Khamis, 10 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Kami tiada hubungan istimewa'

Posted: 09 Jan 2013 12:55 PM PST

Memiliki pesona bintang, nama pelakon remaja tinggi lampai dengan rupa paras cantik serta berperwatakan mesra ini semakin meniti di bibir peminat. Begitulah Nur Eina Azman, 18, pelakon siri popular Mimpi Cinderella yang baru saja habis tayangannya di TV3.

Pernah bersua dengannya beberapa kali , bukan saja semakin meningkat prestasi lakonannya, transformasi Eina juga semakin 'vogue' - membuktikan gadis kelahiran Temerloh, Pahang ini mahu serius menjadi seorang artis.

Dengan ketinggian 173sm, berat 49kg bersama potongan badan 36-24-26, persis ratu cantik, Eina mampu menembusi pelbagai cabang lain termasuklah peragaan.

Eina bukanlah nama baru di persada seni lantaran sudahpun berkecimpung dalam industri sejak dari bangku sekolah lagi. Bagaimanapun, baru kini namanya mula disebut-sebut dan berjaya meraih perhatian pengikut dunia hiburan tempatan.


Namun begitu, kebelakangan ini kisah hubungannya yang rapat dengan pelakon tampan berwajah Latino - Afiq Muiz - nampaknya lebih menjadi perbualan apabila sering dilihat berdua, bukan sekali sehingga mereka dikatakan sedang bercinta.


Bahkan, lensa kamera lantas menangkap ke arah kedua-dua teraju utama siri Mimpi Cinderella itu sejurus berpasangan melintasi karpet ungu pada Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), Ahad lalu. Tidak kurang juga, ada wartawan menggunakan alasan demikian untuk bertanyakan status sebenar perhubungan mereka.

Menguatkan lagi desas-desus percintaan mereka, Afiq sendiri datang menemaninya sewaktu mengadakan sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, kelmarin. Eina tanpa berselindung mengakui mereka berdua memanglah semakin rapat.

"Usia perkenalan saya dengan Afiq sudah masuk tiga tahun dan ditakdirkan bergandingan dalam siri berkenaan, menjadikan kami tambah rapat. Namun jangan tergesa-gesa membuat spekulasi mengenai hubungan kami kerana hakikatnya, tiada langsung hubungan istimewa setakat ini.

"Kebenarannya, dia adalah kawan lelaki yang Eina paling rapat pada saat ini dan kerana itulah juga kami sering keluar lepak bersama. Kami berkongsi banyak minat yang sama dan satu kepala. Saya sangat menyenangi Afiq dan kemesraan kami memang menimbulkan pelbagai pertanyaan ramai. Itu saya tidak nafikan.

"Saya sedar, media dan peminat pastinya mahukan kepastian di sebalik perhubungan kami, namun inilah penjelasan yang sebenarnya daripada saya. Kami memang intim tetapi sebagai kawan saja dan tiada hubungan istimewa apalagi bercinta," katanya yang tidak keberatan memberi penjelasan biarpun sering diasak soalan itu.

Apapun, bagaikan nafas baru buatnya, meskipun pernah muncul melakonkan watak utama dalam dua drama sebelum ini termasuklah 5 Jingga dan Kemisah Kirkby, hakikatnya nama dia seolah-olah tidak dipandang.

Lantas, sewaktu dipilih menjayakan watak Saleha dalam siri itu, kerisauan melanda anak saudara penyanyi Juliza Adzlizan ini kerana memikirkan bagaimana penerimaan penonton kelak.

"Apa tidaknya, untuk mendapatkan watak ini, saya terpaksa bersaing dengan beberapa pelakon nama besar dan amat terkejut apabila pengarah, Azmi Hatta memilih saya.

Sebaik mendapat tahu, saya menjadi sangat takut kerana tanggungjawab itu amat besar dan watak Saleha menuntut saya untuk melakukan lebih daripada tujuh karakter.

"Sepanjang penggambaran, 75 peratus daripada watak saya adalah babak menangis dan ia sangat mencabar buat saya kerana bukan mudah untuk mendapatkan mood sebegitu.

"Namun saya sangat bersyukur dan terkejut dengan sambutan yang ternyata di luar dugaan apabila sepanjang ditayangkan 13 episod, Mimpi Cinderella mencatatkan 'rating' nombor satu sehingga ke episod penamat. Sekarang barulah orang mula kenal siapa Eina Azman berbanding sebelum ini," katanya bersyukur.

Dendang karya Adnan Abu Hassan

Dilahirkan dalam keluarga seni, niat Eina yang awalnya mahu terjun dalam industri untuk menjadi seorang penyanyi ternyata belum kesampaian lantaran tawaran berlakon terlebih dulu menerpa anak bongsu daripada lima beradik ini.

Baru menamatkan zaman persekolahannya tahun lalu, Eina mahu menjadikan tahun ini untuknya memberikan sepenuh fokus kepada bidang seni bukan saja kepada lakonan, malah mengembangkan karier nyanyian serta pengacaraan.

"Tahun ini sangat istimewa buat saya kerana bukan saja sudah terlepas daripada komitmen belajar, malah inilah masanya untuk 'all-out' dalam bidang seni termasuklah menyambung kembali impian saya bergelar penyanyi.

"Dengan populariti yang saya tempuhi sekarang, barulah saya yakin untuk melancarkan single sulung bertajuk Bahagia Bersama. Lagu dan liriknya hasil ciptaan Adnan Abu Hassan dan sebenarnya sudah siap dirakamkan tahun lalu.

"Bagaimanapun, pada masa itu, saya tidak yakin untuk melancarkan single berkenaan kerana Eina bukanlah penyanyi terkenal dan takut nanti sambutan tidak menjadi," katanya.

Bakal kembali ke lokasi penggambaran untuk sebuah siri terbaru yang akan mengisi slot Samarinda juga di TV3 nanti, Eina tidak ketinggalan akan cuba mengintai tawaran dalam bidang pengacaraan.

"Buat masa ini, fokus utama saya adalah untuk menjayakan sebuah siri berjudul Bangkitnya Seorang Perempuan sebagai watak pembantu. Turut membintangi siri itu termasuklah Anzalna, Fezrul Khan dan pastinya Afiq Muiz.

"Pada masa sama, Eina juga mahu kembali aktif dalam pengacaraan kerana tidak mahu mensia-siakan pengalaman mengacara sebuah program di RTM sebelum ini," katanya sambil melibaskan rambutnya dan 'pose' lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

Gambaran diri Datuk Shake

Posted: 09 Jan 2013 05:59 AM PST

Aura nyanyian, pencapaian karier dan pengiktirafan negara luar terhadap Datuk Shake pada peringkat antarabangsa bukan calang-calang. Namun, matlamat beliau tetap satu iaitu sentiasa menjadi penghibur terbaik di mana saja beliau berada.

Kini, selepas beberapa tahun tidak merakamkan album, penyanyi Malaysia mencipta nama di Perancis itu kembali dengan album studio baru berjudul Chameleon.

Album bahasa Malaysia ini memuatkan 12 lagu baru menjadi buah tangan istimewa untuk peminat daripada penyanyi yang pernah meletup dengan lagu Pulang­lah, Lina, Umi dan Anugerah Dari Kegagalan satu ketika dulu.

Bagi memastikan album Chameleon mantap, Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh mengetengahkan album dengan lirik dan melodi menarik selain menggabungkan elemen muzik elektrik, blues dan irama padang pasir.


Menariknya, ada beberapa lagu memiliki elemen 'dry lung sound' tekno. Malah, ada alunan vokal seakan-akan bunyi komunikasi robot 'cylon' dalam siri televi­syen Battlestar Galactica.


Album yang mengambil masa dua tahun disiapkan itu juga menyaksikan gandi­ngan Shake sebagai penerbit eksekutif dan Madblues sebagai penerbit.

Dalam satu temu ramah bersama RAP, Shake berkata, tajuk Chameleon dipilih sebagai gambaran diri menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan.

"Biasanya pada umur saya sekarang, ramai yang meng­anggap seseorang sudah kurang aktif menyanyi dan tidak perlu menghasilkan album.

"Saya kurang selesa bercakap pasal umur saya sekarang. Cuba lihat semangat serta motivasi dipamerkan The Rolling Stones dan Stevie Wonder, kelibat mereka tetap ditagih peminat dan masih kental menjayakan konsert mahupun merakamkan lagu baru untuk peminat.

"Dalam album Chameleon ini, muzik disuntik bersesuaian dengan lirik iaitu mengenai perasaan dan realiti kehidupan manusia. Ada lagu berkisar mengenai hubungan manusia dan Tuhan," kata­nya.

Majlis pelancaran album Chameleon yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut dihadiri dua anak kembarnya iaitu aktor, Nicolas Shake serta pengarah filem, Amaro Shake dan isteri, Datin Milena.

Shake mencatat sejarah tersendiri dalam kerjayanya dengan album terjual sebanyak 60 juta unit serata dunia.

Katanya, beliau sedang merancang mengadakan satu konsert besar untuk peminat di Malaysia.

"Maklum balas saya terima peminat di Malaysia merasakan mereka seperti dianaktirikan kerana saya lebih banyak menjayakan konsert di Belgium, Switzerland, Belanda serta Perancis tetapi tiada konsert dilangsungkan di Asia Tenggara.

"Jadi, saya akan mencari tarikh dan lokasi sesuai untuk konsert saya di Malaysia tahun ini termasuk berkemungkinan di Sabah dan Sarawak. Sudah lama juga tidak bertemu peminat di sini," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana beliau menjaga diet dan tahap kecergasan diri pada usia sekarang, Shake berkata, beliau mengambil lebih banyak buah-buahan berbanding karbohidrat dan makanan berlemak.

"Biasanya saya akan ke gimnasium melakukan senaman selepas solat Subuh. Setakat ini kesihatan bagus dan bersyukur kepada Allah dengan apa saya kecapi sekarang. Terima kasih kepada semua yang memberi soko­ngan yang baik terhadap kemajuan karier saya selama ini," katanya.

Dalam pada itu, album Chameleon tidak dijual di kedai muzik biasa kerana Shake tidak mahu ia menjadi mangsa cetak rompak.

"Jika hendak dapatkan album ini, peminat atau siapa saja boleh melayari laman web saya atau Facebook," katanya.

Lagu-lagu dalam Chameleon ialah Material, Berpusing, Menyakitkan Hatiku, Impian Syurgaku, Hanyut Dalam Khilafku, Oh Kasih­ku dan banyak lagi.

Shake adalah artis Asia Tenggara selepas legenda filem kung-fu, Bruce Lee menembusi pasaran antarabangsa pada pertengahan era 70-an. Malah, beliau juga menerima anugerah berprestij 'Chevalier des art et des lettres et du merite' atas sumbangannya memperkenalkan bahasa dan kebudayaan di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved