Khamis, 10 Januari 2013

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Polis tembak mati dua tahanan lolos

Posted: 10 Jan 2013 01:21 AM PST

Bukit Mertajam: Polis Pulau Pinang mengesahkan dua suspek yang ditembak mati di Padang Ibu tengahari ini adalah Joe Mafia atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28, atau 'Boy.'

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapat maklumat pada jam 12.30 tengahari mengatakan kenderaan dinaiki suspek dilihat di kawasan Kubang Semang.

Beliau berkata, kereta jenis Proton Perdana itu akhirnya berjaya dikesan kira-kira jam 12.45 tengahari dan mengarahkan anggota untuk mengejar suspek.

Suspek bagaiamanpun cuba menghimpit kenderaan polis dan memecut laju memasuki kawasan tar di tali air Padang Ibu dan berlaku insiden tembak-menembak.


"Suspek melepaskan tembakan dan mengenai kenderaan polis. Polis membalas tembakan ke arah kedua-dua mereka sebelum kenderaan berkenaan terbabas ke dalam tali air.


"Salah seorang daripada mereka adalah dalang kumpulan, iaitu Joe Mafia. Dia amat agresif kerana mempunyai pistol," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Penemuan mayat Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28, atau 'Boy' ditemui dalam sungai kira-kira jam 3.40 petang tadi tidak jauh dari kereta yang terbabas ke dalam tali air, katanya.

Abdul Rahim bagaimanapun menafikan kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi dan memberitahu ia milik orang lain.

"Kita percaya mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan Joe Mafia dan satu lagi lima yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan lima lagi suspek yang bebas dan menegaskan bahawa polis sudah mengetahui kedudukan mereka serta meminta mereka menyerah diri dengan kadar segera.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan orang awam supaya tidak memberi perlindungan kepada suspek mahupun memberi makanan kepada mereka kerana ia adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Pengasas 'Panji Langit' tiada kaitan militan

Posted: 10 Jan 2013 12:44 AM PST

JASIN: Polis mengesahkan pengasas ajaran sesat 'Panji Langit' yang diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Chabau, Simpang Bekoh, di sini, Sabtu lalu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye, berkata pelbagai senjata yang dirampas dalam serbuan itu dipercayai akan digunakan pengasas dan pengikut ajaran sesat itu sebagai persediaan untuk menghadapi hari Kiamat yang mereka percaya berlaku pada 21 Disember lalu.

"Berdasarkan kepada siasatan polis, pengasas ajaran sesat ini iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun tidak ada kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

"Pelbagai senjata seperti senapang tiruan, pedang, lembing, tombak, parang dan kapak yang ditemui hendak digunakan mereka sebagai persediaan untuk menghadapi hari Khiamat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, hari ini.

Foto

Chua (tengah) menunjukkan pelbagai senjata yang dirampas dalam serbuan. FOTO Rasul Azli Samad


Beliau berkata, siasatan polis juga mendapati pengasas ajaran itu adalah seorang bomoh dan turut menjalankan perniagaan ikan keli.


Menurutnya, pengikut ajaran sesat itu dianggarkan seramai 30 hingga 40 orang yang terdiri daripada pesakit yang pernah mendapatkan rawatan daripada lelaki itu.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada pengikutnya bagi melengkapkan siasatan dan lelaki itu ditahan reman selama seminggu.

"Berdasarkan kepada siasatan juga mendapati kumpulan ajaran sesat ini sudah beroperasi sejak tahun lalu dan polis akan melakukan siasatan daripada segenap aspek," katanya.

Chuah berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 (1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki beberapa senjata api tiruan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki pakaian dan peralatan tentera dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih enam minggu atau denda tidak lebih RM60 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved