Jumaat, 21 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Nyanyian menusuk ke dasar hati

Posted: 20 Dec 2012 06:05 AM PST

MENYOROT sebuah kisah dramatik dan penuh beremosi, Les Miserables, sukar terungkap betapa hebatnya pelaksanaan keseluruhan karya itu. Dikukuhkan dengan barisan bintang lakon layar terkemuka dunia, biarpun setiap detik skripnya dilagukan watak-watak terbabit namun keberkesanan ceritanya tetap menusuk jauh ke dasar hati.

Cereka yang sarat dengan elemen penderitaan ini bagaikan nyata dan umpama menyingkap kembali sejarah lama penuh noda. Setiap watak mempunyai kisahnya tersendiri, daripada penyamaran, penindasan, percintaan dan juga perjuangan, melengkapkan keseluruhan filem muzikal berdurasi dua jam setengah itu.

Semestinya tidak mudah untuk mengangkat naskhah yang cukup berat daripada novel karangan Victor Hugo, kemudian dibawa pula ke kaca TV dalam pelbagai versi, pasti satu cabaran hebat buat pengarahnya, Tom Hooper.

Mempertaruhkan nama tersohor, Hugh Jackman, Russell Crowe, Anne Hathaway, Amanda Seyfried, Sacha Baron Cohen dan Helena Bonham Carter, kisah ini mengimbau kembali zaman abad ke-19 di Perancis, di mana watak Jean Valjean lakonan Jackman menjadi tunjang keseluruhan kisah.


Tidak hanya pada jalan ceritanya, satu yang pasti membuat penonton bakal terpesona adalah tatkala mendengar 'vokal emas' setiap watak berkenaan. Jika selama ini, lakonan mereka saja yang diagungkan, buat peminat aktor pujaan ramai, Jackman, inilah saatnya untuk mendengar sendiri bagaimana dia melontarkan pula suara ke filem.


Mengakui pernah teringin untuk melakonkan filem muzikal, aktor berkarisma itu ternyata puas dengan wataknya dan berbaloi juga dia menempuh uji bakat yang agak panjang sewaktu mendapatkan watak itu.

"Masih segar di ingatan bagaimana awal dulu saya terpaksa menghabiskan masa selama tiga jam diujibakat di hadapan Tom. Itu pertama kali saya bekerjasama dengannya dan tidak sangka pula ia bertukar menjadi sebuah bengkel pula.

"Selama ini saya ternanti-nanti untuk melakukan filem muzikal dan saya tidak menunggu lama untuk ditawarkan sebarang watak sebaik Tom mengumumkan mahu mencari pelakon. Tidak keterlaluan dikatakan ini antara tindakan paling agresif dan saya terus saja menghubunginya serta mengatur pertemuan untuk membincangkan mengenai watak itu.

"Les Miserables antara naskhah muzikal kegemaran saya. Jadi biarpun menjalani sesi yang sangat panjang, saya cukup puas kerana itulah uji bakat paling menyeronokkan pernah saya lalui setakat ini. Sebenarnya ia boleh berlanjutan lebih masa lagi namun saya beritahu Tom, saya perlu balik rumah untuk menidurkan anak-anak saya.

"Valjean adalah sebuah watak yang benar-benar hebat. Dia bangkit daripada kejahilan sehingga memegang gelaran Datuk Bandar dan sangat dihormati. Bagaimanapun, sepanjang hidupnya, dia hanyalah seorang penyamar bijak yang menjadi buruan dan terlepas walaupun 20 tahun sudah berlalu.

"Dalam tempoh itu juga, dia menempuh perit manis kehidupan namun cukup kental berhadapan dengan cabaran hidup. Dia mempunyai kuasa yang tidak mungkin orang lain ada, tidak mudah lemah dan sememangnya memberikan inspirasi. Sisi kehidupannya benar-benar epik," katanya.

Lebih popular dan dikenali sebagai pelakon fizikal lasak terutamanya menerusi watak James Howlett atau Wolverine, Jackman pastinya tiada masalah menjalani latihan fizikal. Namun berbicara mengenai Valjean, dia tidak pernah merasa kesukaran menjayakan watak itu yang menuntutnya untuk menyalurkan seluruh komitmen terhadap fizikal mahupun emosinya.

Apa tidaknya, peralihan watak daripada seorang banduan bertukar menjadi Datuk Bandar yang digambarkan berlaku selama bertahun-tahun, bukan proses mudah. Dimulakan dengan keadaannya yang tidak terurus dan kotor hinggalah dia menjadi seorang lelaki segak tampan.

"Oleh itu, saya bukan saja mengurangkan pengambilan makanan malah sempat meluangkan masa selama tiga jam ke gimnasium bagi memastikan saya punya stamina seperti wataknya.

"Tidak ketinggalan, untuk menguatkan lagi karakter bersesuaian dengan era itu, saya sanggup tidak minum demi kelihatan benar-benar kehausan, cengkung dan tidak bermaya sewaktu penggambaran babak pembukaan yang berlangsung selama 36 jam itu," jelas aktor kelahiran Australia itu.

Selain nyanyian emasnya, cukup tidak mengecewakan, Crowe yang melakonkan watak Javert menunjukkan vokal cemerlang dan hal itu diakui sendiri oleh Jackman.

"Saya tidak pernah tahu dia seorang penyanyi yang sangat bagus dan sudah banyak membuat persembahan muzikal. Dia mempunyai kesungguhan yang sangat nyata dalam genre sebegini dan tidak sangka kami mendapat seorang pelakon paling sesuai serta kuat daripada segi latar belakang muzik," katanya.

Les Miserables menyingkap perjalanan hidup Valjean, seorang tahanan yang berjaya meloloskan dirinya sehingga menemui sinar hidup baru. Perlahan-lahan dia membina kehidupan yang mulanya dia anggap sempurna sehinggalah kehadiran Javert, seorang pegawai polis, menggugat ketenteraman hidupnya.

Penyamaran Valjean nyata terbongkar apabila dia sendiri memutuskan untuk menyerah namun satu insiden mengubah pendiriannya menyebabkan dia berterusan melarikan diri. Dia berjanji kepada bekas pekerja kilangnya, Fantine (Hathaway) untuk menjaga anaknya, Cosette, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Fantine sebenarnya dipaksa menjadi pelacur kerana hidup terdesak.

Keputusan Valjean itu ternyata mengubah hidupnya walaupun banyak yang perlu dia rahsiakan selain sentiasa mengelak daripada bertembung semula dengan Javert.

Antara fakta menarik mengenai filem ini, kesemua pelakon utama benar-benar menyanyi secara 'live' ketika di set penggambaran dan bukannya 'miming' seperti kebanyakan filem muzikal lain. Selain itu, Hathaway sanggup mengorbankan rambutnya yang panjang dalam babak mahkotanya itu digunting oleh 'ibu ayam' di kawasan pelacuran.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20



KLPAC tandus dana

Posted: 20 Dec 2012 05:40 AM PST

RAMAI pihak kagum apabila melihat Pentas Seni Kuala Lumpur atau The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) yang berdiri megah di Sentul, Kuala Lumpur menjadi tumpuan penggiat teater majmuk.

Tanpa disedari, pentas sebenarnya berdepan dengan masalah dana yang sememangnya kian serius. Akibat kekurangan dana daripada sektor kerajaan dan swasta, pusat yang bukan berasaskan keuntungan dan sudah beroperasi tujuh tahun ini cuba mengatur pelbagai langkah untuk mencari dana.

Antara usaha itu, Eksekutif Produser KLPAC, Datuk Faridah Merican dan Pengarah Artistiknya, Joe Hafsham, tampil menganjurkan majlis Gala Perdana Di Pentas 1 pada 22 Disember (Sabtu) dan 23 Disember ini.

Mereka sedang berusaha untuk mendekati masyarakat agar membantu kos operasi tahunan yang mencecah angka RM3 juta.


Menurut Faridah, gabungan daripada kutipan derma, bekues, geran kesenian dan tajaan boleh menyumbang sehingga 60 peratus kepada pendapatan sesebuah badan kesenian.


"Krisis ekonomi yang melanda pada 1997 meninggalkan kesan kepada KLPAC
di mana kini hanya tinggal dua daripada 12 penaja yang aktif menyumbang.

"Kami perlu segera mencari dana untuk menggerakkan aktiviti di KLPAC bagi tahun depan.

Sebenarnya situasi ini bukan terjadi kepada KLPAC saja, tetapi turut berlaku terhadap pusat kesenian lain di luar negara.

"KLPAC bukanlah sebuah organisasi yang mencari profit. Bahkan jualan tiket juga tidak mampu menampung kos produksi dan lain-lain yang berkaitan.

"Kos operasi tahunan RM3 juta sebenarnya tidak termasuk kos produksi teater.
Ia hanyalah untuk perkara asas seperti pembayaran bil letrik, kos pekerja dan lain-lain. Orang mungkin ingat ia boleh menampung kos keseluruhan, tapi sebenarnya tidak.

"Kami kini memiliki 40 orang kakitangan dan bilangan mereka sangat minimun. Apa yang boleh dibuat, kami sudah buat termasuk memperkenalkan pelbagai langkah penjimatan kos.

"Kakitangan kami juga bekerja tanpa elaun lebih masa. Manakala jualan tiket pementasan dikongsi dengan artis. Apa yang boleh dijimatkan kami pasti akan lakukan.

"Walaupun dilanda masalah kewangan, ia bukanlah alasan untuk mengganggu misi kami bagi memaju serta membangunkan industri seni kreatif tempatan. Sejak dirasmikan pada 2005, 400 buah produksi sudah dipersembahkan.

"Pada 2009, sebanyak 159 kumpulan seni menerima subsidi daripada KLPAC. Tahun lalu, sebanyak 143 karya baru dipersembahkan manakala Orkestra KLPAC sudah melatih 350 pemuzik," katanya.

Tambah Faridah, majlis Gala Perdana Di Pentas 1 ini julung kali diadakan dan pihaknya mensasarkan pembabitan masyarakat bagi sama-sama membantu menghulurkan sumbangan.

"Persembahan selama dua hari ini akan diisi dengan acara hiburan komedi, tarian dan muzik serta simfoni nyanyian yang akan berlangsung selama lebih sejam.

"Malam Gala akan berlangsung pada Sabtu dengan bayaran masuk RM300, RM500 dan RM1,000 melalui majlis koktel sebelum dan selepas persembahan manakala persembahan Ahad pula berlangsung pada sebelah siang, jam 3 petang. Bayaran adalah RM100, RM200, RM300. Sebanyak 100 peratus hasil yang diperolehi menerusi jualan tiket akan dimasukkan ke dalam dana KLPAC," katanya.

Untuk pengetahuan, nama-nama penderma akan dipaparkan secara terbuka melalui papan kenyataan Penaung Seni KLPAC yang akan ditempatkan di ruang legar. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Yue May 012 3062179 atau menerusi e-mel helpklpac@klpac.org dan Ian di talian 03-4047 9013 atau e-mel ian@klpac.org.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved