Isnin, 31 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bukan berlandaskan wang

Posted: 30 Dec 2012 06:49 AM PST

TUBUHNYA sedikit berisi berbanding pertemuan kali terakhir sekitar dua setengah tahun yang lalu. Ketika itu, dia membuat keputusan untuk meninggalkan bidang lakonan lalu kembali kepada kerjaya asalnya sebagai pramugari.

Qatar Airways, jenama penerbangan yang membawa pelakon popular menerusi drama Renjis ini ke merata dunia, menguji ketabahan hidup remajanya yang terpaksa berjauhan dengan keluarga serta sahabat handai di Malaysia.

Kini Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim, 29, kembali dengan persiapan diri yang jauh lebih matang dan berkeyakinan.

"Orang Timur Tengah adalah masyarakat yang paling sukar untuk kita berurusan dan sepanjang menetap di Doha, berjiran dan bermasyarakat dengan mereka, saya belajar untuk jadi individu yang lebih kuat dan berani supaya tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan hanya kerana saya orang Asia," kata Sherry.


Dilahirkan pada 3 April 1983, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui banyak kenangan indah sepanjang bertugas dengan penerbangan itu, lebih-lebih lagi peluang bercuti di beberapa negara dengan landskap terindah di dunia. Antaranya Eropah, pernah juga dia menjadi saksi kehebatan kota metropolitan New York, Amerika Syarikat dan menikmati panorama luar biasa Mauritius.


"Setahun sekali kami anak-anak kapal akan menerima satu tiket percuma untuk semua lokasi percutian di seluruh dunia. Jika mahu membeli tiket untuk diri sendiri dan keluarga hanya perlu membayar 10 peratus saja daripada harga sebenar," katanya.

Dengan segala kelebihan dan keseronokan yang dimiliki, mengapa agaknya anak jati Kuala Lumpur yang pernah membintangi filem Maut itu mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan selepas pernah nekad meninggalkannya dua tahun setengah yang lalu.

Akui Sherry, dia langsung tidak terfikir menemukan kembali rasa cinta pada lakonan, namun dia percaya pada ketentuan takdir. Sejauh manapun dia berlari, jika rezeki sudah ditetapkan di situ, tetap akan ada jalan untuknya berbuat demikian.

"Kontrak saya dengan Qatar Airways tamat pada Mei lalu. Ditawarkan untuk menyambung perkhidmatan, namun saya memilih untuk berehat panjang dan pulang ke Malaysia untuk berada di samping keluarga selain berhubung semula dengan kawan-kawan yang sudah lama saya tidak temui.

"Kebetulan kepulangan saya itu tepat pada masanya kerana orang tua saya merancang menunaikan fardu haji. Sepanjang ketiadaan mereka, saya tolong tengok-tengokkan rumah dan adik-adik.

"Dek kerana cuti yang terlalu panjang, kena pula orang seperti saya yang tidak boleh duduk diam, mana boleh tahan. Saya sudah biasa kerja dan suka bekerja, jadi apabila tidak bekerja, saya lemau dan tak berkembang.

"Kebosanan yang melampau akhirnya sahabat saya, Rizal Jaafar membantu saya dapatkan peluang berlakon drama. Saya pun fikir daripada tidak buat apa-apa, apa salahnya berlakon sementara menantikan sesuatu yang lebih baik dan besar dalam hidup saya.

"Dengan bantuan Rizal, saya dapat peluang membintangi siri Setia Hujung Nyawa arahan pengarah berkaliber, Amie Maziah. Selepas berbincang dengan mama, dia izinkan, cuma papa saya tidak berapa setuju mungkin kerana statusnya sebagai haji selain kebimbangannya jika ada hal yang kurang manis diperkatakan mengenai saya serta rasa bimbang jika percubaan saya kali ini tidak berjaya," katanya yang semakin jelita.

Ditampilkan sebagai Eriza menerusi drama 28 episod itu, akui Sherry, wataknya tidaklah begitu mencabar, namun ia permulaan yang baik untuk kembali mendapatkan rentak di set penggambaran yang lama ditinggalkan.

"Eriza adalah sahabat baik kepada lelaki yang dilakonkan Amar Asyraf dan Talha Harith. Eriza pernah mempunyai hati terhadap Zain iaitu watak dilakonkan Amar.

"Selepas lama terpisah, mereka bertemu kembali dan Eriza kecewa apabila mendapat tahu Amar sudah berkahwin. Tiga babak pertama yang saya jalani di set penggambaran, saya akui kaku, tetapi masuk babak ketiga saya mula ok," katanya.

Setia Hujung Nyawa diterajui Ryzal dan Nellydia Senrose selaku pendukung utama dan ia sebuah karya adaptasi daripada novel nukilan Fatin Nabila yang mengisahkan Zain Hakimi (Ryzal) yang terpaksa bernikah dengan Ersalina (Nelly) selepas pengantin perempuan lari.

Perkahwinan terbina bukan atas dasar cinta itu akhirnya menemukan perasaan kasih di dalam dua hati. Namun saat Zain ingin menyatakan rasa cinta, dia terpukul dengan berita kehamilan isterinya sedangkan belum pernah menyentuh Ersalina.

Ersalina rela dipersalahkan, namun nekad untuk setia ke akhir hayat terhadap Zain yang menyelamatkan maruahnya.

"Saya terima tawaran ini, salah satu kerana jalan ceritanya menarik walaupun saya bukanlah pelakon utama siri ini," katanya.

Kembali dihujani tawaran berlakon, namun ada beberapa lamaran terpaksa ditolak kerana bertindih jadual penggambaran. Tambahan pula, Sherry sejak dulu tidak gemar mengambil peluang pada saat akhir kerana dia percaya tanpa persiapan yang rapi seperti menganalisis karakter yang perlu dibawa, akhirnya menyebabkan pelakon itu terperangkap dengan perwatakan sendiri.

"Boleh kalau hendak rebut peluang hanya berlandaskan wang tetapi saya tidak mahu kembali sebagai pelakon yang tidak berkualiti. Biarlah keputusan kali kedua saya kali ini, dapat membuktikan sesuatu kepada penonton di mana saya mampu lakukan lebih daripada yang pernah mereka saksikan sebelum ini.

"Justeru, saya menantikan peluang yang benar-benar boleh mencabar kemampuan saya sebagai pelakon," kata Sherry yang khabarnya sedang merancang menghasilkan sebuah single dengan seorang penyanyi berbakat besar.

Mendambakan watak yang serius seiring kematangan usianya, jujur akui Sherry, sekali sekala dia dihambat rasa rindu suasana berada di set lokasi Renjis yang turut dibintangi Elyana, Ashraf Muslim, Syed Ali dan Liza.

"Saya suka berlakon dengan Elyana kerana kami mempunyai keserasian. Dengan dia, kadang-kadang tak perlu baca skrip kerana dialog yang dizahirkan kami selalunya spontan. Hubungan baik saya dengan Elyana, hinggakan majlis perkahwinan dia saya sanggup pulang ke Malaysia bagi meraikannya.

"Selain itu, saya juga rindukan suasana penggambaran untuk drama Capalrela. Secara keseluruhan, suasana penggambaran masih sama cuma yang membezakan adalah dari segi teknologi peralatan yang digunakan lebih canggih dan moden berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30



Ilmu Pak Garin

Posted: 30 Dec 2012 06:25 AM PST

PERANAN Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) adalah jelas untuk membangun, menggalak dan memajukan industri perfileman tempatan.

Justeru, bagi memantap dan mengangkat martabat filem tempatan, Finas dengan kerjasama Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menganjurkan bengkel Master Class Pengarahan bersama sutradara popular Indonesia, Garin Nugroho Riyanto.

Sesi bermula 15 hingga 19 Disember lalu berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, Finas dihadiri 26 penggiat dan pengarah tempatan antaranya Datin Sofea Jane, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Radhi Khalid, Rina Khan, Mior Hashim Manap, Khairulfazi Sa'ari, Datuk Rosnani Jamil, Zulkifli Abu Hassan dan Zohara Gany Bathusha.

Sememangnya nama Garin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Garin begitu besar di Indonesia. Karyanya seperti Lewat Rindu Kami Padamu muncul sebagai Filem Terbaik Asia di Osian's Cinefan Festival pada 2006, Puisi Tak Terkuburkan muncul pemenang Anugerah Silver Leopard di Festival Filem Antarabangsa Locarno (2000) dan Daun Di Atas Bantal muncul kategori Special Jury Prize di Festival Filem Antarabangsa Tokyo (1998) serta pelbagai kejayaan lain yang diraih sudah cukup membuktikan kehebatan lelaki yang lahir pada 6 Jun 1961 di Yogyakarta ini.


Sepanjang lima hari, peserta memperoleh pelbagai ilmu berguna daripada Pak Garin yang boleh diaplikasikan dalam pembikinan filem mereka. Hari pertama, mereka dipertontonkan filem Soegija dan mengadakan apresiasi filem ini serta mengupas konsep filem Cinta Dalam Sekeping Roti.


Hari kedua pula mereka didedahkan dengan konsep pe–ngarahan daripada skrip ke skrin dan mengadakan apresiasi filem Lewat Rindu Kami Padamu dan menyentuh mengenai cabaran menghasilkan naskhah filem hebat dan konsep pengarahan filem adaptasi sosiobudaya iaitu filem Puisi Tak Terkuburkan.

Pada hari ketiga, mereka didedahkan dengan teknik pengarahan dan pemikiran cerita serta deskripsi reka bentuk produksi dan prolog konsep pengarahan dalam filem iaitu Daun Di Atas Bantal.

Sesi hari keempat pula membincangkan konsep pengarahan karyawan Malaysia dan amali sinopsis cerita dan kupasan, manakala hari terakhir (kelima) diadakan rumusan serta majlis penutup yang disusuli penyampaian sijil yang disempurnakan Pengerusi Finas, Datuk Md Affendi Datuk Hamdan dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Fatimah Ahmad serta Presiden FDAM, Othman Hafsham.

Rata-rata peserta terbabit seperti Sofea Jane melahirkan perasaan puas hati kerana berpeluang mengikuti Master Class Pengarahan ini. Apatah lagi Pak Garin sememangnya tidak kedekut berkongsi pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam pengarahan.

"Saya mengikuti sejarah pembikinan filemnya sejak 1990 lagi dan bertemunya dalam festival filem di luar negara. Master Class sebenarnya bukan tempat belajar, tetapi lebih kepada perkongsian ilmu daripada seorang insan yang menceritakan pengalamannya kepada kita.

"Dia sangat pemurah berkongsi segala-galanya dengan kita. Ia boleh disifatkan seperti sesi meja bulat di mana semua orang berkongsi pengalaman masing-masing. Saya sering sertai Master Class anjuran Finas dan ini antara yang terbaik pernah dianjurkan," katanya yang bakal menghasilkan filem pendek pada Januari 2013.

Pandangan ini turut dipersetujui pengarah veteran, Rosnani Jamil. Baginya, Pak Garin hebat kerana menghasilkan cerita berdasarkan realiti sebenar tanpa memerlukan pelakon cantik.

"Dia pandai sesuaikan cerita dengan situasinya. Walaupun saya seorang pembikin filem dan belajar filem hingga ke London, banyak input yang saya peroleh daripada kelas ini.

"Pak Garin mengajar kira apa yang dinamakan 'art movie'. Kehebatannya terserlah apabila mampu siapkan filem berkualiti dalam masa dua minggu sedangkan kita perlukan 40 hari.

"Saya sudah lama tak mengarah filem dan ini adalah tempat berkongsi idea dengan anak muda. Secara tak langsung saya dapat asah teknik baru dalam pengarahan," katanya yang tetap menyimpan impian menghasilkan filem.

Garin yang sudah mengarahkan 15 filem serta dokumentari, klip video dan iklan komersial pula menyifatkan tempoh lima hari sebenarnya singkat untuk berkongsi segalanya.

"Saya berikan segala-galanya pengalaman saya selama 25 tahun dalam bidang ini. Saya ajar mereka bagaimana cara mencari penaja untuk sesebuah filem, konsepnya dan pelbagai lagi.

"Saya dapati sejak 10 tahun kebelakangan ini, ramai pengarah hebat muncul di Malaysia seperti U-Wei Saari, James Lee, Dain Said dan ramai lagi. Semua mereka ada gaya pengarahan tersendiri dan menghasilkan cerita yang berbeza.

"Sebahagian mereka juga mampu menembusi festival filem luar negara.

Sebetulnya dengan pertumbuhan pesat yang berlaku di Malaysia, industri filemnya juga boleh maju. Sekarang masyarakat tak lagi tertumpu kepada filem Iran dan China sahaja," katanya.

Sementara itu, Othman Hafsham memberitahu ini antara aktiviti yang dirancang FDAM pada 2012 bagi memantapkan persatuannya. Untuk kali ini mereka menjemput Garin dan bercadang menjemput pengarah babak aksi pula pada Mac 2013.

"Kami bercadang nak jemput ramai lagi pengarah dari luar untuk berkongsi ilmu mereka. Kerjasama ini dilakukan dengan Finas kerana mereka membiayai kos untuk program ini. Keutamaan mengikuti kelas ini hanya dibuka kepada ahli FDAM, pelakon dan penulis skrip," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved