Isnin, 31 Disember 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Buat perbandingan harga, kualiti

Posted: 31 Dec 2012 05:36 AM PST

PERKEMBANGAN teknologi masa kini menjadikan setiap aktiviti harian cukup mudah dilakukan pada bila-bila masa dan di mana saja tanpa sebarang kekangan.

Begitu juga dengan membeli-belah. Masing-masing tidak perlu lagi berebut semata-mata mendapatkan sesuatu barangan, sebaliknya ia boleh dilakukan melalui hujung jari saja di rumah secara dalam talian.

Tetapi, adakah pembelian barangan atau produk secara dalam talian sebegini menyamai kepuasan membeli barangan secara langsung?

Eksekutif perbankan, Nurul Aini Mohd Latiff, 28, gemar membuat pembelian secara dalam talian mengkhusus kepada produk tertentu saja.


Pada peringkat awal membeli secara dalam talian, dia membuat pembelian selendang dan hingga kini dia masih mengamalkannya.


Bukan saja memudahkan, tetapi corak, warna dan bentuk selendang yang dibeli menyamai produk yang dipamerkan dalam blog.

"Saya meneliti terlebih dulu jenama barangan yang diingini serta membuat perbandingan harga atau kualiti dan bukan membelinya tanpa memikirkan masalah pada kemudian hari.

"Jika sudah membuat keputusan untuk memilih sesuatu jenama, saya akan mengikuti perkembangan terkini dan kemudian barulah membeli," katanya ketika ditemui di Femes Bazaar yang diadakan di Rasta, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, untuk barangan lain seperti baju, dia masih belum begitu pasti dengan kualiti serta saiz pakaian yang ditawarkan memandangkan bentuk badannya agak berisi.

"Saya tidak begitu yakin dengan pilihan saiz baju yang ditawarkan lalu memilih untuk membelinya di kedai bagi memastikan kualiti barangan berpadanan dengan harga.

"Malah, saya tanya pendapat rakan terlebih dulu dan membuat perbandingan antara satu jenama dengan jenama yang lain, tetapi yang pasti pembelian dengan barangan ada di tangan lebih mengujakan," katanya.

Nurul Hannah Fadzilan, 22, pula gemar mengunjungi aktiviti bazar sedemikian kerana boleh mendapatkan barangan pada harga lebih rendah berbanding pembelian di blog.

Sekiranya membeli secara dalam talian, barangan yang ditawarkan itu tidak boleh dilihat secara langsung dan segalanya bergantung kepada keyakinan diri.

Walaupun membuat belian secara dalam talian, ternyata kepercayaan terhadap produk yang dipamerkan tidak boleh diletakkan 100 peratus.

"Saya pernah membuat pembelian baju raya secara dalam talian dengan memilih saiz dan potongan mengikut badan asal, tetapi apabila diterima, baju itu tidak cukup panjang (singkat) dan saya agak kecewa.

"Daripada gambar dan saiz yang dipaparkan, kelihatan baju terbabit cukup sempurna, tetapi ternyata ia indah khabar daripada rupa," katanya.

Bagi Siti Marlina Meor Jalaluddin, 28, dia sememangnya pembeli tegar barangan secara dalam talian kerana ia memudahkan dirinya.

Malah, fokus pembelian hanya terarah kepada barangan dikehendaki tanpa menyimpang kepada barangan lain seperti kebiasaan berlaku apabila keluar membeli-belah.

"Pada awalnya saya agak takut untuk melakukan belian secara dalam talian kerana bimbang tertipu serta apa yang dikehendaki tidak sampai, tetapi saya berserah saja dengan harapan bukan sebaliknya berlaku.

"Alhamdulillah hingga kini saya belum mengalami sebarang masalah dengan setiap pembelian. Ada 10 peniaga barangan dalam talian yang menjadi kegemaran saya kini," katanya.

Pengunjung bazar, Mohd Fendy Izwanizam Bahiman, 25, pula lebih gemar membuat pembelian secara langsung berbanding dalam talian kerana boleh melihat sendiri kualiti barangan dikehendaki, bukan tekaan semata-mata.

"Pengalaman rakan yang tertipu menggunakan cara pembelian sebegitu mendorong saya untuk mengelak daripada membeli secara dalam talian.

"Namun, ada kebaikan dan keburukan membeli secara dalam talian. Paling penting individu yang mengamalkannya perlu meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan melakukannya," katanya.

Seramai 50 peniaga menyertai aktiviti bazar berkenaan yang memperlihatkan kepelbagaian produk dan barangan yang ditawarkan kepada pengunjung.

Mereka terdiri daripada 35 pengusaha blog dan 16 selebriti terkemuka tanah air yang turut meluangkan masa menyertai aktiviti berkenaan.

Antara pengusaha yang me–nyertai bazar termasuk You, Me and Shoes, Cufica, Ana Abu, Wolf Gang, Hameera Design, Flash Back, FYFA, Bellapizo, RedClassic Event, Fabulous Fashion, Fashion Conversation, Limited Rainbow, Aishah Sinclair dan Sazzy Falak.

Bagi peniaga, aktiviti yang dijalankan ini mendekatkan mereka dengan penggemar barangan yang sebelum ini hanya mendapatkannya secara dalam talian, tetapi kali ini setiap produk ditawarkan secara langsung pada harga berpatutan.

Menurut pengasas Limited Rainbow, Atikah Farhana Zulkefli, 23, bukan mudah untuk meyakinkan pelanggan mendapatkan produk secara dalam talian.

Mereka pasti teragak-agak membuat pembelian kerana tidak mengetahui bentuk serta kualiti barangan yang dipamerkan kerana tidak melihatnya secara langsung.

"Saya mengambil inisiatif memberikan penjelasan secara jelas mengenai barangan sama ada dari segi saiz, warna, bentuk serta potongan.

"Ia menjadikan hubungan antara peniaga dan pelanggan lebih erat kerana maklum balas yang diperoleh menjadikan mereka lebih yakin dengan kualiti barangan," katanya.

Selain itu, Syarifah Zanida Syed Md Zaki pula memilih untuk memasarkan barangan aksesori seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin. Pemilihan aksesori untuk dipadankan bersama pakaian tidak sesukar memilih pakaian yang ingin digayakan.

"Penggayaan aksesori juga lebih pelbagai dan rantai leher antara produk paling mendapat permintaan hangat daripada pelanggan," katanya.

Bagi Nurulhuda Zulkifli, kolek–si Fashion Conversation yang disediakannya lengkap daripada pakaian, aksesori serta beg tangan.

Pelanggan boleh mendapatkan padanan gaya diingini pada satu tempat mengikut kesesuaian dan harga ditawarkan pula berpatutan. Kebanyakan produk diimport dari Korea, Hong Kong, China dan Indonesia yang menjadi ikutan penggemar fesyen.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



Kuyam kongsi minat

Posted: 31 Dec 2012 05:20 AM PST

KITA sangka mempunyai hobi tetapi ke mana semua–nya? Ketiadaan hobi apabila bercuti panjang kononnya mahu digantikan dengan tidur namun hakikatnya, sebanyak mana kita boleh menjadikan tidur sebagai maraton?

Hobi dan kerja adalah perkara berbeza. Ada orang menjadikan hobinya sebagai sumber pendapatan tetapi lama-kelamaan hobi itu membosankan kerana dia sudah terikat dan tidak lagi relaks. Bukankah hobi sepatutnya menenangkan dan dibuat mengikut masa sendiri?

Sekiranya hobi yang anda miliki sekarang tidak lagi hobi sebaliknya boleh dikatakan kerja, nampaknya anda perlukan hobi baru. Hobi yang tiada kena mengena dengan tempahan dan panggilan telefon daripada pelanggan yang mahu anda membuat kek cawan atau lapik meja berkait mengikut selera dan waktu yang mereka tentukan.

Hobi Raja Mariam Raja Mohamed, 52, mungkin boleh dijadikan ikutan. Menggabungkan dua minatnya, fotografi dan menulis, Raja Mariam atau lebih mesra di panggil Kuyam mahu berkongsi pandangannya dengan insan lain.


Sudut pandangan kita dalam menilai dan 'membaca' sesebuah gambar mungkin tidak sama sesama manusia atau dengan tuan punya gambar itu sendiri. Gambar memberi makna yang sangat istimewa bagi mereka yang menghargainya, namun bukan semua orang berminat bercerita atau menulis cerita mengenai gambar itu.


Kuyam sendiri memberi makna pada gambarnya de–ngan menamakannya sebagai esei bergambar.

"Apabila saya membuat esei bergambar, ini kerana saya mahu berkongsi sesuatu dengan orang lain dari sudut yang saya nampak. Orang lain yang melihat gambar itu mungkin berasa ia sekadar gambar biasa tapi sebenarnya dari sudut pandangan saya, ada perkara lain di sebalik–nya," katanya.

Menulis esei bergambar, Kuyam meletakkan emosi pada setiap gambar yang kaku itu. Dia mula minat menulis dan bidang fotografi sejak di bangku sekolah lagi. Namun kekangan masa membuatkan ia ditinggalkan sekian lama sehinggalah minat itu hidup kembali sejak adanya laman sosial dan Internet.

Ruang di laman sosial memberi peluang baginya menggabungkan kedua-dua minat dan hobi itu sekali gus, justeru, bermulalah aktivitinya memuat naik esei bergambar pada 2010.

"Ia timbul semula apabila saya ingin berkongsi cerita sejarah terutama mengenai bangunan warisan yang unik di kampung saya, Bukit Chandan seperti Baitul Rahmah, Baitul Anor, Istana Kenangan dan seumpamanya.

"Jadi saya kongsi gambarnya. Tanpa gambar, tulisan akan jadi agak hambar, begitu juga sebaliknya. Itulah permulaannya dan selepas itu, apabila minat fotografi menjadi bertambah mendalam hinggakan tidak boleh berpisah dengan kamera, saya mengabadikan imej menarik tidak kira landskap, manusia atau peristiwa dan saya tulis ceritanya sekali," katanya.

Proses Kuyam dalam menghasilkan esei bergambar tidaklah mengikut turutan tertentu. Kadang-kadang apa yang hendak diceritakan sudah ada di dalam kepala dan kemudian baru mengambil gambar. Adakalanya dia mengambil gambar terlebih dulu.

Setakat ini, Kuyam hanya berkongsi esei bergambar dengan rakan dan saudara di laman sosial.

"Laman sosial ialah platform terbaik bagi saya kerana ia paling mudah untuk berkongsi dan memaparkan esei bergambar saya. Kini, saya sudah mempunyai 20 esei bergambar yang dibuat pada masa terluang dan diletak di bahagian 'notes' di facebook. Apa yang nyata, saya sangat berpuas hati dan seronok dengan penghasilan esei bergambar ini.

"Contohnya esei bergambar mengenai kehidupan nelayan di Pantai Sri Mersing, Medan. Gambar yang saya abadikan itu menyentuh hati. Bagaimana sifat reda dan rajin nelayan di situ yang membanting tulang dengan kaedah penangkapan ikan yang masih primitif berbanding tempat lain.

"Hasil tangkapan pula amat sedikit selepas semalaman di tengah laut tetapi mereka tidak merungut. Mereka reda dengan rezeki yang Allah berikan. Ini membuat saya rasa insaf dan ingin berkongsi perasaan dengan orang lain yang melihat gambar itu. Mudah-mudahan orang lain mendapat iktibar daripada esei bergambar itu," katanya.

Cerita yang ditulis Kuyam selalunya berunsur teladan, menyentuh hati atau berkaitan sejarah. Sekiranya betul-betul menumpukan perhatian, dia dapat menyiapkan satu esei bergambar dalam masa sehari dan tidak pernah melebihi seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved