Jumaat, 21 Disember 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tetap anggun dipakai

Posted: 21 Dec 2012 07:01 AM PST

PADANAN tradisi seperti kebaya tidak lagi dianggap sebagai busana Melayu yang sesuai digayakan ke majlis keraian atau perayaan namun bersifat sezaman apabila mula melalui revolusi perubahan daripada segi potongan dengan mengekalkan keaslian dalam rekaan.

Jika dulu, pakaian pendek dan ketat ini dipadankan kain belah belakang atau hadapan, kini seiring dengan perkembangan fesyen semasa kebaya mula melalui zaman peralihan dengan diberi suntikan moden menerusi penggayaan yang sesuai dipadankan seluar, legging, skirt dan palazo. Malah pakaian tradisi ini anggun ditampilkan menerusi tambahan perhiasan seperti kerongsang, anting-anting dan rantai.

Melihat perincian kemasan serta potongan diketengahkan pereka berbakat Safura Azali, 30, ternyata dia bukan saja ingin mengekalkan keindahan busana Melayu tetapi pada masa sama, menonjolkan keistimewaan pembuatannya yang halus dan berseni.

"Saya melihat ramai yang suka mempelbagaikan pemakaian kebaya bukan saja dengan kain tetapi seluar untuk ke pejabat dan majlis rasmi. Justeru, tercetus inspirasi untuk mengetengahkan rekaan kebaya moden untuk semua," katanya.


Selain tradisional, Safura turut mengambil inspirasi warna daripada Coco Chanel dan Valentino yang menghasilkan koleksi terawal dan tidak lapuk ditelan zaman seperti Little Black Dress dan The White Collection.


Untuk himpunan kali ini, dia mengetengahkan konsep jahitan menggunakan lipatan atau pleats bagi menggambarkan nilai sentimental klasik dan pada masa sama mengekalkan identiti seiring peredaran semasa.

"Keistimewaan rekaan kebaya pada potongan yang unik dan pelbagai serta perincian seperti perhiasan manik, fabrik, warna dan elemen kemasan. Saya menggemari potongan ringkas, unik dengan jahitan manik dan sulaman bersesuaian.
Selain itu, saya juga menitikberatkan pemilihan fabrik dan warna yang tepat," ujarnya.

Bagi mewujudkan nilai eksklusif dan mewah, Safura menggunakan tiga rona asas seperti hitam, putih dan kelabu yang ditampilkan secara kreatif bagi menghasilkan himpunan yang tidak lapuk ditelan zaman. Secara ringkas, ia penghargaan kepada perjalanan fesyen itu sendiri.

Bagi memberikan sentuhan segar dan menawan, Safura menggunakan fabrik satin duchess, sifon, renda, crepe dan net. Setiap rekaan mempunyai cerita tersendiri di sebalik penggunaan fabrik masing-masing.

"Umpamanya, satin duchess ialah fabrik yang sering digunakan dalam pakaian perkahwinan, jadi saya melakarkan idea menggunakan fabrik ini dengan rekaan yang menampakkan ciri kemewahan seorang puteri di samping mengekalkan ciri-ciri kebaya," katanya.

Pereka ini antara lain pernah mengadakan pertunjukan fesyen YODA sempena Hari Belia Malaysia 2010, YODA Harajuku 2010, Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia 2010 dan 2011 (MIFW) serta Minggu Fesyen Musim Panas dan Bunga 2011 (MSFW) di Melbourne, Australia.

Menceritakan bagaimana dia boleh meminati bidang fesyen, Safura yang berkelulusan dalam jurusan kejuruteraan daripada Universiti Melbourne, Australia ini memberitahu, sejak berusia tujuh tahun dia sudah bercita-cita bergelar pereka.

"Saya memiliki ahli keluarga yang gemar berfesyen. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi penghasilan rekaan segar dan kreatif. Selain itu, rakan turut memberi galakan serta membantu dalam memberikan idea terutama fesyen beridentiti unik seperti gaya klasik, bohemian dan vintaj," jelasnya yang berterima kasih kepada keluarga kerana memberi peluang menghasilkan pakaian untuk perayaan dan majlis tertentu sekali gus meningkatkan keyakinan dalam rekaan.

Jelas Safura, rekaan pakaian pertama ketika pertunjukan fesyen sempena Hari Belia Malaysia 2010 paling indah dan sukar dilupakan.

"Saya berasakan segala usaha serta penat lelah menghasilkan koleksi ketika itu cukup menggembirakan kerana mendapat penghargaan. Ia juga sesuatu yang tidak dapat dilupakan kerana memberi perasan baru yang sukar digambarkan.

"Selain itu ia menjadi titik permulaan dan pembakar semangat untuk menghasilkan rekaan yang lebih menarik," ujarnya yang meminati rekaan Coco Chanel, Valentino, Giorgio Armani, Georges Chakra, Nicholas Jibran dan Victoria Beckham kerana mempunyai identiti tersendiri serta bersesuaian dengan jiwa kreatifnya.

Terima kasih:

  • Model: Sharifah Norazlin Syed Imran dan Carleena
  • Solekan: Hartini Hilmi (012-3872565) dan CTNS (012-2345289)

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21



  • Guna jari ukur kasut

    Posted: 21 Dec 2012 06:39 AM PST

    PERSEDIAAN awal membeli peralatan sekolah penting untuk mengelakkan ibu bapa berasa tertekan ketika anak kembali memulakan sesi persekolahan yang baru.

    Kasut, baju, beg, alat tulis dan buku semuanya perlu dimasukkan ke dalam senarai agar tiada keperluan penting yang tercicir.

    Namun, antara semua barangan yang disenaraikan, kasut sekolah sememangnya paling penting untuk diambil perhatian bagi mendapatkan keselesaan berpanjangan.

    Ini kerana masalah pemilihan kasut sekolah kini masih membelenggu ibu

    bapa apabila dikaitkan dengan soal saiz kaki anak-anak.

    Menurut Pengurus Kanan Bata Marketing Sdn Bhd (Bata), Datuk James Selvaraj, ibu bapa biasanya akan menghadapi masalah untuk mengenal pasti saiz sesuai untuk anak mereka.

    "Ramai ibu bapa yang masih keliru dalam memilih saiz kasut sekolah sebenar anak dan ada antaranya mengambil mudah.

    "Kadangkala mereka mengambil kasut yang lebih besar daripada saiz kaki sebenar supaya ia boleh dipakai lama kerana tanggapan proses pembesaran anak berlaku dengan cepat.

    "Ini membuatkan anak berasa tidak selesa untuk bergerak. Sebaiknya ketika membeli kasut, cuba masukkan satu jari di bahagian belakang kaki untuk memastikan ia tidak terlalu ketat atau longgar," katanya mengenai panduan yang boleh digunakan ketika membeli kasut sekolah.

    Satu jari yang digunakan sudah cukup untuk memastikan anak dapat bergerak dengan aktif berbanding menggunakan dua jari atau saiz lebih besar yang sememangnya tidak digalakkan.

    Untuk memastikan kasut yang dibeli boleh dipakai lama, sebaiknya sediakan dua pasang agar boleh ditukar ganti selain tidak mudah rosak apabila sering digunakan.

    Selain itu, material sesuai yang digunakan seperti kanvas dan PVC juga bertujuan memberi keselesaan ketika dipakai, mudah dibasuh dan lebih tahan lama.

    Rekaan yang mengikut trend terkini sama ada moden atau klasik menonjolkan potongan yang tidak keterlaluan sekali gus menjadikannya sesuai dipakai oleh pelajar sekolah agar tidak melanggar etika pakaian ditetapkan.

    Pengurus Pemasarannya, Lee Sin Kee, pula berkata, bagi menaikkan semangat membeli kasut sekolah yang lebih banyak, jenama berkenaan turut mengadakan peraduan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk pelanggannya.

    Menerusi Kempen Kembali Ke Sekolah, setiap pelanggan perlu membeli dua pasang kasut sekolah berjenama B-first dan North Star dalam satu resit untuk menyertai satu penyertaan.

    Sebanyak 30 Samsung Galaxy Note 2 ditawarkan untuk dibawa pulang melalui peraduan SMS itu yang berlangsung pada 8 Disember 2012 hingga 1 Januari 2013.

    Cara menyertainya mudah iaitu hanya perlu beli, sertai dan hantar SMS. Untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.back2school.com.my.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21



    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved