Selasa, 29 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Kehilangan besar badminton

Posted:

Legenda badminton negara, Datuk Eddy Choong (Ewe Beng) menghembuskan nafas terakhir di Pulau Pinang.

Hajat terakhir Eddie, 83, adalah ke London untuk menonton Siri Super Seluruh England, kejohanan yang tidak pernah terlepas ditonton secara langsung sejak tidak lagi aktif sebagai atlet.


Rata-rata tokoh sukan tanah air menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar sukan badminton negara.

"Beliau banyak menyumbang kepada negara, apa lagi badminton Pulau Pinang (BAPP). Sebagai pemain tersohor era 1950-an, beliau juga membantu persatuan negeri, ketika saya mengenalinya dalam Persatuan Badminton Pulau Pinang. Saya berkerja dengannya ketika beliau menjadi Naib Presiden, manakala saya menerajui Jawatankuasa Penyelaras Kejurulatihan," kata Setiausaha BAPP, Tony Tan Gim Hin.


"Kehilangan besar untuk negara. Beliau adalah atlet yang mengorbankan hayatnya untuk berbakti kepada negara, amat sukar dicari ganti," Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.


"Apa yang saya tahu, beliau banyak menyumbang kepada negara, menyumbang reputasi badminton Malaysia dan dunia dan saya anggap beliau sebagai 'hero' Malaysia," kata Pengerusi KLRC, Datuk Seri Andrew Kam.

Sementara bagi dua bekas atlet terkemuka negara di dua era berbeza, Datuk James Selvaraj dan Rashid Sidek, mendiang seorang yang amat positif dan mampu mempengaruhi orang di sekelilingnya.


"Saya kenal beliau, antara pemain terhebat dunia dan menang dua gelaran Seluruh England dalam dua kategori berbeza pada satu edisi. Amat jarang kita dapat bakat sebegini dan pemergiannya amat menyedihkan. Beliau selalu memberi semangat kepada orang di sekeliling terutamanya atlet yang bermain selepas eranya," kata James.

"Pada eranya, dia amat hebat dan kita tidak boleh bandingkan dengan era sekarang. Beliau meletakkan nama Malaysia pada tahap tertinggi ketika bergelar pemain, selepas itu sering menyumbang nasihat untuk pemain meniti kejayaan.


"Saya pernah ingat pesanan beliau, 'tiada jalan singkat untuk berjaya, sebagai atlet kami perlu menempuh setiap liku-liku yang merintang'.


"Beliau amat gemar bercakap, memberi nasihat kepada semua orang yang ditemuinya sehingga digelar 'talking machine'," kata Rashid sambil berkata mendiang mahu atlet zaman sekarang berusaha keras kerana banyak kemudahan yang diperoleh.


Sebagai pemain, Eddy muncul juara empat kali perseorangan dan tiga kali beregu lelaki Seluruh England. Tahun 1953 adalah tahun permulaan paling hebat buat beliau apabila muncul juara perseorangan dan beregu lelaki Seluruh England dan Scotland, perseorangan, beregu lelaki dan campuran Terbuka Denmark, Perancis serta Ireland.


Malah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut memberi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Eddy Choong (hingga 2007) dan Anugerah Pemain Harapan Tahunan Eddy Choong (bermula 2008) BWF.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Bafana Bafana bangkit

Posted:

Afrika Selatan bangkit dua kali untuk mengikat Maghribi 2-2 pada saingan Kumpulan A sekali gus layak ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika.

Skuad Bafana Bafana berkongsi lima mata dengan Cape Verde tapi perbezaan jaringan menyaksikan tuan rumah kekal di tangga teratas kumpulan berbanding Cape Verde yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Angola di Port Elizabeth.


Issam El Adoua dan Abdelilah Hafidi meledak gol Maghribi tapi May Mahlangu dan Siyabonga Sangweni (gambar) menyamakan kedudukan sekali gus menyaksikan Manghribi tersingkir seawal pusingan pertama buat kali keempat berturut-turut.

"Kami bangga kerana berjaya melepasi objektif pertama. Saya harus berterima kasih kepada pemain serta penyokong," kata jurulatih Afrika Selatan, Gordon Igesund yang hanya mempunyai masa selama lima bulan untuk mempersiapkan pasukan.


"Maghribi bagus. Saya tidak mahu menyatakan kesilapan yang dilakukan pemain tapi kami tidak sepatutnya melepaskan dua gol itu. Kini kami perlu mengharungi dua lagi perlawanan untuk melangkah ke final," katanya.


Rakan sejawatnya, Rachid Taoussi berkata: "Saya amat kecewa tapi kami sudah mempamerkan persembahan sebenar dan saya puas hati.

"Keputusan di Piala Negara-Negara Afrika agak memberangsangkan dan kami kini bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia 2014. Objektif utama adalah edisi 2015 Piala Negara-Negara Afrika iaitu ketika Maghribi menjadi tuan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved