Selasa, 15 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kaedah tingkat memori anak

Posted: 15 Jan 2013 06:57 AM PST

Ketika mengandungkan anak pertama, seperti ibu lain Mazlina Karim banyak membaca mengenai kaedah terbaik dalam mendidik anak-anak yang kebanyakannya ditulis penulis Barat. Menyedari dia ingin mendapatkan didikan mengikut cara Islam, Mazlina kemudian membaca biografi Imam Shafie yang mampu menghafaz seluruh al-Quran pada usia tujuh tahun.

Ketika itu, pada fikirannya mustahil untuk anak orang lain menjadi seperti Imam Shafie kerana dia insan terpilih dan hebat. Ketika itu juga Mazlina seolah terdengar ada suara membisikkan kepadanya, ia tidak mustahil.

"Anak saya boleh mencapai apa yang saya fikirkan jika saya berkeinginan dan dengan izin Allah, ia akan terjadi. Ketika hamil anak pertama itu, saya bernazar jika impian tercapai, saya akan berkongsi dengan masyarakat umum. Alhamdulillah anak saya (Darwisya Adrianna, 7, dan Darwish Adrian, 5) mampu menghafaz 30 surah al-Quran sebelum mencapai usia tiga tahun," katanya yang menggunakan kaedah memainkan cakera padat video (VCD) surah yang perlu dihafal anaknya pada waktu Maghrib bagi membantu mereka mengingati al-Quran dengan lebih mudah.

Menurut Mazlina, terdapat pelbagai pandangan dalam pendidikan awal kanak-kanak dan ia bergantung kepada latar belakang ibu bapa dalam memilih kecenderungan pendidikan untuk anak mereka. Ada yang memilih untuk mendahulukan pengajaran ilmu dunia contohnya membaca, menulis dan mengira pada usia empat dan lima tahun. Sebab itu, rata-rata ibu bapa menghantar anak ke sekolah tadika atau prasekolah.


Namun perbezaannya, pengajaran di sekolah hanya berhenti setakat mengenal huruf, membaca dan mengira tanpa melatih untuk menghafal sedangkan menghafal mempunyai banyak kebaikan yang tidak diketahui ibu bapa.


Antaranya, ia meningkatkan memori atau daya simpan maklumat dalam otak kanak kanak. Ini dapat dilihat sejak hari pertama bayi dilahirkan, mereka disambut dengan azan dan iqamat yang menandakan bayi boleh diajar dengan memperdengarkan ayat al-Quran dan ia permulaan pendidikan sebaiknya untuk bayi dan kanak-kanak.

"Sebenarnya otak kanak-kanak sudah sangat bersedia untuk menerima apa saja pembelajaran sejak lahir. Otak mereka pada waktu ini ibarat span yang amat mudah menyerap air. Malah mengikut kajian sains, pada usia dua tahun, kapasiti otak kanak-kanak menyamai 80 peratus otak dewasa," katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Mazlina memilih untuk mendedahkan ilmu al-Quran terlebih dulu berbanding dunia kerana pelajaran bahasa boleh dipelajari di tadika dan di sekolah nanti.

Sehingga umur anak-anaknya mencecah tiga tahun, Mazlina tidak pernah mengajar A hingga Z atau kiraan satu hingga 10, bentuk dan warna dalam bahasa Inggeris secara khusus. Tetapi anaknya Darwisya dan Darwish sudah boleh mengenal dan menghafal sendiri dengan bantuan secara ti-dak langsung daripada VCD kartun.

Selain itu, aktiviti menghafal mampu menjadikan kanak-kanak menguasai sesuatu dengan cepat kerana mereka sudah memahami konsep al-Quran.

"Apapun saya yakin ini kerana otak mereka dilatih untuk memberi tindak balas yang cepat ketika mengaji. Jika difikirkan ada benarnya. Mengikut kajian sains, kanak-kanak yang belajar menghafal akan meningkatkan kuasa otak kiri mereka. Otak kiri bertanggungjawab untuk menganalisa secara analitikal seperti sains, matematik dan bahasa manakala otak kanan pula bertindak untuk berfikir secara holistik seperti perkara berkaitan seni dan muzik," jelasnya.

Melatih otak menjadi kuat sama caranya dengan membentuk otot tubuh bertenaga dan mantap. Jika inginkan badan sihat dan lebih stamina, perlu rajin melakukan senaman.

"Keadaan ini sama dengan otak, tiada had umur minimum memulakan latihan. Contohnya kanak-kanak akan mengingati lagu yang ibu mereka dodoikan sebelum tidur dan boleh menyanyikannya semula apabila usia mereka meningkat dua tahun ke atas. Anak saya contohnya mampu menghafaz surah dengan mudah kerana selalu diperdengarkan surah itu ketika masih bayi.

"Pada usia dua tahun lapan bulan dia sudah menghafaz lapan surah pendek dan sekurang-kurangnya 17 surah apabila usia mencecah tiga tahun," ujarnya.

Membaca dan menghafal dua perkara berbeza namun boleh dijalankan serentak. Ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga kanak-kanak itu pandai membaca al-Quran untuk mula menghafal sebaliknya boleh dimulakan seawal usia enam bulan. Buktinya, ramai huffaz (penghafal quran) daripada kalangan orang buta. Ini bermakna seseorang yang tidak mengenal huruf juga boleh menghafal al-Quran dengan baik.

Bertindak sebagai guru kepada dua anaknya, Mazlina menjelaskan semua kanak-kanak mempunyai persamaan. Mereka berbeza dari segi kualiti dan kuantiti didikan ibu bapa pada awal usia. Kanak-kanak jika didedahkan lebih awal, mampu mempunyai tiga kemahiran iaitu mengenal huruf, membaca dan menghafal al-Quran pada umur seawal tiga tahun.

Kemahiran yang diperoleh ini akan meningkatkan keupayaan, mempengaruhi daya berfikir dan menyerap pelajaran apabila mereka dewasa nanti.

"Ia ibarat latihan otak yang akan menghasilkan daya tumpuan, kreativiti dan kelajuan berfikir yang bermanfaat untuk jangka panjang. Namun mengajar al-Quran kepada bayi dan kanak-kanak berbeza daripada mengajar orang dewasa. Mengajar kanak-kanak memerlukan daya kreativiti yang lebih kerana perlu memahami dunia kanak-kanak yang masih ingin bermain.

"Sebagai contoh, bayi berusia setahun akan lebih memaksa ibu bapa mencuri tumpuan mereka untuk menyebut setiap kad imbasan kerana pada waktu ini, mereka dalam peringkat suka meneroka dan mula melakukan pelbagai kerja sendiri. Ini lebih ketara untuk kanak-kanak lelaki berbanding perempuan," jelasnya.

Berdasarkan pengalaman, anak lelaki dan perempuan mempunyai cara belajar berbeza. Berbanding anak perempuan, anak lelaki lebih nakal dan kurang daya tumpuan. Masalah pelat juga lebih dialami kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Jika ibu bapa mempunyai anak yang pelat, segeralah mengajar al-Quran kerana ia terapi bercakap yang sangat elok bagi kanak-kanak.

"Ini kerana al-Quran perlu dibaca dan disebut dengan jelas dan betul justeru dalam proses mengajar, kita menyebutnya dengan bulat dan jelas, menyebabkan pelat mereka hilang secara berperingkat. Ini diakui pakar kanak-kanak yang memberitahu untuk kanak-kanak pelat, ibu bapa perlu bercakap dengan jelas pada setiap patah perkataan. Namun dalam kesibukan, ibu bapa selalunya tidak berkesempatan berbuat begitu," katanya.

Mazlina yang mula mendedahkan ayat al-Quran menerusi VCD sejak anaknya berusia enam bulan teruja setiap kali melihat perkembangan mereka. Setiap pagi selepas bangun tidur sebelum menonton rancangan kartun kegemaran mereka, Mazlina memutarkan bacaan al-Quran terlebih dulu. Ini dilakukan secara berterusan setiap pagi manakala pada waktu malam, dia mengambil masa 30 minit sehingga satu jam untuk mengajar anaknya mengaji Iqra'.

"Setelah mencuba dan nampak hasilnya pada Darwisya dan Darwish, saya membuat kesimpulan memang benar kata orang pendidikan bermula dari rumah. Kaedah yang saya gunakan bermula daripada bayi baru lahir sehingga tiga tahun.

"Saya tidak berjumpa sekolah khas yang mengajar bayi baru lahir sehingga usia tiga tahun ke atas di Malaysia. Jadi ibu bapa yang perlu menjadi guru dan rumah sebagai sekolah pertama untuk mereka," katanya.

Darwisya yang kini bersekolah di Sekolah Antarabangsa Moden Arab baru-baru ini mendapat semua A bagi tujuh mata pelajaran dengan empat subjek mendapat markah penuh 100 peratus. Malah pengetua sekolah menyatakan Darwisya seorang pelajar pintar.

"Saya yakin berkat mengajar al-Quran daripada kecil, Darwisya mampu menguasai kemahiran menyerap apa saja ilmu yang diajar kepadanya. Saya berharap ibu bapa tidak teragak-agak apa yang patut diajar dulu kepada anak, sama ada ABC atau alif ba ta.

"Jika mengajar membaca bahasa Inggeris atau bahasa Melayu kita akan berhenti setakat mengenal huruf, membunyikan perkataan dan membaca. Tetapi menerusi al-Quran, ada satu langkah yang akan dikuasai oleh otak mereka yang tidak akan diperoleh melainkan menghafal al-Quran. Inilah yang akan meningkatkan daya memori kanak-kanak.

"Semakin panjang dan semakin banyak surah yang dihafal, semakin tinggi kekuatan memori mereka," katanya yang merujuk kepada sejarah ilmuwan Islam ketika di zaman kegemilangan Islam apabila mereka memulakan pendidikan sejak dari kecil lagi.

Mereka bukanlah tiba-tiba menjadi orang bijak pandai sebaliknya menghafaz seluruh al-Quran sejak kecil sebelum berpindah ke cabang ilmu lain seperti matematik, kimia, fizik, astrologi dan sains. Dengan cara ini, muncul ramai ilmuwan Islam seperti al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun, Ibnu Rushd, Ibnu Sina, al-Farabi dan Ibnul Khaitam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Seri bunga dip

Posted: 15 Jan 2013 06:32 AM PST

Hiasan dulang hantaran perkahwinan penting untuk menjadikan hantaran lebih berseri.

Mengelakkan hiasan yang terlalu ringkas atau sarat, kehadiran bunga dulang mampu menampilkan kelainan yang diinginkan pasangan.

Misalnya bunga dulang yang dihasilkan daripada bunga dip kristal bukan saja tampak lebih menarik dan tradisional malah jika bijak digayakan, ia mampu menonjolkan penampilan mewah pada hiasan dulang hantaran.

Bagi Hafiza Mohd Razally, 31, dia mendapat idea untuk membuat gubahan daripada bunga dip yang dihasilkan sendiri kerana mahukan kelainan dalam setiap rekaan yang ditampilkan.


Menurut penggubah hantaran yang menerima tempahan secara dalam talian itu lagi, bunga dip sesuai digunakan untuk tema majlis perkahwinan tradisional, sederhana atau moden.


"Untuk bakal pengantin yang lebih gemarkan penampilan ringkas pada dulang hantaran, mereka boleh gunakan bunga dip dan kurangkan penambahan hiasan manik mengikut tema warna pilihan.

"Jika tema yang dipilih lebih kepada tradisional, rona kuning diraja tampak menarik bagi menaikkan seri hiasan bunga dulang.

"Berbeza dengan tema moden, biasanya pemilihan rona pastel lebih sesuai untuk menonjolkan gaya Inggeris," katanya.

Bunga dip yang mempunyai pelbagai fungsi mengikut kesesuaian majlis itu masih digemari sehingga kini walaupun satu ketika dulu ia pernah menjadi pilihan hangat bakal pengantin.

Tidak mahu ia terus dilupakan, Hafiza mempelbagaikan penggunaan bunga dip untuk menghasilkan gubahan yang memikat hati ratu dan raja sehari.

"Biasanya, bunga dip boleh diubah dan dijadikan hiasan untuk dulang hantaran, bunga tangan atau bunga pahar kerana ia kelihatan berkilat serta menarik.

"Apabila ingin menghasilkan gubahan menggunakan bunga dip, elak mencampurkannya dengan hiasan bunga jenis lain kerana ia bukan gandingan sesuai malah tampak berserabut.

"Untuk menaikkan seri gubahan, tambah reben organza, satin atau bercorak mengikut kegemaran bagi penampilan mewah, sederhana ataupun ringkas," katanya yang mementingkan keunikan bunga dip agar tampak hidup serta dipenuhi taburan perada.

Bagi anda yang ingin mencuba menghasilkan bunga dulang daripada bunga dip, ikuti langkah mudah yang ditunjukkan Hafiza.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved