Ahad, 13 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Amaran RvP

Posted: 12 Jan 2013 05:28 AM PST

Manchester: Robin van Persie menggesa rakan sepasukan di Manchester United supaya tidak terpedaya dengan kelebihan tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris, menjelang pertembungan menentang Liverpool, malam ini.

United bakal berdepan musuh lama mereka di Old Trafford dan kemenangan akan meletakkan mereka 10 mata di depan Manchester City yang turun menentang Arsenal selepas itu.


Pemain Belanda itu yang menjaringkan 16 gol liga musim ini selepas berpindah dari Arsenal dengan bayaran £24 juta (RM116.8 juta), menuntut pasukannya kekal fokus.

"Hanya tujuh mata, kami perlu tumpu pada setiap perlawanan. Kami perlu harungi separuh kedua liga dan berdepan semua pasukan sekali lagi," kata Van Persie.


"Semuanya belum diputuskan. Kami kini turun menentang Liverpool dan ia perlawanan yang besar." Van Persie turut memberi amaran supaya United tidak mengambil mudah kunjungan skuad Brendan Rodgers yang ketinggalan 21 mata selepas menempuhi permulaan kempen yang hambar musim ini.


"Kami perlu memberi tumpuan meraih tiga mata, pertembungan ini sentiasa sengit," kata Van Persie yang menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi membolehkan United seri 2-2 dengan West Ham pada aksi Piala FA hujung minggu lalu.

Foto

VAN Persie (kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan.

"Kedua-dua pasukan memiliki sejarah hebat. Mereka adalah pasukan yang hebat dan jika tuah memihak mereka, kami pasti berdepan tugas sukar." Pertahanan United, Rio Ferdinand turut memandang serius pertembungan dengan musuh tradisi United itu.


"Ia perlawanan yang paling kami nantikan," katanya.

"Permusuhan kedua-dua pasukan begitu mendalam. Liverpool mungkin tidak berjuang memburu kejuaraan tapi bagi penyokong dan pemain, mereka tahu apa ertinya perlawanan ini kepada kelab masing-masing." Sejak tewas 1-3 kepada Stoke City, 26 Disember lalu, Liverpool menang tiga perlawanan berturut-turut, terkini menewaskan kelab divisyen kelima, Mansfield Town, 2-1 dalam Piala FA hujung minggu lalu.


Suasana tegang yang pastinya menanti Liverpool di Old Trafford membuatkan pengurus, Brendan Rodgers menggesa pemain tidak menghampakan diri sendiri.


"Kami berkeyakinan tinggi dan melangkah ke perlawanan itu dengan rentak yang baik, menang tujuh daripada sembilan perlawanan terakhir. Kami memiliki keyakinan yang hebat," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Rasional misi Road to Rio?

Posted: 12 Jan 2013 05:25 AM PST

Kuala Lumpur: SUKAN Olimpik London berjaya membuka mata rakyat Malaysia. Berbekal RM50 juta, mampukah program Road to Rio menjanjikan pingat emas pertama Malaysia selepas gagal merealisasikan impian itu di London? Ikuti pandangan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang mengharapkan kesinambungan pingat tercipta lagi pada 2016.

"Memang benar RM50 juta yang diperuntukkan untuk program Rod To Rio dianggap terlalu besar dan terus terang ia belum menjanjikan pingat emas yang kita harap-harapkan selama ini.


Namun apa yang boleh saya katakan, persediaan dan pembangunan atlet kali ini jauh lebih baik berbanding perancangan kita sewaktu Olimpik London 2012.

Alhamdullilah Malaysia pulang dengan dua pingat, perak menerusi jaguh badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan gangsa menerusi penerjun Pandelela Rinong biarpun impian sebenar MSN dan tentunya seluruh rakyat adalah meraih emas pertama.


Melihat senario positif di London, Kementerian Belia dan Sukan menerima RM50 juta menerusi Bajet 2013 untuk menjayakan program Road to Rio, tambahan RM30 juta lagi selepas kemajuan dicapai ketika Road to London yang menerima perbelanjaan RM20 juta.


Saya sedar ada pihak menimbulkan persoalan sama ada peruntukan sebesar itu mampu menghadiahkan pingat emas pertama negara, meskipun temasya itu hanya berlangsung tiga tahun lagi.

Mereka agak skeptikal mengenai isu ini, selepas RM20 juta yang diperuntukkan untuk program ke London gagal memberi hasil yang diimpikan, biarpun tetap ada kejutan untuk rakyat negara ini menerusi Pandelela.


Lebih manis, kejayaan pemanah paralimpik, Hasihin Sanawi serta atlet lontar peluru, Mohd Ziyad Zolkepli di Sukan Paralimpik, meletakkan sukan negara di fasa lebih meyakinkan.

Jika diikutkan, RM50 juta itu masih belum mencukupi tapi kita perlu manfaatkannya untuk pembiayaan atlet, jurulatih, program latihan, pertandingan dan khidmat sokongan.


Pada masa ini, kita membuka ruang kepada 11 sukan untuk fasa pertama tapi jika gagal, saya beri jaminan, mereka akan digugurkan. Petunjuk awal penanda aras mereka adalah pencapaian di Sukan Asia dan Komanwel tahun depan.


Mengambil contoh di London, saya lihat pasukan terjun Britain membelanjakan RM20 juta untuk persediaan acara itu tapi hanya Tom Daley meraih pingat gangsa, sedangkan Malaysia membelanjakan jumlah itu untuk keseluruhan program.


Saya lihat kegagalan kita meraih pingat emas menerusi perspektif positif. Kita berjaya menyamai pencapaian di Atlanta, malah Pandelela menjadi atlet pertama sukan terjun memenangi pingat di Olimpik.


Lebih membanggakan atlet kita berjaya layak lapan final dan ia satu pencapaian yang amat membanggakan, selain jenis sukan yang kita sertai semakin bertambah.


Saya yakin pencapaian di London itu boleh dipertingkatkan lagi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved