Ahad, 13 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Membara nak cipta rekod

Posted: 13 Jan 2013 01:13 PM PST

Indahnya perasaan apabila badan melayang dan terapung berjam-jam di udara. Rasa bebas dan puas. Satu pencapaian yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Inilah yang memenuhi ruang fikiran penulis tatkala menyaksikan keberanian wanita Sabah mengendalikan sayap besar dalam aktiviti paragliding melakukan penerbangan solo.

Bagi orang yang ada fobia terhadap ketinggian seperti penulis, peluang paragliding untuk masuk dalam senarai perkara yang hendak dicuba amat tipis.

Namun sebagai perempuan, penulis berbangga dengan pencapaian tujuh wanita cantik dari Sabah yang diiktiraf sebagai juruterbang paragliding. Mana tidaknya, hanya yang berjiwa kental saja dapat melakukan aktiviti penuh risiko ini. Penulis diberitahu sebenarnya semua orang boleh menjadi juruterbang paragliding tanpa mengira jantina, umur mahukan saiz badan.

Ini dibuktikan sendiri oleh Datin Afidah Sabit dari Papar, Sabah apabila dia berjaya melakukan penerbangan solo pertama sebagai juruterbang paragliding di Pusat Paragliding Sabah di Lohan, Ranau - hanya selepas menjalani beberapa sesi latihan.

Foto

AFIDAH menunjukkan kemahirannya terbang solo.

Foto

HAZNAIN (belakang) mahu wujudkan suasana belajar yang seronok.

Foto

BAGI yang kurang yakin boleh jadi penumpang dalam penerbangan tandem paragliding.

Foto

JURUTERBANG Asmawati dan Suhaila punya kemahiran setanding juruterbang paragliding lelaki.


Adakah semudah itu untuk menjadi juruterbang paragliding dengan hanya beberapa latihan? Menurut Naib Presiden Kelab Luncur Udara Kinabalu (KLUK), Mejar Haznain Ngamil, itulah hakikatnya.


Agak sukar untuk mempercayainya. Apapun semua sudah dibuktikan oleh Suhaila Subi, Asmawati Ahmad, Diana Johari, Eva Lo, Afidah dan Rena Rean Jefry. Semua wanita manis berusia antara 30-an hingga 40-an ini sudah bergelar juruterbang paragliding.

Kata Afidah, minatnya terhadap sukan lasak itu bermula selepas kali pertama menyaksikan penerbangan paragliding di Pesta Paragliding Sonsoluyon sempena Pesta Kaamatan Ranau. Hatinya bagai didesak untuk mengenali sukan itu dengan lebih rapat apatah lagi selepas melihat proses penerbangan yang mudah dan selamat.

Sungguh seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Sekali mencuba, keinginan mencipta rekod peribadi semakin meluap-luap.

Katanya, dia cemburu melihat juruterbang bermain dan terapung di udara beramai-ramai berjam-jam lamanya. Sebelum mengenali paragliding, semua ini di luar kotak pemikirannya malah tidak pernah terlintas dia juga mampu melakukannya.

Kini setiap kali ada kelapangan Afidah akan menghabiskan masa di Ranau untuk menikmati sendiri keasyikan terapung di udara. Minatnya ini mendapat sokongan penuh suaminya, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin, Presiden KLUK.

"Perasaan ketika meluncur terbang di udara sukar digambarkan dengan kata-kata. Mulanya memang gementar tetapi apabila sudah belajar cara mengendalikan paragliding, rasa takut dan gementar hilang ditelan keseronokan. Rasa bebas dan puas.

"Selepas diiktiraf sebagai juruterbang paragliding, saya ada satu impian baru. Saya mahu meningkatkan lagi kemahiran sehingga mendapat lesen juruterbang supaya boleh 'terbang' di lokasi lain sama ada di dalam atau luar negara.

"Kini saya serius mengikuti aktiviti paragliding dan menggalakkan anak-anak menceburinya. Saya mahu berkongsi keseronokan ini dengan mereka," katanya.

Juruterbang paragliding wanita Sabah ini sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Suhaila bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Teknik Tawau, Asmawati (pembantu tadbir di Universiti Malaysia Sabah, yang juga atlet paragliding ke Sukan SEA Jakarta lalu). Mereka ialah dua daripada tujuh atlet wanita yang mewakili Malaysia dan membawa pulang dua pingat perak dan empat pingat gangsa. Diana, Salsiah dan Eva pula ialah eksekutif di syarikat swasta sementara Reva pula bertugas di Sabah Homestay.

Aktiviti paragliding di Sabah sudah bermula sejak 2000 sebagai aktiviti masa lapang. Ia digiatkan oleh sekumpulan kecil individu yang meminati aktiviti luar. Bagaimanapun ia tidak bergerak rancak kerana tiada tapak terbang yang sesuai. Justeru, mereka terpaksa ke tapak terbang di luar Sabah seperti ke Bali, Indonesia untuk terbang.

Menurut Haznain, memang masih ramai yang kurang berminat untuk terbabit dalam aktiviti paragliding. Persepsi bahawa sukan udara hanya boleh diceburi golongan tertentu saja kerana memerlukan kos yang tinggi membataskan penyertaan.

Hakikatnya, paragliding boleh diceburi semua golongan dengan adanya pakej pilihan sama ada untuk mempelajari, merasai `tandem' paragliding, memiliki peralatan sendiri mahupun menyewanya.

KLUK ialah kelab yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang berminat mempelajari teknik paragliding. Ahli KLUK terdiri daripada pelbagai golongan - golongan profesional, berpendapatan sederhana dan rendah. Malah KLUK juga mempunyai juruterbang yang masih belajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.

"Aktiviti ekstrem yang penuh risiko juga menjadi batasan kepada hasrat untuk mendekati paragliding. Namun paragliding sebenarnya selamat sekiranya dilakukan melalui proses pembelajaran dan pelaksanaan yang betul melalui pusat paragliding yang diiktiraf.

"Seseorang yang ingin bergiat dengannya perlu melalui pembelajaran secara teori dan praktikal yang secukupnya sebelum terbang secara solo. Pelatih akan diajar berkaitan teori penerbangan, peralatan, metereologi, peraturan penerbangan, kemahiran penerbangan dan keselamatan."

Paragliding daya tarikan pelancong

Keunikan Sabah yang kaya dengan khazanah semula jadi sebagai salah satu destinasi eko pelancongan sememangnya tidak perlu diperkatakan lagi. Daripada kemegahan Gunung Kinabalu, kepelbagaian etnik dan budaya, hutan hujan tropika, pulau dan syurga alam marin bagi penyelam, semuanya berada di taraf dunia dan menarik jutaan pelancong setiap tahun.

Kehadiran aktiviti paragliding kini menaikkan lagi tarikan kedatangan pelancong ke Sabah. Walaupun baru tiga tahun ia digiatkan secara aktif, kesannya sudah ketara. Contohnya, pada 2011 lebih 200 juruterbang paragliding antarabangsa berkumpul untuk terbang beramai-ramai di tapak paragliding Sabah.

Lebih 100 juruterbang datang untuk menyertai pertandingan dan kira-kira 500 pelancong mendaftar bagi mengikuti penerbangan paragliding sebagai penumpang atau lebih dikenali sebagai Tandem Paragliding.

"Tandem Paragliding ialah penerbangan di mana penumpang akan dibawa bersama jurulatih yang berkelayakan. Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang amat memberangsangkan. Dalam tempoh ini juga Sabah sudah menganjurkan dua Sirkit Ketepatan Mendarat Paragliding Piala Dunia pada Jun 2011 dan Mac 2012.

"Keadaan muka bumi yang bergunung-ganang disokong oleh keadaan cuaca yang konsisten menjadikan paragaliding dan aktiviti penerbangan yang lain sesuai dilakukan di Sabah. Atas dasar inilah Sabah dipilih oleh Federasi Aeronotik Antarabangsa sebagai salah satu destinasi dalam sirkit dunia ini.

"Keadaan muka bumi ini juga yang memberikan tapak terbang yang menarik, unik dan bertaraf dunia. Beberapa tapak terbang yang mempunyai keistimewaan masing-masing juga menarik juruterbang serata dunia yang memberi kepelbagaian pengalaman penerbangan," kata Haznain.

Tapak terbang yang sudah dimajukan ialah Lohan dan Kundasang di Ranau, Bukit Kokol dan Bukit Ruhiang di Kota Kinabalu dan Bukit Sim-sim dan Bukit Trig di Sandakan. Gunung Kinabalu pula menjadi kemuncak kepada cabaran paragliding yang menarik pelancong serata dunia. Terdapat beberapa tapak di Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Keningauyang sudah dikenal pasti untuk dimajukan pada masa hadapan.

Ranau satu-satunya daerah yang mengadakan pesta paragliding sempena sambutan Pesta Kaamatan setiap tahun di tapak paragliding Lohan. Bertempat di sebelah Kompleks Sukan Ranau, pesta ini akan mengumpulkan juruterbang dalam dan luar negara. Pada acara ini, orang ramai dapat melihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana juruterbang melakukan penerbangan.

Dengan perkembangan ini, paragliding melalui satu bentuk transformasi. Ia bukan lagi sebagai hobi, tetapi aktiviti yang membuka ruang dan peluang. Jika pada mulanya juruterbang hanya inginkan keseronokan untuk terbang di udara, kini juruterbang boleh mendapat pulangan daripada kemahiran ini.

Peluang dalam aktiviti yang menjadi produk industri pelancongan ini tidak sekadar tertumpu pada juruterbang, ia juga memberi impak sampingan dalam pelaksanaannya kepada aktiviti yang berkait langsung mahupun tidak langsung.

Apa yang menarik, perkembangan paragliding ini masih tidak selari dengan perkembangan tenaga mahir yang terbabit. Sukan ini masih kekurangan tenaga profesional kerana kebanyakan juruterbang mahir menjadikan aktiviti ini sebagai hobi. Pusat paragliding contohnya memerlukan individu yang berkemahiran dalam pelbagai bidang selain juruterbang mahupun jurutandem. Masih banyak kekosongan untuk jawatan jurulatih, pembantu juruterbang, pelipat payung, marsyal, penunjuk arah, pemandu dan porter.

Permintaan untuk paragliding juga menunjukkan peningkatan yang amat ketara. Setiap bulan ramai pelancong yang datang menjadikan paragliding sebagai salah satu tujuan berada di Sabah. Fenomena ini dilihat sebagai suatu yang amat positif bagi industri pelancongan Sabah.

Sekiranya ada hasrat untuk mencubanya, pesta paragliding medan terbaik untuk mendapatkan maklumat daripada juruterbang yang ada. Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat boleh layari laman web www.borneoparaglider.com atau hantarkan e-mel anda ke kkparaglider@yahoo.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Cantik, cergas seimbang

Posted: 13 Jan 2013 11:11 AM PST

Negarawan dan pengarang Inggeris, Sir William Temple, pernah berkata kesihatan ialah rohani jiwa yang akan membawa keseronokan dan kebahagiaan dalam kehidupan manakala hidup pula akan menjadi tawar saat kehilangannya.

Pepatah Arab pula menyatakan, kesihatan ialah asas letaknya kebahagiaan hidup seseorang dan ia juga menjadi kekuatan sesebuah negara.

Sungguh dalam maksud kedua-dua petikan ayat di atas yang apabila disimpulkan membawa maksud, tanpa kesihatan yang baik kita tidak dapat melakukan banyak perkara di dalam kehidupan ini yang dipenuhi pelbagai kemanisan kurniaan Tuhan.

Tidak kiralah sebanyak mana wang dikumpul dan disimpan di dalam bank, sekiranya kesihatan tidak dijaga dengan sebaik mungkin, pincanglah kebahagiaan hidup sebenar bersama insan tersayang mahupun dalam usaha membentuk sebuah negara yang maju.


Apa tidaknya, kita sukar melakukan sesuatu kerja sekiranya sudah jatuh sakit sebaliknya hidup kita pula memerlukan bantuan orang lain. Kebanyakan orang juga sering berkata, kalau kita sudah ditakdirkan jatuh sakit, hendak buat macam mana?


Benar, kita tidak boleh tentukan siapa atau bila seseorang itu akan jatuh sakit namun kita berupaya mengambil langkah berjaga-jaga misalnya bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat sejak awal usia.

Mempunyai fikiran seperti itu, penganalisa kewangan, Santhia Devi Chandra Das, 26, mengambil berat mengenai tahap kesihatan dirinya dengan mengamalkan rutin kehidupan harian yang seimbang, cergas serta positif.

Ternyata, pemenang kedua Ratu Cantik India Malaysia Global (MMIGlobal) 2012 ini bukan mementingkan kecantikan dan penampilan diri semata-mata tetapi juga kesihatan tubuh badannya.

Tidak pernah melangkau waktu makan, cuba sedaya upaya tidak mengambil makanan ringan di antara waktu makan, suka berlari dan berjoging serta minum minuman buah-buahan, antara rutin yang dilakukan demi memastikan dirinya kekal cergas bertenaga.

"Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang aktif bersukan kerana bapa dan abang bermain bola. Perkara ini secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan saya sebab mereka selalu bersenam untuk meningkatkan stamina badan.

"Secara perlahan-lahan saya pun ikut sama dan belajar melalui ayah kepentingan bersenam dalam kehidupan kita. Pada hujung minggu kami lakukan aktiviti riadah seperti berkayak, bermain badminton, berenang dan jalan kaki jarak jauh (hiking).

"Pada 2008 juga kami pernah mendaki Gunung Kinabalu di Sabah dan itu pengalaman paling memenatkan serta menyakitkan buat saya. Ini kerana, tanpa latihan yang cukup saya terlalu berkeyakinan untuk melakukannya," katanya.

Dengan kecergasan yang dimiliki itu, wajarlah dia turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Ratu Kecergasan selepas kewibawaannya melepasi acara Larian Datai Coast sejauh 3.5 kilometer di Langkawi, sebagai sebahagian program MMIGlobal, tahun lalu.

Lebih menarik, dia mampu menyudahkan larian berkenaan dalam masa 15 minit saja.

Menurutnya, dia tidak terlalu tegas terhadap dirinya supaya setiap hari perlu pergi ke gimnasium tetapi cukup sekadar dua kali seminggu jika mempunyai kelapangan.

Namun, wajib baginya untuk joging mahupun berbasikal di sekitar kawasan rumah kira-kira jam 5 pagi setiap hari selepas bangun daripada tidur. Udara yang nyaman pada waktu itu memberikannya kepuasan sebelum memulakan tugasan harian di pejabat.

Wanita berwajah manis ini juga akan mengambil sarapan yang dimasak oleh
ibunya seperti roti canai dan capati. Malah, dia juga gemar membawa bekal makanan dari rumah ke pejabat untuk makan tengah hari.

"Saya suka makan cuma pengambilannya perlulah berpatutan dan disusuli dengan aktiviti senaman agar lemak boleh dibakar.

"Saya tidak percaya dan tidak galakkan wanita mengamalkan diet yang ekstrem hingga memudaratkan tahap kesihatan badan mereka.

"Pada pandangan saya, lebih baik anda menjalani kehidupan seperti biasa tetapi tingkatkannya dengan mengamalkan budaya hidup sihat dari segi jumlah pengambilan makanan serta melakukan senaman," katanya.

Baginya, golongan wanita perlu melatih diri membentuk tubuh badan yang sihat menerusi senaman supaya dapat mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Senaman tidak pernah membosankan, malah ia direka bentuk untuk mengambil kira tahap kesihatan badan secara keseluruhan manakala rutin senaman ialah mimik kepada gerakan semula jadi manusia.

Selain itu, dia turut menyatakan, untuk kelihatan cantik wanita perlu menyeimbangkan penampilan luaran serta dalaman. Jangan menahan lapar atau mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan terlarang semata-mata mahu kelihatan kurus dengan cepat.

Hal itu hanya akan memudaratkan diri kerana komplikasinya berlaku dalam jangka masa panjang.

"Apabila anda berjaya seimbangkan kedua-dua hal penting ini, keyakinan diri dapat ditingkatkan lalu membuatkan anda semakin berfikiran positif serta produktif," tuturnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved