ketiga menjulang gelaran Personaliti Sukan Tahunan 2012 selepas Hoy memenanginya pada 2008 dan Mark Cavendish, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved