Khamis, 10 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Ramdan nekad demi idola

Posted: 09 Jan 2013 08:58 AM PST

Kuala Lumpur: Misbun Ramdan Misbun mengambil keputusan nekad untuk keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana ingin berlatih dengan idola yang juga bapanya, Datuk Misbun Sidek.

Ramdan menolak sama sekali tindakannya itu dipengaruhi bapanya, malah menegaskan yang Misbun langsung tidak tahu dan kedua-dua beranak itu belum berbincang mengenainya.


"Sebenarnya sejak bapa keluar dari BAM dua tahun lalu, saya mahu mengikutnya tapi beliau mahu saya kekal berlatih dalam badan induk itu," kata Ramdan ketika ditemui di gelanggang latihan Nusa Mahsuri, di Kelana Jaya.

Misbun dikatakan melarang anaknya keluar dari BAM demi masa depannya dan mahu Ramdan menuntut ilmu di bawah Hendrawan.


"Ketika itu bapa melarang saya dengan berkata 'dari kecil sampai besar engkau mengikut aku, sekarang perlu berdikari dan belajar daripada Hendrawan, lagipun banyak kemudahan boleh diperoleh di bawah BAM'.


"Sejak itu jiwa saya memberontak tapi saya takut untuk bertindak hinggalah berjaya muncul juara Sirkit Kebangsaan Terbuka Pahang dan GP Final di Alor Setar bulan lalu," kata Ramdan menceritakan punca sebenar yang membawa kepada tindakannya menghantar surat keluar daripada BAM.

Ketika ditanya adakah dia sedia menghadapi cabaran di luar, tanpa kemudahan latihan sempurna berbanding seperti di BAM, dia berkata: "Saya pasti bapa akan bantu. Bapa mana yang sanggup biarkan anaknya terkapai-kapai sendirian.


"Mengenai masalah kewangan dan penajaan, saya pasti bapa boleh dapatkan penaja. Soal sama ada bapa mahu melatih saya atau tidak, saya belum berbincang lagi dengannya kerana dia sering keluar memancing." Juara baru kebangsaan itu berkata, tujuan dia bermain badminton kerana minat yang timbul ketika sering mengikuti bapanya ke gelanggang, justeru dia menganggap selepas tidak lagi berlatih di bawah bapanya, dirinya bagaikan tiada hala tuju.

Sepanjang menjadi jurulatih, Misbun berjaya membawa adiknya Rashid memenangi pingat perak Olimpik Atlanta, menaikkan nama adik beradik Hashim, dengan Roslin muncul juara di kejohanan antarabangsa dan Muhd Hafiz meraih kejayaan terbesar di Seluruh England, membimbing Wong Choong Hann memenangi perak Kejohanan Dunia 2003 serta membawa Datuk Lee Chong Wei berada di ranking nombor satu dunia paling lama dalam sejarah pemain Malaysia selain memenangi perak Olimpik Beijing.


Ketika ini, Ramdan yang menjalani latihan di bawah kendalian bapa saudaranya Rahman Sidek akan tetap beraksi di Terbuka Malaysia minggu depan.


"Saya sasarkan untuk berada dalam kelompok 50 pemain terbaik dunia tahun ini, barulah senang untuk menyertai kejohanan besar walaupun sebagai pemain kelayakan," kata pemain yang berada di ranking ke-87 dunia itu.


Ramdan bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada BAM yang selama ini memberi ruang kepadanya berlatih dan mendapat kemudahan terbaik di negara ini, tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

LionsXII baham ATM

Posted: 09 Jan 2013 08:43 AM PST

Seremban: JUARA Piala Sumbangsih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal melebarkan kemenangan mereka selepas tewas kepada LionsXII 0-1 pada perlawanan pertama saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Kapten LionsXII, Shahril Ishak muncul wira pasukan pelawat apabila bijak memanfaatkan peluang hasil sepakan sudut pada minit ke-66.


ATM yang turun dengan semangat tinggi selepas menjuarai Perlawanan Sumbangsih melakukan asakan bertali arus ke kubu LionsXII sebaik wisel perlawanan dimulakan menerusi gandingan Hairuddin Omar dan Marlon Alex James, bagaimanapun pertahanan pelawat terutama penjaga golnya, Izwan Mahmud berjaya menafikan keghairahan tuan rumah mendapatkan gol.

Peluang ATM untuk berada di depan diperoleh pada minit ke-20 menerusi Marlon yang berjaya merembat deras tapi ditepis Izwan manakala cubaan pemain sama pada minit ke-23 sedikit tersasar.


Begitupun pelawat yang berazam mencari mata pertama pada saingan pembuka tirai saingan Liga Super musim ini memberi tentangan sengit menerusi Shahril dan Irwan Shah yang menerajui barisan depan, namun beberapa peluang diperoleh tidak menjadi apabila penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun cemerlang menyelamatkan gawangnya.


Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagaimanapun usaha mendapatkan jaringan tidak kesampaian hingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, anak buah B Sathianathan menggandakan asakan ke kubu lawan dan peluang mereka menembusi benteng pelawat itu diperoleh pada minit ke-49 tapi tendangan bebas Irwan Fadly Idrus dari jarak kira-kira 25 meter terus ke dakapan Izwan.


Marlon sekali lagi gagal memanfaatkan peluang jaringan pada minit ke-52 apabila tidak dapat menolak masuk bola hantaran lintang Bruno Martelotto sekalipun sudah berada hampir ke garisan gol manakala pada minit ke-58, Venice Elphi pula mensesiakan peluang apabila gagal menolak hantaran lintang James, walaupun Izwan sudah tersilap langkah.

Ketika ATM ghairah memburu gol, kapten LionsXII, Shahril meletakkan pasukan itu di depan selepas menanduk kemas bola sepakan sudut Nazrul Nazari untuk gol pertama pelawat.


Jaringan itu menyebabkan ATM tertekan dan Sathianathan bertindak mengeluarkan Marlon pada minit ke-77 dan memasukkan R Surendran, namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila keputusan 0-1 kekal hingga hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved